Thursday 23 January 2014

Kenyataan Media 2hb Jan 2013 Fatwa Songsang Mufti Perlis

"Fatwa" songsang Mufti Perak

Kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani bahawa para demonstrator pada 31 dis baru-baru sebagai "bughah" dan "halal darah" amat mendukacitakan kerana ia menggambarkan kegagalan seorang mufti memahami hukum "bughah" dalam Islam. Ia satu penyelewengan fakta tentang hukum-hakam Islam yang sangat ketara dan menyesatkan.

Bughah atau pemberontak dalam Islam ialah penentangan bersenjata oleh rakyat terhadap kerajaan Islam. Ia termasuk sebagai salah satu kesalahan jenayah hudud dalam Islam. Adakah peserta perhimpunan 31 dis 2013 turun berhimpun dengan senjata menentang pemerintah? Lagipun takrifan pemberontak dalam perlembagaan Malaysia merujuk kepada melancarkan peperangan kepada Yang dipertuan Agong sebagai ketua negara bagi Malaysia. Para demonstrator hanya turun dengan tangan kosong dan membawa sepanduk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap urus tadbir negara yang membawa kepada peningkatan kos hidup. Sangat jahil seorang mufti yang mengkategorikan mereka ini sebagai pemberontak. Lebih malang dan merbahaya apabila darah demonstrator ini pula diisytiharkan sebagai halal darah. Ia merupakan kenyataan yang sangat berbahaya yang boleh membawa kepada huru-hara kepada negara dan tergugatnya keharmonian antara rakyat. Sangat dibimbangi "fatwa" seumpama itu membawa kepada pertumpahan darah sesama rakyat. Saya menyeru seluruh pihak yang prihatin terhadap keamanan bernegara dan keharmonian bermasyarakat membantah kenyataan-kenyataan songsang seumpama ini.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

No comments:

Post a Comment