Thursday 7 April 2022

Mutiara AL-QURAN ; Penurunan al-Quran


Mutiara AL-QURAN

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ 

"Bulan Ramadhan adalah bulan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia, hujahan-hujahan penjelasan daripada petunjuk tersebut dan al-Furqan yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan" 
(Surah al-Baqarah: 185)

HURAIAN

1. Turunnya al-Quran pada bulan Ramadhan sebagaimana ayat di atas merujuk kepada peristiwa turunnya al-Quran pada malam al-Qadar pada bulan Ramadhan sebagaimana firman Allah

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

"Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadar"
(Surah al-Qadr:1)

2. Ia juga disebut sebagai malam yang diberi keberkatan. Allah berfirman

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ (3)
"Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati. Sesungguhnya Kamilah pemberi peringatan"
(Surah al-Dukhan:3)

3. Imam Qurtubi dalam karya Tafsir beliau al-Jami' Li Ahkam al-Quran, menukilkan bahawa tiada khilaf di kalangan Ulamak bahawa  al-Quran turun sekaligus 30 juzuk dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah di langit dunia pada malam al-Qadar. Kemudian barulah al-Quran diturunkan pula secara berperingkat kepada Nabi saw oleh Jibril alaihissalam dalam masa kenabian baginda saw iaitu 22 tahun. 

4. Ayat yang awal turun kepada baginda saw ialah ayat 1-5 Surah al-'Alaq

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (1)خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ (2)اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ (3)الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (4)عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ (5)

2. Manakala ayat paling akhir turun ialah ayat 281 Surah al-Baqarah

وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ (281)

Sekian. 

Dr Khairuddin Takiri
khamis 7.4.2022 / 5 Ramadhan 1443

Wednesday 6 April 2022

Mutiara RAMADHAN : Kelebihan Memberi Makan Berbuka Puasa

Mutiara RAMADHAN : Kelebihan Memberi Makan Berbuka Puasa

عنْ زَيدِ بنِ خالدٍ الجُهَنيِّ عَن النَّبِيِّ ﷺ قالَ: مَنْ فَطَّرَ صَائمًا، كانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أجْر الصَّائمِ شيءٍ.
رواه الترمذي وقالَ: حديثٌ حسنٌ صحيحٌ.

Daripada Zayd bin Khalid al-Juhani, daripada Nabi saw bersabda:
"Sesiapa yang memberi makan berbuka kepada seorang yang puasa adalah baginya seumpama pahala orang berpuasa tanpa kurang sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu."
(Hadis Hasan Sahih riwayat Tirmizi)

Fiqh Hadis

1. Hadis ini menjelaskan kelebihan memberi makanan kepada seorang yang berpuasa untuk berbuka iaitu diberikan pahala yang sama seperti orang yang berpuasa.

2. Hal ini kerana seorang yang berpuasa berhak diberikan penghormatan kerana ia berlapar dan berdahaga kerana Allah. Allah yang membalas pahalanya dengan cara yang dikehendaki oleh Allah. Dialah di kalangan hamba-hamba Allah yang bertindak semata-mata kerana Allah. Maka penghargaan dan penghormatan ini diberikan menerusi pemberian makanan dan minuman untuk berbuka. Lalu Allah memulangkan kebaikan yang sama dengan diberikan pahala kepada orang yang berkebajikan kepada hambanya yang melakukan ketaatan kepada-Nya. 

3. Menurut Imam Tobari sebagaimana dinukilkan oleh Ibnu Battol, Hadis ini mengandungi fiqh pengajaran iaitu sesiapa yang membantu seorang mukmin melakukan amalan kebajikan maka bagi yang membantu pahala sama sepertimana orang yang melakukannya. 

Maka Hadis tersebut mengandungi gesaan membantu dan menolong golongan yang melakukan ketaatan bagi menyempurnakan ketaatannya kepada Allah. 

4. Inilah juga cara menggandakan pahala puasa pada bulan Ramadhan. Seseorang yang berpuasa telah mendapat pahalanya apabila berpuasa tetapi apabila dikongsikan makanan berbuka untuk dinikmati juga oleh orang lain berpuasa maka bertambah lagi pahalanya.

5. Gesaan memberi makan berbuka juga terbuka samada diberikan makanan berbuka atas nama hadiah kepada kawan-kawan yang juga berkemampuan atau diberikan makanan berbuka kepada golongan yang tidak berkemampuan atas nama sedekah.  

6. Sekiranya berupa hadiah ia menambahkan lagi hubungan kasih sayang sesama mukmin yang bersaudara. 

Nabi saw 
تَهَادُوا تَحَابُّوا
"saling memberi hadiahlah oleh kamu pasti kamu berkasih sayang" 
(Hadis Hasan riwayat Bukhari dalam Adab al-Mufrad dan Baihaqi) 

7. Sekiranya berupa sedekah ia tanda simpati dan kasihan belas kepada golongan yang kurang bernasib baik. Ia menepati gesaan Nabi saw untuk membantu golongan yang susah. 

Sabda Nabi saw

ومَنْ كَانَ فِي حاجةِ أَخِيهِ كانَ اللَّهُ فِي حاجتِهِ، ومَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسلمٍ كُرْبةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ بها كُرْبةً مِنْ كُرَبِ يوم القيامةِ، 
"Dan sesiapa yang berada pada usaha menunaikan hajat keperluan saudaranya adalah Allah menunaikan hajat keperluannya. Dan sesiapa yang melepaskan daripada seorang Muslim satu rasa dukacita Allah buka daripada dirinya satu dukacita daripada dukacita-dukacita di hari Qiamat"
(Hadis Disepakati oleh Bukhari dan Muslim) 

8. Bayangkan betapa kegembiraan seorang miskin apabila mampu berbuka dengan makanan apatah lagi jika makanan itu lebih baik daripada apa yang dinikmati sebelum ini. Bayangkan betapa bersyukurnya seorang yang terlepas dukacita di kala mahu berbuka apabila ada yang menghulurkan makanan buat dirinya yang berpuasa dan anak-anak yang kelaparan. 

9. Demikianlah Islam mendidik jiwa berkebajikan dalam diri seorang yang berpuasa. Ia. menepati gesaan Allah

وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ [الحج:77
"Dan lakukanlah oleh kamu kebajikan mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan selepas kesukaran (al-falah) 
(Surah al-Hajj: 77)

6. Dalam Hadis Lemah yang lain riwayat Salman al-Farisi disebut meskipun makanan berbuka itu berupa susu bercampur air atau sebiji kurma atau seteguk air. 

Maka ia bukannya perkara yang sukar untuk berkongsi sebiji kurma mahupun seteguk air. Begitulah rahmat Allah Taala kepada hambanya untuk berbuat kebajikan walau dengan sekecil-kecil pemberian. Kebajikan seumpama ini mampu dilakukan oleh orang berada mahupun orang yang miskin sesama golongan miskin. 

Moga coretan ini memberi manfaat. Sekian

Dr Khairuddin Takiri
6.4.2022 / 4 Ramadhan 1433

Monday 4 April 2022

Mutiara RAMADHAN; Doa Mustajab Ketika Berpuasa


Mutiara RAMADHAN; 
Doa Mustajab Ketika Berpuasa

Allah Taala berfirman;

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ)

"Dan apabila bertanya kepadamu oleh hamba-hambaku tentang diri-Ku maka sesungguhnya Aku sangat dekat. Aku menyahut doa orang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Justeru, hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan beriman dengan-Ku mudah-mudahan mereka mendapat bimbingan".
Surah al-Baqarah : 186

Ayat ini mengandungi seruan kepada hamba-hamba Allah untuk memohon apa sahaja hajat dan keperluan kepada Allah. Ayat ini datang seiring dan di pertengahan  ayat-ayat AlQuran yang berbicara tentang ibadah puasa sebagai isyarat bahawa selayaknya untuk orang berpuasa membanyakkan doa kepada Allah.

Hal ini kerana di saat seseorang itu berpuasa dia menjadi hamba Allah yang sangat rapat dengan Tuhan-Nya. Maka itulah suasana terbaik untuk seorang itu memohon kepada Allah kerana kaedah berdoa ialah di saat melakukan ibadah yang menjadikan hamba itu hampir dengan Tuhannya.

Nabi saw bersabda;

ثلاثة لا تُردُّ دعوتهم: الإمام العادل، والصائم حتى يُفطِر، ودعوة المظلوم
"Tiga yang tidak ditolak doa mereka iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang dizalimi" 
(Hadis riwayat Ahmad dan dinilai Sahih oleh Ahmad Syakir) 

Pemimpin yang adil melakukan pelbagai kebajikan dan ketaatan untuk kebaikan rakyatnya. Keadilannya menjadikan rakyat hidup bahagia dan gembira. Itulah ibadah bagi dirinya. Maka doa pemimpin yang beribadah kepada Allah dengan pelbagai kebajikan dan keadilan ini sentiasa diterima oleh Allah. 

Begitu juga orang dizalimi hartanya dan maruahnya. Dirinya sangat bergantung kepada Allah untuk melepaskan dirinya daripada kezaliman makhluk. Itulah ibadah dirinya kepada Allah. Maka doa hamba yang sebegini keadaannya diterima oleh Allah. 

Moga bermanfaat. Sekian

Dr Khairuddin Takiri
Isnin 4.4.2022 / 2 Ramadhan 1443 

Sunday 3 April 2022

Mutiara PUASA

Mutiara PUASA

1. PUASA pada bulan Ramadhan adalah ibadah yang wajib kepada orang yang cukup empat syarat iaitu Islam, baligh, berakal dan berkuasa untuk berpuasa

2. Apabila berpuasa hendaklah dilakukan perkara berikut iaitu berniat untuk berpuasa sebelum terbit fajar dan menahan diri bermula terbit fajar sehingga terbenam matahari daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa seumpama makan, minum, berjimak dan muntah dengan sengaja.

3. Antara perkara yang membatalkan puasa ialah
a. masuk sesuatu ke dalam rongga secara sengaja
b. muntah secara sengaja
c. berjimak
d. keluar air mani
e. keluar darah haid
f. keluar darah nifas
g. gila
h. murtad

4. Sunat bagi orang berpuasa menyegerakan berbuka dan memperlewatkan bersahur

5. Lelaki yang menyetubuhi isteri pada siang hari Ramadhan secara sengaja pada kemaluan maka wajib ke atas dirinya menggantikan puasa dan wajib pula membayar kaffarah puasa iaitu pertamanya melepaskan hamba yang beriman. Jika tiada hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut. Jika tidak mampu maka hendaklah memberi makan kepada 60 orang miskin dengan kadar setiap orang secupak beras iaitu 600 gram. 

6. Sesiapa yang mati sedangkan dia wajib menggantikan puasa maka hendaklah diberi makan bagi pihak dirinya setiap hari satu cupak beras. 

7. Orang tua yang tidak mampu berpuasa hendaklah memberi makan kepada orang miskin setiap hari secupak beras. 

8. Perempuan hamil dan perempuan menyusu yang bimbangkan kesihatan dan keselamatan dirinya boleh tidak berpuasa dan wajib diganti kemudiannya. Sekiranya mereka berdua tidak berpuasa kerana bimbangkan kesihatan dan keselamatan anak maka wajib diganti puasa dan wajib pula membayar kaffarah iaitu secupak beras sehari. 

9. Mereka yang sakit atau bermusafir dengan pelayaran yang panjang membolehkan Qasar solat iaitu sekitar 81 km maka boleh berbuka dan wajib menggantikannya. 

10. I'tikaf di masjid adalah amalan yang sunat apatah lagi di bulan Ramadhan khususnya pada 10 hari terakhir Ramadhan. Syaratnya ialah hendaklah berniat dan berada di dalam masjid dengan tidak keluar melainkan kerana hajat seperti qada hajat, berwuduk, makan dan minum serta mendapatkan rawatan. Sunat ketika beriktikaf menyibukkan diri dengan ibadat seumpama solat, zikir, istighfar, membaca al-Quran dan menuntut ilmu. 

Moga bermanfaat. Sekian. 

Dr Khairuddin Takiri
Ahad 3.4.2022 / 1 Ramadhan 1443

Saturday 2 April 2022

Mutiara RAMADHAN ; Memburu Pahala Ramadhan

Mutiara RAMADHAN

Memburu Pahala Ramadhan

1. Bulan Ramadhan adalah bulan yang dinanti-nantikan oleh pemburu pahala dan syurga kerana padanya terdapat pelbagai kelebihan  ibadah yang menggamit rahmat Allah. Justeru, Ramadhan digambarkan oleh baginda saw sebagai bulan yang sentiasa terbuka pintu-pintu syurga dan tertutup pintu-pintu neraka disebabkan amal ibadah hamba yang banyak. Ia juga menandakan rahmat Allah yang melimpah ruah kepada hamba-hambanya disebabkan ibadah yang mengundang mereka untuk ke syurga Allah. 

Sabda Nabi saw
إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أبْوَابُ الجَنَّةِ، وغُلِّقَتْ أبْوَابُ جَهَنَّمَ، وسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ
"Apabila masuk Ramadhan sentiasa dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan" 
(Hadis Bukhari)

2. Terbelenggunya Syaitan-syaitan pada bulan Ramadhan adalah satu rahmat pertolongan Allah kepada hamba-hambanya untuk lebih cergas beribadah tanpa gangguan, hasutan dan bisikan jahat daripada mereka. Keadaan dan suasana ibadah tentunya berbeza daripada bulan-bulan biasa. Sekiranya di saat Syaitan terbelenggu masih gagal disempurnakan ibadah maka ia petanda jiwa dan iman yang sangat lemah mudah tunduk pada kehendak nafsu. 

3. Ibadah terbesar tentulah puasa kerana ia adalah ibadah wajib yang dibuat sepanjang hari bermula terbit fajar sehingga terbenam matahari. 

Allah Taala berfirman

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ ) 
"Dan makan dan minumlah kamu sehingga ternyata bagi kamu garisan putih daripada garisan hitam iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga ke malam" 
Surah al-Baqarah: 187

Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar; 
Maksud ayat ialah sehingga terserlah putih siang daripada gelap malam. Ia terhasil dengan terbitnya fajar yang benar (fajar sodiq). 

4. Ibadah kedua ialah solat malam yang dikenali sebagai Solat Tarawih. Ia dilaksanakan selepas Solat Isyak untuk tempoh yang panjang juga bergantung kepada bilangan rakaat dan  tempoh berdiri ketika membaca ayat-ayat selepas Fatihah.

Nabi saw bersabda sebagaimana riwayat Abu Hurairah radiyallahu anhu

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

"Sesiapa yang berdiri (solat malam) Ramadhan kerana keimanan dan kerana mengharapkan pahala, diampunkan baginya apa yang terdahulu daripada dosa-dosanya" 
(Hadis Bukhari dan Muslim) 

Berkata al-Hafiz Ibnu Rajab: 
"واعلم أن المؤمن يجتمع له في شهر رمضان جهادان لنفسه : جهاد بالنهار على الصيام ، وجهاد بالليل على القيام ، فمن جمع بين هذين الجهادين وُفِّي أجره بغير حساب" اهـ .
"Dan ketahuilah bahawa mukmin itu berhimpun baginya pada bulan Ramadhan dua jihad bagi dirinya iaitu jihad bersungguh-sungguh di siang hari menghadapi berpuasa dan jihad bersungguh-sungguh di malam hari menghadapi Qiyam (solat malam). Maka sesiapa yang menghimpunkan dua jihad ini dia disempurnakan pahalanya tanpa terkira" 

Maka kuranglah kesempurnaan ibadah Ramadhan sesiapa yang berpuasa siang hari tanpa diiringi dengan Qiyam malam mengerjakan solat Tarawih. 

5. Ibadah ketiga ialah membaca Al-Quran sebagaimana Nabi kita saw  membaca dan menyemak bacaan al-Quran dengan Jibril alaihissalam sepanjang Ramadhan.

Ia bertepatan dengan firman Allah tentang kelebihan bulan Ramadhan sebagai bulan yang diturunkan padanya al-Quran. 

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ
"Bulan Ramadhan yang diturunkan pada al-Quran" 
(Surah al-Baqarah: 185)

Ia merujuk kepada peristiwa penurunan al-Quran secara sekaligus dari Lauh Mahfuz ke langit dunia pada malam yang dipanggil Lailatul Qadar sebelum ia diturunkan kepada baginda (saw) sedikit demi sedikit dalam masa 23 tahun. 

Diberitakan bahawa Imam Syafie mengharamkan bacaan al-Quran dua kali setiap hari Ramadhan. Di siang hari sekali dan di malam hari sekali. 

6. Ibadah keempat ialah bersedekah. 

Ibadah ketiga dan keempat ini dipetik sebagaimana perkhabaran Ibnu Abbas radiyallahu anhuma

 كانَ رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ أجْوَدَ النَّاسِ، وكانَ أجْوَدُ ما يَكونُ في رَمَضانَ حِينَ يَلْقاهُ جِبْرِيلُ، وكانَ يَلْقاهُ في كُلِّ لَيْلَةٍ مِن رَمَضانَ فيُدارِسُهُ القُرْآنَ، فَلَرَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ أجْوَدُ بالخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ المُرْسَلَةِ.
"Adalah Rasulullah saw seorang yang sangat dermawan. Baginda lebih-lebih lagi dermawan pada bulan Ramadhan ketika Jibril datang menemui baginda. Jibril bertemu baginda saw setiap malam Ramadhan lalu bertadarus (menyemak bacaan) al-Quran dengan baginda". Maka sesungguhnya Rasulullah saw lebih dermawan melakukan kebajikan berbanding angin yang diutuskan"
(Hadis Bukhari) 

7. Marilah kita berdoa agar bulan Ramadhan kali ini memungkinkan kita melaksanakan keempat-empat ibadah besar ini sebaik mungkin. 

Ustaz Dr Khairuddin Takiri
Sabtu 2.4.2022 jam 5.40 pg
Kuala Nerus

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=516316113202906&id=100044735640354