Saturday 31 October 2015

KEMALANGAN DI LPT2 : DESAK TUBUH SURUHANJAYA SIASATAN

Kenyataan Media
Ahli Parlimen Kuala Nerus

KEMALANGAN DI LPT2 : DESAK TUBUH SURUHANJAYA SIASATAN

[ Rujuk : http://harakahdaily.net/index.php/headline/38164-kemalangan-lpt2-gesa-tubuh-suruhanjaya-siasatan ]

1. LPT2 mula beroperasi sejak Ogos 2011. Sehingga Oktober 2016, ia telah mencatatkan 1,989 kes kemalangan membabitkan 85 kematian. Kemalangan maut terbaru ialah pada 14, 18 dan 19 Oktober yang membabitkan 6, 2 dan 1 kematian masing-masing.

2. Insiden kemalangan maut yang kerap dalam tempoh kurang seminggu ini harus diberi perhatian serius dan diteliti secara mendalam bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian dan melakukan langkah pencegahan segera bagi mengelakkan ia berulang.

3. PDRM hanya menyenaraikan pemanduan pengguna seperti melebihi had laju dan mengantuk sebagai punca kemalangan disamping kerana faktor haiwan. Kementerian Kerja Raya (KKR) pula menegaskan bahawa LPT2 adalah dibina mengikut standard dan piawaian yang telah ditetapkan dan ia bukan punca kemalangan. Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga menyatakan bahawa faktor manusia adalah punca kemalangan.

4. Sebaliknya, berdasarkan pemantauan dan kajian lapangan oleh sebuah NGO iaitu GANTI mendapati bahawa tidak kurang 28 lokasi sepanjang jajajaran LPT2 dari Gemuroh ke Kijal adalah tidak sekata dan beralun serta merbahaya kepada para pengguna.

5. Selain itu, wujud juga keadaan ada kawasan tidak berpagar atau pagar rosak, pencahayaan yang tidak mencukupi, ketiadaan dan kerosakan papan tanda, garisan dan pembalikcahaya di tengah dan tepi jalan yang tidak jelas dan faktor-faktor lain.

6. Kajian bersama oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) baru-baru ini pula baru sahaja mengisytiharkan bahawa sruktur dan aspek keselamatan lebuh raya itu berada dalam keadaan baik dan menegaskan bahawa kemalangan-kemalangan yang berlaku sebelum ini tidak dipuncakan oleh faktor ini.

7. Saya berpandangan bahawa  kajian ini adalah tidak bersepadu dan tidak menyeluruh serta berkemungkinan tidak telus sepenuhnya memandangkan institusi tersebut adalah agensi dan sebahagian daripada Kerajaan serta telah diketahui pendirian mereka berhubung masalah ini sementelah lagi kajian ini dibuat dalam tempoh yang amat singkat iaitu hanya seminggu. Mustahil semua aspek telah dapat diambil kira dalam tempoh yang sesingkat itu.

8. Oleh itu, saya merasakan wujud suatu keperluan mendesak untuk menubuhan suatu suruhanjaya bagi mengenalpasti punca kemalangan; menilai keadaan jalan, kelengkapan dan persekitaran LPT2; dan seterusnya mencadangkan kepada Kerajaan dan agensi-agensi berkaitan, langkah-langkah penambahbaikan dan menangani punca-punca kemalangan di sepanjang jajaran LPT2. Malangnya, usul yang telah saya hantar pada 26 Oktober lalu telah ditolak oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada hari semalam.

Sekian.

“Membina Malaysia Sejahtera”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Jumaat, 30 Oktober 2015 | 17 Muharram 1437H

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ketua Penerangan DUPP. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau. ::

No comments:

Post a Comment