Saturday 26 March 2022

Memahami Tanggungjawab Berpolitik

Memahami Tanggungjawab Berpolitik

1. Berpolitik boleh difahami dengan dua cara. Pertama terlibat dengan parti politik sama ada menjadi pendokong dan ahli politik kerajaan atau pendokong dan ahli politik pembangkang dalam sebuah negara demokrasi moden. Kedua mengambil tahu dan berbicara tentang politik termasuklah penglibatan sebagai pengundi. Perkara kedua memerlukan penglibatan semua orang sama ada atas nama memilih pemimpin politik untuk berkuasa atau memberi pandangan, nasihat dan kritikan untuk semak dan imbang.

2. Dalam kedua-dua keadaan di atas, berpolitik hendaklah dengan matlamat untuk menegakkan agama Allah dan mentadbir negara dengan agama Allah agar kebajikan dan keadilan tersebar kepada seluruh rakyat jelata. Hal ini dipetik daripada konsep Khalifah dalam Islam sebagaimana di bincang oleh para Sarjana Politik Islam iaitu
الخلافة أو الإمامة هي خلافة عن النبوة في إقامة الدين وسياسة الدنيا به
"Khilafah atau Imamah pemerintahan ialah menggantikan kenabian dalam menegakkan agama dan mentadbir dunia dengan agama"

3. Menerusi politik, kuasa dicapai menerusi pembentukan parti politik yang memasuki pilihanraya dan menawarkan kuasa untuk melaksanakan Islam dan melebarkan luaskan kebajikan kepada rakyat menerusi pilihanraya dalam konteks negara demokrasi semasa.

Dalam sejarah Malaysia ditubuhkan PKMM 1945, UMNO pada 1946, Hizbul Muslimin pada 1948, PAS pada 1951, Parti Negara 1954, DAP 1965, Berjasa pada 1978, Semangat 46 pada 1988, Parti Hizbul Muslimin (Hamim) 1983, PKR 2003, PAN 2015, Warisan 2016, Bersatu 2017, Pejuang dan Muda 2020.

4. Berkempen untuk menawarkan kuasa kepada Islam diambil daripada sunnah Nabi saw antaranya apa yang dibuat oleh baginda saw ketika di Mina selepas tahun ke 10 kenabian.

مَن يُؤوِيني، مَن يَنصُرُني حتى أُبلِّغَ رسالاتِ ربِّي عزَّ وجلَّ وله الجنَّةُ؟
"siapa yang boleh melindungi ku, siapa yang boleh membantuku sehingga aku sampaikan risalah-risalah Tuhanku dan baginya syurga"
(Hadis Hasan dalam Dalail al-Nubuwwah)

5. Perjuangan membawa risalah Islam tidak boleh dibawa bersendirian tetapi memerlukan pembantu dan penyokong yang dipanggil "Hawariyyun" membentuk wadah dan platform perjuangan di jalan Allah. Allah bercerita tentang Nabi Isa alaihissalam
فَلَمَّا أَحَسَّ عِيسَىٰ مِنْهُمُ الْكُفْرَ قَالَ مَنْ أَنصَارِي إِلَى اللَّهِ ۖ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ اللَّهِ آمَنَّا بِاللَّهِ وَاشْهَدْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ (52)
"Tatkala Isa menyedari daripada kaumnya keengkaran tersebut, Dia berkata, siapakah pembantu-pembantuku kepada Allah. Berkata Hawariyyun (penyokong-penyokong); kamilah pembantu-pembantu Allah. Kami beriman dengan Allah dan berilah kesaksian bahawa kami adalah Muslim yang menyerah diri"
(Surah Ali Imran: 52) 

6. Mana-mana pihak yang telah berkuasa mempunyai kewajipan melaksanakan Islam dalam semua urusan pentadbiran di semua kementerian dan jabatan. Urus tadbir berasaskan perintah dan larangan Allah perlu dipatuhi. Sangat besar ganjaran pahala bagi para pemerintah dan pentadbir yang melaksanakan Islam dan mentadbir menurut prinsip Islam. Takutlah pada ancaman Tuhan terhadap mereka yang mentadbir menurut hawa nafsu lalu menyebabkan kezaliman berkembang dan keadilan kepada rakyat dinafikan.

7. Ganjaran menjadi pemerintah yang adil disebut dalam Hadis sebagai antara 7 golongan yang mendapat naungan Allah pada hari tiada naungan lain melainkan Naungan Allah. (Hadis Sahih Bukhari Muslim).

Pemerintah yang zalim di peringatkan dengan Hadis Nabi saw
الظُّلْمُ ظُلُمَاتٌ يَومَ القِيَامَةِ
"Kezaliman itu adalah kegelapan-kegelapan pada hari Qiamat"
(Hadis Bukhari).

8. Maka setiap muslim tetap mempunyai tanggungjawab  untuk berpolitik sama ada berpolitik dengan menjadi pemerintah dan pendokong pemerintah untuk terus melaksanakan keadilan atau berpolitik dengan menjadi rakyat yang menasihati kerajaan atau pembangkang yang melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang kepada kerajaan.

Sekian. 

Dr Khairuddin Takiri
Ahad 20.3.2022

No comments:

Post a Comment