Mutiara RAMADHAN;
Doa Mustajab Ketika Berpuasa
Allah Taala berfirman;
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ)
"Dan apabila bertanya kepadamu oleh hamba-hambaku tentang diri-Ku maka sesungguhnya Aku sangat dekat. Aku menyahut doa orang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Justeru, hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan beriman dengan-Ku mudah-mudahan mereka mendapat bimbingan".
Surah al-Baqarah : 186
Ayat ini mengandungi seruan kepada hamba-hamba Allah untuk memohon apa sahaja hajat dan keperluan kepada Allah. Ayat ini datang seiring dan di pertengahan ayat-ayat AlQuran yang berbicara tentang ibadah puasa sebagai isyarat bahawa selayaknya untuk orang berpuasa membanyakkan doa kepada Allah.
Hal ini kerana di saat seseorang itu berpuasa dia menjadi hamba Allah yang sangat rapat dengan Tuhan-Nya. Maka itulah suasana terbaik untuk seorang itu memohon kepada Allah kerana kaedah berdoa ialah di saat melakukan ibadah yang menjadikan hamba itu hampir dengan Tuhannya.
Nabi saw bersabda;
ثلاثة لا تُردُّ دعوتهم: الإمام العادل، والصائم حتى يُفطِر، ودعوة المظلوم
"Tiga yang tidak ditolak doa mereka iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang dizalimi"
(Hadis riwayat Ahmad dan dinilai Sahih oleh Ahmad Syakir)
Pemimpin yang adil melakukan pelbagai kebajikan dan ketaatan untuk kebaikan rakyatnya. Keadilannya menjadikan rakyat hidup bahagia dan gembira. Itulah ibadah bagi dirinya. Maka doa pemimpin yang beribadah kepada Allah dengan pelbagai kebajikan dan keadilan ini sentiasa diterima oleh Allah.
Begitu juga orang dizalimi hartanya dan maruahnya. Dirinya sangat bergantung kepada Allah untuk melepaskan dirinya daripada kezaliman makhluk. Itulah ibadah dirinya kepada Allah. Maka doa hamba yang sebegini keadaannya diterima oleh Allah.
Moga bermanfaat. Sekian
Dr Khairuddin Takiri
Isnin 4.4.2022 / 2 Ramadhan 1443
No comments:
Post a Comment