Monday 5 September 2016

Wanita berkeluarga perlu kerja 5 atau 6 jam sehari – Khairuddin

Wanita berkeluarga perlu kerja 5 atau 6 jam sehari – Khairuddin


PETALING JAYA: Tempoh masa bekerja bagi wanita berkeluarga perlu dikurangkan daripada lapan kepada lima atau enam jam sehari dengan pendapatan yang sama.

Cadangan itu dibuat Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali bagi memperkasakan lagi tugas wanita berkeluarga sekaligus dapat mengurangkan masalah rumah tangga yang boleh membawa kepada penceraian.

“Kerosakan sosial hari ini ialah apabila para wanita berkeluarga mengutamakan kerjaya lalu mengabaikan tugas utama sebagai isteri atau ibu.

“Sebahagian pergerakan wanita (Pertubuhan) hanya menyeru wanita untuk berkerjaya tetapi tidak menyeru wanita memperkasakan institusi `keisterian’ dan `keibuan’. Malah, ada yang bergerak songsang seolah memperkecilkan kedua-dua institusi tersebut.

“Saya mencadangkan antaranya dengan mengurangkan tempoh masa bekerja para wanita berkeluarga daripada 8 jam sehari kepada 5 atau 6 jam sehari tetapi dengan gaji yang sama seperti lelaki yang bekerja selama 8 jam sehari. Meskipun kelihatan sukar kerana melibatkan kos, ia adalah satu hadiah bagi wanita yang sudah berkeluarga,” Katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata,memperkasakan tugasan sebagai wanita berkeluarga tidak bermaksud para isteri dan ibu perlu meninggalkan pekerjaan dan kerjaya di luar rumah mereka.

Tetapi ia dilakukan dengan meletakkan tugasan sebagai isteri dan ibu sebagai tugasan utama disamping kerjaya seharian sebagai tugasan kedua.

Katanya, apa yang lebih utama perlu diperdebatkan ialah bagaimana masyarakat dan sistem bernegara boleh membantu para ibu dan wanita memperkasakan tugasan sebagai isteri dan ibu.

Source: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/03/12/wanita-berkeluarga-perlu-kerja-5-atau-6-jam-sehari-khairuddin/
 

No comments:

Post a Comment