Wednesday 19 February 2020

USUL UNDI PERCAYA : MENJAWAB KRITIKAN AHLI-AHLI AKADEMIK KE ATAS PAS

*USUL UNDI PERCAYA : MENJAWAB KRITIKAN AHLI-AHLI AKADEMIK KE ATAS PAS*

Keputusan PAS untuk mengemukakan usul undi percaya dalam Dewan Rakyat bagi menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal Parlimen ke-14 terus mendapat perhatian rakyat, termasuk ahli-ahli akademik.

Dalam akhbar Berita Harian, pensyarah IPTA, Dr Rusdi Omar dari UUM, menyebut usul percaya ke atas PM adalah taktik politik murahan PAS, dan PAS dan UMNO sepatutnya tidak mengacau kerajaan yang ada.

Kata Dr Rusdi, “Selalunya apabila pelantikan Perdana Menteri dibuat, secara tradisinya ia disokong majoriti Dewan Rakyat” dan “sokongan di Dewan Rakyat hanyalah prosedur normal yang biasanya boleh dilepasi tanpa masalah.”

Dalam portal berita Malaysia Kini, dua pensyarah IPTA lain, Dr Mazlan Ali dari UTM, dan Dr Awang Azman Awang Pawi dari UM, menyebut usul percaya ke atas Perdana Menteri adalah tanda PAS takut dan cemas kepada peralihan kuasa.

Kata Dr Mazlan: "Anwar akan tambah sinergi sekaligus menukar mood rakyat. Anwar pasti akan membuat polisi yang akan mengubah mood rakyat kepada lebih baik."

Kata Dr Awang Azman pula: "Kita tahu Anwar dilihat boleh menyatukan kepelbagaian perbezaan termasuk dalam kalangan parti-parti pembangkang."

Selaku ahli-ahli akademik yang bijaksana, Dr Mazlan, Dr Awang Azman dan Dr Rusdi sepatutnya melihat pengemukaan usul undi percaya bagi menyokong Tun Dr Mahathir dalam konteksnya yang betul dan dari pandangan yang jauh.

Tidak berbangkit soal PAS mahu mengacau kerajaan yang ada kerana apa yang menjadi hasrat PAS ialah untuk memastikan kerajaan yang ada stabil, bukan seperti sekarang di mana hampir setiap hari pemimpin bercakap mengenai peralihan kerajaan.

Cakap-cakap begini mengganggu tugasan dan tumpuan kerajaan yang sepatutnya difokuskan kepada usaha membela kebajikan rakyat dan memajukan negara, sebab itulah isu peralihan kuasa ini perlu diputuskan segera di Dewan Rakyat.

Kita tidak boleh membandingkan pelantikan Perdana Menteri yang dibuat pada masa dahulu dengan pelantikan Perdana Menteri yang dibuat pada masa sekarang kerana pada masa dahulu tiada pertikaian di kalangan pemerintah tidak seperti pada masa sekarang.

Dakwaan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat polisi yang akan mengubah mood rakyat kepada lebih baik juga tidak benar kerana mood rakyat terbanyak diukur daripada mood golongan majoriti, iaitu orang-orang Melayu.

Kajian Merdeka Centre menunjukkan Datuk Seri Anwar hanya dapat sokongan 13% rakyat Melayu, dan dengan pengumuman beliau mahu menghapuskan pemberian bantuan berasaskan bangsa kepada orang-orang Melayu selama ini pastilah mood mereka akan lebih jatuh.

Dakwaan bahawa Datuk Seri Anwar boleh menyatukan kepelbagaian perbezaan juga sangat boleh dipersoalkan kerana jika beliau gagal menyatukan kepelbagaian perbezaan dalam parti beliau sendiri bagaimana beliau boleh menyatukan kepelbagaian perbezaan di luar?

Kepada ahli-ahli akademik di IPTA, objektiflah dalam mengulas dan hentikanlah budaya membodek pemimpin kerajaan dan mencemuh pemimpin pembangkang.

DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3095664157110260&id=569086473101387

No comments:

Post a Comment