Thursday 2 July 2015

MINYAK NAIK : JANGAN SAMPAI RAKYAT ‘NAIK MINYAK’

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

MINYAK NAIK : JANGAN SAMPAI RAKYAT ‘NAIK MINYAK’

1. DUPP memberi amaran kepada Kerajaan Malaysia supaya segera menyediakan mekanisme bagi mengekang kenaikkan harga runcit (retail price) petrol dan memastikan ia berada pada harga “mampu milik” untuk ditanggung oleh pengguna-pengguna dalam kalangan rakyat.

2. Penyerahan sepenuhnya penentuan harga runcit petrol berdasarkan kepada harga minyak mentah dunia melalui ‘managed float mechanism’ ditambah pula dengan polisi baru yang diumumkan oleh Menteri KPDNKK, DS Hasan Malek semalam iaitu pemberitahuan perubahan harga minyak hanya akan dimaklumkan kepada pengusaha minyak pada setiap hujung bulan tanpa ada lagi pengumumam rasmi kepada awam, menjadikan rakyat sebagai mangsa pemerasan.

3. Lebih mengecewakan, kenaikkan harga minyak ini ditetapkan serta diumumkan dalam keadaan tidak lama lagi akan tiba musim perayaan. Sedangkan sebahagian besar rakyat sekarang ini telah pun merasai bebanan kenaikkan pelbagai harga barangan khususnya bahan makanan. Ini pun berlaku kerana langkah pencegahan dan kawalan oleh pihak KPDNKK sendiri yang kurang berkesan. Kenaikkan sebanyak 10 sen bagi RON95 dan 20 sen bagi RON97 ini pasti akan menambahkan lagi parah kepada rakyat akibat kesan berantai daripada kenaikkan harga petrol di pasaran.

4. Sebagai satu jaminan terhadap ketelusan dan kewibawaan Kerajaan mendahulukan rakyat, DUPP mendesak supaya Kerajaan :

(i) Mendedahkan kepada awam harga purata rujukan minyak mentah dunia yang digunapakai dan kos produk yang dibuat berdasarkan ‘Means of Platt Singapore’ yang digunapakai dalam ‘automatic pricing mechanisme’ bagi menentukan harga runcit petrol dalam negara. Adalah suatu yang amat mencurigakan apabila harga minyak mentah dunia bagi bulan Jun mengalami trend menurun, tiba-tiba Kerajaan menaikkan harga runcit petrol.

(ii) Menetapkan harga siling bagi harga runcit petrol dan Kerajaan mesti menampung lebihan kos daripada harga siling tersebut dengan subsidi. Ini kerana penentuan harga petrol berdasarkan sistem apungan terkawal sentiasa mendedahkan rakyat kepada kenaikkan harga petrol secara berterusan. Keadaan ini jika dibiarkan akan melemahkan ekonomi rakyat sekaligus memberi kesan kepada ‘velocity of money’ dalam negara.

(iii) Menarik semula polisi bahawa pemberitahuan perubahan harga minyak hanya akan dimaklumkan kepada pengusaha minyak. Perubahan harga ini mesti diberitahu kepada rakyat kerana rakyat yang akan menanggung bebanan itu khususnya apabila ia mengalami kenaikkan, bukannya pengusaha minyak.

5. Sekali lagi DUPP ingin menegaskan agar Kerajaan berwaspada terhadap kenaikkan harga minyak ini memandangkan sebahagian besar pendapatan isi rumah iaitu kira 13.4% adalah digunakan untuk tujuan pengangkutan selain 23% untuk makanan dan 18.9% untuk perumahan. Jangan sampai harga minyak yang naik ini menyebabkan rakyat “naik minyak”.

Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Tarikh : 2 Julai 2015 / 15 Ramadan 1436H

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau. ::

No comments:

Post a Comment