Saturday 10 December 2016

TIDAK PERLU POLEMIK ISU PENUKARAN AGAMA ANAK*

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

*TIDAK PERLU POLEMIK ISU PENUKARAN AGAMA ANAK*

1. Pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2016 yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis semalam tidak seharusnya dipolemikkan kerana ia dipinda bagi diselaraskan dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan yang telah menetapkan dalam versi Inggerisnya bahawa agama bagi seseorang yang berumur 18 tahun ke bawah ditetapkan oleh "parent". "Parent" membawa maksud sama ada ibu atau bapa.

2. Pindaan enakmen tersebut dilakukan bagi membolehkan secara jelas persetujuan salah seorang ibu atau bapa bagi penukaran agama anak kepada Islam jika salah seorang pasangan tersebut memeluk Islam selaras dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan tersebut.

3. Maksud "parent" dalam Perkara 12(4) sebagai merujuk kepada sama ada ibu atau bapa telah ditafsirkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam penghakiman kes Subashini lwn Saravanan atau nama Islamnya, Muhammad Shafi pada 2007.

4. Mahkamah ketika itu menolak perintah injunksi yang dikemukakan Subashini bagi menghalang bekas suaminya mengislamkan anak-anaknya dengan hujah bahawa penukaran agama anaknya tidak bertentangan dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan. Hakim Abdul Aziz Mohamad dalam penghakiman tersebut menegaskan bahawa maksud 'parent' dalam Perkara 12(4) ditafsir dengan 'by his father or his mother or guardian'.

5. Penghakiman daripada Mahkamah tertinggi negara itu seharusnya merungkaikan segala pertikaian terhadap perkara tersebut dan jelas membuktikan bahawa penukaran agama anak dengan persetujuan sebelah pihak sama ada ibu atau bapa atau penjaga telah menepati kehendak Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

6. Tambahan lagi, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 juga menetapkan bahawa persetujuan salah seorang daripada ibu atau bapa sudah cukup bagi mendaftar keislaman seseorang anak. Kesemua ini telah memberikan gambaran yang jelas terhadap polemik yang cuba dibangkitkan oleh pihak yang tidakbertanggungjawab.

7. Mana-mana pihak tidak sepatutnya berhujah dengan sesuatu yang baru bersifat cadangan undang-undang seperti cadangan pindaan terhadap status penukaran agama anak menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164). Hal ini kerana ia baru di peringkat cadangan dan belum dibawa untuk dibahaskan di Parlimen dan bukannya satu undang-undang pun.Adapun pindaan Enakmen Perlis adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan.

8. Malah cadangan RUU itu sendiri telah bercanggah dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan dan tidak berperlembagaan (unconstitutional), bersifat retrospektif dan mungkin menyebabkan semakan kehakiman (judicial review) terhadap ratusan kes yang lain.

9. Maka, sewajarnya isu ini tidak terus dipolemik dan harus dinilai dengan matang dan objektif. Polemik dan sentiment yang dimainkan oleh sesetengah pihak hanya merosakkan keharmonian masyarakat yang tidak memberikan keuntungan kepada mana-mana pihak dalam negara ini.

10. Ia juga memberi isyarat tidak baik di mata orang-orang Islam yang menjadi majoriti rakyat negara ini apabila bukan Islam dilihat semakin berani mencampuri sebarang pindaan undang-undang Islam di peringkat negeri yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Ia dilihat sebagai ancaman terhadap kuasa Islam di negeri-negeri sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia.

11. Akhirnya ditegaskan bahawa pindaan Enakmen Perlis adalah selaras dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya ada pihak tidak bersetuju mereka boleh mengusulkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan kelulusan 2/3 ahli Parlimen.

Sekian.

_"Inilah Penyelesaian Kita"_

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 10hb Disember 2016 bersamaan 10 Rabi'ul Awwal 1437 H.

www.drtakiri.blogspot.com

No comments:

Post a Comment