Wednesday 15 July 2015

RESPONSE KEPADA TULISAN YB AHLI PARLIMEN SEPANG BERKAITAN GHB

RESPONSE KEPADA TULISAN YB AHLI PARLIMEN SEPANG BERKAITAN GHB.

PAS Sepang memandang serius terhadap perkembangan muttakkhir yang berlaku di dalam PAS. Kami amat mendokong kebebasan dalam menyatakan pendapat dan komentar. Tetapi komentar dan tulisan berbentuk memburuk dan menegakkan pendapat sendiri yang mesti diikuti adalah sesuatu yang tidak harus dilakukan. Lebih-lebih lagi seorang yang masih mengaku ahli PAS, yang pernah sebaris dengan pimpinan utama sebelum Muktamar Kali Ke 61.

Tindakan setelah tidak terpilih sebagai pimpinan untuk sesi baru, kami PAS Sepang juga terasa terperanjat terhadap keputusan pemilihan tersebut. Dalam waktu yang sama perasaan kagum berada dalam diri kami kerana para perwakilan seluruh negara sebenarnya lebih bijak dalam menentukan pimpinan yang mereka mahu. Bagi PAS Sepang terpilih atau tersingkir dalam pemilihan PAS bukan soalnya, kerana kami sebagai orang kerdil di bawah akan sedaya mungkin melaksanakan amanah dalam ruang lingkup dan kawalan kami.

Sesungguhnya keputusan pemilihan muktamar sudah ditentukan. Apapun alasan untuk menafikan keputusan itu adalah sikap ego diri yang sentiasa memandang rendah kebolehan oran lain. Soal perancangan, memang bagi mereka yang ingin berkhidmat dan melakukan pembaikan dalam jamaah perancangan adalah kewajipan untuk mencapai cita-cita. Sama juga mereka yang merancang untuk menguasai kepimpinan tertinggi dan bercita-cita menidakkan kepimpinan ulamak, pastinya teknik perancangannya lebih licik sehingga meratibkan gelaran UG, jumud, mundur dsbnya.

Ketika ini adalah lebih wajar untuk semua pihak dalam kepimpinan dan mantan pemimpin bermuhasabah diri masing-masing. Ahli PAS yang hebat, sebenarnya mereka yang melaksanakan kerja-kerja di grass root walaupun mereka bergelar pimpinan. Mana mungkin nama hebat pemimpin PAS hanya hebat di pentas dan kelompok kepimpinan tanpa punyai cawangan ataupun kawasan? Jangan menidakkan sokongan dan pengorbanan ahli-ahli PAS Sepang ketika PRU13 lalu.

Ada yang mengatakankan bahawa GHB diwujudkan untuk menentang UMNO/BN, tetapi sedarkah mereka mewujudkan atau menyokong GHB juga telah merosakkan ukhuwah dan kesatuan gerakkan dalam PAS?. Jika nak lawan UMNO/BN, PAS konsisten menentang kezaliman UMNO/BN malah apapun nama parti. Apakah kewajaran wujudnya GHB kalau tidak kerana jawatan dan kedudukan yang sekaligus usaha memecahkan PAS dan beri nafas kepada UMNO/BN?

Sedarkah YB Ahli Parlimen Sepang bahawa keberadaan YB di Sepang adalah atas tolak ansur PAS Sepang pada PRU13 lepas  dalam soal meletakkan calon. PAS Sepang sentiasa akur kehendak dan arahan kepimpinan PAS Pusat walaupun pada ketika itu ramai pemimpin PAS Sepang rasa sedikit kecewa. Kami terima keputusan dan bergerak maju melaksanakan amanah untuk mencipta sejarah kemenangan PAS Sepang. Soal kedudukan kami ketepikan demi untuk maruah PAS dan kepimpinan parti ketika itu. Alhamdulillah, PAS berjaya letakkan title YB bagi kerusi Ahli Parlimen Sepang.

PAS Sepang ingin bertanya kepada YB Ahli Parlimen Sepang, berapa kali hadir bersama dalam mesyuarat Badan Perhubungan Pas Selangor dan  Pas Kawasan Sepang?. Berapa banyak duit yang dikorbankan ketika kempen PRU13 lalu? Siapa yang mengurus dan merancang jentera kawasan PRU13 dan urusan kelengkapan pejabat? Kalau tidak semua oleh ahli-ahli PAS Sepang.

Oleh itu PAS Sepang, mohon agar YB Ahli Parlimen Sepang kembali kepada usaha perkukuhkan jamaah. Jangan disebabkan ego diri, mulut kata sayangkan PAS, sanggup mewujudkan atau menyokong penubuhan gerakan baru yang mengakibatkan PAS berpecah. Alangkah baiknya, walaupun tidak lagi duduk sebagai pemimpin PAS, tawarkan diri untuk berkhidmat sebagai agen memperkukuhkan jamaah. Kami lebih yakin YB akan lebih dihormati.

Tetapi sekiranya YB Ahli Parlimen Sepang masih lagi menongkah arus kepimpinan semasa PAS  dan tidak selesa berada sebagai ahli PAS adalah lebih wajar untuk undur diri segera dari berada dalam jamaah ini dan dengan hormatnya dipohon meletakkan jawatan sebagai YB Ahli Parlimen Sepang.

Walau apapun, PAS Sepang akan tetap berdiri teguh bersama PAS dan kepimpinan parti yang telah dimuktamadkan dalam Muktamar Kali Ke 61 untuk sesi 2015-2017. Semoga Allah membantu seluruh barisan kepimpinan PAS mengemudi bahtera perjuangan ini dengan penuh keredhaanNya, Insya Allah.

Istiqamah Hingga Kemenangan.

YB. IR. MOHD HASLIN HASSAN
YDP PAS Kawasan Sepang
28 Ramadhan 1436H/15 Julai 2015M

No comments:

Post a Comment