Friday 14 February 2020

PERINGATAN DIRI; Mohon Cahaya Daripada Allah

PERINGATAN DIRI
Mohon Cahaya Daripada Allah

1. Antara doa menarik dibaca oleh Nabi saw di waktu malam ketika Tahajjud dan juga ketika bergerak ke masjid  sebagaimana riwayat Ibnu Abbas ialah doa memohon diberikan cahaya.

اللَّهُمَّ اجْعَلْ لي في قَلْبِي نُورًا، وفي لِسَانِي نُورًا، وفي سَمْعِي نُورًا، وفي بَصَرِي نُورًا، وَمِنْ فَوْقِي نُورًا، وَمِنْ تَحْتي نُورًا، وَعَنْ يَمِينِي نُورًا، وَعَنْ شِمَالِي نُورًا، وَمِنْ بَيْنِ يَدَيَّ نُورًا، وَمِنْ خَلْفِي نُورًا، وَاجْعَلْ في نَفْسِي نُورًا، وَأَعْظِمْ لي نُورًا (¹) 

"Ya Allah jadikan untukku pada hatiku cahaya, pada lidahku cahaya, pada pendengaranku cahaya, pada penglihatan ku cahaya, dari atasku cahaya, dari bawahku cahaya, dari kanan ku cahaya, dari kiriku cahaya, dari depanku cahaya, dari belakang ku cahaya dan jadikanlah pada diriku cahaya dan besarkan lah untukku cahaya"

2. Cahaya diperlukan oleh manusia bagi menerangi alam. Cahaya juga diperlukan oleh manusia bagi menyinari kehidupan yang gelap dan merungkai kekusutan hidup. Hanya Allah yang memiliki cahaya penyuluh untuk manusia berjalan dalam hidup ini dengan tenang dan lapang tanpa kesempitan pemikiran dan perasaan.

3. Kita berdoa agar diberikan cahaya pada sebelas perkara iaitu empat anggota-anggota utama pancaindera; hati, lidah, pandangan dan pendengaran, enam arah yang mengelilingi diri; kanan, kiri, atas, bawah, depan dan belakang, dan cahaya dalam diri sendiri agar kita sentiasa dalam pemeliharaan Allah, diberi panduan dan cahaya kehidupan agar tidak tergelincir daripada landasan yang benar. 

Marilah berdoa dengan doa ini.

(¹) Hadis Sahih Muslim. Juga diriwayatkan dengan pelbagai lafaz oleh Bukhari, Ahmad dan Nasaei.

disediakan oleh
al-Faqir, Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Jumaat 14.2.2020

No comments:

Post a Comment