Tuesday 11 February 2014

Tol Sepatutnya Dihapuskan Setelah Syarikat Konsesi Untung Berganda

Comments - https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=750728331603866&id=569086473101387

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Selasa 11 hb Februari 2014

Tol Sepatutnya Dihapuskan Setelah Syarikat Konsesi Untung Berganda

1. Rakyat kononnya digembirakan dengan pengumuman tol yang tidak dinaikkan. Tetapi sebenarnya ia berita buruk kerana kerajaan terpaksa menggunakan duit rakyat juga untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi. Ertinya syarikat konsesi tetap untung dan rakyat juga terpaksa menanggung secara tidak langsung. Bukan sahaja syarikat konsesi untung menerusi pampasan tetapi mereka juga telah mendapat untung berganda daripada servis jalanraya yang melibatkan keperluan rakyat.

2. Rakyat berhak menuntut bukan sekadar kadar tol tidak dinaikkan tetapi sebaliknya diturunkan dan seterusnya dihapuskan kerana syarikat konsesi telah mengutip laba berganda yang tidak pernah rugi kerana perniagaan jalan bertol ini.

3. Hal ini kerana perniagaan lebuhraya bertol adalah perniagaan perkhidmatan seperti perkhidmatan telekomunikasi Maxis, Digi, Celcom, Yes4G dan Umobile. Ia mendatangkan profit margin (jurang keuntungan) yang tinggi. Menurut laporan kewangan 2013 LITRAK BERHAD yang mengendalikan Lebuhraya Damansara - Puchong [LDP] dan SPRINT, profit margin menghampiri 49%. Menurut Maybank Investment Bank Research, KESAS juga mencapai keuntungan mencecah 121% secara cumulative annual growth rate atau CAGR daripada 2008 ke 2012.

4. Lebih daripada itu, pertambahan pengguna jalan bertol yang semakin meningkat bererti keuntungan yang sentiasa meningkat dan bertambah tanpa risiko kerugian.

5. Jika sebelum ini rakyat mempunyai alternatif memilih jalan tidak bertol untuk sampai ke destinasi tapi tidak lagi pada hari ini. Lebuhraya bertol bukan satu pilihan mewah untuk rakyat tetapi adalah satu keperluan bagi mengelakkan kesesakan, menjimatkan masa dan kos penggunaan minyak. Malah lebuh raya bertol sendiri pun sesak apatah lagi jalan biasa.

6. Maka bagi satu perniagaan perkhidmatan yang mendapat jumlah pelanggan yang semakin bertambah, bukankah sepatutnya kadar tol semakin dikurangkan?

7. Dalam keadaan rakyat memerlukan lebuhraya bertol, ada pihak yang mengaut keuntungan berganda. Derita rakyat semakin bertambah. Harga minyak bertambah mahal. Lebuhraya pula semakin sesak. Kadar harga tol kekal. Syarikat konsesi pula mendapat pampasan keuntungan kerana  tidak menaikkan tol. Duit rakyat terpaksa dibelanjakan untuk pampasan.

8. Atas alasan-alasan tersebut, maka memberi pampasan kerana tidak menaikkan tol hanyalah bertujuan untuk mengkayakan golongan tertentu secara melampau atas derita keperluan rakyat. Tol sepatutnya dihapuskan setelah syarikat konsesi mendapat keuntungan berganda daripada perniagaannya.

9. Perjanjian konsesi membolehkan syarikat memohon kenaikan tol tetapi atas sifat kerajaan yang mempunyai saham majoriti dalam syarikat konsesi,  kerajaan boleh mengambil alih syarikat konsesi seterusnya membatalkan perjanjian.

10. Apapun, perjanjian konsesi yang tidak adil bagi rakyat ini berpunca daripada kegagalan kerajaan BN memperhalusi perjanjian konsesi sehingga merugikan rakyat. Maka kerajaan BN perlu dipertanggungjawabkan oleh rakyat atas ketidaktelitian ini.

11. Mengimbau sejarah kerajaan Saba' antara nikmat Allah yang dirasai oleh rakyat ialah lebuhraya aman membahagiakan yang menyingkatkan jarak dan masa perjalanan antara Yaman di selatan dan Syam di utara. Allah berfirman:

وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ الْقُرَى الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا ْقُرَى ظَاهِرَةً وَقَدَّرْنَا فِيهَا السَّيْرَ سِيرُوا فِيهَا لَيَالِيَ وَأَيَّامًا آمِنِينَ

Maksudnya: "Dan Kami jadikan antara mereka (Yaman) dan negeri-negeri yang Kami limpahkan berkat kepadanya (Syam), beberapa negeri yang muncul dan Kami singkatkan antara negeri-negeri itu (jarak-jarak) perjalanan. Berjalanlah kamu di kota-kota itu pada malam hari dan siang hari dengan dengan aman." Surah Saba' ayat 18.

YB Ust Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus

No comments:

Post a Comment