Tuesday, 13 December 2011

IKHLAS DAN NIAT YANG BAIK DALAM SEMUA PERLAKUAN ZAHIR DAN BATIN


IKHLAS DAN NIAT YANG BAIK
DALAM SEMUA PERLAKUAN ZAHIR DAN BATIN
Allah swt berfirman:
وَمَا أُمِرُوا إِلا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ
Dan tidaklah kamu diperintahkan melainkan untuk beribadah kepada Allah dengan penuh ikhlas (mentuluskan) hanya untuk-Nya segala ketundukan (kepatuhan), lagi Hanif (condong hatinya terhadap Islam), menegakkan solat dan menunaikan zakat. Dan itulah Din (umat) yang lurus. (Surah al-Bayyinah, ayat 5)
Allah swt berfirman:
لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ
Sama sekali Allah tidak akan dicapai oleh daging-daging (sembelihanya) dan begitu juga darah-darah sembelihannya, tetapi Dia dicapai oleh ketaqwaan dari diri kamu. (Surah al-Hajj, ayat 37)
Menurut Ibn `Abbas radiyallahu anhuma, maksud ketaqwaan dalam ayat di atas ialah “tetapi Dia dicapai oleh niat-niat”.
Diriwayatkan daripada sahabat Nabi saw bernama Umar bin al-Khattab r.a. katanya, Rasulullah saw bersabda:
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ومَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
“Segala amalan berdasarkan niat-niat. Setiap orang hanya mendapat apa yang diniatkan. Oleh itu sesiapa yang penghijrahannya adalah penghijrahan kepada Allah dan Rasul-Nya maka penghijrahannya itu adalah penghijrahan kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang penghijrahannya adalah penghijrahan kepada dunia yang akan diperolehinya atau wanita yang akan dikahwininya maka penghijrahannya itu adalah penghijrahan kepada apa yang ditujunya.” (Hadis Sahih disepakati oleh Bukhari dan Muslim)
Hadis ini adalah Hadis Sahih yang disepakati kesahihannya oleh Bukhari dan Muslim dan juga disepakati kedudukannya yang besar dan hebat. Ia juga merupakan salah satu hadis yang menjadi paksi kepada Islam. Para salafussolih sangat gemar memulakan tulisan-tulisan mereka dengan hadis ini bagi menyedarkan orang yang membacanya tentang niat baiknya dan juga keprihatinannya terhadap niat baik tersebut.
----------------
Imam Abu Sa`id `Abdurrahman bin Mahdi r.h. berkata: “Sesiapa yang berhasrat mengarang buku maka hendaklah dia memulakan dengan hadis ini.”
Imam Abu Sulayman al-Khattabi r.h. pula berkata: Guru-guru kami terdahulu menghukumkan sunat mendahulukan hadis ini di awal semua urusan agama yang ingin dilakukan kerana hadis ini sangat diperlukan dalam semua jenis pekerjaan.
Sampai kepada kami Ibn `Abbas r.a. menyatakan: “Seseorang itu hanya dijaga berdasarkan tahap niatnya”. Ulama-ulama lain pula menegaskan: “manusia diberikan (pahala) berdasarkan tahap niat mereka”.
Imam Abu Ali al-Fudhail bin `Iyadh r.a. berkata: “meninggalkan amalan kerana manusia adalah riya’. Melakukan amalan kerana manusia adalah syirik. Ikhlas pula ialah kamu dipelihara oleh Allah daripada kedua-duanya”.
Imam al-Harith al-Muhaasibi r.h. berkata: “Orang yang benar (Sodiq) adalah orang yang tidak peduli sekiranya terkeluar segala bentuk penghargaan terhadap dirinya dalam hati makhluk, demi menjaga keelokan hati nuraninya. Dia juga tidak suka mendedahkan kepada orang ramai segala amalan baiknya yang sangat kecil dan benci memperlihatkan kepada manusia keburukan amalannya.”
Diriwayatkan daripada Huzaifah al-Mar`isyi r.h. berkata: “Keikhlasan ialah perlakuan-perlakuan seseorang hamba itu sama sahaja ketika zahir mahupun tersembunyi.”
Kami riwayatkan daripada Imam Abu al-Qasim al-Qusyairi berkata: “Keikhlasan ialah mengesakan hak Allah swt dalam ketaatan dengan sengaja, iaitu diinginkan dengan ketaatannya itu mendekatkan diri kepada Allah bukannya yang lain samada bermuka-muka dengan makhluk, mendapatkan pujian di sisi manusia atau sukakan pujian daripada makhluk atau sebarang tujuan selain daripada mendekatkan diri kepada Allah.”
Imam Abu Muhammad Sahl bin Abdullah al-Tustari r.h. berkata: “Orang-orang yang bijak meneliti tafsiran ikhlas lalu tidak menemui melainkan tafsiran ini: bahawa segala gerak-gerinya dan diamnya ketika sunyi atau nyata adalah demi Allah yang tidak diacampur-aduk oleh hawa nafsu, kehendak dan juga dunia.”
Kami riwayatkan daripada al-Ustaz Abu Ali al-Daqqaq r.h. berkata: “Keikhlasan ialah berlindung diri daripada perhatian makhluk. Benar pula ialah mensucikan diri daripada menurut tuntutan nafsu. Oleh itu orang yang ikhlas tidak mempunyai riya’ dan orang yang benar tidak mempunyai rasa takjub dengan diri.”
Diriwayatkan daripada Zu al-Nun al-Misri r.h. berkata: “Tiga tanda keikhlasan, iaitu pujian dan kejian daripada orang ramai adalah sama, lupa memperlihatkan amalan dalam beramal dan mengharapkan pahala amalan di Akhirat.“

Kami riwayatkan daripada al-Qusyairi r.h. berkata: “Sekurang-kurang benar ialah sama ketika tersembunyi atau ketika nyata.”
Diriwayatkan daripada Sahl al-Tustari: “Bau benar (sidq) tidak akan dicium oleh hamba yang melangkau keinginannya atau yang lainnya.”

No comments:

Post a Comment