Thursday, 6 September 2018

HUKUMAN SEBAT SYARIE : PENDIRIAN KERAJAAN PAKATAN HARAPAN SONGSANG DAN SUMBANG

Kenyataan Media

Khamis 6 September 2018 | 25 Zulhijjah 1439H

HUKUMAN SEBAT SYARIE : PENDIRIAN KERAJAAN PAKATAN HARAPAN SONGSANG DAN SUMBANG

1. Kenyataan YAB Perdana Menteri berkaitan pelaksanaan hukuman sebat ke atas dua pesalah yang cuba melakukan _musahaqah_ menunjukkan pendirian songsang dan sumbang Kerajaan Pakatan Harapan dalam isu ini.

2. Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu kerana undang-undang Islam adalah di bawah Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah telah membuat keputusan ini berdasarkan Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama.

3. Hakim dalam menentukan kadar hukuman bukan sahaja menilai keadaan pesalah sebaliknya turut mengambil kira implikasi kesalahan yang dilakukan itu terhadap kepentingan awam melibatkan agama dan masyarakat. Tambah pula, menurut perspektif Islam malah juga dari sudut nilai moral dan naluri kemanusiaan, kesalahan _musahaqah_ ini adalah perlakuan songsang yang sangat mencemar maruah dan kehormatan masyarakat dan sangat berat sehingga boleh mengundang kemurkaan Allah s.w.t.

4. Justeru, sama ada ia merupakan kesalahan kali pertama atau kali ke-berapa pun, adalah munasabah hukuman pengajaran seperti sebat syarie dijatuhkan sebagaimana peruntukan undang-undang itu bagi memberi amaran dan mesej nasihat bukan hanya kepada pesalah tetapi juga kepada masyarakat agar tidak melakukannya.

5. Mengatakan bahawa hukuman yang dijatuhkan itu telah mempamerkan Islam bengis hanya memperlihatkan betapa tidak cermat dan jahilnya YAB Perdana Menteri dan ahli-ahli kabinet Kerajaan terhadap kaedah hukuman sebat syarie yang sebenar - sangat ringan dan tidak mencederakan kulit langsung.

6. Sangat malang, saya mengandaikan tiada dalam kalangan ahli kabinet termasuk yang berpendidikan agama memberikan pencerahan tentang kaedah hukuman sebat syarie ini kepada kabinet. Sebat syarie jauh lebih ringan berbanding kaedah sebat dalam undang-undang sivil yang menyakitkan dan mencederakan. Sebaiknya kabinet mempertikaikan hukuman sebat sivil berbanding mempertikaikan hukuman sebat syarie.

7. Ia bukannya mempamerkan wajah bengis Islam sebagaimana dakwaan songsang kabinet malah sebenarnya memaparkan wajah ihsan dan rahmatnya pelaksanaan sebat syarie. Sebaliknya sebat sivillah yang telah memaparkan wajah bengis undang-undang negara yang telah diterima pakai dan diamalkan sejak dahulu hingga sekarang. Itulah yang sepatutnya lebih utama dipertikaikan oleh kabinet.

8. Adapun imej buruk yang kononnya dipaparkan oleh sebat syarie ini sebagaimana dakwaan kabinet, suka saya tegaskan bahawa imej buruk itu terpapar apabila perlakuan songsang disokong dan dibela oleh pemimpin bergelar Muslim. Sebaliknya, menghukum sebagai pengajaran terhadap perlakuan sumbang ia adalah lambang betapa Islam adalah agama yang terhormat dan mengangkat nilai kehormatan diri masyarakat daripada terjebak dalam perlakuan songsang dan sumbang.

9. Islam dicemuh bukan kerana hukuman sebat syarie itu, tetapi kerana ada dalam kalangan pemimpin Kerajaan yang beragama Islam lemah jiwa dan imannya serta tidak bersifat "izzah"  dan tegas terhadap kemungkaran menyebabkan orang yang jahil dan pihak yang memusuhi Islam bertambah selesa untuk terus memberikan persepsi buruk terhadap Islam.

10. Saya mengira kabinet pimpinan PH telah memberi mesej yang salah tentang sikap dan pendirian mereka terhadap amalan songsang. Saya berharap agar YAB Perdana Menteri dan Kerajaan Pakatan Harapan dapat memperbetulkan semula pendirian yang songsang dan sumbang ini.

Sekian.

”Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

No comments:

Post a Comment