Thursday 1 December 2016

ALASAN & HUJAHAN DANGKAL BAGI MENOLAK RUU 355; Menolak Pandangan Dr Chandra*

*ALASAN & HUJAHAN DANGKAL BAGI MENOLAK RUU 355; Menolak Pandangan Dr Chandra*

Oleh :

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

*Alhamdulillah. Selawat dan Salam buat Rasulullah saw.*

1. Saya tertarik untuk mengulas beberapa hujahan mereka yang menentang pindaan Akta 355. Sebahagian hujahan mereka menyerlahkan emosi dan perasaan tidak senang terhadap undang-undang Syariah dan Islam itu sendiri. Justeru itu dilampirkan pelbagai alasan dan hujah remeh bagi menolaknya serta dihiasi dengan hujah akademik kononnya sedangkan hakikatnya hujah tersebut sangat rapuh dan jauh daripada nilai akademik.

2. Antaranya hujahan Dr Chandra Muzaffar. Beliau menuduh kononnya RUU 355 bakal membantutkan makna sebenar keadilan dan ihsan dalam beragama.

*RUU 355 Menafikan Konsep Adil dan Ihsan?*

3. Hakikatnya, sesuatu yang barangkali tidak diimani oleh Dr Chandra dan menjadi titik beza barangkali antara beliau dan seluruh umat Islam yang mempraktikkan agamanya ialah bahawa keadilan dan ihsan hanya tercapai menerusi pelaksanaan pada Syariat beragama.

4. Memberikan hak kepada Syariat Allah di Mahkamah Syariah yang khusus bagi umat Islam bagi menghukum pesalah Syariah berdasarkan hukum agama itulah sebenar-benar keadilan dan ihsan.

5. Dalam konteks RUU 355, memberikan hak kepada Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah jenayah zina, pesalah jenayah menuduh zina dan pesalah jenayah minum minuman memabukkan, dengan hukum Syariah yang ditetapkan oleh Allah iaitu sebatan masing-masing 100, 80 dan 40 sebatan menurut tatacara Syariah, itulah sebenar-benar keadilan dan ihsan.

6. Meningkatkan hukuman bagi kesalahan-kesalahan melibatkan aqidah dan akhlak yang dalam Islam dikategorikan sebagai undang-undang _takzir_ adalah ijtihad yang diberi ruang kepada pemerintah untuk menggunakan akal mereka dengan suluhan wahyu.

7. Keadilan dan ihsan dalam praktik hukuman _takzir_ akan tercapai menerusi dokongan praktik seorang hakim muslim yang adil tidak melakukan dosa besar di Mahkamah Syariah dengan berpandukan tata cara keterangan jenayah Islam yang penuh dengan keadilan dan ihsan.

8. Keadilan dan Ihsan tidak dicapai dengan akal semata-mata lalu menolak dan memandulkan pelaksanaan Syariat dalam menghukum pesalah jenayah.

9. Keadilan dan Ihsan juga tidak berlaku hanya menerusi hukuman tetapi dengan dokongan sistem tata cara keterangan jenayah Islam ketika menjatuhkan hukuman.

10. Keadilan dan Ihsan tertegak apabila Islam ditegakkan secara holistik pada falsafah pendidikan aqidah, praktik dan pelaksanaan syariat dan undang-undangnya dan manifestasi penampilan akhlaknya.

*Islam Mendidik Bukan Menghukum?*

11. Dr Chandra juga seolah ingin menolak konsep cegah dan hukum dalam undang-undang lalu dikaitkan RUU 355 dengan kegagalan kekangan terhadap dadah di Pakistan dan korupsi di Sudan.

12. Persoalan asas untuk Dr Chandra;

*Apa kaitan RUU 355 dengan undang-undang dadah?*

RUU 355 tidak menangani dadah tetapi mendidik manusia yang minum minuman memabukkan dengan hukuman. Dadah adalah undang-undang di Mahkamah Sivil. Dr Chandra perlu mengkritik kegagalan undang-undang sivil hari ini dalam menangani jenayah dadah.

*Apa kaitan RUU 355 dengan korupsi?*

RUU 355 bukan undang-undang tentang korupsi.

Dr Chandra perlu mengkritik undang-undang sivil hari ini yang gagal mengekang gejala rasuah termasuk di negara ini. Juga mengkritik kegagalan sistem pendidikan negara kita yang berjaya melahirkan manusia berakademik tetapi gagal pada keperibadiannya hingga terjebak dengan jenayah rasuah.

13. Beliau seolah diawangan dan sememangnya tidak memahami apakah aspek undang-undang jenayah yang ditangani oleh Akta 355. Sedarkah Dr Chandra bahawa Akta 355 bernama Akta 355 Bidangkuasa Jenayah Mahkamah Syariah?

14. RUU 355 adalah berkenaan pindaan bagi kadar hukuman bagi kesalahan Syariah yang telah sedia diamalkan di Mahkamah Syariah hari ini.

15. Antaranya berkaitan kesalahan aqidah dan kesalahan akhlak melibatkan maruah dan kehormatan manusia. *Antaranya melibatkan minuman memabukkan, perlakuan zina dan perlakuan menuduh orang Islam berzina.*

16. Berikut adalah senarai Kesalahan Jenayah yang berada di bawah ruang lingkup Akta 355 sebagaimana contoh *Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995*

_Pemujaan salah, mendakwa bukan orang Islam untuk mengelakkan tindakan, takfir, doktrin palsu, dakwaan palsu, mempersendakan, dll., ayat Al-Quran dan Hadith, menghina atau menyebabkan dipandang hina, dll., agama Islam, memusnahkan atau mencemarkan tempat beribadat, menghina pihak berkuasa agama, pendapat yang bertentangan dengan fatwa, mengajar tanpa tauliah, mengingkari perintah Mahkamah, penerbitan agama yang bertentangan dengan Hukum Syara', berjudi, *minuman Yang memabukkan*, tidak menghormati Ramadhan, tidak menunaikan sembahyang Jumaat, tidak membayar zakat atau fitrah,  perbuatan sumbang mahram, pelacuran, muncikari, *persetubuhan luar nikah*, perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah, hubungan jenis antara orang yang sama jantina, persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii, khalwat, lelaki berlagak seperti perempuan, perbuatan tidak sopan di tempat awam, memujuk lari perempuan bersuami, menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri, menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan, menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam, *Qazaf*, Pungutan zakat atau fitrah tanpa diberikuasa dan penyalahgunaan tanda halal.*

http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Ori.nsf/100ae747c72508e748256faa00188094/bca11b8ae3c9251148257057000ca118?OpenDocument

Adapun bicara tentang korupsi dan dadah ia tiada kaitan dengan Akta 355.

17. Antara hujahan dangkal bagi menolak RUU 355 ialah *"Islam adalah agama mendidik bukannya menghukum"*.

18. Kononnya sekiranya sudut hukuman yang ditonjolkan ia akan memadam wajah Islam yang indah.

19. Hujahan mereka seolah menggambarkan betapa sayangnya mereka kepada Islam tapi hakikat sebenarnya ia mengandungi racun yang membunuh Islam.

20. Sedarkah mereka bahawa *"hukuman adalah sebahagian daripada proses pendidikan"?*

21. Akan ada manusia yang gagal dididik dengan kata-kata tetapi memerlukan hukuman sebagai didikan. Itulah realiti kehidupan manusia.

22. Oleh kerana itulah tidak ada negara di dunia yang tidak membuat undang-undang sebagai hukuman pencegahan.

23. *Hukuman itu sendiri adalah satu proses mendidik manusia iaitu mendidik manusia yang samseng melanggar undang-undang yang tidak akan berhenti daripada melakukan jenayah melainkan dengan hukuman yang mencegah. Ia juga mendidik manusia agar tidak melanggar undang-undang.*

24. Adakah mereka yang berhujah sedemikian ingin menyatakan bahawa *"kita tidak memerlukan lagi undang-undang menghukum kerana kita hanya perlu mendidik".*

25. Adakah mereka ingin menyatakan bahawa kita tidak perlukan undang-undang menghukum pesalah yang melanggar undang-undang jalan raya?

Cukuplah hanya dengan mendidik mereka?

Mendidik dengan kata-kata nasihat sahaja tanpa undang-undang menghukum?

Kalau begitulah hujahannya usah dibawa RUU 355 dan usah dibuat sebarang undang-undang menghukum penjenayah lagi. Berkempenlah agar semua undang-undang yang menghukum manusia itu dibatalkan!!!

26. Kalau begitulah hujahannya saya yakin anda akan diketawakan oleh dunia undang-undang!!!!

Sekian

Khamis 1 hb Disember 2016

No comments:

Post a Comment