Sunday 2 April 2023

Mutiara FIQH PUASA: Berbuka Kerana Sakit

Mutiara FIQH PUASA
Berbuka Kerana Sakit

1. Para Ulamak telah berijmak dan bersepakat bahawa orang yang sakit harus berbuka puasa. Hal ini berdasarkan firman Allah Taala dalam Surah al-Baqarah: 185;

{ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ}
"Maka sesiapa yang menyaksikan di kalangan kamu bulan tersebut maka hendaklah dia berpuasa. Dan sesiapa yang sakit atau dalam keadaan pelayaran maka hendaklah diganti pada hari-hari lain. Allah mahukan dengan kamu kemudahan dan Dia tidak mahukan dengan kamu kesukaran"

2. Namun, apakah bentuk dan peraturan sakit yang dibenarkan untuk berbuka?

Jawapannya ialah penyakit yang mana dengan sebab berpuasa makin bertambah sakitnya atau lambat kesembuhannya atau yang menjadikan dirinya berada dalam keberatan yang sangat sehingga tidak mampu menjalankan pekerjaan untuk mencari rezki.

3. Kesakitan seumpama luka kecil, sakit gusi dan bisul yang tidak memberi kesan kepada puasa tidak membolehkan berbuka puasa. Begitu juga penyakit yang puasa menjadi sebahagian rawatan baginya seperti cirit birit, senak perut, gangguan pencernaan dan masalah refluks, iaitu asid dari perut naik ke atas.

4. Bagaimana menilai penyakit ini?

Sama ada berdasarkan pengalaman peribadi atau berdasarkan nasihat dan pandangan pegawai perubatan yang dipercayai.

Apabila seorang pegawai perubatan muslim yang dipercayai memberi pandangan bahawa puasa boleh memudaratkan kesihatannya maka dia boleh berbuka. Sekiranya dia masih bertahan untuk berpuasa sehingga memungkinkan mudarat pada dirinya maka ketika itu makruh baginya berpuasa kerana meninggalkan satu kelonggaran yang telah diberikan oleh Allah.

Sekiranya ternyata berpuasa itu benar-benar memudaratkan dirinya maka haram atas dirinya berpuasa kerana Islam menolak sebarang mudarat pada diri berasaskan Hadis-Hadis Nabi tentang menolak mudharat seumpama Hadis Nabi saw
لا ضَرَرَ ولا إضْرارَ
"tiada mudarat dan tiada memudaratkan"
Hadis Hasan riwayat Ibnu Majah dan al-Darqutni.

Ia juga bersandarkan prinsip Islam sebagaimana  firman Allah Taala

{وَلاَ تَقْتُلُواْ أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا}
"Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri kerana sesungguhnya Allah dengan kamu Maha bersifat Rahim"
Surah al-Nisa': 29

5. Pesakit yang bersifat sementara kesakitannya dan masih diharapkan kesembuhannya hendaklah menggantikan puasa Ramadhan yang ditinggalkan pada waktu sihatnya sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Baqarah:185

Adapun pesakit yang berpanjangan sakitnya dan tiada diharap lagi kesembuhannya untuk dia menggantikan puasa maka hukumnya adalah dibayar fidyah dengan memberi makan untuk setiap hari tidak berpuasa itu secupak beras atau nilainya kepada fakir miskin.

Moga bermanfaat. Sekian.

Dr Khairuddin Takiri
Ahad 3.4.2022 / 2 Ramadhan 1443

No comments:

Post a Comment