Tuesday 8 November 2016

DRAF UCAPAN PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2017 - PERINGKAT JAWATANKUASA* *B3 Jabatan Audit Negara & B6 Jabatan Perdana Menteri* Oleh YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali

*DRAF UCAPAN PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2017 - PERINGKAT JAWATANKUASA*

*B3 Jabatan Audit Negara & B6 Jabatan Perdana Menteri*
Oleh
YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Ahli Parlimen Kuala Nerus

(Poin-poin utama draf ucapan telah disampaikan pada Selasa 8hb November 2016)

B3 Jabatan Audit Negara ; Butiran 020000 Pengauditan

Melihatkan seringkali berlaku masalah kebocoran, ketirisan dan ketidakcekapan dalam pengurusan kewangan kerajaan seperti mana yang dilaporkan oleh Jabatan Ketua Audit Negara saban tahun, saya merasakan sudah sampai masanya Jabatan Audit Negara dijadikan sebuah badan luar yang bebas (independet external audit) supaya peranan dan kuasa yang dimilikinya untuk mengaudit menjadi lebih berkesan dan tidak atas kepentingan tertentu atau dilihat seolah-olah memberi kepentingan kepada pihak tertentu.

*B6 Jabatan Perdana Menteri* 
1.Butiran 020000 UNIT PERANCANG EKONOMI & Butiran 020200 Perancangan Ekonomi

Ekonomi bermaksud kebijaksanaan menguruskan sumber yang terhad bagi menunaikan pelbagai keperluan yang tidak terhad.

Tetapi, apa yang mendukacitakan, pada hari ini rakyat masih dibelenggu dengan masalah mendapatkan perkerjaan menyebabkan tiada sumber pendapatan, pertumbuhan gaji yang sangat perlahan atau hampir tiada, terbeban dengan pelbagai hutang dan bernilai tinggi, tidak mampu memiliki rumah kediaman kerana harga pasaran melambung tinggi dan kesukaran mendapat akses pembiayaan dan terdedah dengan ancaman jenayah kekerasan dan harta benda termasuk ketika berada di tempat awam dan rumah sendiri.

Soalan saya, sejauh mana perancangan ekonomi dirujuk kepada para alim ulamak? Adakah diwujudkan Penasihat Syariah supaya segala perancangan ekonomi bertepatan dengan kehendak Syariat lalu boleh mencapai tahap “keberkatan ekonomi’ sehingga seluruh rakyat dapat merasai nikmatnya?

*2.Butiran 040400 Majlis Keselamatan Negara (MKN)*

1.Saya ingin menfokuskan kepada Special Task Force di Sabah dan Wilayah Persekutuan. Antara salah satu tugas Pasukan Tugas Khas ini ditubuhkan adalah bagi mengawal kemasukan pekerja asing di Sabah.

2.Saya ingin mendapatkan maklumat mengenai berapakah jumlah terkini pelarian Filipina di Sabah yang diberikan hak untuk bekerja secara sah. Pada 2009, jumlah mereka hanya dianggarkan sekitar 60,000 orang. Mereka tidak dikira sebagai regular foreign workers (pekerja asing biasa yang menerima permit). Jadi, apakah langkah seterusnya yang akan diambil pihak kerajaan terhadap mereka? Adakah mereka akan dihantar pulang selepas tempoh tertentu? Adakah di sana terdapat faktor yang menyumbang kepada aktviti penculikan di perairan Sabah berikutan kenyataan yang pernah dikeluarkan pihak kementerian bahawa aktiviti penculikan yang berlaku juga menlibatkan “orang dalam” di sana?

3.Kedua, anggaran pekerja asing tanpa izin di Sabah bermula tahun 2000 adalah 630,090 orang dan meningkat kepada 836,600 pada 2010. Jadi, apakah langkah yang diambil menangani pekerja asing yang memasuki di Sabah?

4.Ketiga, saya melihat kita mempunyai kelemahan yang begitu ketara dalam aspek penyediaan data yang lengkap, menyeluruh dan tepat mengenai jumlah pekerja asing dan PATI terutama di Sabah. Apakah kementerian berhasrat bagi menangani aspek ini?

*3.Butiran 350000 Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)*

1.Saya ingin mendapatkan maklum balas daripada pihak kementerian mengenai projek East Cost Rail Line (ECRL) di bawah ECERDC. Saya rasa sesuatu yang begitu penting bagi pihak kerajaan menjelaskan jumlah sebenar kontrak yang diberikan kepada China Communication Construction Company Ltd (CCCC). Mengikut kenyataan dalam laman web CCCC bertarikh 2 November 2016, jumlah kontrak yang dimenterai adalah RM46bilion sedangkan Perdana Menteri mengumumkan jumlah kontrak sebanyak RM55bilion. Mengapa terdapat perbezaan yang ketara dalam perkara ini?

2.Kedua, jika jumlah RM55bilion bagi 620km beerti pada setiap kilometer, RM92 juta diperuntukan. Jumlah ini terlalu tinggi jika kita bandingkan Ipoh-Padang Besar yang hanya RM38juta bagi setiap km, manakala Gemas-JB juga sekitar RM36juta/km. Adakah kerajaan melakukan statistical analisis terhadap peruntukan yang optimal yang seharusnya dilaburkan dalam projek ini?

3.Ketiga, CCCC telah disenaraihitamkan oleh Bank Dunia sejak 21 Januari 2009 sehingga Januari 2017 disebabkan beberapa kes penyelewengan. Malah CCCC juga disenaraihitam oleh African Development Bank, Asian Development Bank, European Bank for Reconstruction and Development. Begitu juga daripada agensi berita Bloomberg yang melaporkan sejak 2007 hingga 2012, terdapat 18 jabatan runtuh di China dan salah satunya baru berusia 9 bulan. Jadi, disebalik kedudukan syarikat CCCC yang terpalit dengan pelbagai salah laku, mengapa Malaysia meilih syarikat berkenaan dalam membiayai projek ECRL? Apakah kerajaan tidak meneliti aspek ini terlebih dahulu sebelum sesuatu tender di berikan?

*4.Butiran : 010600 Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan*

Dalam hadis menyebut “ahli mesyuarat adalah pemegang amanah”. Untuk itu diwujudkan Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi menjaga keselamatan rahsia kerajaan. Namun, jangan sampai akta itu pula menjadi halangan untuk seseorang melaksanakan tanggungjawab Amar Makruf Nahi Mungkar bagi mendedahkan sebarang penyelewengan dan salah urus negara.
Sewajarnya, Kerajaan memberikan laluan kepada pendedahan-pendedahan yang dibuat itu agar disiasat secara telus dan menyeluruh oleh pihak-pihak berkuasa yang berkaitan demi kepentingan dan kebaikan untuk rakyat dan negara; bukannya bertindakbalas dengan memberikan ancaman dan memperalatkan pihak-pihak tertentu supaya mengenakan tindakan kepada mereka.

*5.Butiran : 450000 TV AL-HIJRAH*

Saya sangat gembira apabila pada 16hb September 2009, stesen TV Islami pertama di Malaysia, TV AlHijrah hadir sebagai penanda era baru dalam industri penyiaran di Malaysia dengan matlamat untuk menyediakan sebuah platform TV untuk mendidik, menghibur dan menyatukan ummah.

Selepas kemunculannya, kini TV Al-Hijrah mempunyai 2.2 juta penonton dan berada pada tangga ke-33 di dunia dalam senarai pengeluar program TV berkonsepkan Islamik.

Sasaran untuk menjadikan TV Al-Hijrah tersenarai dalam kedudukan 10 terbaik dunia seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Izelan Basar, sepatutnya turut disokong dengan peruntukan yang lebih besar daripada Kerajaan.

Apa yang mendukacitakan, Kerajaan telah menurunkan peruntukan kepada TV Al-Hijrah daripada RM22.4 juta pada 2016 kepada RM15.7 juta pada 2017. TV Hijrah telah diminta untuk menjana pendapatan menerusi tajaan iklan, namun tentulah tidak mudah bagi TV Hijrah kerana mereka berhadapan dengan cabaran untuk memastikan hanya iklan yang menepati Syariah sahaja yang dibenarkan. Tidakkah wajar bagi kerajaan mengekalkan peruntukan sebelum ini bersesuaian dengan tanggungjawab kerajaan bagi memperkasakan Islam dalam Negara?

SEKIAN

No comments:

Post a Comment