Monday, 25 May 2015

Bersama Ust Mokhtar Senik

Seusai ceramah isu GST di Pasir Mas bersama Ust Mokhtar Senik anjuran urusetia penerangan kerajaan Kelantan kami bergerak balik ke KL berkereta. Solat Subuh di Masjid Raub dan tiba di Gombak jam 7.30 pagi. Gambar beramai-ramai dirakamkan di hadapan rumah Ust Mokhtar di Gombak

Betulkan Halatuju Perjuangan Untuk Bangunkan Islam di atas Runtuhan Jahiliyyah Bagi Menghindari Kekecewaan

RENUNGAN PAGI

Betulkan Halatuju Perjuangan Untuk Bangunkan Islam di atas Runtuhan Jahiliyyah Bagi Menghindari Kekecewaan

Perjuangan PAS ialah untuk menumbangkan kuasa Jahiliyyah yang bertunjangkan pembangunan dunia semata-mata dan digantikan dengan kekuasaan Islam yang berasaskan pembinaan tamadun dunia dan kebahagiaan Akhirat.

Kita tidak berjuang hanya untuk menumbangkan jahiliyah sekular dan sosialis sesebuah parti politik untuk digantikan dengan jahiliyah sekular dan sosialis satu parti yang lain.

Segala ketidakadilan sosial dan ekonomi yang sedang dirasai oleh rakyat adalah natijah daripada pemerintahan yang tidak berasaskan Islam.

Pengurusan ekonomi yang menghalalkan riba, manipulasi, monopoli dan eksploitasi adalah kunci kerosakan. Jurang ekonomi antara kaya dan miskin yang semakin melebar disebabkan pemikiran liberal kapitalis tidak dapat diatasi dengan teori ekonomi sosialis tetapi diselesaikan menerusi penyelesaian ekonomi Islam.

Akibat hala tuju perjuangan yang tidak jelas maka lahirlah golongan yang mudah kecewa.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Isnin 25hb Mei 2015
6.30 pagi; Bentong, Pahang.
www.drtakiri.blogspot.com

Sunday, 24 May 2015

RENUNGAN MALAM Golongan Istiqamah Tidak Kecewa & Gugur Dari Medan Perjuangan

RENUNGAN MALAM

Golongan Istiqamah Tidak Kecewa & Gugur Dari Medan Perjuangan

Kita bersama PAS untuk perjuangkan dakwah dan kuasa untuk Islam. Ada yang terus ISTIQAMAH dengan perjuangan sehingga akhir hayat. Ada yang gugur di tengah jalan.

(إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ)
[Surat Fussilat 30]

Mereka yang beriman dengan perjuangan kemudian ISTIQAMAH
maka para Malaikat akan turun membisikkan kata-kata semangat "janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu sedih dan bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan kepada kamu". (Petikan ayat 30 surah Fussilat)

Mereka yang tidak ISTIQAMAH akan mudah kecewa. Namun, kekecewaannya tidak akan mematahkan semangat mereka yang masih yakin dengan masa depan perjuangan. Kemenangan adalah pasti milik Islam sama ada cepat atau lambat. 

ISTIQAMAH maknanya mengikuti jalan yang lurus seterusnya tetap atas jalan yang lurus.

Apabila kita bersama dengan perjuangan Islam lalu tidak mengikuti jalan yang lurus dan tidak tetap di atas jalan itu maka tergelincirlah kita daripada perjuangan. Lalu KEKECEWAAN adalah bisikan syaitan kepada golongan yang gagal ISTIQAMAH.

Ya Allah, jadikanlah daku di kalangan orang yang Istiqamah dan tidak kecewa dengan masa depan perjuangan yang masih panjang.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahad 24hb Mei 2015
(Airport Subang jam 8 mlm menanti flight ke Kota Bharu)
www.drtakiri.blogspot.com

RENUNGAN PAGI; KERJASAMA POLITIK

RENUNGAN PAGI; KERJASAMA POLITIK

Kerjasama politik antara parti Islam dan parti yang memperjuangkan fahaman sekular atau sosialis dibolehkan dalam Islam dengan bersyarat. Tanpa syarat-syarat itu kerjasama politik adalah haram.

Antaranya atas dasar kebajikan dan taqwa. Juga ia menjadi wasilah dan alat memperkukuhkan Islam dan melaksanakan Syariah. Apabila pelaksanaan Syariah ditentang dan dihalang, kesetiaan ahli beralih kepada parti sosialis, pemimpin utama parti Islam dicemuh dan diperlekehkan tidakkah syarat kerjasama politik telah dilanggar???

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahad 24hb Mei 2015

Saturday, 23 May 2015

RENUNGAN PETANG Menziarahi Rakan Yang Sakit

RENUNGAN PETANG

Menziarahi Rakan Yang Sakit

Menziarahi orang sakit merupakan salah satu akhlak mulia yang digesa oleh Islam malah ia menjadi salah satu hak yang mesti ditunaikan oleh saudara muslim terhadap saudara seislamnya.

Sabda Nabi saw;

حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ : إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ ، وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ ، وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ ، وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللهَ فَشَمِّتْهُ ، وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ ، وَإِذَا مَاتَ فَاتْبَعْهُ.
Maksudnya; "Hak muslim yang mesti ditunaikan oleh muslim yang lain ada enam; apabila kamu bertemu dengannya maka berilah salam kepadanya, apabila dia menjemput maka penuhilah jemputannya, apabila dia meminta nasihat maka kamu berilah nasihat kepadanya, apabila dia bersin lalu dia bersyukur memuji Allah (menyebut alhamdulillah) maka balaslah dengan doa, apabila dia sakit maka ziarahilah dia dan apabila dia mati maka iringilah jenazahnya (ke kubur)". Hadis riwayat Ahmad dan Muslim

Kerana itu antara akhlak para Salaf Soleh apabila menyedari ketiadaan seseorang lalu segera ditanyakan perihalnya.

Tokoh Tabi'in di Kufah bernama al-A'masy (lahir 61 H meninggal 147 H) berkata, kami ada majlis pertemuan. Apabila kami kehilangan seseorang selama tiga hari kami akan bertanya tentangnya. Sekiranya dia sakit kami menziarahinya.

Menziarahi pesakit mendatangkan kegembiraan bagi pesakit. Dengan itu berkuranglah kesusahan hatinya. Pesakit merasakan dirinya masih mendapat perhatian lalu terubatlah dukacitanya. Sekian.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 23 hb Mei 2015
6.15 ptg

www.drtakiri.blogspot.com

Majlis Iftar Amal Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha

2004 saya mula mengasaskan Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha untuk memberikan pendidikan tahfiz dan akademik secara percuma kepada anak-anak yatim dan faqir miskin. Pengetuanya ialah isteri saya sendiri Ustazah Anili Ramli dengan 2 lagi guru pembantu. Oleh kerana permintaan daripada keluarga selain anak yatim maka Darul Fuqaha memperluaskan kemasukan pelajar merangkumi bukan anak-anak yatim juga dengan yuran sumbangan berdasarkan kemampuan kewangan keluarga. Insyallah 4.7.2015 Darul Fuqaha menganjurkan Majlis Iftar Amal bersama Tuan Guru Dato Harun Din untuk mengukuhkan dana pengurusan Darul Fuqaha merangkumi pembayaran gaji yang menjangkau 35k sebulan sekarang.

RENUNGAN PAGI ; MAQASID SYARIAH

RENUNGAN PAGI

MAQASID SYARIAH

Maqasid Syariah maksudnya matlamat yang tercapai menerusi pelaksanaan Syariah. Antaranya ialah pelaksanaan Syariah bertujuan menjaga agama, nyawa, maruah, harta dan akal manusia. Tanpa pelaksanaan Syariah Islam dalam urusan politik, ekonomi dan sosial sesebuah masyarakat 5 matlamat tersebut tidak akan tercapai. Malangnya ada yang berhujah dengan Maqasid Syariah untuk menggugurkan pelaksanaan Syariah atau berdolak-dalik dalam pelaksanaan sebahagian Syariah. Inilah yang dikatakan "kalimah yang benar tetapi digunakan untuk tujuan yang salah"

Dr Khairuddin at-Takiri
Sabtu 10.30 pg 23hb Mei 2015

Di Karnival Paka

Bersama Ust Najhan dan Ust Norazli di Karnival PAS Paka petang tadi

Friday, 22 May 2015

Renungan Pagi; Baiah

Renungan Pagi

Sebelum Nabi saw berhijrah ke Yathrib untuk membina kerajaan Islam, orang-orang Islam Yathrib turun ke Mekah memberikan baiah kepimpinan (memberikan janji setia) kepada Nabi saw. Antara isi kandungan Baiah sepertimana diriwayatkan oleh Ubadah bin Somit radiyallahu anhu
"Kami baiah Rasulullah saw untuk mendengar dan taat ketika sukar dan senang, ketika cergas dan keterpaksaan, untuk mengutamakan pemimpin berbanding diri sendiri, untuk tidak mempertikaikan kepimpinan bagi yang berhak dan untuk kami tidak takut kepada celaan orang yang mencela".
Kepentingan Baiah ketaatan ialah melancarkan gerak-kerja berorganisasi dan memberi kepercayaan kepada ketua untuk bertindak dan membuat keputusan yang kadang-kadang tidak difahami rahsianya dan strateginya oleh orang yang dipimpin.

Hadis Bukhari

Dr Khairuddin at-Takiri
Jumaat 11 pg 22hb Mei 2015

Tuesday, 19 May 2015

PULAU BIDUNG SEBAGAI PUSAT PERLINDUNGAN PELARIAN ROHINGYA

PULAU BIDUNG SEBAGAI PUSAT PERLINDUNGAN PELARIAN ROHINGYA

Oleh :

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus / Ketua Penerangan DUPP

1. Menyelamatkan nyawa pelarian yang dizalimi dan terusir daripada tanah air sendiri adalah sebahagian daripada kewajipan beragama yang telah ditegaskan prinsipnya dalam al-Quran. Allah berfirman;

( وَمَا لَكُمْ لَا تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَل لَنَا مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا وَاجْعَل لَنَا مِنْ لَدُنْكَ نَصِيرًا ) .
"Dan kenapa kamu tidak berperang di jalan Allah dan demi golongan yang lemah di kalangan lelaki-lelaki, wanita-wanita dan kanak-kanak yang menyeru wahai Rabb kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang penduduknya melakukan kezaliman. Dan jadikanlah untuk kami dari sisi-Mu seorang pelindung dan jadikanlah untuk kami dari sisi-Mu seorang pembantu". (Surah al-Nisa ayat 75)

2. Tidakkah Rasulullah saw dan juga para sahabat Muhajirin yang berhijrah daripada Mekah merupakan golongan yang lari dan diusir keluar dari tanah air mereka dan juga dirampas harta benda mereka? Mereka diperangi dan dizalimi kerana agama yang dianuti oleh mereka. Mereka lalu diberi perlindungan oleh orang-orang Yathrib (Madinah) bukan hanya melibatkan makanan tetapi melibatkan harta, kediaman, pekerjaan dan pasangan hidup malah seterusnya kerakyatan.

3. Lantaran itu Allah memuji orang-orang Madinah yang kemudiannya dikenali sebagai Ansor yang bermaksud pembantu-pembantu dalam firman-Nya;

( وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ( 9 ) )
"Dan mereka yang menyediakan negeri kediaman dan keimanan sebelum (kedatangan) orang Muhajirin, mereka sayangkan orang-orang yang berhijrah kepada mereka, mereka tidak mendapati dalam hati-hati mereka sebarang hajat daripada apa yang telah mereka berikan dan mereka mengutamakan mereka yang berhijrah berbanding diri mereka sendiri meskipun mereka sendiri ada keperluan. Dan sesiapa yang terpelihara daripada sifat kikir dirinya maka merekalah orang-orang yang beroleh al-falah (kejayaan selepas kesukaran). (Surah al-Hasyr ayat 9)

4. Malah Islam menegaskan kewajipan menyahut dan menyambut seruan memohon pertolongan dan perlindungan nyawa sehinggalah mereka dapat dibawa ke tempat yang aman sebagaimana firman Allah

( وَإِنْ أَحَدٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّى يَسْمَعَ كَلَامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ( 6 )
"Dan sekiranya seseorang di kalangan orang yang syirik meminta perlindungan kepada kamu maka berilah perlindungan kepadanya sehinggalah dia mendengar Kalam Allah kemudian sampaikanlah dirinya itu ke tempat yang aman bagi dirinya" (Surah Taubah ayat 6).

5. Sebagai negara umat Islam di rantau Asia, malah Pengerusi ASEAN pula, tidak memadai bagi Malaysia hanya menganggap isu pelarian Rohingya sebagai isu kemanusiaan semata-mata. Perhatian terhadap golongan ini mestilah di atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan Islam. Apatah lagi Rohingya dizalimi oleh ekstrimis berpunca kerana anutan agama Islam yang mereka anuti.

6. Usaha berterusan mesti dilakukan untuk mengatasi halangan-halangan yang ada termasuk pada aspek perundangan dan hubungan diplomatik demi memastikan pelarian Rohingya mendapat hak perlindungan; penempatan, makanan, kesihatan dan pendidikan.

7. Pada 10 hb mei 2015 yang lalu saya sempat menghadiri majlis pengkebumian semula 11 orang daripada 33 mangsa bunuh Rohingya oleh ejen penyeludupan manusia di Ban Talok, Padang Basar di Selatan Thailand. Dikatakan ribuan lagi menjadi mangsa bunuh oleh ejen-ejen ini apabila gagal melunaskan kos membawa mereka lari menyelamatkan diri dari tanah air mereka.

8. Terkini pada pertengahan Mei ini, lebih 1,000 orang etnik Rohingya cuba memasuki Malaysia secara penyeludupan kerana lari daripada tekanan di negara mereka dengan pelayaran di atas kapal yang uzur dan tidak cukup bekalan makanan. Mereka perlu diselamatkan dan tidak wajar diberikan layanan sebagai pendatang asing tanpa izin, apatah lagi mengusir mereka semula ke tengah laut.

9. Etnik Rohingya sangat memerlukan pembelaan khususnya daripada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN. Menurut rekod terdapat 800,000 hingga 1.3 juta orang etnik Rohingya di Myanmar yang menetap di Rakhine tetapi kewarganegaraan mereka tidak diiktiraf, bahkan dinafikan hak mereka untuk mengundi bermula 2012 lalu serta mereka juga diperangi oleh pelampau Buddha.

10. Sejak tiga tahun lepas, lebih 120,000 terpaksa keluar menyelamatkan diri dengan belayar di lautan. Suku pertama tahun ini sahaja pula kira-kira 15,000 orang lagi keluar ke laut untuk menyelamatkan diri di negara-negara jiran; 8,000 daripadanya ke perairan antara Malaysia dan Indonesia pada bulan ini.

11. Walaupun Malaysia tidak memeterai Konvensyen 1951 berhubung kedudukan pelarian, kita masih boleh mengadakan dasar serta prosedur dalam menangani isu pelarian.

12. Saya mencadangkan agar pelarian Rohingya ini diberikan perlindungan di lokasi yang pernah diiktiraf secara rasmi sebagai kem pelarian pada 8 Ogos 1978 bagi melindungi pelarian mangsa perang Vietnam iaitu Pulau Bidung di negeri Terengganu.

13. Mengikut catatan sejarah, sepanjang 1975 hingga 1991, hampir 250,000 orang pelarian Vietnam beragama Budhha dan Kristian berlindung di pulau ini sebelum ia ditutup pada 30 Oktober 1991 dengan baki pelarian dibawa pulang semula ke Vietnam.

14. Kerajaan Malaysia perlu segera mengiktiraf Pulau Bidung sebagai pusat perlindungan bagi pelarian Rohingya. Pengiktirafan ini akan lebih memudahkan urusan pengurusan pelarian dan menjadikannya lebih tersusun bagi memenuhi keperluan pelarian dan pada masa yang sama melindungi kepentingan negara.

15. Kerjasama dengan Kerajaan Negeri Terengganu juga perlu dibuat bagi merealisasikan pembukaan pusat perlindungan ini. Ini kerana walaupun Kerajaan Negeri Terengganu melarang pembinaan resort dan chalet setelah pulau itu dibuka untuk tujuan pelancongan bagi memelihara warisan sejarah pulau itu, pada akhir tahun lalu Kerajaan Negeri Terengganu telah mengumumkan peruntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi membaik pulih kemudahan asas dan pemuliharaan dasar laut Pulau Bidung.

16. Kesempatan ini sebaiknya dimanfaatkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Terengganu untuk membuka pusat perlindungan kepada orang-orang Rohingya yang beragama Islam yang menjadi pelarian kerana terpaksa meninggalkan tanah air mereka akibat tekanan oleh pemerintah dan pelampau agama di wilayah yang mereka diami. Sekurang-kurangnya, lebih 37,850 warga Rohingya yang yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia setakat 2014 serta yang terkandas di perairan Malaysia baru-baru ini boleh mendapat perlindungan di Pulau Bidung.

Sekian.

19 Mei 2015 / 1 Syaaban 1436H

# Sila layari www.drtakiri.blogspot.com untuk artikel-artikel lain dalam pelbagai isu.

Monday, 18 May 2015

CHINA PINTAS MELALUI TERUSAN KRA ISTHMUS, THAILAND? Ancaman buat Selat Melaka, Malaysia

CHINA PINTAS MELALUI TERUSAN KRA ISTHMUS, THAILAND?
Ancaman buat Selat Melaka, Malaysia

Oleh DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

1. Tersebar berita yang masih ditahap memerlukan pengesahan berhubung pembinaan Terusan Kra. Ia menjadi viral apabila dilaporkan oleh portal China Daily Mail semalam (17 Mei 2015) bahawa suatu memorandum kerjasama telah ditandatangani bersama oleh pelbagai pengusaha perniagaan di Guangzhou, China untuk membina sebuah terusan sepanjang 102 kilometer dengan kelebaran 400 meter dan kedalaman 25 meter di Kra Isthmus, Thailand.

2. Portal itu sebelum ini, pada 16 Mac 2014 telah menjelaskan antara kewajaran China memerlukan laluan alternatif dengan pembinaan Terusan Kra Isthmus adalah kerana laluan perdagangan ke Lautan Hindi melalui Selat Melaka mempunyai masalah lanun, bangkai kapal, jerebu, mendapan dan beting. Kadar kemalangan pula dilaporkan dua kali lebih tinggi berbanding di Terusan Suez dan empat kali lebih tinggi berbanding di Terusan Panama.

3. Sejauh mana ketepatan berita tersebut memerlukan satu pengesahan kerana ia tidak dilaporkan secara meluas oleh portal berita ternama dan lebih berkredibiliti. Namun, berita cadangan terusan ini sudah lama berlegar dan dibicarakan tetapi masih tertangguh sehingga kini. Apa yang perlu ialah kita meninjau kesannya terhadap Malaysia.

4. Jika benar, dengan pembinaan Terusan Kra Isthmus ini, kapal-kapal boleh memintas Selat Melaka dan memendekkan perjalanan mereka sebanyak 1200 kilometer. Pembinaan ini akan memberi keuntungan yang besar kepada negara-negara yang terpaksa melalui Selat Melaka sebelum ini untuk aktiviti perdagangan dengan negara-negara Timur Tengah dan Eropah.

5. Sebelum ini, Selat Melaka sebagai jalan penghubung laut utama mahu dikuasai oleh pelbagai negara termasuklah Amerika Syarikat, China, Jepun dan India kerana kedudukannya yang strategik untuk penguasaan ekonomi.

6. Sebagai contoh, Jepun mengimport hampir 80% bekalan minyaknya dari Timur Tengah melalui Selat Melaka. Ditambah lagi dengan keadaan kepulauan negaranya, memiliki sumber yang terhad, jarak yang jauh dengan negara pembekal tenaga, bahan mentah dan makanan, maka Jepun sangat memberikan perhatian yang tinggi terhadap keselamatan lebih 50% produk-produk perniagaannya yang diangkut melalui pelayaran di selat itu.

7. China, yang merupakan kekuatan baru di Asia juga sangat bergantung kepada Selat Melaka untuk aktiviti perdagangan dan pengangkutan tenaga. Kini, sekitar 60% minyak mentah yang diimport China bersal dari Timur Tengah dan  angka ini sebelum ini diunjurkan akan meningkat kepada 75% pada tahun 2015. Minyak dari Teluk Parsi dan Afrika dihantar ke China melalui Selat Melaka (72%), Lombok atau Makassar.

8. Dianggarkan lebih 60,000 buah kapal berlayar melintasi selat ini pada setiap tahun dan putaran wang di selat ini pula ialah antara AS$84 bilion hingga AS$250 bilion setahun.

9. Dilihat daripada aspek ini, tidak hairanlah Pelabuhan Kelang sebelum ini berada pada kedudukan ke-13 pelabuhan kontena dunia dan berjaya menghubungkan Malaysia dengan lebih dari 500 pelabuhan di 120 buah negara di seluruh dunia sehingga berupaya mengendalikan lebih dari 49.3% daripada jumlah kendalian oleh pelabuhan-pelabuhan persekutuan di Semenanjung Malaysia pada tahun 2009.

10. Apa yang pasti ialah apabila Terusan Kra Isthmus benar-benar dibina ia bakal menghubungkan secara terus negara-negara seperti Jepun dan China dengan negara-negara Timur Tengah dan Afrika tanpa lagi melalui Selat Melaka, justeru bakal memberi kesan yang ketara kepada Pelabuhan Kelang dan ekonomi negara.

11. Persoalannya ialah jika berlaku, apakah persiapan negara dan usaha-usaha yang dilakukan Kerajaan dalam menghadapi perubahan laluan perdagangan antarabangsa ini? Projek ini tentu menguntungkan Thailand dan Cina terutamanya namun apakah pula kesannya kepada negara???

Sekian.

Tarikh : 18 Mei 2015 / 29 Rejab 1436H
__________

Lawati page facebook dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/drtakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

Saturday, 16 May 2015

Singgah di Surau Kg Orang Asal Lojing

Dato Dr Mohd Khairuddin at-Takiri singgah solat di surau perkampungan orang asal, Lojing dalam perjalanan pulang ke Kuala Nerus dari Ipoh

Dr Khairuddin at-Takiri di Lojing

Singgah sebentar di tepi highway Lojing untuk pulang ke Terengganu dari Ipoh seusai perasmian Muktamar Dewan Ulamak PAS Perak di KotaRaja