Friday 7 February 2014

JANGAN API-APIKAN SENSITIVITI KAUM DAN AGAMA

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENERANGAN DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

Jangan Api-apikan Sensitiviti Kaum dan Agama Rakyat Malaysia

1. Pasca PRU ke 13 menyaksikan banyak insiden perkauman dan agama seolah sengaja dicetuskan pihak berkepentingan. Di Pulau Pinang, rentetan daripada isu penggunaan kalimah ALLAH berlaku provokasi molotov cocktail di gereja. Kain rentang "Jesus Anak Allah" menimbulkan ketegangan. Sebelum ini di Shah Alam terdapat pihak tertentu mengheret kepala lembu dan membuang kepala babi di masjid.  Terkini respon sebuah NGO terhadap seorang ahli politik dilihat keterlaluan yang boleh menyemarakkan api perkauman.

2. Dewan Ulamak PAS Pusat menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan tegas segera serta penyiasatan yang adil tanpa memilih bulu terhadap mana-mana pihak yang mengapi-apikan sensitiviti perkauman dan agama di negara ini. 

3. Slogan 1Malaysia yang digagaskan oleh PM perlu digarap berlandaskan penyelesaian Islam yang melihat manusia sebagai anak cucu Nabi Adam yang perlu diberikan hak kemanusiaan dan kerakyatan serta meraikan kepelbagaian dan perbezaan.

4.Hanya penyelesaian Islam dan bukannya perkauman boleh menyatupadukan masyarakat dan membentuk integrasi nasional.

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Ahli Parlimen Kuala Nerus
Jumaat 7 Feb 2014

No comments:

Post a Comment