Thursday 23 January 2014

Kenyataan Media 25 hb Dis 2013

Kenaikan Kos Hidup; Segera Mobilisasi Kesedaran Rakyat

Merujuk kepada dapatan kajian yang dilakukan oleh University of Malaya Centre of Democracy and Elections (UMCEDEL), sekurang-kurangnya seramai 1,676 responden telah menggeneralisasikan keresahan rakyat terhadap perkembangan kenaikan kos sara hidup yang tinggi setelah 6 bulan Pilihan Raya Umum Ke-13 berlalu. Tiga isu utama melatari kebimbangan mereka iaitu mengenai kenaikan harga minyak, peningkatan harga barang dan kenaikan tarif elektrik.  
 
Kerajaan didesak untuk fahami mesej rakyat dan segera mengambil tindakan wajar untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat. Kita menolak keputusan kabinet untuk menubuhkan makmal kajian kerana ia hanya sekadar tindakan populis dan taktik membeli masa sehingga rakyat melupakan kezaliman yang dilakukan oleh mereka.

Lagi membimbangkan tindakan kerajaan terkini yang membenarkan kenaikan tarif elektrik dan tol yang melibatkan keperluan dan kemudahan seharian rakyat serta cukai GST yang bakal diperkenalkan dan subsidi petrol yang ditarik balik pasti meletakkan rakyat dalam kesempitan kewangan.
 
Sebanyak 55% responden sama ada kaum Melayu atau Cina tidak terkesan dengan bajet melaksana janji kerajaan sebaliknya lebih merasai pengucupan nilai ringgit dalam kocek mereka. Ini satu signal yang jelas bahawa fokus rakyat adalah hidangan sepinggan nasi untuk dijamah bukannya projek mega berskala besar yang tidak mengikut prioriti kepentingan dan pembaziran.
 
Menariknya, walaupun responden menggunakan kaedah penyumberan maklumat politik daripada media konvensional kerajaan dan diseimbangkan dengan penggunaan media sosial seperti facebook dan twitter, namun sebanyak 79% daripadanya mengakui bahawa penyalahgunaan kuasa dan rasuah semakin meningkat di Malaysia. Ia bukan hanya persepsi tetapi realiti yang sedang membarah. Ketempangan ekonomi ini dilihat menatijahkan kepada bebanan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.
 
Parti Islam SeMalaysia (PAS) harus lebih agresif menuntun kecelikan politik pengundi-pengundi Melayu terutamanya dikalangan golongan belia yang berada di kelas menengah. Apa yang lebih penting ialah mengekalkan momentum kesedaran disamping meningkatkan kefahaman Islam yang sebenar bagi memaknakan kehidupan mereka.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat 

No comments:

Post a Comment