Friday, 20 January 2023

Mutiara FIQH (1): Maksud Silaturrahim

Mutiara FIQH (1)

Soalan
Apakah yang dimaksudkan dengan silaturrahim dan siapakah ahli keluarga yang wajib dijaga silaturrahim dengan mereka sebagaimana disebut dalam Hadis?

Jawapan
Silaturrahim adalah perkataan Arab yang telah menjadi kata pinjaman dalam bahasa Melayu. Ia berasal dari perkataan "silah" bermaksud sambung dan "rahim" bermaksud rahim yang darinya lahir zuriat dan keturunan. Silaturrahim bermaksud menyambung hubungan dengan ahli keluarga dan kaum kerabat yang ada hubungan rahim.

Nabi saw bersabda
ومَن كانَ يُؤْمِنُ باللَّهِ واليَومِ الآخِرِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ،
"Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia menyambung rahim"
(Hadis Bukhari)

Menurut pendapat majoriti Ulamak, Rahim yang wajib disambung ialah rahim yang ada hubungan mahram seperti ibu, bapa, anak, adik beradik, bapa dan ibu saudara, datuk, nenek dan datuk dan nenek saudara. Adapun rahim yang sunat disambung ialah rahim yang bukan mahram seperti sepupu dan seumpamanya.

Menurut Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim, silaturahim ialah melakukan ihsan dan kebaikan kepada kaum kerabat berdasarkan keadaan rahim yang berhubung dan yang dihubungkan. Ada kalanya menerusi harta dan ada kalanya dengan khidmat atau ziarah, memberi salam dan sebagainya.

Maka sesiapa yang melakukan sekecil-kecil kebaikan kepada saudara mara yang ada hubungan rahim seumpama memberi salam dan bertanya khabar bererti dia telah menunaikan hak dan tanggungjawab menyambung rahim sebagaimana digesa oleh Hadis Nabi saw.

Disediakan oleh
Ustaz Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Rabu 23.2.2022

Mutiara FIQH: Sunat Meramaikan Orang Solat Janazah

Mutiara FIQH
Sunat Meramaikan Orang Solat Janazah

Meramaikan orang yang soleh dan baik mengerjakan solat Janazah terhadap seseorang yang mati sehingga mencapai bilangan 40 atau 100 orang adalah sunat. 

Dalilnya ialah Hadis Sahih Muslim yang Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa beliau mendengar Nabi saw bersabda

"Tiada seorang pun lelaki muslim yang mati lalu berdiri solat jenazah ke atasnya 40 orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu melainkan Allah memberi syafaat kepadanya"

Dalam Hadis Sahih Muslim juga daripada Aisyah (radiyallahu anha) bahawa Nabi (saw) bersabda

ما مِن مَيِّتٍ تُصَلِّي عليه أُمَّةٌ مِنَ المُسْلِمِينَ يَبْلُغُونَ مِئَةً، كُلُّهُمْ يَشْفَعُونَ له، إلَّا شُفِّعُوا فِيهِ.

"Tiada seorang pun orang mati yang disolatkan janazahnya oleh satu umat daripada orang-orang Islam mencapai bilangan 100 orang, semuanya memohon syafaat bagi si mati melainkan Allah memberikan syafaat kepadanya." 

Ada 2 syarat untuk si mati mendapat Syafaat sebagaimana difahami daripada Hadis. 

Pertamanya, pelaku solat Janazah adalah orang yang soleh yang tidak mensyirikkan Allah. 

Keduanya, mereka memohon kepada Allah dengan penuh ikhlas agar diberikan syafaat dan keampunan dosa kepada si mati. 

Sekian

Ustaz Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Rabu 11hb Disember 2019

Hukum Haji & Mengundi; Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Perlu Bersidang


Hukum Haji & Mengundi; Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Perlu Bersidang

1. Malaysia adalah negara Persekutuan dengan YDP Agong adalah ketua negaranya. Walak dan ketaatan rakyat ialah kepada YDP Agong mewakili semua Sultan dan Raja Melayu. Agama bagi negara pula ialah Islam malah sumpah YDP Agong juga ialah mesti memelihara Islam dalam negara. YDP Agong adalah Khalifah Malaysia dalam konteks sistem pemerintahan Islam yang perlu diberikan ketaatan dan walak. Menentang YDP Agong secara bersenjata adalah salah satu kesalahan jenayah Hudud dalam Islam iaitu pemberontakan dan dikenakan hukuman keras menurut undang-undang Malaysia.

2. Pilihanraya pula adalah untuk memilih siapa yang lebih baik untuk mengetuai kerajaan YDP Agong. Sesiapa pun yang terpilih mengetuai kerajaan maka dia terikat dengan perlembagaan Malaysia yang menetapkan Islam sebagai Agama Persekutuan. Sekiranya terlantik yang kurang kelebihannya di saat ada yang lebih berkemampuan sekalipun pemilihannya adalah sah menurut sistem politik Islam sebagaimana dibahas oleh Sarjana Politik Islam dalam Bab ( إمامة المفضول ) iaitu kepimpinan orang yang kurang kelebihannya.

3. Dalam situasi semasa ini, terlibat dalam pilihanraya memilih calon-calon yang nanti akan menjadi ketua kerajaan adalah Fardhu Kifayah, apabila telah dilaksanakn oleh sebahagian umat Islam maka gugurlah kewajipan daripada semua. Ia juga Sunnah Muakkadah kepada setiap individu orang Islam untuk turun mengundi dan bukan Fardhu Ain dengan makna wajib pada setiap individu muslim.

4. Kecuali dalam satu keadaan bahawa mengundi melibatkan pemilihan antara Islam dan kufur dengan maksud kekufuran akan menggantikan Islam yang akan memudaratkan Islam dan umat Islam maka barulah hukum Fardhu Ain mengundi jatuh kepada setiap individu muslim dalam sesebuah negara. Dan situasi itu tidak berlaku dalam konteks Malaysia semasa. Saya menyebut dalam konteks semasa kerana hukum Islam dibina atas situasi semasa bukan dalam konteks negara lain dan juga pada waktu yang lain.

5. Dalam kontek pilihanraya semasa pertembungan dan persaingan adalah antara 3 parti utama BN, PH dan PN yang semuanya diketuai oleh orang Islam. Maka pemilihan ialah antara mana yang lebih "aslah" atau "lebih baik" bagi melaksanakan amanah menguruskan kerajaan berdasarkan rekod berkerajaan dan manifesto semasa yang ada pada parti masing-masing.

6. Dari sini kita boleh menilai hukum mengerjakan Haji atau Umrah dengan meninggalkan tanggungjawab mengundi. Sekiranya Haji itu adalah Haji Fardhu yang datang pula gilirannya berpuluh tahun sekali menurut sistem penggiliran Tabung Haji maka kewajipan Haji mesti diutamakan berbanding pilihanraya yang Fardhu Kifayah dan Sunnah Muakkadah.

7. Adapun Haji dan Umrah yang sunat maka keduanya wajar dan boleh ditangguhkan pada waktu lain kerana tuntutan mengundi tidak berlaku saban tahun. Ia hadir 5 tahun sekali kecuali pilihanraya kecil. Di sini kaedah Fiqh "perkara yang sempit didahulukan berbanding perkara yang lapang masanya" diguna pakai.

8. Apapun hukum-hakam berkaitan mengundi  di saat pilihanraya perlu diteliti lebih halus oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kerana ia melibatkan masyarakat Islam yang besar agar tidak timbul kekeliruan hukum di kalangan masyarakat.

Dr Khairuddin Takiri
Sabtu 24.12.2022

Thursday, 19 January 2023

Perpaduan Adalah Wajib Walau Tidak Dijenamakan Dengan Islam

Perpaduan Adalah Wajib Walau Tidak Dijenamakan Dengan Islam

1. Perpaduan antara manusia dalam sebuah negara meskipun berbeza agama dan bangsa itu adalah satu perkara yang wajib dilakukan oleh pemerintah dalam Islam. Ia tidak perlu dijenamakan sebagai Islam kerana perpaduan itu sendiri adalah perintah Islam.

2. Oleh kerana itu Islam mengarahkan setiap individu muslim memberi ketaatan dan walak kepada pemerintah semasa.  Semuanya demi menjaga perpaduan rakyat. Hatta Nabi saw mengarahkan dibunuh Khalifah yang diberi baiah ketaatan setelah diberi baiah ketaatan kepada Khalifah yang awal. Itu semua demi menjaga perpaduan rakyat.

Nabi saw bersabda
إذا بُويِعَ لِخَلِيفَتَيْنِ، فاقْتُلُوا الآخِرَ منهما
"Apabila diberi baiah ketaatan kepada dua Khalifah maka bunuhlah Khalifah terkemudian daripada mereka berdua"
(Hadis Muslim)

Kewujudan dua pemerintah atau dua khalifah dalam sebuah negara memecah-belakan masyarakat Islam dan meletakkan negara dalam bahaya. Oleh itu, datang perintah yang keras daripada Nabi saw iaitu mesti dibunuh Khalifah kedua.

3. Hatta sekiranya pemerintah muslim itu fasik sekalipun masih perlu diberikan ketaatan dan walak pada perkara makruf dan dicegah kemungkaran pada perkara mungkar dengan lidah bukan dengan  senjata. Semuanya demi menjamin perpaduan rakyat.

Nabi saw bersabda dalam Hadis Muslim
سَتَكُونُ أُمَراءُ فَتَعْرِفُونَ وتُنْكِرُونَ، فمَن عَرَفَ بَرِئَ، ومَن أنْكَرَ سَلِمَ، ولَكِنْ مَن رَضِيَ وتابَعَ قالوا: أفَلا نُقاتِلُهُمْ؟ قالَ: لا، ما صَلَّوْا.
"Akan dilantik pemerintah-pemerintah lalu kamu suruh mereka membuat makruf dan larang mereka membuat kemungkaran. Sesiapa yang membenci kemungkaran (dalam hati) dia terlepas. Sesiapa yang mengengkari dia selamat. Tetapi yang redha (dengan hati) dan menurut (dia tidak terlepas dan selamat).
Sahabat bertanya : tidak bolehkah kita memerangi mereka (dengan senjata)?
Jawab Nabi saw: Tak boleh selagi mana mereka solat".

5. Menentang pemerintah dengan senjata adalah jenayah besar termasuk dalam kategori jenayah Hudud dalam Islam yang perlu dijatuhkan hukuman bunuh.

6. Perpecahan dalam masyarakat berlaku kerana memberi makna yang salah terhadap konsep Amar Amaf Nahi Mungkar. Atas konsep ini kerajaan semasa diserang dengan keras hingga membangkitkan sentimen kebencian di kalangan rakyat lalu mereka berpecah atas nama penyokong kerajaan dan penyokong pembangkang. Sedang sepatutnya Amar Makruf Nahi mungkar itu atas isu-isu tertentu sahaja dan bukan dalam semua keadaan.

7. Perpecahan kalangan rakyat juga berlaku apabila "baiah" akujanji ketaatan setiap individu rakyat yang sepatut diberikan kepada pemerintah semasa dipindahkan kepada pemimpin parti lalu ia melahirkan taksub terhadap semua arahan kepimpinan parti atas nama perintah agama untuk taat kepada "jamaah". Di sinilah berlaku perpecahan rakyat.

Sedangkan makna sebenar "jamaah" ialah masyarakat besar umat Islam yang dipimpin oleh pemerintah semasa dalam sebuah negara. Jamaah Muslimin inilah yang dimestikan setiap muslim bersama dengannya dan tidak berpisah daripadanya dengan maksud tidak memeranginya.

Nabi saw
من فارق الجماعةَ قَيْدَ شِبرٍ فقد خلع رِبقةَ الإسلامِ من عُنُقِهِ
"Sesiapa yang berpisah dengan "jamaah" kadar sejengkal maka dia telah menanggalkan ikatan Islam ditengkuknya"
(Hadis Sahih Abu Dawud)

8. Hadis ini merujuk kepada "jamaah" masyarakat Islam dalam sebuah negara yang dipimpin oleh seorang pemerintah. Inilah "jamaah muslimin" yang dimaksudkan oleh puluhan hadis tentang makna "jamaah". Setiap individu rakyat perlu bersama dengan "jamaah muslimin" ini demi menjaga perpaduan rakyat. Tugasan amar makruf nahi mungkar dilaksanakan dalam konteks berjamaah dalam jamaah besar umat Islam ini.

9. Namun apabila perkataan "jamaah" dalam Hadis diberikan tafsiran yang salah dan mengelirukan dengan merujuk kepada jamaah dan kelompok parti tertentu sahaja maka di sinilah punca kepada perpecahan. Walak kepada jamaah umat Islam dipindahkan kepada jamaah kecil sedang jamaah kecil itu hanya satu jamaah daripada jamaah besar umat Islam.

10. Bayangkan begitu besar sekali perpaduan dalam Jamaah Muslimin dan masyarakat besar umat Islam perlu dipelihara sehingga Nabi saw mengaitkannya dengan tertanggal ikatan Islam. Ia tidak merujuk kepada jamaah-jamaah kecil yang dibentuk oleh umat Islam untuk kerja-kerja kebajikan, dakwah dan amar makrif nahi mungkar. Itu hanya satu jamaah atau satu kelompok daripada Jamaah Muslimin yang besar dipimpin oleh seorang pemerintah Islam dalam sebuah negara.

11. Malah sekiranya pembentukan jamaah kecil ini menjadi sebab perpecahan umat Islam maka penubuhan jemaah sebegini perlu dinilai semula dan dibetulkan hala tuju agar kembali kepada tujuan asal penubuhan kumpulan dakwah iaitu menyatukan umat dan melaksanakan kerja dakwah.

12. Marilah kita bersatu dalam jamaah besar umat Islam yang dipimpin oleh seorang pemimpin yang dilantik secara sah oleh rakyat. Itulah sebenar-benar "jamaah muslimin". Memecahkan jamaah muslimin ini merosakkan asas bernegara. Laksanakan tugasan Amar Makruf Nahi Mungkar namun jangan sampai umat berpecah.

Dr Khairuddin Takiri
26.12.2022

Wednesday, 18 January 2023

Photo 18 Januari 2023

SABIILUL BAARI ; Tafsir Surah al-A'raf Ayat 11

بيل الباري في تفسير كتاب الله الهادي

SABIILUL BAARI
fi Tafsir Kitabillah al-Hadi

Tafsir Surah al-A'raf Ayat 11

Allah berfirman kepada para Malaikat
وَلَقَدْ خَلَقْنَاكُمْ ثُمَّ صَوَّرْنَاكُمْ ثُمَّ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ لَمْ يَكُن مِّنَ السَّاجِدِينَ
"Dan sememangnya Kami telah menciptakan kamu kemudian Kami membentuk rupa kamu kemudian Kami berfirman kepada Malaikat; sujudlah kamu kepada Adam lalu mereka sujud melainkan Iblis, dia tidak tergolong kalangan makhluk yang sujud"

TAFSIR

1. Menurut Ibnu al-Arabi, Umat Islam bersepakat bahawa sujudnya para Malaikat kepada Adam sebagaimana perintah Allah bukannya sujud sebagai ibadah pengabdian diri kepada Adam. Menurut Tabari pula ianya sujud penghormatan dan memuliakan bukannya sujud ibadah pengabdian diri.

2. Sujud untuk memuliakan makhluk dibenarkan dalam Syariat umat terdahulu sebagaima sujudnya Nabi Yaakub dan anak-anaknya kepada Nabi Yusof tatkala melawat Yusof yang telah menjadi orang besar kerajaan Mesir.

3. Adapun dalam Syariat Rasulillah saw, Ulamak bersepakat bahawa sujud makhluk kepada makhluk walau atas dasar penghormatan diharamkan.

4. Hal ini difahami daripada Hadis Nabi saw dalam kisah Mu'az bin Jabal radiyalahu anhu yang sujud kepada baginda saw sebaik beliau pulang daripada Syam lalu ditegah oleh baginda saw.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أَوْفَى ، قَالَ : " لَمَّا قَدِمَ مُعَاذٌ مِنَ الشَّامِ سَجَدَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: ( مَا هَذَا يَا مُعَاذُ؟ ) ، قَالَ : أَتَيْتُ الشَّامَ فَوَافَقْتُهُمْ يَسْجُدُونَ لِأَسَاقِفَتِهِمْ وَبَطَارِقَتِهِمْ ، فَوَدِدْتُ فِي نَفْسِي أَنْ نَفْعَلَ ذَلِكَ بِكَ ،
Daripada Abdillah bin Abi Aufa katanya; tatkala Mu'az datang daripada Syam beliau sujud kepada Nabi saw. Nabi bertanya; apa ini wahai Mu'az? Kata Mu'az; saya mendatangi Syam lalu saya berbetulan mereka sujud kepada bishop dan pope mereka maka saya berhasrat dalam diri saya untuk kami melakukan perkara itu dengan kamu.
فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ( فَلَا تَفْعَلُوا، فَإِنِّي لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِغَيْرِ اللَّهِ ، لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا)
Lalu Rasulullah saw bersabda; "maka jangan kamu lakukan kerana sekiranya boleh saya arahkan seseorang sujud kepada selain Allah pasti saya arahkan wanita sujud kepada suaminya"
Hadis riwayat Ibnu Majah. Dinilai Hasan oleh al-Albaani. Sekian.

Ustaz Dato Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
30.12.2022

SABIILUL BAARI ; Tafsir Surah al-A'raf Ayat 12

سبيل الباري في تفسير كتاب الله الهادي

SABIILUL BAARI
fi Tafsir Kitabillah al-Hadi

Tafsir Surah al-A'raf Ayat 12

قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِّنْهُ خَلَقْتَنِي مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُ مِن طِينٍ (12)
Allah berfirman; Apa yang menghalang kamu (sujud lalu menjadikan kamu) tidak sujud di kala Aku perintahkan kamu? Kata Iblis; Aku lebih baik daripada dia. Kamu jadikan aku daripada api sedang kamu jadikan dia daripada tanah lumpur"

TAFSIR

1. Kayu ukur Iblis dalam menilai kelebihan seseorang ialah pada sifat fizikal iaitu asal usul kejadiannya daripada api yang dirasakan lebih baik dan mulia berbanding tanah yang menjadi asal usul kejadian Adam. Kayu ukur ini menjadikan dirinya sombong dan besar diri sehingga engkar arahan Allah untuk sujud kepada Adam. Demikianlah sesiapa yang menjadikan kelebihan pada fizikal dan harta benda sebagai kayu ukur menilai kelebihan seseorang maka dia telah mewarisi sifat Iblis.

2. Iblis dicela oleh Allah bukan hanya kerana keengganannya sujud  kepada Adam tetapi kerana keengkarannya terhadap perintah Allah untuk sujud kerana sebagai mahkluk sangat tidak wajar untuk engkar pada perintah Allah.

3. Imam Tabari menukilkan kata-kata al-Hasan dan Ibnu Sirin bahawa Iblis adalah makhluk pertama yang membuat kias perbandingan yang salah. Maksudnya menurut Imam Tabari ialah Iblis tersilap membuat kias perbandingan dalam menentukan kelebihan sedang Allah telah memuliakan Adam dengan mencipta Adam dengan tangan-Nya, ditiupkan pula ruh daripadaNya, diarahkan pula Malaikat untuk sujud kepadanya, diajar dengan pelbagai nama dan pelbagai lagi kemulian lain. Semuanya diketepikan oleh Iblis malah secara sengaja berhujah pula dengan penciptaannya daripada api berbanding penciptaan Adam dari tanah lumpur.
Sekian.

Ustaz Dato Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
31.12.2022

SABIILUL ‎BAARI ‎;Tafsir Surah al-A'raf Ayat ‎13

سبيل الباري في تفسير كتاب الله الهادي

SABIILUL BAARI
fi Tafsir Kitabillah al-Hadi

Tafsir Surah al-A'raf Ayat 13

قَالَ فَاهْبِطْ مِنْهَا فَمَا يَكُونُ لَكَ أَن تَتَكَبَّرَ فِيهَا فَاخْرُجْ إِنَّكَ مِنَ الصَّاغِرِينَ (13)
"Allah berfirman; oleh kerana itu turunlah kamu (wahai Iblis) daripadanya (syurga). Maka tak selayaknya kamu membesarkan diri dalam syurga. Justeru, keluarlah kamu daripadanya kerana sesungguhnya kamu di kalangan orang yang kecil hina"

TAFSIR

1. Gantinama dalam Ayat "turunlah kamu daripadanya" merujuk kepada Syurga menurut pandangan kebanyakan Ulamak Tafsir. Ada yang berpandangan ia merujuk kepada langit atau kepada kedudukan yang dinikmati oleh Iblis di langit. 

2. Syurga adalah tempat mulia bagi orang yang disucikan jiwa. Sikap takabbur tidak layak bagi ahli syurga Allah. Iblis dikeluarkan daripada syurga kerana bersifat sombong dan takabbur dengan kejadian dirinya yang dirasakan menurut pengiraannya lebih baik berbanding Adam.

3. Menurut Qurtubi ayat di atas dalil bahawa orang yang menderhakai Allah adalah hina.

3. Menurut Ibnu Kathir pula kehinaan Iblis itu adalah satu layanan  daripada Allah yang berlawanan dengan hasrat Iblis yang mahukan kemuliaan. Ia adalah balasan setimpal terhadap hasrat Iblis yang mahukan kemuliaan lalu dibalas oleh Allah dengan kehinaan. Di saat itu barulah Iblis menyedari kesilapannya lalu dia meminta pula kepada Allah agar dipanjangkan umur sehingga ke Hari Kebangkitan.

Sekian.

Ustaz Dato Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
1.1.2023

SABIILUL BAARI : Tafsir Surah al-A'raf Ayat 14-15

سبيل الباري في تفسير كتاب الله الهادي

SABIILUL BAARI
fi Tafsir Kitabillah al-Hadi

Tafsir Surah al-A'raf Ayat 14-15

قَالَ أَنظِرْنِي إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ (14) قَالَ إِنَّكَ مِنَ الْمُنظَرِينَ (15)
"Iblis berkata; tangguhkan ajalku sehingga Hari Kebangkitan. Allah berfirman; Sesungguhnya kamu di kalangan mereka yang ditangguhkan ajal (dipanjangkan umur)"

TAFSIR

1. Iblis memohon kepada Allah agar dipanjangkan umur sehingga ke Hari Kebangkitan iaitu Hari di mana semua makhluk Allah di langit dan di bumi yang dimatikan dibangkitkan semula untuk dihimpunkan di Padang Mahsyar lalu dihisab dosa dan pahala. Ertinya Iblis memohon untuk dia tidak dimatikan di saat semua makhluk dimatikan oleh Allah. Itu adalah permohonan licik daripada Iblis untuk kekal abadi tidak mati selama-lamanya kerana tiada lagi kematian apabila tiba Hari Kebangkitan.

2. Kata Tabari, ini satu lagi kejahatan keji Iblis. Dia memohon sesuatu yang diketahui tidak akan diperolehi oleh makhluk iaitu dipanjangkan umur sehingga Hari Kebangkitan.  Sekiranya diperkenankan apa yang dipinta ia bererti memberi kepadanya kehidupan yang kekal tidak binasa lagi kerana tiada lagi kematian selepas Hari Kebangkitan.

3. Permohonan Iblis itu diperkenankan oleh Allah sebahagiannya. Dia dipanjangkan umur tetapi tidak sepertimana dipinta iaitu selama-lamanya, hanya dipanjangkan umur sehingga Hari Kiamat sahaja dan dia akan dimatikan pada Hari semua makhluk Allah dimatikan. Ia disebut dalam surah al-Hijr: 37-38 dan surah Sod 80-81:

قَالَ فَإِنَّكَ مِنْ الْمُنظَرِينَ  إِلَى يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ
"Allah berfirman; maka sesungguhnya kamu di kalangan makhluk yang dipanjangkan umur, sehingga Hari Waktu yang dimaklumi".

Hari Waktu yang dimaklumi ialah Hari Kiamat yang dimaklumi bahawa semua makhluk akan dimatikan  oleh Allah.

4. Menurut Ibnu Kathir, Allah memperkenankan permintaan Iblis untuk dipanjangkan umur kerana  ia mengandungi hikmah kebijaksanaan dan kehendak Allah yang tidak dapat lagi dicanggahi dan dihalang.
Sekian.

Disediakan oleh
al-Faqir ilallah
Dato Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Isnin 2.1.2023

SABIILUL BAARI ; Tafsir Surah al-A'raf Ayat 16-17

سَبِيْلُ البَارِي فِيْ تَفْسِيْرِ كِتَابِ الله الهَادِي

SABIILUL BAARI
fii Tafsiiri Kitaabillaahil Haadi

Tafsir Surah al-A'raf Ayat 16-17

قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ (16) ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِّن بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَن شَمَائِلِهِمْ ۖ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ (17)
"Iblis berkata; maka dengan sebab kamu telah menjatuhkan diriku dalam kesesatan pasti aku duduk untuk (mengganggu) mereka di jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku pasti mendatangi mereka dari hadapan mereka dan dari belakang mereka dan dari sebelah kanan mereka dan dari kiri mereka. Dan Kamu tidak akan mendapati kebanyakan mereka menjadi orang yang bersyukur"

TAFSIR

1. Iblis berikrar dan bersumpah untuk duduk mengganggu Adam dan zuriat baginda di setiap jalan lurus yang boleh membawa manusia ke jalan Allah. Iblis mengaitkan ikrar dan sumpah tersebut dengan alasan kerana dia telah dijatuhkan oleh Allah dalam kesesatan.

2. Gangguan dibuat oleh Iblis antaranya dalam bentuk bisikan keraguan di hati manusia sama ada ketika mahu melakukan kebaikan lalu dibisikkan keraguan dan dihasut agar meninggalkan kebaikan atau ketika mahu meninggalkan kejahatan lalu dibisikkan keraguan dan digoda untuk terus melakukan kejahatan. Allah berfirman dalam surah al-Naas: 5;
الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ
"yang membisik-bisik di hati-hati manusia"

3. Iblis juga berikrar akan sentiasa mendatangi anak-anak Adam dari empat arah iaitu depan, belakang, kanan dan kiri. Menurut Imam Tabari ia bermaksud Iblis berikrar mendatangi manusia daripada segenap jalan sama ada kebaikan mahupun kejahatan. Jalan kebaikan dengan cara menyimpangkan mereka daripadanya. Jalan kejahatan pula dengan cara menimbulkan kecintaan manusia kepada kejahatan tersebut.

4. Menurut Imam Ibnu Kathir, kerana itulah datang Hadis Nabi saw mengajar manusia memohon perlindungan (isti'azah) kepada Allah daripada gangguan Iblis daripada semua arah ini.

Abdullah bin Umar radiyallahu anhuma meriwayatkan:
لم يكنْ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَدَعُ هؤلاء الدعواتِ حينَ يُمسي، وحينَ يُصبِحُ :اللهم إني أسألُك العافيةَ في الدنيا والآخرةِ ، اللهم إني أسألُك العفوَ والعافيةَ في ديني ودنياي وأهلي ومالي ، اللهم استرْ عورتي وآمنْ روعاتي ، اللهم احفظْني مِن بين يديَّ ومن خلفي وعن يميني وعن شمالي ومن فوقي ، وأعوذُ بعظمتِك أن أُغتالَ مِن تحتي.
"Rasulullah saw sama sekali tidak meninggalkan doa-doa berikut ketika berpetang dan berpagi: "Ya Allah, sesungguhnya aku mohon keselamatan di dunia dan di akhirat. Ya Allah sesungguhnya aku mohon kemaafan dan keselamatan pada agamaku, duniaku, keluargaku dan hartaku. Ya Allah tutuplah keaiban-keaibanku dan amankanlah ketakutan-ketakutanku. Ya Allah peliharalah daku dari hadapanku, dari belakangku, dari kananku, dari kiriku dan dari atasku. Dan aku berlindung dengan kebesaran-Mu daripada aku dikhianati dari bawahku".
(Hadis Sahih riwayat Abu Dawud)

5. Menurut Ibnu Abbas radiyallahu anhu sebagaimana dinukilkan oleh Imam Tabari, Iblis tidak menyebut gangguan daripada arah atas kerana rahmat Allah selalunya turun ke atas hamba-hambanya daripada atas mereka.

6. Iblis mendakwa hasil tindakannya duduk menganggu di jalan yang lurus akan menjadi sebab kebanyakan manusia tidak bersyukur kepada Allah. Menurut Ibnu Kathir, dakwaan Iblis itu adalah sangkaan tetapi ia benar-benar menepati realiti.

7. Maka di saat Iblis berusaha memalingkan manusia daripada jalan Islam yang lurus, sesiapa yang terselamat perlu bersyukur kepada Allah malah syukur di saat itu adalah sebahagian keperibadian hamba yang mampu Istiqamah di jalan yang lurus.

Sekian

Disediakan oleh
al-Faqir ilallah
Dato Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Selasa 3.1.2023

'Selagi ada syaitan, langkah syaitan akan terus berjalan'


'Selagi ada syaitan, langkah syaitan akan terus berjalan'
Yasmin Ramlan

Diterbitkan:  Jan 14, 2023 8:00 AM Dikemaskini: 8:00 AM
ADS

WAWANCARA | Bekas ulama kanan PAS Mohd Khairuddin Aman Razali mengingatkan mana-mana pihak yang menyimpan agenda untuk menumbangkan kerajaan sedia ada agar ingat kepada ajaran agama.

Menyeru agar mereka "kembali kepada iman" dia yang pernah diberi amanah menjadi setiausaha Majlis Syura Ulama PAS berkata penampilan seseorang juga tidak patut mengaburi persepsi orang ramai.

Tanpa menyebut mana-mana pihak secara khusus, Mohd Khairuddin yang kini merupakan ahli Umno memberitahu secara sinis, penampilan luaran yang kelihatan alim tidak menjamin seseorang ahli politik itu mampu mengekang nafsu dan kerakusan kepada kuasa.

“Orang politik ni memang cita-citanya tinggi… dia nak ada kuasa. Yang boleh menghalang dia adalah iman saja (iaitu) iman kepada Allah Ta’ala," katanya.

Kerana itu kata bekas ahli parlimen Kuala Nerus berkenaan, iman seseorang tidak boleh dinilai hanya kepada penampilannya yang tertentu seperti sudah berjubah atau berserban.

Katanya kalau seseorang ahli politik itu tidak rakus mahukan kuasa, maka tiadalah agenda terselindung untuk menumbangkan kerajaan.

"Jadi jawapan kepada (cara mengelakkan) kerakusan itu adalah iman,” katanya ketika temubual bersama Malaysiakini baru-baru ini.

Langkah merosakkan negara

Mohd Khairuddin, 49, sebelum ini merupakan antara pemimpin kanan dalam PAS yang selalu menonjol dalam pelbagai isu, malah kegarangannya kadang-kadang mengundang polemik.

Selepas kerajaan PH dijatuhkan di luar pilihan raya, PAS mencalonkan nama Mohd Khairuddin untuk dilantik sebagai menteri. Dia sempat berkhidmat sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi selama kira-kira 17 bulan sebelum digugurkan ekoran pertukaran perdana menteri.

Mohd Khairuddin menjadi menteri di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Baru-baru ini dia menarik perhatian apabila memberi isyarat seolah-olah ada percaturan pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan, atau sekurang-kurangnya mengatur individu tertentu untuk mengetuai parti kerajaan.

Menyentuh mengenai percaturan itu, Mohd Khairuddin menyifatkan seseorang ahli politik yang sayangkan agama dan rakyat tidak akan bertindak sedemikian.

Namun pada masa sama dia bersikap realitik. 
“Selagi ada syaitan, 'langkah syaitan' ini akan terus berjalan. (Ia) Langkah yang merosakkan negara,” katanya apabila ditanya sama ada dia menjangkakan percaturan sedemikian akan berlaku lagi selepas PRU ke-15.

Kenyataan itu dibuat ketika orang ramai tertanya-tanya kesahihan 'Langkah London' yang didakwa didalangi pemimpin tertentu dalam Umno yang berpakat dengan PN di bandar raya tersebut.

Pertemuan berkenaan malah muncul selepas ada pertemuan terdahulu didakwa dilangsungkan di Jakarta Indonesia.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini sudah menafikan dia terbabit, malah tidak berada di London pada ketika pertemuan berkenaan didakwa berlangsung.

Seorang lagi naib presiden parti itu, Mahdzir Khalid, juga membuat penafian sama.

Kata Mohd Khairuddin semua pihak kini perlu menerima hakikat bahawa sudah ada parti yang membentuk kerajaan selepas mendapat mandat dalam PRU lalu.

“Jadi bagi mereka yang buat langkah (sulit) ini, jangan pecahkan parti orang... pecah dan perintah.

“Dan pada orang yang diajak dan diseru (untuk terlibat sama), perlu balik ke kaedah dalam Islam bahawa jangan kamu bertelingkah, (kerana nanti) kamu akan gagal dan hilang kekuatan kamu,” katanya.

Pertembungan tajam Umno-PAS

Khairuddin keluar PAS pada Mac tahun lalu iaitu kira-kira sebulan selepas dipecat daripada jawatannya sebagai setiausaha majlis syura ulama.

Tindakannya itu dilihat susulan kecenderungannya ke arah kerjasama PAS-Umno ketika parti itu berminat bersama Bersatu.

Pada PRU lalu dia cuba mempertahankan kerusi parlimen Kuala Nerus namun menggunakan tiket berbeza. Jika dulu sebagai calon PAS, kali ini dia menjadi calon BN.

Ketika bersama PAS, Mohd Khairuddin antara pemimpin parti yang lantang memperjuangkan Muafakat Nasional (MN) iaitu hubungan kerjasama politik antara Umno dan PAS yang terjalin selepas PRU ke-14.

Ketika itu Umno-BN dan PAS sama-sama menjadi pembangkang.

Ditanya mengenai MN versi bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa, Mohd Khairuddin berpendapat, ia bukanlah apa yang diharapkan sewaktu lembaga itu mula terbentuk pada awal 2019.

Untuk rekod, MN pimpinan Annuar diuar-uarkan sebagai NGO yang tidak terbabit dalam gerakan politik sebaliknya sedia bekerjasama dengan semua parti termasuk kerajaan hari ini.

Pada masa sama Mohd Khairuddin berpendapat Annuar berhak meneruskan perjuangan MN mengikut versi yang diingininya walaupun sebelum itu ia lebih menumpukan kepada usaha mengendurkan pertembungan di antara PAS dan Umno sejak sekian lama.

“Ketika itu ubat kepada 'penyakit' perpecahan Melayu-Islam ini ialah MN, (dengannya) menggabungkan dua parti - PAS dan Umno - yang sebelum ini berpecah kerana politik.

“Dan ini bukan satu yang teori kerana saya hidup di suasana itu, suasana pertembungan yang tajam antara PAS dan Umno,” katanya.

Namun, katanya apa yang mengecewakan ialah apabila kerjasama itu tidak bertahan lama. Malah, katanya amalan saling menyerang dan sindir-menyindir sesama sendiri kembali berulang selepas PRU baru-baru ini.

Mutiara FIQH : Talkin Kematian

Mutiara FIQH
Talkin Kematian

1. Disunatkan mentalqinkan orang yang sedang nazak  menghampiri kematian dengan ungkapan kalimah Tauhid iaitu syahadah Lailahaillallah.

2. Dalilnya ialah sabda Nabi saw
لَقِّنُوا مَوْتَاكُمْ لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ
"Talkinkan orang yang hampir (mati) di kalangan kamu ungkapan Lailahaillallah (Tiada Tuhan yang layak diperhambakan diri kepadaNya melainkan Allah)"
Hadis Muslim

3. Tujuannya agar pengakhiran hayat seseorang ialah kalimah syahadah tersebut sebagaimana kelebihannya disabdakan oleh Nabi saw
مَن كان آخرُ كَلامِه لا إلَه إلَّا اللهُ دَخلَ الجنَّةَ»،
"sesiapa yang akhir bicaranya ialah Lailahaillallah, dia masuk syurga"
(Hadis riwayat Ahmad dan Abu Dawud. Dinilai Hasan oleh Albaani)

4. Talkin pada bahasa Arab bermaksud melontarkan kalam untuk diulang oleh seseorang.

5. Kaedah Talkin ialah dengan menyebut sekali sahaja kalimah Tauhid di sisi orang yang hampir mati agar dia mengulang sebutannya sama ada dengan lafaz yang jelas didengari oleh orang lain atau tidak. Tujuannya supaya akhir kalamnya sebelum ajal ialah kalimah tersebut.

6. Apabila orang tersebut berbicara dengan bicara yang lain selepas talkin pertama seumpama dia meminta air kerana dahaga atau memanggil nama seseorang, maka diulang lagi kalimah tersebut agar diulang sebut semula oleh orang yang nazak. Dengan itu akhir ajalnya ialah bicara kalimah Tauhid tersebut bukan bicara yang lain.

7. Menurut Imam Nawawi; para ulamak memakruhkan   talkin banyak kali dan secara berturut-turut agar orang yang nazak tidak merasa bosan disebabkan keadaan dirinya yang susah dan sangat bersedih lalu hatinya tidak menyukai talkin tersebut dan menyebut kata-kata lain yang tidak selayaknya.

Sekian.
Dr Khairuddin Takiri
Rabu 18.1.2023

Thursday, 7 April 2022

Mutiara AL-QURAN ; Penurunan al-Quran


Mutiara AL-QURAN

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ 

"Bulan Ramadhan adalah bulan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia, hujahan-hujahan penjelasan daripada petunjuk tersebut dan al-Furqan yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan" 
(Surah al-Baqarah: 185)

HURAIAN

1. Turunnya al-Quran pada bulan Ramadhan sebagaimana ayat di atas merujuk kepada peristiwa turunnya al-Quran pada malam al-Qadar pada bulan Ramadhan sebagaimana firman Allah

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

"Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadar"
(Surah al-Qadr:1)

2. Ia juga disebut sebagai malam yang diberi keberkatan. Allah berfirman

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ (3)
"Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati. Sesungguhnya Kamilah pemberi peringatan"
(Surah al-Dukhan:3)

3. Imam Qurtubi dalam karya Tafsir beliau al-Jami' Li Ahkam al-Quran, menukilkan bahawa tiada khilaf di kalangan Ulamak bahawa  al-Quran turun sekaligus 30 juzuk dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah di langit dunia pada malam al-Qadar. Kemudian barulah al-Quran diturunkan pula secara berperingkat kepada Nabi saw oleh Jibril alaihissalam dalam masa kenabian baginda saw iaitu 22 tahun. 

4. Ayat yang awal turun kepada baginda saw ialah ayat 1-5 Surah al-'Alaq

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (1)خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ (2)اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ (3)الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (4)عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ (5)

2. Manakala ayat paling akhir turun ialah ayat 281 Surah al-Baqarah

وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ (281)

Sekian. 

Dr Khairuddin Takiri
khamis 7.4.2022 / 5 Ramadhan 1443

Wednesday, 6 April 2022

Mutiara RAMADHAN : Kelebihan Memberi Makan Berbuka Puasa

Mutiara RAMADHAN : Kelebihan Memberi Makan Berbuka Puasa

عنْ زَيدِ بنِ خالدٍ الجُهَنيِّ عَن النَّبِيِّ ﷺ قالَ: مَنْ فَطَّرَ صَائمًا، كانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أجْر الصَّائمِ شيءٍ.
رواه الترمذي وقالَ: حديثٌ حسنٌ صحيحٌ.

Daripada Zayd bin Khalid al-Juhani, daripada Nabi saw bersabda:
"Sesiapa yang memberi makan berbuka kepada seorang yang puasa adalah baginya seumpama pahala orang berpuasa tanpa kurang sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu."
(Hadis Hasan Sahih riwayat Tirmizi)

Fiqh Hadis

1. Hadis ini menjelaskan kelebihan memberi makanan kepada seorang yang berpuasa untuk berbuka iaitu diberikan pahala yang sama seperti orang yang berpuasa.

2. Hal ini kerana seorang yang berpuasa berhak diberikan penghormatan kerana ia berlapar dan berdahaga kerana Allah. Allah yang membalas pahalanya dengan cara yang dikehendaki oleh Allah. Dialah di kalangan hamba-hamba Allah yang bertindak semata-mata kerana Allah. Maka penghargaan dan penghormatan ini diberikan menerusi pemberian makanan dan minuman untuk berbuka. Lalu Allah memulangkan kebaikan yang sama dengan diberikan pahala kepada orang yang berkebajikan kepada hambanya yang melakukan ketaatan kepada-Nya. 

3. Menurut Imam Tobari sebagaimana dinukilkan oleh Ibnu Battol, Hadis ini mengandungi fiqh pengajaran iaitu sesiapa yang membantu seorang mukmin melakukan amalan kebajikan maka bagi yang membantu pahala sama sepertimana orang yang melakukannya. 

Maka Hadis tersebut mengandungi gesaan membantu dan menolong golongan yang melakukan ketaatan bagi menyempurnakan ketaatannya kepada Allah. 

4. Inilah juga cara menggandakan pahala puasa pada bulan Ramadhan. Seseorang yang berpuasa telah mendapat pahalanya apabila berpuasa tetapi apabila dikongsikan makanan berbuka untuk dinikmati juga oleh orang lain berpuasa maka bertambah lagi pahalanya.

5. Gesaan memberi makan berbuka juga terbuka samada diberikan makanan berbuka atas nama hadiah kepada kawan-kawan yang juga berkemampuan atau diberikan makanan berbuka kepada golongan yang tidak berkemampuan atas nama sedekah.  

6. Sekiranya berupa hadiah ia menambahkan lagi hubungan kasih sayang sesama mukmin yang bersaudara. 

Nabi saw 
تَهَادُوا تَحَابُّوا
"saling memberi hadiahlah oleh kamu pasti kamu berkasih sayang" 
(Hadis Hasan riwayat Bukhari dalam Adab al-Mufrad dan Baihaqi) 

7. Sekiranya berupa sedekah ia tanda simpati dan kasihan belas kepada golongan yang kurang bernasib baik. Ia menepati gesaan Nabi saw untuk membantu golongan yang susah. 

Sabda Nabi saw

ومَنْ كَانَ فِي حاجةِ أَخِيهِ كانَ اللَّهُ فِي حاجتِهِ، ومَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسلمٍ كُرْبةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ بها كُرْبةً مِنْ كُرَبِ يوم القيامةِ، 
"Dan sesiapa yang berada pada usaha menunaikan hajat keperluan saudaranya adalah Allah menunaikan hajat keperluannya. Dan sesiapa yang melepaskan daripada seorang Muslim satu rasa dukacita Allah buka daripada dirinya satu dukacita daripada dukacita-dukacita di hari Qiamat"
(Hadis Disepakati oleh Bukhari dan Muslim) 

8. Bayangkan betapa kegembiraan seorang miskin apabila mampu berbuka dengan makanan apatah lagi jika makanan itu lebih baik daripada apa yang dinikmati sebelum ini. Bayangkan betapa bersyukurnya seorang yang terlepas dukacita di kala mahu berbuka apabila ada yang menghulurkan makanan buat dirinya yang berpuasa dan anak-anak yang kelaparan. 

9. Demikianlah Islam mendidik jiwa berkebajikan dalam diri seorang yang berpuasa. Ia. menepati gesaan Allah

وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ [الحج:77
"Dan lakukanlah oleh kamu kebajikan mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan selepas kesukaran (al-falah) 
(Surah al-Hajj: 77)

6. Dalam Hadis Lemah yang lain riwayat Salman al-Farisi disebut meskipun makanan berbuka itu berupa susu bercampur air atau sebiji kurma atau seteguk air. 

Maka ia bukannya perkara yang sukar untuk berkongsi sebiji kurma mahupun seteguk air. Begitulah rahmat Allah Taala kepada hambanya untuk berbuat kebajikan walau dengan sekecil-kecil pemberian. Kebajikan seumpama ini mampu dilakukan oleh orang berada mahupun orang yang miskin sesama golongan miskin. 

Moga coretan ini memberi manfaat. Sekian

Dr Khairuddin Takiri
6.4.2022 / 4 Ramadhan 1433

Monday, 4 April 2022

Mutiara RAMADHAN; Doa Mustajab Ketika Berpuasa


Mutiara RAMADHAN; 
Doa Mustajab Ketika Berpuasa

Allah Taala berfirman;

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ)

"Dan apabila bertanya kepadamu oleh hamba-hambaku tentang diri-Ku maka sesungguhnya Aku sangat dekat. Aku menyahut doa orang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Justeru, hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan beriman dengan-Ku mudah-mudahan mereka mendapat bimbingan".
Surah al-Baqarah : 186

Ayat ini mengandungi seruan kepada hamba-hamba Allah untuk memohon apa sahaja hajat dan keperluan kepada Allah. Ayat ini datang seiring dan di pertengahan  ayat-ayat AlQuran yang berbicara tentang ibadah puasa sebagai isyarat bahawa selayaknya untuk orang berpuasa membanyakkan doa kepada Allah.

Hal ini kerana di saat seseorang itu berpuasa dia menjadi hamba Allah yang sangat rapat dengan Tuhan-Nya. Maka itulah suasana terbaik untuk seorang itu memohon kepada Allah kerana kaedah berdoa ialah di saat melakukan ibadah yang menjadikan hamba itu hampir dengan Tuhannya.

Nabi saw bersabda;

ثلاثة لا تُردُّ دعوتهم: الإمام العادل، والصائم حتى يُفطِر، ودعوة المظلوم
"Tiga yang tidak ditolak doa mereka iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang dizalimi" 
(Hadis riwayat Ahmad dan dinilai Sahih oleh Ahmad Syakir) 

Pemimpin yang adil melakukan pelbagai kebajikan dan ketaatan untuk kebaikan rakyatnya. Keadilannya menjadikan rakyat hidup bahagia dan gembira. Itulah ibadah bagi dirinya. Maka doa pemimpin yang beribadah kepada Allah dengan pelbagai kebajikan dan keadilan ini sentiasa diterima oleh Allah. 

Begitu juga orang dizalimi hartanya dan maruahnya. Dirinya sangat bergantung kepada Allah untuk melepaskan dirinya daripada kezaliman makhluk. Itulah ibadah dirinya kepada Allah. Maka doa hamba yang sebegini keadaannya diterima oleh Allah. 

Moga bermanfaat. Sekian

Dr Khairuddin Takiri
Isnin 4.4.2022 / 2 Ramadhan 1443