Monday, 8 December 2014

BIJAKSANAKAH KERAJAAN BN APABILA BERHARAP HARGA MINYAK DUNIA TURUN?

Kenyataan Media

BIJAKSANAKAH KERAJAAN BN APABILA BERHARAP HARGA MINYAK DUNIA TURUN?

Oleh :
YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
(Ahli Parlimen Kuala Nerus)

Ahad 7 Disember 2014 / 14 Safar 1436H

1. Kerajaan sebelum ini ketika memutuskan kaedah pengapungan terkawal harga minyak berdasarkan purata harga bulanan yang bersandarkan kepada harga pasaran semasa turut berkata bahawa keadaan itu mengajar rakyat supaya berdoa agar harga minyak turun. Itulah yang ditulis oleh seorang Menteri di dalam twitternya. Jelas beliau, caranya ialah dengan mengharapkan agar OPEC tidak mengurangkan pengeluaran minyak. Maka dengan itu, harga minyak akan jatuh. Jadi, kesannya ialah Kerajaan Malaysia boleh menurunkan harga RON95.

2. Saya merasakan inilah kenyataan paling tidak cerdik dikeluarkan oleh seorang Menteri. Sedarkah kita bahawa apabila harga minyak di pasaran dunia turun maka pendapatan negara daripada hasil minyak menerusi PETRONAS juga akan menurun. Inilah yang ditegaskan dan dijelaskan oleh CEO PETRONAS, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

3. Sepatutnya yang diajar ialah berdoa supaya harga minyak naik. Lalu Kerajaan mendapat hasil keuntungan berlipatkali ganda menerusi PETRONAS. Keuntungan itulah yang patut digunakan untuk menurunkan harga minyak bagi rakyat Malaysia menerusi pemberian subsidi. Sangat malanglah, apabila pada saat Kerajaan mendapat kemasukan hasil yang lumayan daripada hasil minyak, ia tidak digunakan sepenuhnya untuk membantu rakyat menikmati harga minyak yang rendah.

4. Malah, kebimbangan kepada hasil minyak yang akan habis dijadikan alasan untuk menarik subsidi minyak. Di samping alasan bahawa subsidi minyak sepatutnya digunakan secara lebih "bersasar" kononnya. Lalu sistem pengapungan harga minyak diperkenalkan. Kemudian menteri yang ‘bijaksana’ mengajar "harapnya harga minyak akan lebih murah (turun)".

5. Sedarkah Kerajaan bahawa minyak adalah nikmat hasil bumi yang diberikan oleh Allah. Nikmat hasil bumi dijanjikan oleh Allah akan terus dibuka dan dilimpahi sekiranya penduduk sesebuah negeri beriman dan bertaqwa sebagaimana firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 96.

6. Kerajaan yang beriman dengan Allah sepatutnya sentiasa berdoa agar nikmat minyak dilimpahi dan ditambah oleh Allah. Yakin bahawa nikmat yang disyukuri dengan dibelanjakan secara baik pasti akan ditambah.

لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
"Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahkan ke atas kamu nikmatKu, sebaliknya jika kamu kufur sesungguhnya azabKu sangat pedih.”
(Surah Ibrahim : 7)

7. Nikmat itu perlu digunakan sebaiknya untuk pembangunan rakyat. Apabila hasil bumi itu digunakan secara boros dan membazir atau ketirisan perbelanjaan di tempat yang tidak diperlukan maka ia akan ditarik oleh Allah. Penarikan nikmat itu berlaku tidak tunggu hasil bumi berkurang atau habis. Ia boleh berlaku menerusi penurunan harga yang memberi kesan kepada nilai hasil.

8. Hari ini Kerajaan menyebarluaskan kebimbangan hasil bumi minyak berkurang. Rakyat ditakut-takutkan. Kebimbangan Kerajaan kepada hasil minyak yang akan berkurang pengeluarannya dijadikan alasan oleh Kerajaan untuk memperluaskan sistem kutipan cukai. Kerana itu GST diperkenalkan. Alasannya ialah GST adalah sistem yang akan memperluaskan cakupan kutipan cukai. Hasil cukai akan bertambah kata Kerajaan. Dijangka Kerajaan akan berjaya mengutip sebanyak 20 bilion pada tahun 2015.

9. Minyak adalah hasil yang halal dikurniakan oleh Allah. Kerana bimbang hasil halal ini berkurang satu ketika nanti maka Kerajaan terlebih dahulu mencipta satu sumber hasil yang haram iaitu kutipan cukai GST yang dikenakan berdasarkan perbelanjaan rakyat.

10. Kerajaan sepatutnya perlu mengajak rakyat bersyukur dengan nikmat minyak kerana syukur menambahkan nikmat. Bukan sebaliknya iaitu dengan menakut-nakutkan rakyat dengan kebimbangan akan jadi miskin apabila hasil minyak dari perut bumi satu ketika nanti akan berkurang dan seterusnya habis. Mari kita beringat dengan peringatan Allah

الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالْفَحْشَاءِ وَاللَّهُ يَعِدُكُمْ مَغْفِرَةً مِنْهُ وَفَضْلًا وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

“Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji sedang Allah menjanjikan kepada kamu keampunan daripadaNya dan limpahan kurnia dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui.”
(Al-Baqarah : 268)

11. Inilah yang sedang dilakukan oleh Kerajaan hari ini. Kerajaan menakut-nakutkan rakyat bahawa negara akan miskin apabila hasil minyak berkurang. Rentetan itu Kerajaan memperkenalkan sistem cukai yang bercanggah dengan Islam dan haram iaitu GST.

12. Hari ini Kerajaan sudah merasai akibat daripada kekufuran dengan nikmat minyak iaitu harga minyak sedang turun. Menurut anggaran hasil Kerajaan pusat untuk tahun 2015, cukai pendapatan petroleum dikira berdasarkan harga minyak mentah, iaitu AS$110 setong bagi tahun 2014 dan AS$105 segelen bagi tahun 2015. Namun, harga minyak mentah telah turun sehingga mencecah AS$60 hingga AS$75 setong pada dua minggu terakhir ini.

13. Berita Harian bertarikh 4 November 2014 melaporkan bahawa RHB Research mengunjurkan bagi setiap penurunan AS$10 (RM33.17) setong dalam purata harga minyak mentah, hasil Kerajaan akan berkurangan sebanyak RM4 bilion.
Hasil minyak Kerajaan pula dijangka terjejas oleh harga minyak global yang lemah dan boleh turun kira-kira 15 peratus atau RM8.9 bilion, dengan mengandaikan harga minyak mentah Brent rendah pada AS$85 (RM282) setong berbanding unjuran Kerajaan pada AS$100 (RM332) setong. Untuk itu, hasil minyak Kerajaan diunjur jatuh kepada kira-kira RM59.1 bilion tahun depan atau 25.1 peratus daripada jumlah hasil Kerajaan, berbanding RM64.6 bilion atau 30 peratus daripada hasil Kerajaan tahun lalu.

14. Tidaklah ini satu kefakiran yang dibimbangkan! Namun kefakiran ini berlalu bukan menerusi pengurangan pengeluaran minyak Malaysia tetapi kerana kejatuhan harga minyak. Dan kejatuhan harga itulah yang didoakan oleh seorang Menteri Kerajaan dan diajar pula kepada rakyat untuk berdoa dengan doa bodoh seumpamanya.

15. Ironinya, awal Disember 2014 harga minyak mentah ialah AS$66.15 setong. Ertinya berdasarkan teori RHB Researach, Kerajaan akan kerugian hasil sebanyak 13bilion

16. Bayangkan Kerajaan mengharapkan penambahan hasil 20 Bilion bulan April 2015 daripada sumber GST yang haram. Namun, terlebih dahulu Allah menarik hampir 13 bilion hanya pada Disember 2014.

17. Sekali lagi saya menegaskan bahawa sistem percukai GST adalah haram kerana ia adalah cukai yang diambil berdasarkan perbelanjaan. Sedangkan cukai yang dibenarkan oleh Islam hendaklah diambil berasaskan pendapatan dengan pelbagai lagi syarat-syarat lain.

18. Ringkasnya, Kerajaan perlu menarik balik GST, mengembalikan subsidi minyak rakyat sebagai tambahan sistem pengapungan harga dan berdoa agar harga minyak kembali naik agar menghasilkan penambahan hasil dan keuntungan berganda kepada Kerajaan.

Sekian.

Sila lawati blog rasmi Ahli Parlimen Kuala Nerus di : www.drtakiri.blogspot.com

Thursday, 4 December 2014

Harga Apungan Petrol dan Penurunan Harga Minyak Dunia; Permulaan Krisis Ekonomi Negara?

Kenyataan Media

HARGA APUNGAN PETROL & PENURUNAN HARGA MINYAK DUNIA; PERMULAAN KRISIS EKONOMI NEGARA?

Oleh :
YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
(Ahli Parlimen Kuala Nerus)

Khamis 4 Disember 2014 / 11 Safar 1436H

1. Berikutan pengumuman oleh YB. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek pada 21 November lalu, bermula pada 1 Disember harga bahan api ditentukan mengikut kaedah pengapungan terkawal (managed float system).

2. Sekiranya dikira dari sudut cara penetapan harga semata-mata, saya masih berpendirian bahawa kaedah berdasarkan managed float system ini mesti dilaksanakan bersekali dengan pemberian subsidi sebagai satu hak yang patut dinikmati oleh rakyat hasil daripada keuntungan hasil bumi minyak negara. Ini sangat penting bagi memastikan rakyat tidak terbeban menguruskan perbelanjaan seharian mereka khususnya ketika harga minyak naik.

3. Bagi bulan Disember, Menteri mengumumkan bahawa harga runcit bagi RON97 – RM2.46 seliter; RON95 – RM2.26 seliter; dan diesel – RM2.23 seliter. Penentuan harga ini dibuat setelah meneliti perkembangan semasa harga komoditi ini di pasaran antarabangsa dan kadar pertukaran mata wang.

4. Jika dikekalkan subsidi 56 sen bagi RON95 seperti sebelum ini, nescaya pengguna dapat menikmati harga yang lebih murah iaitu serendah RM1.70 seliter dengan ingatan bahawa subsidi minyak adalah hak rakyat di semua peringkat hasil daripada keuntungan jualan minyak mentah negara.

5. Harga baru yang diumumkan ini memperlihatkan RON97 dan RON95 mengalami penurunan sebanyak 9 sen dan 4 sen masing-masing kesan daripada kejatuhan harga minyak global. Sehingga semalam, harga minyak mentah dunia sudah pun berada pada paras AS$69.98 setong sedangkan ia masih berada pada paras melebihi AS$100 setong pada Jun lalu. Ini menunjukkan kejatuhan harga yang amat ketara.

6. Kejatuhan harga yang mudah disimpulkan begini, ‘kerana terlalu banyak penawaran dan terlalu sedikit permintaan’, adalah berpunca kerana pengeluaran minyak di Amerika Syarikat, Canada dan Rusia meningkat dengan skala besar berikutan pembangunan teknologi yang pesat dalam bidang ini.

7. OPEC (Organization of the Petroleum Exporting Countries) pula memutuskan dalam mesyuaratnya pada minggu lalu berkeras untuk tidak mengurangkan penghasilan minyaknya. Alasannya ialah sebagai suatu strategi untuk melawan peningkatan penghasilan minyak AS yang lebih mahal kos pemprosesannya daripada menguasai pasaran. Pada waktu yang sama ini, permintaan di Jepun dan Eropah menurun; dan kecenderungan untuk mengeluarkan kenderaan cekap tenaga oleh pengusaha industri aotomotif semakin meningkat.

8. Jutaan pengguna kenderaan di negara ini yang melibatkan penggunaan tahunan dianggarkan berjumlah 15 bilion liter sememangnya bersyukur dengan penurunan harga minyak walaupun sedikit. Namun, berdasarkan harga minyak pada ketika ini dan mengikut kaedah automatic pricing mechanism, rakyat sepatutnya boleh menikmati harga yang lebih murah bagi RON95 iaitu  RM2.02 seliter, walaupun tanpa subsidi. Apatah lagi jika dengan tambahan subsidi.

9. Di saat ramai berdoa agar harga minyak turun termasuk Menteri kerajaan mengajar rakyat berdoa sebegitu, sisi lebih kritikal untuk diberi perhatian ialah kesan kejatuhan harga minyak global ini telah mengurangkan hasil pendapatan negara kita sebagai pengeluar dan pengeksport minyak.

10. PETRONAS pada tahun lalu menyumbang sehingga RM68 bilion iaitu 30.3% kepada pendapatan negara. Namun, pada minggu lalu, PETRONAS mengumumkan hanya mampu menyumbang kepada Kerajaan sebanyak RM43 bilion atau 18.3% sahaja kepada pendapatan negara jika harga minyak mentah kekal pada paras AS$75 setong.

11. Ertinya pendapatan negara bakal menyusut 25 bilion di saat kerajaan menjangkakan akan mendapat hasil daripada GST sebanyak 20 bilion.

12. Keadaan ini dijangka lebih teruk apabila diunjurkan harga setong minyak mentah akan mencecah ke paras AS$50 sehingga ke hujung tahun ini. Sekiranya ia berlaku, pendapatan negara hasil daripada PETRONAS dijangka susut sebanyak RM39.3 bilion berbanding pada tahun 2014.

13. Dengan trend urustadbir kewangan yang lemah dan tidak cekap oleh kerajaan Barisan Nasional; termasuklah belanjawan defisit 18 tahun berturut-turut, jumlah perbelanjaan pembangunan yang tersangat kecil berbanding perbelanjaan mengurus, hutang persekutuan yang menghampiri paras siling 55% kepada KDNK dan berlakunya peningkatan inflasi serta lebih parah lagi apabila berlakunya kebocoran dan ketirisan dalam pembangunan projek-projek yang dilaksanakan seperti yang didedahkan melalui Laporan Ketua Audit Negara, sewajarnya sekali Bajet 2015 yang telah dibentangkan di parlimen tempoh hari dikaji dan dinilai semula.

14. Persoalannya, dalam keadaan sedemikian, apakah jaminan Kerajaan bahawa penjimatan yang diperoleh dengan langkah yang dinamakan secara kosmetiknya "rasionalisasi subsidi" ini dapat disalurkan kepada rakyat yang berhak dan dimanfaatkan untuk pembangunan sektor-sektor strategik bagi memulihkan pendapatan negara, dan sejauh mana pula ia berupaya untuk mengekang inflasi daripada terus meningkat?

15. Tanpa simpanan kewangan yang mampan, pengurusan sumber yang berkesan, dan pembangunan yang berinovatif, apatah lagi jika Kerajaan tidak beramanah dan khianat terhadap khazanah negara dan hasil titik peluh rakyat, tidak mustahil kita bakal menghadapi zaman krisis ekonomi yang sangat menyukarkan. Kisah Nabi Yusof a.s. harus dijadikan pengajaran dan teladan oleh kita semua, khususnya pemimpin-pemimpin negara.

Wallahua’lam.

Sila lawati blog rasmi Ahli Parlimen Kuala Nerus di : www.drtakiri.blogspot.com

Sunday, 30 November 2014

Nasihat Agama & Wasiat Iman Ahad 7 Safar 1436 H / 30 Nov 2014 Berjuang Menobatkan Pemerintahan Islam

Nasihat Agama & Wasiat Iman
Ahad 7 Safar 1436 H /  30 Nov 2014

Berjuang Menobatkan Pemerintahan Islam

1. Perjuangan Islam ialah untuk menggantikan sistem pemerintahan Jahiliyah dengan sistem pemerintahan Islam.

2. Rib'i ibnu Aamir dalam misi pembukaan kuasa dan perluasan dakwah Islam berkata di hadapan Rustom pemimpin besar Rom menegaskan 3 misi:

"Allah mengutuskan kami untuk kami keluarkan sesiapa yang Allah kehendaki daripada perhambaan kepada manusia kepada perhambaan kepada Tuhan Rabb Pencipta, Pemilik dan Pengurus manusia, daripada kezaliman pelbagai anutan kepercayaan kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan Akhirat".

3. Keadilan akan dikecapi oleh umat manusia apabila sistem politik pentadbiran, ekonomi dan sosial Islam mendasari sesebuah pemerintahan. Sistem Islam ini pula diterajui oleh jiwa-jiwa yang mempunyai aqidah dosa dan pahala di samping mempunyai keperibadian baik dengan akhlak mulia Islam berhadapan dengan manusia.

4. Kepincangan pemerintahan, kebocoran pengurusan kewangan dan pembaziran, kronisma, nepotisma, rasuah, penguasaan ekonomi oleh segolongan elit, pengurusan ekonomi yang gagal, kerosakan alam sekitar, kepincangan akhlak, peningkatan jenayah harta dan kemanusiaan dan kerosakan pemikiran adalah simpton dan penyakit-penyakit yang bakal dibenih dan dilahirkan sama ada cepat atau lambat oleh sistem pemerintahan Jahiliyah tidak berasaskan Islam.

5. Allah berfirman

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ

Maksudnya: "Sememangnya Kami bangkitkankepada setiap ummat itu seorang Rasul (untuk menyeru) hendaklah kamu semua mengabdikan diri kepada Allah dan jauhilah Taghut. Maka ada kalangan diber hidayah oleh Allah dan ada pula yang tetap atas dirinya kesesatan".
Surah al-Nahl ayat 36

Taghut sebagaimana yang ditafsirkan oleh para Sarjana Tafsir ialah sebarang sembahan dan  orang yang diberikan ketaatan pengabdian diri kepadanya selain daripada Allah dan juga pihak yang menyeru ke arah kesesatan dan yang berlawanan dengan Islam.

6. Tugas kita ialah menyeru manusia meninggalkan Taghut yang bercanggah dengan Islam.

7. Moga kita terus istiqamah memperjuangkan sebuah pemerintahan Islam yang pasti adil dan berkebajikan untuk semua.

Nukilan al-Faqiiru ilaLlah;

Ust Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
www.drtakiri.blogspot.com

Friday, 28 November 2014

Surat Terbuka kepada PM Isu Rampasan Tanah Banggol Donas

Surat Terbuka Kepada YAB Perdana Menteri

Isu Banggol Donas, Dun Teluk Pasu, Parlimen Kuala Nerus

Daripada,

Ust Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Kepada,

YAB Dato Sri Mohd Najib bin Tun Razak

Perdana Menteri Malaysia.


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.


Dato’ Sri,

Per: ISU PENGAMBILAN TANAH BANGGOL DONAS SATU KEZALIMAN YANG WAJAR DIHENTIKAN

Perkara di atas dengan segala hormatnya dirujuk untuk perhatian segera dan tindakan YAB Dato’ Sri selaku Perdana Menteri.

Untuk makluman Dato’ Sri, isu pengambilan tanah Banggol Donas sudah berpanjangan untuk tempoh yang panjang iaitu hampir 7 tahun sejak 2008. Kampung Banggol Donas terletak di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu, Parlimen Kuala Nerus, Negeri Terengganu.

Pengambilan tanah mereka dilakukan secara tidak berperaturan dan menzalimi hak milik rakyat dan kehormatan mereka yang ditegaskan oleh Islam melibatkan tanah.

Pihak pemerintah muslim perlu merenung kes pengambilan tanah yang pernah berlaku di zaman Umar bin al-Khattab menjadi Khalifah sebagaimana diriwayatkan dalam Musannaf Abdul Razzak daripada Sa'iid bin Musayyab.

Umar radiyallahu anhu berhasrat mengambil tanah milik bapa saudara Nabi saw iaitu Abbas bin Abdul Mutalib radiyallahu anhu untuk pembesaran Masjid Nabawi dengan memberi pilihan sama ada dibayar atas nama jual beli atau dengan dihadiahkan oleh Abbas namun Abbas radiyallahu tidak bersetuju.

Pertikaian ini dipersetujui untuk dibawa ke perbicaraan dengan Ubai bin Ka'ab radiyallahu anhu menjadi Hakim. Akhirnya keputusan dibuat dengan merujuk kepada hadis Nabi saw menceritakan kes Nabi Dawud alaihissalam yang ingin membesarkan Masjid Aqsa. Keputusannya ialah Abbas tidak boleh dikeluarkan daripada tanah miliknya melainkan dengan keredhaannya.

Setelah memenangi kes, Abbas secara sukarela mewakafkan tanahnya untuk pembinaan masjid.

Kisah ini perlu direnung supaya kes-kes pengambilan tanah rakyat adalah sebenar-benar bertujuan pembangunan yang mendesak tanpa alternative dan menurut peraturan serta tidak menzalimi hak rakyat serta meraikan kerelaan para pemiliknya sebagaimana dibahas oleh para Fuqaha Islam.

Fakta kes kezaliman Banggol Donas adalah seperti berikut:

PROJEK PEMBINAAN JALAN SUSUR LEBUHRAYA PANTAI TIMUR

1.      Kerajaan Negeri Terengganu ingin membina jalan susur Lebuhraya Pantai Timur 2 dari Gemuruh ke Kuala Terengganu dengan pembinaan jalan susur Kg Jeram ke Kg Bukit Guntong sepanjang 7.6 KM, termasuk 2 kilometer naik taraf Jalan Persekutuan FT03. Fasa 1 dari Kg.Banggol Binjai ke Jeram Tokkong sejauh 2 kilometer. Fasa 2 dari Kg. Jeram ke Kg. Banggol Tuan Muda sejauh 3.6 kilometer. Kedua-dua fasa dihubungkan dengan sebuah jambatan Sungai Nerus sepanjang 200 meter.

2.      Kos projek sebagaimana laporan akhbar Sinar bertarikh 25hb. Jan 2010 bernilai RM226 juta. Ia bermakna 1KM bernilai RM30 juta, mungkin menjadikannya sebuah projek jalan antara yang termahal dibina di negeri Terengganu, lebih mahal dari LPT2 bagi satu kilometre.

3.      Projek ini dibina secara runding terus menggunakan DANA KHAS negeri Terengganu oleh  MZ Hakujaya Sdn Bhd.

4.      Tempoh pembinaannya selama 3 tahun bermula Jan 2010-Dis 2012.


MANGSA KEZALIMAN PROJEK

1.     Projek ini memangsakan tanah rumah penduduk di Kg Banggol Donas seramai 22 keluarga yang diambil secara paksa dan tidak berperaturan beralaskan Kanun Tanah Negara.

2.     Penduduk mempunyai geran tanah namun akhirnya dimaklumkan mereka menduduki tanah kerajaan. ‘Borang K’ dikeluarkan menyatakan tanah mereka telah menjadi milik kerajaan sedangkan pampasan belum dibayar.

3.     Penduduk semenjak 2008 telah mencadangkan pembinaannya mengambil tanah sekitar yang tidak berpenghuni, namun pandangan itu diabaikan dan tidak dihiraukan oleh pihak kerajaan negeri.

4.     Ada laluan alternative yang boleh dibina tanpa menyentuh kampung ini dan melenyapkan hak milik penduduknya namun pihak kerajaan negeri Terengganu seperti tidak mahu mengubahnya.


KENAPA PROJEK INI DIBANTAH?

1.      Kerajaan Mempunyai Alternatif Untuk Tidak mengambil Tanah Penduduk Banggol Donas. Motif Pengambilan Tanah dipertikai.

Pembinaan Fasa 2 dari Kg. Jeram ke Kg. Banggol Tuan Muda melibatkan pengambilam tanah 24 buah rumah kediaman di kg. Banggol Donas boleh dielak sekiranya jajaran dari kg. Banggol Tuan Muda diluruskan melalui tanah lapang milik sebuah syarikat korporat di tepi kampung. Kenapa jajaran dari kg. Banggol Tuan Muda bila tiba dihadapan kg. Banggol Donas dilencong ke kiri mengakibatkan lenyapnya 22 buah rumah kediaman dan melencong pula ke kanan menuju ke kg. Jeram setelah melepasi kampung Banggol Donas. Keadaan ini menimbulkan persoalan besar.


2.      Tidak Mematuhi Akta Pengambilan Tanah 1960 (akta 486) Penduduk dinafikan hak untuk diberitahu. Motifnya juga dipertikai.


a.      Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011, pengambilan tanah bagi projek pembinaan jalan dan jambatan dari Jeram Tok Kong ke Bukit Guntong (Fasa I) dan dari Kampung Jeram ke Kampung Banggol Tuan Muda, Mukim Manir (Fasa II) yang melibatkan 76 lot tanah bagi fasa 1 dan 184 lot tanah bagi fasa 11 TIDAK DIWARTAKAN di bawah seksyen 4, Akta Pengambilan Tanah (APT ) 1960 terlebih dahulu.


b.      Pemilik tanah tidak pernah diberitahu bahawa tanah mereka akan di ambil oleh kerajaan. Seksyen 4(1) APT 1960 menyatakan.” ....Apabila Pihak Berkuasa Negeri berpuashati bahawa mana-mana tanah yang diperlukan bagi apa-apa maksud yang disebut dalam seksyen 3 maka suatu pemberitahuan dalam Borang A hendaklah disiarkan dalam warta.”


Apabila notis dalam Borang A tidak disampaikan kepada pemilik tanah seperti yang dikehendaki oleh Seksyen 4(1), ianya tidak ada ketelusan dan menggambarkan ada perkara yang hendak disembunyikan daripada diketahui pemilik tanah dengan niat yang tidak baik.


c.       Pembinaan jalan susur ini dimulakan sebelum tanah milik diwartakan di bawah seksyen 8 APT 1960. Pencerobohan ini seolah-olah direstui apabila EXCO JKR membuat lawatan tapak pembinaan pada 3hb. Ogos 2010 sebelum tanah tersebut diwartakan pada 28hb. Oktober 2010.


d.      Pejabat Tanah bertindak melanggar seksyen 16 APT 1960 “yang menghendaki menyediakan dan menyampaikan suatu notis dalam Borang H kepada setiap orang yang berkepentingan pada tanah itu “. Pejabat tanah tidak menghantar Borang H tetapi hanya mengeluarkan notis yang tertulis SALURAN 2 meminta menghadiri satu majlis penyampaian cek pampasan. Pejabat Tanah juga bertindak melanggar peraturan apabila menghantar notis (bukan borang H) kepada pemilik tanah untuk hadir mengambil cek pampasan di pejabat tanpa menyatakan nilai pampasan . Sepatutnya cek bayaran disediakan setelah pemilik tanah bersetuju dengan award dalam Borang H atau pun setelah keputusan perbicaraan mahkamah sekiranya pemilik tanah memilih untuk membantah amaun yang ditawarkan dalam Borang H.


Hal ini adalah satu pencerobohan dan pemerkosaan serta kezaliman terhadap hak pemilik membantah amaun pampasan. Juga hak pemilik tanah yang dijamin di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 13(ii) ....Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi”.


Tindakan Penduduk


Jawatankuasa Bertindak yang dibentuk oleh penduduk kampung telah mengambil tindakan berikut:


1.      Pada 31hb. Jan. 2008; menghantar surat bantahan pertama kepada Pengarah JKR Negeri dan salinan kepada Menteri Besar Terengganu. Susulan itu suatu perjumpaan diadakan dengan Pengarah JKR pada 11hb. Feb 2008 yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus ketika itu.



2.      Surat-surat bantahan juga telah dihantar kepada Menteri Besar, Perdana Menteri, Pihak Berkuasa Negeri, Ketua Pengarah JKR, Menteri Kerja Raya, Pejabat Tanah Kuala Terengganu dan konsultan seawal tahun-tahun 2008, 2009 dan 2010. Kesemua surat tersebut tidak mendapat respons kecuali surat kepada Perdana Menteri dan surat kepada Ketua Pengarah JKR.


3.      Pada 8hb Oktober 2010; menghantar Memorandum kepada SUHAKAM. Susulan itu pada  11hb. Okt 2010 SUHAKAM menulis surat kepada kerajaan Negeri meminta supaya kerja-kerja pembinaan diberhentikan buat sementara, berunding dengan pemilik tanah berhubung dengan bantahan jajaran dan meminta Pihak Berkuasa mematuhi procedur Akta Pengambilan Tanah 1960. Namun, permintaan SUHAKAM tidak dipedulikan. Dialog dan perundingan tidak diadakan seolah-olah penduduk kampung menduduki tanah haram.


4.      Pada 11hb. Mei 2011, menghantar MEMORANDUM kepada Menteri Besar Terengganu meminta jajaran diubah. Respon beliau ialah jalan tidak boleh di ubah kerana jalan sudah buat.


5.      Pada 12hb. Jun 2011, membuat lapuran ke SPRM Kuala Terengganu. Penduduk sehingga hari ini masih menunggu hasil daripada lapuran salah guna kuasa dan tidak mematuhi procedure dalam pelaksanaan projek.


Cadangan Penyelesaian oleh Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung

1. Jajaran di kawasan penempatan di kampung Banggol Donas dikaji semula, diubah dan “re- align”untuk menyelamatkan kawasan penempatan Melayu.

2. Memberhentikan kerja-kerja pembinaan dalam kawasan penempatan sehinggalah kajian semula jajaran selesai.

3. Pihak Berkuasa Negeri mengadakan dialog terbuka dengan penduduk kampung Banggol Donas.

4. Pelaksanaan projek ini hendaklah mematuhi kesemua Procedure Akta Pangambilan Tanah 1960 untuk melindungi kepentingan pemilik tanah berdasarkan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.



Saya mengharapkan isu ini diambil perhatian besar dan segera oleh YAB Dato Sri demi menegakkan keadilan bagi rakyat sebagaimana dituntut oleh Islam kepada para pemerintah.



Yang menjalankan tugas,

Ust Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Jumaat, 5 safar 1436 H / 28 Nov 2014

Wednesday, 19 November 2014

Ayah Moyang Saya Che Long bin Yusof Tokoh Ukir Melayu

Ukiran melayu traditional adalah antara warisan keluarga saya di Besut yang bermula dengan ayah kepada moyang saya bernama Che Long bin Yusof. Ilmunya diwarisi oleh anak beliau Che Wan Che Namat iaitu moyang saya yang mahir membuat ukiran khususnya pwrahu kolek. Antara anak-anak Che Long atau adik beradik moyang saya yang masih meneruskan tradisi warisan ini ialah Che Latif bin Che Long berpengkalan di Pasir Tumbuh, Che Abdul Rahman bin Che Long di Besut, Che Nor bin Che Long yang menjadi pengukir diraja di istana Sultan Brunei dan Che Lah di Besut yang mahir membuat senjata keris dan golok. Antara cucu Che Long menerusi moyang saya Che Wan yang mewarisi kerja ini ialah Jusoh bin Awang

Friday, 14 November 2014

Antara INTIPATI UCAPAN PERBAHASAN Rang Undang-undang Perbekalan 2015 (siri 1) YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Antara INTIPATI UCAPAN PERBAHASAN
Rang Undang-undang Perbekalan 2015 (siri 1)
YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

BAJET 2015
Prestasi Ekonomi Negara

1. Rang Undang-undang Perbekalan yang dipanggil ‘BAJET’ adalah instrumen penting Kerajaan dalam memperincikan unjuran pendapatan dan perbelanjaan bagi sesebuah tahun mendatang.

2. Pendapataan Kerajaan yang diperoleh melalui hasil cukai, bukan cukai dan pinjaman; dan perbelanjaan untuk pengurusan, pembangunan dan pembayaran hutang; mestilah ke arah mencapai objektif utama dasar ekonomi iaitu untuk memacu pertumbuhan (growth), mengawal kenaikan harga (inflation) dan mengurangkan kadar pengangguran (unemployment).

3. Sepintas lalu, Bajet 2015 memperuntukkan sehingga 82% (RM223 bilion) untuk tujuan mengurus dan hanya berbaki 18% (RM49 bilion) untuk tujuan pembangunan. Pendapatan yang akan dipungut berjumlah RM235 bilion pula adalah sebahagian besarnya bersumberkan daripada hasil cukai iaitu sebanyak 78% (RM183 bilion) dan hanya 22% (RM52 bilion) dijangka diperoleh daripada hasil bukan cukai.

4. Bagi tahun 2014, hutang Kerajaan dicatatkan pada kadar RM569 bilion iaitu 53% kepada KDNK, menjadikannya menghampiri had siling 55% yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Jika dicampur dengan jumlah tanggungan liabiliti luar jangka (contingent liability), angka hutang ini sebenarnya adalah jauh lebih besar.

5. Bagi tahun 2015 pula, inflasi diunjurkan pada kadar 4.0% hingga 5.0% berbanding hanya 3.0% hingga 4.0% pada tahun 2014. Fenomena kenaikan harga ini adalah jelas kesan daripada langkah rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan GST oleh Kerajaan.

6. Oleh itu, tidak hairanlah apabila Kerajaan mengumumkan pelbagai imbuhan dalam bentuk pemberian tunai kepada rakyat kebanyakan termasuk pemberian BR1M, boucer buku dan pengurangan kadar cukai pendapatan kononnya sebagai “membalas jasa” rakyat di atas kesanggupan turut serta menanggung beban kewangan Kerajaan. Hakikatnya, dengan pemberian seumpama itu, secara senyap rakyat dipaksa diam daripada mengeluh dengan rasa terbeban akibat menanggung peningkatan kos sara hidup.

GOOD GOVERNANCE
Model Baldatun Tayyibah wa Robbun Ghafur

7. Allah menggambarkan kemakmuran sebuah negeri yang bernama Saba’ dengan terminologi Baldatun Tayyibah. Negeri ini pernah mencapai kemakmurannya ketika penduduknya beriman kepada Allah, tetapi musnah binasa justeru berpaling daripada perintahNya. Menggambarkan hal itu, Allah s.w.t. berfirman :

Maksudnya : Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu; dua kumpulan kebua (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka) : “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) tuhan yang maha pengampun!.”

( Sura Saba’ : 15 )

8. Kalimah ‘Baldatun Tayyibah’ ini dapatlah kita ertikan sebagai sebuah negeri yang berasaskan kepada good governance yang melahirkan civil society dalam istilah politik moden berdasarkan ciri-ciri yang digariskan oleh at-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini; negara yang mendapat keampunan Allah justeru rakyatnya yang diberikan kemakmuran lantaran ketaatan mereka kepada perintah Allah dan pencegahan diri mereka daripada maksiat.

9. Sesebuah kerajaan tidak akan mencapai piawai “pemerintah yang baik” (good governance) jika amalan baik dalam pemerintahan (al-ma’ruf) dan penolakan terhadap amalan buruk (al-munkar) tidak menjadi polisi utamanya. Antara amalan baik dalam pemerintahan termasuklah keadilan, ketelusan, kejujuran dan kebertanggungjawaban. Manakala amalan buruk yang patut ditolak justeru ia adalah munkar termasuklah kezaliman, kedustaan, ketirisan, dan kekhianatan. Penyalahgunaan kuasa dan rasuah adalah termasuk dalam kezaliman dan kekhianatan.

10. Dalam hal ini, United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP) menggariskan 8 elemen good governance iaitu;

Good governance has 8 major characteristics. It is participatory, consensus oriented, accountable, transparent, responsive, effective and efficient, equitable and inclusive and follows the rule of law. It assures that coruption is minimized, the view of minorities are taken into account and that the voices of the most vulnerable in society are heard in decision-making. It is also responsive to the present and future needs of society.

TERJEMAHAN :
Urus tadbir yang baik itu mempunyai 8 ciri-ciri utama. Ia merupakan penyertaan, konsensus berorientasi, kebertanggungjawaban, telus, responsif, berkesan dan cekap, adil dan inklusif, dan mengikut peraturan undang-undang. Ia menjamin bahawa rasuah diminimumkan, pandangan golongan minoriti diambil kira dan suara terbanyak dalam masyarakat didengar dalam membuat keputusan. Ia juga responsif kepeda keperluan semasa dan masa hadapan masyarakat.

11. Jika kesemua elemen ini disatukan dengan pancaran wahyu Ilahi dan sunnah Nabawi, sudah tentu negara maju berpijak pada baldatun tayyibah wa rabbun ghafur akan terjelma dan kemakmurannya akan lebih terasa. Malangnya, kita langsung tidak punya apa-apa. Baldatun Tayyibah tidak, malah wa rabbun ghafur jauh sekali. Dengan pola rasuah yang memalukan, kezaliman yang tersohor, penindasan hak asasi yang tidak selesai, kebebasan suara yang tersekat, kedaulatan undang-undang yang menindas, sentimen politik kepuakan yang ekstrim, akhlak buruk yang membarah dan banyak lagi wajah hodoh yang tidak tergambarkan.

12. Maka tidak peliklah, bajet dengan peruntukan bernilai berapa bilion ringgit sekalipun dan dengan unjuran ekonomi yang lebih cerah, masih perlu kepada rangsangan dan dana tambahan. Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan pada setiap suku tahun memaparkan secara jelas dan konkrit bahawa ketirisan dan pembaziran berlaku melibatkan jumlah yang sangat besar. Hal ini sungguh mendukacitakan kita semua.

INFLASI
Cegah Sebelum Parah

13. Sebagaimana semua maklum bahawa inflasi ditakrifkan sebagai peningkatan beransur-ansur dalam paras harga barangan dan perkhidmatan dan ia diukur sebagai peratusan tahunan. Mudahnya, sekiranya inflasi menaik, setiap ringgit yang kita miliki akan membeli peratus yang lebih kecil bagi suatu barangan dan perkhidmatan. Dengan kata lain, terdapat kemerosotan dalam kuasa membeli kita.

14. Inflasi boleh dianggap sebagai perkembangan ekonomi biasa selagi peratusan tahunan masih rendah. Namun begitu, inflasi boleh menyebabkan krisis apabila peratusan itu meningkat lebih tinggi daripada kadar yang telah ditetapkan.

15. Indeks Harga Penggunan (IHP) yang digunakan untuk menentukan kadar inflasi, mengukur harga purata lebih kurang 430 item barangan dan perkhidmatan yang biasanya digunakan oleh pengguna dengan membandingkan purata harga barangan dan perkhidmatan pada tahun asas dengan purata harga bagi tahun semasa.

16. Dengan kaedah pengiraan sebegini, oleh sebab itulah kadar inflasi yang ditetapkan atau diunjurkan oleh Kerajaan kelihatan “cantik” sedangkan rakyat jelata keperitan dengan peningkatan harga yang melampau. Harga purata barangan dan perkhidmatan yang digunakan oleh para pengguna ini perlu disemak kerana penentuan barangan dan perkhidmatan tersebut sebahagiannya adalah tidak digunapakai oleh kebanyakan rakyat.

17. Kadar inflasi yang tinggi akan meningkatkan kos hidup rakyat dan ini akan mengurangkan kualiti hidup mereka. Seperti terpaksa kerja lebih masa dan membuat kerja sampingan. Tekanan memenuhi keperluan hidup ini pula mendedahkan rakyat kepada masalah sosial seperti rasuah, penyelewangan, penipuan dan pengabaian tangungjawab.

18. Bagi individu pula, inflasi akan mengurangkan pendapatan benar mereka. Keadaan ini menjadi serius jika kadar kenaikan harga atau kadar inflasi jauh lebih tinggi daripada kadar kenaikan pendapatan wang individu berkenaan. Pengurangan pendapatan benar ini akan berlaku dengan ketara khususnya kepada pekerja-pekerja yang berpendapatan tetap.

19. Bagi mereka yang menabung, yang menerima pencen, yang memiliki bon dan polisi insuran, nilai sebenar (dalarn ertikata kuasabeli wang) tabungan, nilai pencen, nilai bon atau polisi insuran mereka merosot. Ini kerana sewaktu inflasi, kadar faedah benar adalah rendah dan mungkin negatif berbanding dengan keadaan tanpa inflasi.

20. Inflasi juga akan memberi kesan kepada pelaburan dalam negara. Dengan meningkatnya paras harga, pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang dieksport boleh kehilangan daya saing. Dengan kehilangan daya saing ini, pendapatan eksport akan menurun dan ini akan mengurangkan pelaburan dalam industriindustri berkenaan.

21. Bagi membendung inflasi ini daripada berkembang, Kerajaan perlu serius menangani monopoli dengan mewujudkan persaingan yang lebih sihat antara industri untuk menghasilkan produktiviti yang tinggi, permodenan teknologi dan daya saing industri dari segi harga produk.

22. Seterusnya, Kerajaan juga perlu memfokuskan untuk memperbalki sistem pengangkutan awam dengan rancangan gabungan sistem pengangkutan yang teratur dan diurustadbir oleh Kerajaan sendiri seperti di kebanyakan negara Eropah.

23. Mengenai makanan pula, Kerajaan perlu menggalakkan peningkatan kapasiti pengeluaran. Kapasiti pengeluaran makanan agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Pertanian, Kerajaan-kerajaan Negeri, Lembaga Kemajuan lkan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan badan-badan berkaitan diberi galakan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan.

24. Secara kesimpulannya, aktiviti ekonomi yang mampu mewujudkan keseimbangan dalam sistem sosioekonomi akan menghindarkan inflasi berlaku dalam negara. Islam mengajar masyarakatnya tidak semata-mata melayani kehendak-kehendak manusia yang tidak terbatas, namun mengseimbangkan kehendak material dan spritiual manusia secara adil dengan menunaikan kewajiban yang ditetapkan oleh syariat seperti berzakat dengan kadar yang ditetapkan oleh Allah s.w.t.. dan bersedekah. Ia akan meningkatkan ekonomi ummah itu sendiri. Sekiranya berlaku kemelesetan ekonomi, masyarakat Islam tetap diwajibkan berzakat dengan tidak dikurangi sedikitpun kadarnya. Sedekah pula akan mengimbangi keperluan rakyat miskin. Ini akan dapat mengukuhkan kembali kedudukan ekonomi negara.


Perkukuhkan Institusi Kekeluargaan Bagi Menangani Tahap Psikiatri dan Kesihatan Mental Membimbangkan

Perkukuhkan Institusi Kekeluargaan Bagi Menangani Tahap Psikiatri dan Kesihatan Mental Membimbangkan

1.Dalam buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2015, ada dinyatakan dalam Prestasi Aktiviti bahawa bilangan pesakit luar (baru) pada 2013 ialah 35,939 dan secara anggarannya meningkat kepada 38,000 pada 2014 dan 40,000 pada 2015.

2.Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Tahun 2011 pula, dinyatakan kira-kira 20% kanak-kanak di Malaysia dilaporkan mengalami masalah kesihatan mental. Jumlah tersebut bersamaan dengan seorang dalam setiap lima orang kanak-kanak di Malaysia mengalami penyakit mental seperti kemurungan, ketagihan internet, gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif, autisme dan lain-lain.

3.Menurut kajian oleh pensyarah Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, pelbagai faktor dikesan yang menyebabkan berlakunya masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan kebanyakannya bermula dari rumah kerana sifat ibu bapa.

4.Keadaan ini adalah berpunca daripada hubungan antara ibu bapa dan anak-anak yang semakin berkurangan kerana terlalu sibuk dan menyerahkan tanggungjawab menjaga anak-anak kepada pembantu rumah dan penjaga. Ini merupakan antara penyumbang besar kepada masalah kesihatan mental kanak-kanak.

5.Sepatutnya, kanak-kanak di peringkat awal usia perlu menerima layanan emosi dan fizikal yang mencukupi dan sepatutnya, supaya dapat membentuk keyakinan diri.
Seorang Arab Badawi bernama Aqra' bin Haabis pernah melahirkan keheranannya apabila melihat Nabi saw mengucup cucunya bernama Hasan. Beliau menyatakan; saya mempunyai 10 orang anak. Tak ada seorang pun saya kucup. Baginda saw lantas memberi ingatan:

من لا يَرحم، لا يُرحم

Maksudnya: "sesiapa yang tidak mengasihani dia tidak akan dikasihani" (Hadis Bukhari dan Muslim

Kucupan adalah satu contoh layanan emosi kasih sayang kepada anak-anak yang boleh menangani masalah mental mereka.

6. Ibu bapa perlu mempunyai kemahiran keibubapaan mengikut tahap umur anak. Bermanja adalah pendidikan pada usia bawah 7 tahun. Memberi adab dan hukuman pengajaran adalah sebahagian pendidikan pada usia bawah 14 tahun. Pada zaman sekarang, ibu bapa juga perlu menjadi rakan baik anak-anak agar apa saja masalah atau tekanan dapat disalurkan dengan sebaik-baiknya khususnya pada usia 14 hingga 21 tahun

Sarjana Islam silam menegaskan konsep pendidikan "bermanjalah dengan mereka pada usia 7 tahun pertama, berilah adab dan hukuman pengajaran pada usia 7 tahun kedua dan bersahabatlah dengan mereka pada usia 7 tahun ketiga.

6.Suatu hal lagi yang tidak dapat dinafikan ialah sifat ibu bapa zaman sekarang yang suka mengambil jalan mudah untuk menguruskan emosi anak-anak dengan memberikan gajet elektronik seperti ‘tab’ bagi menenangkan mereka juga dikaji sebagai antara punca gangguan kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak. Maka pendekatan itu perlu dikaji segera.

7. Saya menyarankan institusi keluarga berkualiti sebagai satu penyelesaian jangka masa panjang untuk masalah kesihatan mental ini. Ia perlu menjadi sebahagian agenda utama kerajaan untuk 2015.

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Rabu 8 pm; 12 November 2014 / 19 Muharram 1436 H

Hiwar Siyasi di Pasir Gudang

Alhamdulillah Program Hiwar Siyasi anjuran Lajnah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat berjaya mencapai sasaran

Sunday, 9 November 2014

Penghakiman Mahkamah Rayuan Memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 Tidak Berperlembagaan Satu Cabaran Terhadap Kedaulatan Perundangan Islam

Kenyataan Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

Penghakiman Mahkamah Rayuan  Memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992  Tidak Berperlembagaan Satu Cabaran Terhadap Kedaulatan Perundangan Islam

1.  Keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah ( Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak berperlembagaan pada 7 November 2014 menjadi satu cabaran terhadap kedudukan undang-undang Islam di negara ini.

2. Ia rentetan kes 3 tiga lelaki Islam dituduh di Mahkamah Syariah Negeri Sembilan di bawah seksyen 66 tersebut kerana memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam lalu membawanya ke Mahkamah Sivil bagi memohon perisytiharan bahawa seksyen tersebut tidak berperlembagaan.

3. Seksyen 66 tersebut adalah seperti berikut:
“Seksyen 66. Lelaki berlagak seperti perempuan.

Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”

4. Penghakiman ini menimbulkan persoalan sejauh mana kedudukan Islam di dalam negara ini terpelihara dan berdaulat sedangkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menegaskan Islam sebagai agama Persekutuan.

5. Peruntukan Islam agama Persekutuan tersebut tidak harus ditafsir menurut kacamata penjajah yang mentafsirkan Islam hanya sebagai amalan upacara keagamaan semata-mata tetapi mesti ditafsirkan sebagai Islam sebagai cara hidup dengan segala perundangannya adalah rujukan tertinggi negara ini dan mana-mana undang-undang yang berlawanan adalah terbatal.

6. Juga menimbulkan persoalan keabsahan dan kedaulatan undang-undang Syariah yang digubal di peringkat negeri dengan kuasa yang diperuntukkan oleh Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

7. Keputusan Mahkamah Rayuan ini juga dilihat tidak selaras dengan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa Mahkamah Tinggi Sivil tidaklah boleh mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Ia telah diperhalusi oleh Hakim Tan Sri Harun Hashim dalam kes Mohammed Habibullah bin Mahmood lwn Faridah binti Dato’ Talib [1992] 2 MLJ 793.

8. Implikasi besar hasil keputusan itu ialah
a. Ia menjadi kes rujukan di Mahkamah pada masa depan yang menggugat keabsahan undang-undang Syariah.

b. Membuka ruang untuk lebih banyak pihak tampil mempertikaikan keabsahan undang-undang Syariah yang digubal di peringkat negeri.

c. Membuka ruang untuk golongan yang melakukan amalan bercanggah dengan Islam berpesta kerana merasakan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

9. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menuntut Kerajaan Negeri Sembilan secara khusus menerusi Exco Agama dan Majlis Agama Islam Negeri mengambil proses perundangan yang wajar bersifat segera bagi menangani isu ini.

10. DUPP juga menuntut tindakan segera menurut lunas perundangan oleh pihak berwajib yang lain bagi menangani isu ini dengan penuh keprihatinan bermula dengan Kerajaan Persekutuan menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan JAKIM serta Exco-exco Agama Negeri dan Majlis-majlis Agama Islam Negeri selaku penasihat dalam hal ehwal agama Islam kepada Sultan/ Raja/ Yamtuan negeri masing-masing dan YDPA bagi negeri yang tidak mempunyai Raja.

11. Para pengamal undang-undang beragama Islam juga perlu segera bangkit memanfaatkan kemampuan ilmu dan kemahiran guaman mereka di bidang ini bagi membantu pihak berwajib memastikan kedaulatan undang-undang Islam di negara ini terpelihara. Ia merupakan satu jihad semasa pada hari ini.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

Ahad 16 Muharram 1436 H / 9hb Nov 2014

SISTER IN ISLAM DALAM MUKTAMAR PAS

"SISTERS IN ISLAM" DAN "ISLAM LIBERAL" DI DALAM MUKTAMAR PAS

�� Berdasarkan kepada rekod parti, istilah-istilah “Sisters In Islam” dan “Islam Liberal” pernah muncul sebagai bahan perbincangan di dalam Muktamar-Muktamar Tahunan PAS pada tahun-tahun 2005, 2006, 2007 dan 2009.

1. ⛔️ Kali pertama istilah-istilah ini muncul adalah di dalam satu ketetapan yang telah diluluskan secara sebulat suara oleh para perwakilan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-51 di Dewan Besar Pusat Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 3, 4 dan 5 Jun 2005.

Ketetapan ini adalah berbunyi:

✅ Menyedari bahawa Islam Hadhari yang dikemukakan oleh UMNO adalah satu bentuk agama baru yang mementingkan pembangunan keduniaan semata-mata dan menolak kesyumulan Islam;
Menyedari wujudnya anasir-anasir baru kesan daripada Islam Hadhari seperti pemikiran Islam liberal, penolakan terhadap sistem akhlak Islam, kemunculan gerakan-gerakan anti-Islam seperti Sisters In Islam, Inter-Faith Commission (IFC) dan anti-hadith;

Menyedari tuntutan yang dibuat oleh sekumpulan NGO yang mencadangkan supaya ditubuhkan IFC yang bertujuan mengubah beberapa perkara yang terkandung dalam syariat Islam;

Menyedari berlakunya campur-tangan oleh pemimpin BN terhadap penguatkuasaan agama sehingga menyebabkan beberapa serbuan oleh Jabatan Agama Islam mendapat reaksi negatif daripada media dan rakyat;
Menyedari bahawa gerakan anti-Islam ini mendapat sokongan daripada keluarga terdekat Perdana Menteri, termasuk penglibatan beberapa orang Menteri UMNO dalam kumpulan 50 NGO dan 236 individu yang menolak penguatkuasaan undang-undang akhlak (moral policing) bagi menangani gejala sosial; dan
Menyedari bahawa umat Islam sedang menghadapi krisis makanan halal ekoran pelbagai pendedahan tentang penyalahgunaan logo halal oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Maka Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-51 pada 3, 4 dan 5 Jun 2005 bersamaan 25, 26 dan 27 Rabi’ul Akhir 1426 di Dewan Besar Pusat Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan, Pengkalan Chepa, Kelantan, mengambil ketetapan:

Mendesak para Mufti dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri mengeluarkan garis panduan dan mengadakan muzakarah dengan pihak-pihak yang menimbulkan perkara-perkara (yang) bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam;
Mendesak Kerajaan BN supaya meningkatkan keupayaan penguatkuasaan agama (moral policing) bagi menangani masalah gejala sosial dan juga makanan halal;

Mendesak Kerajaan BN supaya menolak, bukannya menangguhkan, cadangan penubuhan IFC;

Mendesak Majlis Syura Ulama' PAS supaya lebih aktif menangani isu-isu yang melibatkan kepentingan umat Islam, terutama dari aspek mengeluarkan pendirian-pendirian tentang isu-isu berkaitan untuk menjadi panduan ahli-ahli PAS dan umat Islam keseluruhannya;

Mendesak PAS Pusat supaya mengeluarkan satu dokumen rasmi untuk menolak Islam Hadhari sekaligus menggariskan prinsip-prinsip sebenar Hadharah Islamiyyah; dan
Mendesak PAS Pusat supaya menggalakkan ahli-ahli terlibat dalam kegiatan ekonomi, terutama untuk mengeluarkan produk halal bagi mengatasi krisis makanan halal sekarang ini.

2. ⛔️ Kali kedua istilah-istilah ini muncul adalah di dalam satu ketetapan yang telah diluluskan secara sebulat suara oleh para perwakilan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-52 di Kompleks PAS Kedah, KM 13 Jalan Alor Star – Sungai Petani, Simpang Empat, Alor Star, Kedah, pada 7, 8 dan 9 Jun 2006.

Ketetapan ini adalah berbunyi:

✅ Menyedari bahawa gejala murtad yang sedang menyerang umat Islam di negara ini;
Menyedari bahawa kumpulan Inter-Faith Commission (IFC) dan Kumpulan Artikel 11 sedang mengadakan kempen besar-besaran untuk mencabar bidang kuasa mahkamah syariah dan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini;

Menyedari peri bahayanya kumpulan Islam Liberal, kumpulan anti-hadith dan kumpulan-kumpulan ajaran sesat yang sedang mengembangkan pengaruh mereka di kalangan umat Islam di negara ini;

Menyesali tindakan beberapa Menteri Kabinet, Anggota Parlimen dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menentang dan menghina mahkamah syariah dan sistem perundangan Islam;
Menyesali kebiadaban Menteri-Menteri Kabinet bukan Islam yang mempertikai hal-ehwal umat Islam, moral dan sosial awam;

Menyedari bahawa penularan gejala sosial dan kebejatan akhlak di kalangan remaja semakin membimbangkan;
Mengimani bahawa Islam menjamin keadilan dan kesejahteraan dalam segenap urusan kehidupan dan hak manusia;

Meyakini dasar perjuangan parti sebagai panduan dalam berpolitik dan bernegara; dan
Menginsafi PAS adalah benteng umat Islam bagi mempertahan aqidah dan kedaulatan agama Islam di negara ini;

Maka, Muktamar Tahunan PAS yang bersidang di Dewan Dato’ Fadzil Mohd Noor, Kompleks PAS Kedah, KM 13 Jalan Alor Star – Sungai Petani, 06650 Simpang Empat, Alor Star, Kedah Darul Aman, pada 10, 11 dan 12 Jamadil Awal 1427 bersamaan 7, 8 dan 9 Jun 2006 bersetuju dengan sebulat suara menerima usul dari Dewan Ulama’ PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS Pusat dengan mengambil ketetapan untuk:

Mendesak PAS untuk memimpin gerakan Islam yang utama dalam mempertahan Islam;
Meminta pemimpin-pemimpin NGO, parti-parti politik dan masyarakat Malaysia agar memahami dan menghormati kebebasan beragama dan menghayati prinsip sebenar Artikel 11 Perlembagaan Malaysia;
Menyarankan PAS supaya mengarusperdanakan gerakan dakwah dan memberi penerangan dan kefahaman kepada masyarakat, terutamanya bukan Islam, terhadap Islam;
Mencadangkan PAS Pusat agar mengadakan pertemuan dengan Mufti-Mufti dan Majlis Raja-Raja agar mengambil tindakan terhadap mana-mana usaha yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk mencabar kedaulatan Islam dan mahkamah syariah di Malaysia;

Mendesak PAS Pusat menzahir dan mempertegaskan prinsip parti kepada lawan ataupun kawan serta memastikan setiap prinsip Islam tidak dikompromikan, apatah lagi dikorbankan, dalam sebarang pakatan politik; dan
Mendesak agar pihak berkuasa Islam di Negeri-Negeri dan Wilayah Persekutuan mewujudkan kumpulan sukarelawan bagi membantu usaha dakwah, tarbiyyah dan penguatkuasaan bagi membendung penularan gejala sosial.

3. ⛔️ Kali ketiga istilah-istilah ini muncul adalah di dalam satu ketetapan yang telah diluluskan secara sebulat suara oleh para perwakilan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-53 di Pusat Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 1, 2 dan 3 Jun 2007.

Ketetapan ini adalah berbunyi:

✅ Menyedari betapa umat Islam kini berhadapan dengan pelbagai kegawatan yang sangat mendesak;
Menyedari bahawa isu-isu murtad yang snagat membimbangkan boleh mencetus suasana tidak aman dalam negara, hubungan antara kaum, krisis perpaduan yang dapat dilihat dari peristiwa seperti munculnya Kumpulan Artikel 11, Kumpulan IFC, desakan Kumpulan Sisters In Islam, pelbagai demonstrasi dan bantahan yang melibatkan isu murtad dan tuntutan bertindih ke atas jenazah orang Islam;

Menyedari bahawa krisis moral di kalangan muda mudi remaja dan dewasa, berlakunya rompak, ragut, samun, pembunuhan, pergaduhan sehingga di sekolah-sekolah menengah berasrama penuh dan lain-lain;

Maka Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-53 yang bersidang di Pusat Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 1, 2 dan 3 Jun 2007 bersamaan 15, 16 dan 17 Jamadil Awal 1428 mengambil ketetapan:

Mendesak Kerajaan Malaysia supaya melaksanakan syariat Islam yang menyeluruh demi menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat serta kedaulatan negara.

4. ⛔️ Kali keempat istilah-istilah ini muncul adalah di dalam satu ketetapan yang telah diluluskan secara sebulat suara oleh para perwakilan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, pada 5, 6 dan 7 Jun 2009.

Ketetapan ini adalah berbunyi:

✅ Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, pada 5, 6 dan 7 Jun 2009 bersetuju mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas Sisters In Islam yang membawa aliran Islam Liberal dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya.

Rujukan ; Fb Dr Kamarul Yusuf

Tuesday, 28 October 2014

Dr Takiri Bahas Bajet 2015

Isnin 27 Oktober 2014 Ahli Parlimen Kuala nerus membahaskan Bajet 2015
Watch "MP PAS Kuala Nerus Bahas Bajet 2015" on YouTube - https://www.youtube.com/watch?v=sMM_MgVhBhw&feature=youtube_gdata_player

Thursday, 16 October 2014

Respon DUPP Terhadap Ucapan Ahli Parlimen Kuching Berhubung Dakwah Islam di Sarawak

Kenyataan Rasmi Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

Respon DUPP Terhadap Ucapan Ahli Parlimen Kuching Berhubung Dakwah Islam di Sarawak

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) meneliti dengan tekun ucapan Ahli Parlimen Kuching yang membahaskan Bajet 2015 di Parlimen baru-baru ini yang tersebar luas di media sosial.
( http://youtu.be/yW8wJZolbgg )

2. DUPP berkongsi pandangan dengan beliau dalam melahirkan kekecewaan terhadap kerajaan Barisan Nasional yang menganaktirikan Sarawak dari sudut peruntukan pembangunan meskipun hasil minyak disedut daripada bumi Sarawak. Kesannya kemiskinan rakyat Sarawak masih ketara walaupun selepas 51 tahun penubuhan Malaysia dan lahir gerakan-gerakan menuntut pemisahan Sarawak daripada Persekutuan yang tidak wajar disokong oleh mana-mana pihak.

3. Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat menuntut kerajaan memberikan hak selayaknya untuk rakyat Sarawak mendapatkan nikmat pembangunan yang adil termasuk memperolehi 20% royalti minyak. Begitu juga hak negeri Kelantan dan Terengganu untuk mendapatkan royalti minyak yang disedut daripada bumi mereka.

4. DUPP juga berkongsi kekecewaan dengan sikap kerajaan membenarkan tindakan menghasut untuk membakar kitab suci agama lain tanpa diambil sebarang tindakan sebagaimana dilahirkan oleh Ahli Parlimen Kuching. Sikap ekstremis beragama secara emosi dan tidak rasional tidak seharusnya berlaku di Malaysia.

5. Dalam masa yang sama DUPP melahirkan ketidaksetujuannya dengan pandangan beliau yang meminta agar usaha-usaha dakwah Islam di Sarawak dihentikan.

6. Rasionalnya Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia. Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang sebarang usaha dakwah Islam dan kebajikan yang dilakukan sama ada oleh badan rasmi kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan seperti Yayasan Amal Malaysia sementelah Islam merupakan agama Persekutuan.

7. Dakwah Islam adalah seruan universal untuk kebaikan umat manusia serta rahmat kepada seluruh alam tanpa sebarang paksaan. Rakyat Malaysia yang belum beragama Islam mempunyai hak untuk mengenali Islam dan seterusnya memeluknya dengan kerelaan hati tanpa sebarang paksaan.

Dato Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Khamis 21 Zulhijjah 1435 / 16 Oktober 2014

Monday, 13 October 2014

Kenyataan Media BAJET 2015 : BELA ATAU ANIAYA RAKYAT?

Kenyataan Media
BAJET 2015 : BELA ATAU ANIAYA RAKYAT?

Oleh :
DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

1. Bajet 2015 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan pada Jumaat lalu dengan peruntukkan dana berjumlah RM273.9 bilion meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM223.4 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM50.5 bilion adalah masih kekal sebagi bajet defisit dengan unjuran pendapatan sebanyak RM235.2 bilion; menjadikannya bajet kali ke-17 berturut-turut mengalami keadaan perbelanjaan melebihi pendapatan.

2. Dengan angka yang dibentangkan itu, jumlah perbelanjaan mengurus mewakili 82% daripada keseluruhan dana yang diperuntukkan. Menuju ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, sepatutnya perbelanjaan mengurus hanya berjumlah 70-75% sahaja daripada keseluruhan perbelanjaan. Keadaan bajet defisit dan perbelanjaan mengurus yang tinggi ini menggambarkan ketidakcekapan Kerajaan dalam merancang dan mengurus perbelanjaan negara.

3. Lebih mendukacitakan, penat-lelah dan jerit-perih rakyat kebanyakan yang mengerjakan tulang empat kerat mereka dengan bekerja seharian, berhari-hari seminggu, hanya digembirakan dengan pemberian insentif, bonus dan ‘one-off giving’, termasuklah penambahan pembayaran BR1M. Sedangkan ia hanyalah berupaya untuk mengurangkan bebanan secara sementara dan bersifat penyelesaian tidak menyeluruh dalam membantu rakyat berhadapan dengan tekanan kanaikan kos sara hidup, sementelah lagi dengan pelaksanaan GST dan rasionalisasi subsidi yang akan memberikan kesan bebanan jangka panjang terhadap rakyat.

4. Apatah lagi pelaksanaan GST di negara ini hakikatnya adalah untuk mencipta hasil baru atau meningkatkan pendapatan negara dan falsafahnya pula tidak seperti pelaksanaannya di negara-negara maju yang bertujuan memastikan satu sistem percukaian yang saksama dan menyeluruh, merangsang rakyat untuk menambah simpanan dan tidak boros dalam perbelanjaan. Pada masa yang sama, pemboroson, ketirisan dan monolopi tidak dibendung secara berkesan. Rakyat pula dipaksa mengeluarkan wang dari poket sendiri untuk untuk menanggung semua itu.

5. Rasionalisasi subsidi bahan api yang memberi kesan kepada kenaikan harga petrol dan diesel pula bukan sahaja menambah beban kos pengangkutan setiap rakyat, bahkan memberi kesan berantai peningkatan kos pelbagai barangan dan perkhidmatan. Langkah pengurangan subsidi ini juga akan menyebabkan kos produktiviti meningkat dan kuasa beli atau ‘purchasing power’ rakyat semakin lemah.

6. Kecuaian dan kegagalan Kerajaan dalam meneliti impak sosio-ekonomi terhadap rakyat dengan pelaksanaan GST dan pemotongan subsisidi bahan api menyebabkan rakyat sebenarnya dianiaya dan bukannya dibela melalui bajet ini.

Isnin 13 Oktober 2014 / 18 Zulhijjah 1435

Bajet 2015: Mengulangi isi lama - Presiden PAS

Bajet 2015: Mengulangi isi lama

Published on Saturday,
11 October 2014 18:24
Written by ABDUL HADI AWANG
 
1. Saya mendengar dan menekuni pembentangan Bajet 2015 oleh Menteri Kewangan Pertama yang juga YAB Perdana Menteri Malaysia pada hari Jumaat 10 Oktober 2014, di samping cuma membandingkannya dengan pembentangan yang lalu. Saya akan hanya menyentuh persoalan asas dan prinsip yang bersifat makro sahaja pada saat ini, di mana perincian lanjut sedang hangat diperbahaskan oleh berbagai pihak sebaik sahaja pembentangan itu berakhir.
 
2. Respon awal saya ialah, kita sebenarnya agak hairan apabila tiada elemen-elemen baru yang mengejutkan dalam bajet ini yang mampu melonjakkan Malaysia untuk mencapai suatu tahap ekonomi yang lebih tinggi, mampan dan berdaya tahan terutama ke arah mencapai wawasan kerajaan dalam tahun 2020.
 
3. Umumnya, kita dapati bahawa Bajet 2015 masih gagal menjawab masalah-masalah utama yang menghantui ekonomi Malaysia, iaitu :
a. Struktur asas ekonomi Malaysia yang tidak kukuh.
b. Kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.
c. Daya saing ekonomi Malaysia.
d. Kemampanan ekonomi Malaysia.
 
4. Saya berpandangan bahawa kerajaan masih tidak jelas akan halatuju dan ke arah mana ekonomi Malaysia hendak dibawa. Selagi mana kerajaan gagal untuk menjawab dan bertindak secara konkrit kepada semua persoalan-persoalan di atas, maka maklamat negara berprestasi tinggi atau apa saja sasaran yang diletakkan oleh kerajaan akan hanya menjadi retorik politik. Ianya sekadar cantik pada angka dan statistiknya, tetapi tidak memberi makna yang sebenar kepada rakyat marhain dalam negara kita ini.
 
5. Penekanan secara tidak bersepadu dalam pendekatan ekonomi hanya akan melemaskan lagi rakyat dalam suasana tekanan sara hidup yang sudah cukup membebankan. Pendekatan fiskal melalui pengurangan subsidi dan pengenalan GST (di mana kami menolak pelaksanaan GST ini) hanya akan terus meningkatkan lagi inflasi dan sara hidup rakyat. Sepatutnya tindakan kerajaan perlu lebih bersepadu dengan juga mengambil kira dasar kewa
ngan, yang akhirnya akan meningkatkan permintaan dan seterusnya meningkat keluaran ekonomi Malaysia.
 
6. Struktur ekonomi sebuah negara maju sepatutnya juga menekankan sumbangan sektor perkhidmatan yang substantif iaitu sekurang-kurang 70% dari KDNK negara. Namun sasaran kerajaan yang hanya meletakkan 60% sumbangan sektor perkhidmatan dalam tahun 2020 membuktikan kerajaan tidak menekankan atau bersedia ke arah struktur ekonomi yang betul untuk Malaysia.
 
7. Bajet juga telah gagal untuk memperincikan langkah-langkah ke arah meningkatkan produktiviti negara bagi mengatasi kadar pertumbuhan produkitiviti yang semakin merosot. Malah kadar pertumbuhan produktiviti Malaysia adalah lebih rendah dari kebanyakan jiran-jiran negara ASEAN yang lain. Struktur ekonomi yang mampan dan berdaya saing, sepatutnya mengambil kira elemen-elemen penting pertumbuhan ekonomi seperti input buruh, input modal dan faktor produktiviti keseluruhannya.
 
8. Oleh yang demikian, langkah kerajaan yang terlalu bergantung kepada input modal melalui projek infrastruktur dengan memperuntukan jumlah yang besar iaitu lebih RM48 billion bagi mengerakkan ekonomi hanya akan memberi kesan yang tidak seimbang dan tidak mampan. Sepatutnya penekanan juga harus diberikan kepada meningkatkan total produktiviti kerana ianya akan menghasilkan peningkatkan produktiviti dan ekonomi yang lebih mampan dan berdaya saing untuk bergerak ke hadapan.
 
9. Bajet juga dilihat tidak konsisten dalam pelaksanaannya. Dalam satu masa kerajaan bersungguh-sungguh dalam usaha mengurangkan subsidi, namun dalam masa yang lain menambahkan pula nilai BR1M. Tidakkah ini juga akan menghasilkan kesan yang sama seakan inflasi, iaitu mengherot keseimbangan ekonomi negara, dan yang lebih teruk, akan juga mengurangkan produktiviti, menjejaskan daya saing dan meningkatkan lagi inflasi.
 
10. Berdasarkan corak perbelanjaan kerajaan BN sepanjang tahun-tahun yang lalu, kadar defisit negara dijangka akan terus berada pada tahap kronik. Kegagalan untuk menurunkan kadar defisit ini juga sangat m
engejutkan kerana kerajaan sepatutnya sudah dapat menjimatkan RM1.4b pada tahun 2014 apabila memotong subsidi minyak sebanyak 20 sen walaupun harga minyak dunia mengalami penurunan.

Kita masih belum melihat keinginan jitu oleh kerajaan BN untuk membuat penjimatan perbelanjaan, sebaliknya kerajaan BN memilih untuk terus memotong subsidi daripada rakyat yang sudah memang lemas dalam kos hidup yang Denikin meningkat.

Perbelanjaan berlebihan dalam majlis-majlis kerajaan dan pembaziran kos melibatkan delegasi ke luar negara dengan disertai bilangan kakitangan yang keterlaluan adalah antara perbelanjaan yang wajar dikawal. Cukuplah kita sama -sama meneliti Laporan Ketua Audit Negara yang saban tahun memperincikan ketirisan dan pembelanjaan boros ini.
 
11. Secara keseluruhannya semua faktor-faktor ini dilihat masih gagal untuk diselesaikan oleh kerajaan. Ini secara jelas dapat dibuktikan dengan pengaliran keluar berterusan modal asing dan pelaburan domestik.

Malah sikap hipokrit kerajaan BN dalam menangani masalah ketirisan sumber, penyelewengan dan rasuah, hanya akan memburukkan lagi kenyakinan pasaran kepada ekonomi Malaysia dan seterusnya memberi kesan negatif kepada tahap kualiti hidup rakyat seluruhnya.
 
HJ. ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Sunday, 12 October 2014

Ahli PAS Jangan Terlibat dengan PASMA - MSU

Kenyataan Majlis Syura Ulamak

1. Majlis Syura Ulamak memantau dengan penuh prihatin beberapa tindak tanduk mutakhir ini yang dilihat boleh memecah belah ahli-ahli PAS seperti yang dilakukan oleh sebuah NGO yang dinamakan PASMA.

2. Selaras dengan peringatan  Presiden PAS dalam penggulungan Muktamar PAS 2014 yang lalu supaya tidak berlaku adanya jamaah dalam jamaah, parti dalam parti, maka Majlis Syura Ulamak memberi nasihat kepada ahli-ahli PAS supaya tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti PASMA.

3. Kawasan-kawasan dan Badan Perhubungan Negeri juga dinasihatkan membuat laporan bertulis kepada Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak sekiranya tindak-tanduk seumpama itu juga berlaku di peringkat masing-masing untuk diambil tindakan lanjut.

4. Majlis Syura Ulamak juga memperingatkan ahli-ahli PAS tentang kewujudan perancangan antarabangsa yang bergerak aktif menerusi pelbagai medium untuk melemahkan gerakan Islam, membuang label politik Islam daripada parti-parti Islam, menjadikan parti Islam hanya memperjuangkan politik tanpa dakwah dan mengenepikan perjuangan menegakkan Syariat Islam yang luas merangkumi ekonomi, sosial, kebajikan dan undang-undang jenayah dengan dikecilkan kepada kebajikan yang sempit.

Dato' Haji Nik Muhammad Zawawi Saleh,
Setiausaha Majlis Syura Ulamak
17 Zulhijjah 1435 / 12 Oktober 2014