Thursday 26 May 2016

*PARAS HUTANG ISI RUMAH TINGGI ANCAM RAKYAT, NEGARA*

*KENYATAAN MEDIA*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

26 Mei 2016 | 19 Syaaban 1437H

*PARAS HUTANG ISI RUMAH TINGGI ANCAM RAKYAT, NEGARA*

1. Kerajaan tidak sepatutnya memandang positif paras hutang isi rumah yang mencecah 89.1% daripada KDNK semata-mata kerana peningkatan itu disokong oleh pemilikan aset yang bernilai.

2. Realiti pertambahan pendapatan isi rumah yang lembab dan tidak selari dengan peningkatan kos sara hidup menyebabkan masyarakat terus dihimpit dengan bebanan hutang yang tinggi sepatutnya diberikan perhatian yang serius oleh Kerajaan.

3. Jika ditinjau dari sudut pengurusan hutang dalam kalangan rakyat di negara ini, ia amat merisaukan. Sejumlah 148,830 atau 35.5% daripada 418,941 pelanggan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mempunyai masalah hutang, menyertai Program Pengurusan Kredit (PPK) dan hanya 9,937 kes atau 6.68% sahaja berjaya diselesaikan dengan jumlah keseluruhan RM407.9 juta.

4. Peningkatan mendadak peserta PPK kepada hampir 20,000 orang pada 2014 daripada purata 12,000 orang bagi tempoh 2008 hingga 2013 juga membuktikan semakin ramai rakyat negara ini bermasalah dengan hutang yang mereka miliki.

5. Lagi, 100,000 individu yang telah diisytiharkan muflis bagi tempoh 2010 hingga April 2015 dan sejumlah 1.25 juta peminjam PTPTN yang telah disenaraikan dalam CCRIS menunjukkan betapa tidak baiknya tahap kebolehupayaan membayar semula hutang dalam kalangan rakyat di negara ini. Jumlah yang akan diisytiharkan bankrap juga dijangkakan bakal meningkat dengan lebih mendadak.

6. Kerajaan juga harus sedar bahawa peningkatan nisbah hutang isi rumah kepada KDNK akan membawa kepada pengangguran yang makin bertambah dan pertumbuhan ekonomi yang makin perlahan khususnya dalam suasana ekonomi global yang lembab serta masalah ekonomi yang dihadapi oleh negara-negara serantau dan Malaysia pula sangat bergantung kepada aktiviti perdagangan.

7. Lebih malang lagi ialah jika hutang-hutang yang ditanggung oleh rakyat pada ketika ini terjebak dengan riba. Allah berfirman, maksudnya :

_“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu.”_

(Al-Baqarah : 275)

Sekian.

_“Beristiqamah Hingga Kemenangan”_

*DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus /_
_Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)_

No comments:

Post a Comment