Wednesday 31 October 2018

JANGAN BUKA PINTU KEROSAKAN MENERUSI RATIFIKASI ICERD, RUJUK ULAMAK RANGKA NHRAP

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2226594290683922&id=569086473101387

Kenyataan Media

31 Oktober 2018 | 22 Safar 1440H

JANGAN BUKA PINTU KEROSAKAN MENERUSI RATIFIKASI ICERD, RUJUK ULAMAK RANGKA NHRAP

1. Keputusan Kerajaan yang mahu meratifikasi _International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination_ (ICERD) menunjukkan pendirian dan sikap sebenar Pakatan Harapan terhadap teras-teras utama Perlembagaan Pesekutuan. Ia membuka pintu untuk asas-asas bernegara menjadi bahan pertikaian segelintir rakyat dan akhirnya dihapuskan.

2. Ratifikasi ini membelakangkan kedudukan dan peranan Raja-raja Melayu, agama Islam dan orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak yang telah diterima keistimewaannya sejak dahulu dan menjadi asas penubuhan negara ini yang menjamin keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

3. Usaha ini juga menunjukkan PH yang didominasi oleh Ahli Parlimen bukan Islam semakin berani bergerak lebih jauh dengan membuka laluan bagi membolehkan pindaan peruntukan-peruntukan teras dalam Perlembagaan Persekutuan ini dibuat sekaligus menghilangkan keistimewaannya.

4. Ia juga membenarkan kawalan dan meningkatkan tekanan antarabangsa ke atas negara ini.

5. Ia adalah suatu ancaman terhadap keistimewaan Islam, keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera sehingga boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

6. Kerajaan mesti menolak ratifikasi ICERD ini dan konvensyen-konvensyen lain yang tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan bercanggah dengan agama Islam serta tidak sesuai dengan sosio-budaya masyarakat negara ini.

7. Saya juga mendesak supaya Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (_National Human Rights Action Plan_, NHRAP) yang dirangka oleh Kerajaan sama ada menerusi SUHAKAM atau perunding lain selepas ini, mestilah melibatkan semua pihak berkepentingan dan dirujuk dahulu kepada para ulamak dan cendikiawan Islam sebelum ia dijadikan dokumen dasar rasmi Kerajaan.

Sekian.

“Islam Memimpin”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Friday 12 October 2018

KEBENARAN PESTA ARAK : ALASAN LONGGAR, PARTI SEKS JUGA TIDAK MUSTAHIL DIANJURKAN

Kenyataan Media

Jumaat, 12 Oktober 2018 | 3 Safar 1440H

KEBENARAN PESTA ARAK : ALASAN LONGGAR, PARTI SEKS JUGA TIDAK MUSTAHIL DIANJURKAN

1. Tindakan kerajaan pimpinan PH yang memberikan kebenaran untuk penganjuran pesta arak "Oktoberfest" adalah sangat bersalahan dengan prinsip Islam dan _siyasah syariyyah_ bagi sebuah negara majoriti Muslim. Berpesta minum arak merupakan syiar kemungkaran yang wajib dibenteras oleh kerajaan yang meletakkan Islam sebagai agama negara. Berpesta sangat berbeza dengan minum secara individu. Berpesta menjadi syiar kemungkaran yang merosakkan dan memudharatkan masyarakat.
Rujuk artikel saya pada 2014. http://drtakiri.blogspot.com/2014/10/penganjuran-pesta-arak-oktoberfest.html?m=1

2. Sekiranya, alasan permohonan telah dibuat, diadakan di premis persendirian dan tempat tertutup serta tidak melibatkan orang Islam dijadikan sandaran bagi memberikan kebenaran, tidak mustahil penganjuran parti seks juga bakal menjadi acara tahunan yang baharu di negara ini.

3. Sepatutnya, ia ditangani dengan mengambil kira kedudukan Islam dan sensiviti orang-orang Islam yang merupakan majoriti penduduk negara ini serta kepentingan awam terutamanya melibatkan aspek ketenteraman dan keselamatan.

4. Ini kerana bahaya arak ini bukan sahaja menghilangkan kewarasan akan peminumnya, lebih daripada ini boleh mengakibatkan korban nyawa peminumnya dan orang lain. Saya juga pernah menjelaskan mengenai keburukan arak ini, sila rujuk : https://drtakiri.blogspot.com/2017/04/penagihan-alcohol-dr-khairuddin-takiri.html?m=1.

5. Jika prinsip menghormati penganut agama lain untuk melakukan apa yang tidak dilarang oleh agama mereka dijadikan alasan, ia bercanggah dengan kitab-kitab suci atau rujukan agama Hindu, Buddha, Kristian, Sikhisme dan Yahudi yang menyatakan secara jelas dan banyak tentang larangan atau pengharaman arak ini. Namun, bantahan saya berfokus pada perbezaan antara minum secara individu dengan berpesta arak yang menjadi syiar kemungkaran dalam sebuah negara majoriti Muslim.

6. Mengenai pesta arak ini, PAS konsisten membantah penganjurannya sejak dahulu lagi, sila rujuk : https://drtakiri.blogspot.com/2014/10/penganjuran-pesta-arak-oktoberfest.html?m=1 dan https://drtakiri.blogspot.com/2017/09/acara-berpesta-minum-arak-wajar.html?m=1.

“Islam Memimpin”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus