Wednesday 30 December 2015

Seks Bawah Umur - Sinar Harian

http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/seks-bawah-umur-pas-mahu-kerajaan-lebih-serius-1.467183

SEKS BAWAH UMUR : PENDIDIKAN PERGAULAN DAN BERSOSIAL MENURUT PERSPEKTIF ISLAM PATUT DITEKANKAN

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

SEKS BAWAH UMUR : PENDIDIKAN PERGAULAN DAN BERSOSIAL MENURUT PERSPEKTIF ISLAM PATUT DITEKANKAN

1. Statistik oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, merekodkan daripada sejumlah 6,910 kes rogol yang dilaporkan bagi tahun 2013 hingga 2015, 52% kes rogol tersebut adalah membabitkan gadis bawah umur iaitu 1,424 kes pada 2013, 1,243 kes pada 2014 dan 920 kes sehingga Oktober 2015. Lebih merisaukan, daripada 52% itu, kira-kira 90% adalah kategori suka sama suka manakala hanya 10% sahaja ketegori paksaan.

2. Berhubung isu ini, terdapat dua (2) isu utama yang perlu diberikan perhatian dan tindakan segera oleh semua pihak khususnya Kerajaan. PERTAMA, langkah-langkah membendung gejala ini dan KEDUA, hukuman ke atas pesalah dan pembelaan ke atas mangsa.

3. Sekiranya Pendidikan Seks atau Pendidikan Kesihatan Reproduktif yang mahu diperkenalkan nanti oleh Kerajaan hanya tertumpu pada aspek undang-undang dan kesihatan serta keselamatan, ia adalah sesuatu yang sia-sia dan berpotensi besar menggalakkan lagi gejala ini kerana ia tanpa sedar menjadi seumpama kempen ‘safe & healthy sex life’ seperti di negara-negara Barat.

4. Sepatutnya, pendidikan pergaulan dan bersosial menurut perspektif Islam dijadikan panduan utama dan diberikan penekanan kepada masyarakat sebagai kaedah pencegahan yang berkesan untuk melindungi masyarakat tidak kira usia dan jantina daripada jenayah rogol dan zina.

5. Adab berziarah seperti memberi salam dan meminta izin yang dianjurkan Islam adalah bertujuan menjaga privasi seseorang yang ada di dalam sesebuah rumah atau bilik justeru dapat memelihara maruahnya daripada terdedah kepada orang lain dan dapat melindungi tetamu tersebut daripada melihat perkara-perkara yang boleh merosakkan iman serta menaikkan nafsunya.

6. Adab pergaulan antara lelaki dan perempuan seperti menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan serta etika berpakaian adalah tersangat penting untuk kembali diberikan penekanan serius terutamanya di sekolah-sekolah lebih-lebih lagi dalam keadaan statistik menunjukkan data yang demikian.

7. Anjuran bernikah pula adalah ubat yang paling mujarab disediakan oleh Islam dalam aspek membendung gejala sosial ini. Masyarakat khususnya ibu bapa mesti  menggalakkan dan memudahkan urusan perkahwinan anak-anak. Manakala Kerajaan pula mesti membantu menyediakan insentif tertentu bagi meringankan beban pasangan yang bakal berkahwin.

8. Adapun pada aspek hukuman ke atas pesalah dan pembelaan ke atas mangsa, takrif rogol, kaedah pendakwaan dan perbicaraan serta hukuman ke atas pesalah dan hak-hak mangsa yang digunapakai sekarang hendaklah disemak semula dan diselarikan dengan undang-undang jenayah syariah yang telah ditetapkan oleh Islam.

Sekian.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Rabu, 30 Disember 2015 | 18 Rabiulawal 1437 H
_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.

Monday 28 December 2015

Kempen Responsibiliti Sosial Oleh Golongan Berada Bagi Menghadapi Kemelut Ekonomi Rakyat Marhaen

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله

Kempen Responsibiliti Sosial Oleh Golongan Berada Bagi Menghadapi Kemelut Ekonomi Rakyat Marhaen

Oleh:
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Islam menggariskan penyelesaian terhadap kemelut ekonomi ummah menerusi beberapa dasar berkebajikan yang diterapkan ke dalam jiwa rakyat.

Antaranya hadis riwayat Anas bin Malik bahawa Nabi saw bersabda

" مَا آمَنَ بِي مَنْ بَاتَ شَبْعَانًا وَجَارُهُ جَائِعٌ إِلَى جَنْبِهِ وَهُوَ يَعْلَمُ بِهِ "

"Tidak beriman denganku sesiapa yang bermalam dalam keadaan kenyang manakala jirannya kelaparan bersebelahan dengannya sedang dia mengetahuinya".
(Hadis riwayat Tabarani, Bazzar dan Hakim serta dinilai Sahih oleh al-Albaani)

Hadis ini menanamkan sikap keprihatinan terhadap permasalahan ummah dan mengenepikan sikap keakuan dan penting diri sendiri.

Nabi saw juga bersabda:

" إِنَّ الأَشْعَرِيِّينَ إِذَا أَرْمَلُوا فِي الْغَزْوِ ، أَوْ قَلَّ طَعَامُ عِيَالِهِمْ بِالْمَدِينَةِ ، جَمَعُوا مَا كَانَ عِنْدَهُمْ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ ، ثُمَّ اقْتَسَمُوه بَيْنَهُمْ فِي إِنَاءٍ وَاحِدٍ بِالسَّوِيَّةِ ، فَهُمْ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُم

"Sesungguhnya kaum kerabat Asy'ari apabila mereka kehabisan bekalan dalam peperangan atau berkurangan bekalan makanan keluarga mereka di Madinah, mereka menghimpunkan saki baki apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka mengagihkannya semula di kalangan mereka dalam satu bekas sama rata. Maka mereka adalah sebahagian daripada saya dan saya adalah sebahagian mereka."
(Hadis Sahih Bukhari dan Muslim)

Hadis ini mengariskan konsep bahu membahu dan berkongsi kesusahan khususnya makanan secara sukarela di kalangan satu kelompok komuniti apabila berhadapan dengan kesukaran.

Hari ini rakyat bawahan di Malaysia khususnya sedang berhadapan dengan tekanan ekonomi disebabkan oleh inflasi kenaikan harga barang, penurunan nilai pendapatan boleh guna dan ruang pekerjaan yang direbut oleh lebih 2 juta warga asing.

Namun, di saat himpitan kewangan ini tentunya ada golongan yang tidak akan terkesan dengan tekanan ekonomi iaitu golongan berada yang  mempunyai pendapatan melebihi keperluan mereka. Mereka berada di pelbagai komuniti kediaman. Di mana ada kawasan kediaman golongan bawahan pasti ada pula kediaman golongan berada sama ada sikit atau pun banyak.

Di sinilah kerajaan perlu berperanan menerapkan kesedaran kepada golongan berada untuk membantu golongan bawahan di persekitaran mereka menerusi konsep zakat dan sedekah atau responsibiliti sosial korporat. Ia perlu disasarkan untuk membantu meringankan bebanan kewangan rakyat melibatkan kediaman, keperluan harian dan pendidikan.

Di ambang sesi persekolahan baru ini tentulah keperluan persiapan untuk kembali ke sekolah sangat diperlukan oleh warga marhaen. Golongan berada perlu digesa untuk turun tampil membantu masyarakat sekitar.

Kerajaan boleh berperanan membuat iklan dan kempen berbentuk kesedaran responsibiliti sosial ini menerusi pelbagai media milik kerajaan. Malah insentif baru boleh disediakan oleh kerajaan di samping pemotongan cukai sedia ada bagi mereka yang membantu himpitan kewangan masyarakat. Sekiranya kesedaran ini dikempen secara berkala dan bersasar ia akan meringankan sebahagian bebanan fiskal kerajaan persekutuan atau negeri untuk jangka masa panjang.

Malah pembinaan dan pembangunan pelbagai kemudahan awam seperti hospital, lebuhraya, sekolah boleh dibiayai menerusi konsep tanggungjawab sosial korporat ini sama ada berkonsepkan wakaf dan lain-lainnya menurut kaedah Islam.

Inilah antara konsep yang diterapkan oleh Rasulullah saw kepada hartawan negara sehingga kerajaan tidak perlu menampung begitu banyak keperluan pengurusan negara dan menyerahkan sebahagiannya untuk dipenuhi oleh rakyat yang mempunyai lebihan perbelanjaan.

Korporat Madinah seperti Uthman ibnu Affan radiyallahu anhu membeli telaga air tawar yang menjadi keperluan masyarakat daripada tangan Yahudi yang berniaga dan memonopoli sumber air tersebut lalu diwakafkan kepada umat Islam selepas dikempen oleh Rasulullah saw.

Korporat Madinah Abdul Rahman bin Auf radiyallahu anhu pula membeli tanah kediaman lalu diagihkan di kalangan ahli keluarganya yang susah.

Sumber Fiskal Negara hari ini terlalu bergantung pada konsep percukaian lebih daripada 70% bagi membiayai bebanan pengurusan negara. Berdasarkan konsep percukaian, pendapatan si kaya diambil secara paksa dengan kadar yang tingggi untuk ditabungkan sebelum diagihkan semula kepada rakyat menerusi perbelanjaan negara. Dalam proses itu berlakulah kebocoran dan ketirisan apabila diurus oleh tangan-tangan yang kurang beramanah.

Terkini percukaian barangan dan perkhidmatan (GST) pula diperkenalkan bagi mengambil pendapatan si kaya dan si miskin untuk diagihkan semula kepada si kaya dan juga si miskin dalam pelbagai bentuk perbelanjaan negara sedang konsep percukaian Islam hanya diambil daripada si kaya.

Tanpa menafikan keperluan percukaian menurut prinsip Islam untuk tabungan rasmi negara, konsep "responsibiliti sosial korporat" perlu diperkasakan kerana ia lebih telus menyalurkan lebihan pendapatan si kaya secara terus kepada sasaran iaitu marhaen secara sukarela tanpa paksaan.

Rang undang-undang boleh diperkenalkan untuk mengemaskini tata cara pengelolaan sistem ini secara lebih berkesan. Namun, ia perlu dimulakan dengan kempen agresif oleh pihak kerajaan.

Sekian.

Ahli Parlimen Kuala Nerus
Isnin 16 Rabi'ul Awal 1437 H / 28 hb Disember 2015

Sunday 27 December 2015

Persidangan Antarabangsa Kesatuan Ummah di Tehran; Menggarap Krisis Semasa Dunia Islam

Persidangan Antarabangsa Kesatuan Ummah di Tehran; Menggarap Krisis Semasa Dunia Islam

Antara ucapan Rasulullah saw di Arafah ketika Haji Wida':

" فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ حَرَامٌ عَلَيْكُمْ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا ، فِي شَهْرِكُمْ هَذَا ، فِي بَلَدِكُمْ هَذَا "

"Maka sesungguhnya darah-darah (nyawa), harta benda dan maruah kehormatan (sesama) kamu adalah haram dicerobohi oleh kamu sebagaimana haramnya pencerobohan terhadap kehormatan hari kamu ini (Hari Arafah) di bulan kamu ini (Zulhijjah) di bumi kamu ini".
(Hadis Bukhari dan Muslim)

Ia satu penegasan dan deklarasi kemanusiaan tentang kemuliaan dan kehormatan nyawa, harta benda dan maruah manusia yang mesti dipertahankan daripada sebarang bentuk pencerobohan.

Namun, hari ini umat Islam khususnya di Timur Tengah sedang berhadapan dengan kemelut dan krisis politik yang menatijahkan pertumpahan darah ratusan ribu umat Islam serta menuntut satu formula penyelesaian.

Antaranya, masa depan Palestin yang masih dijajah oleh Yahudi yang mendapat dokongan kuasa besar barat dan sokongan moral sebahagian pemimpin yang mengaku muslim.

Juga pertumpahan darah di Iraq yang masih belum berakhir sejak Saddam ditumbangkan.

Seterusnya politik Libya yang belum stabil pasca pembunuhan Muammar Ghadaffi.

Pasca kudeta terhadap Dr Morsi oleh al-Sisi menyaksikan Mesir terus bergolak.

Di Syria pula perang saudara dicipta oleh tangan-tangan ghaib lalu diambil kesempatan oleh ISIS tajaan barat yang merosakkan nama Islam dan menatijahkan jutaan pelarian.

Terkini, Yaman pula bergolak disebabkan pemberontakan.

Dalam semua kemelut dan krisis ini, di sebahagian negara, perbezaan antara kelompok dan aliran aqidah Islam dicanang pula oleh sebahagian sebagai antara sebab dan punca yang meluaskan lagi jurang perpaduan ummah menangani krisis.

Inilah krisis politik semasa umat Islam yang menjadi topik perbincangan Persidangan Antarabangsa Kesatuan Ummah Kali ke 29 yang berlangsung di Tehran bermula hari ini 27hb Dis sehingga 29hb Dis 2015 anjuran kerajaan Republik Islam Iran yang menghimpunkan para ulamak daripada aliran Sunni dan Syiah atas nama kesatuan ummah.

Tuan Guru Presiden PAS dijadualkan berucap esok dengan tajuk ; "Krisis Asia Barat dan Permainan Masyarakat Dunia"

Adakah mungkin satu kesatuan politik umat Islam menjadi formula penyelesaian setelah beberapa dekad mereka hanya disatukan atas nama kesatuan kebajikan dan ekonomi semata-mata?

Atau persoalan lebih utama; adakah kesatuan politik menghampiri model Khilafah Uthmaniyyah, Abbasiyyah dan Umawiyah antara negara umat Islam boleh menjadi kenyataan dan formula penyelesaian?

Apa yang ada dalam fikiran anda sekarang saat persoalan ini dilontarkan?

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Hotel Istiqlal, Tehran, Iran.
27 Dis 2015 / 15 Rabi'ul Awal 1437 H

www.drtakiri.blogspot.com

Friday 25 December 2015

Ucapan perbahasan bajet 2016 oleh Dr Khairuddin Takiri


Dr Khairuddin Takiri berbicara


Dr Khairuddin Berbicara Dalam Simposium Pemikiran Islam


Tugas Pemimpin Islam

Renungan Jumaat

Tugas pemimpin Islam ialah membimbing dan memandu umat  ke arah perjalanan hidup yang benar dan betul menurut Islam berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.

Allah berfirman;

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِمْ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَإِقَامَ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءَ الزَّكَاةِ ۖ وَكَانُوا لَنَا عَابِدِينَ

"Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang memandu berdasarkan perintah Kami dan Kami ilhamkan kepada mereka melakukan pelbagai kebajikan, menegakkan solat, menunaikan zakat dan mereka sebelumnya menjadi hamba-hamba yang beribadah kepada Kami"
(Surah al-Anbiya' ayat 73)

Jika ada kalangan pengikut yang engkar terhadap bimbingan ia adalah kerana mereka gagal merujuk kepada panduan al-Quran dan al-Sunnah dek kelemahan ilmu dan kefahaman mereka atau kerana terpengaruh dengan pandangan dan persepsi ciptaan manusia yang lebih bersandarkan nafsu dan emosi.

Maka janganlah pula pemimpin yang bijak berpandukan al-Quran dan al-Sunnah terikut-ikut pula dengan rentak pengikut yang berpandukan akal dan emosi. Kalau begitu keadaannya, dia bukanlah pemimpin tetapi hanyalah pengikut yang terikut-ikut.

Tugas pemimpin meluruskan kefahaman mereka.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Jumaat 13 Rabi'ul Awal 1437 H / 25hb Dis 2015.

Thursday 24 December 2015

MAULIDUR RASUL; Negara Bahagia Titipan Rasulillah saw

Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

MAULIDUR RASUL; Negara Bahagia Titipan Rasulillah saw

Allah berfirman

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

"Sememangnya untuk kamu pada diri Rasulillah ikutan yang baik bagi orang yang sentiasa mengharapkan Allah dan Hari Akhirat dan banyak mengingati Allah".
(Surah al-Ahzab ayat 21)

Al-Quran menegaskan bahawa Rasulullah (s.a.w) sememangnya ikutan terbaik untuk seluruh manusia, namun yang bersedia mengambil baginda sebagai contoh tauladan hanyalah mereka yang meletakkan Akhirat sebagai wawasan.

Kedatangan Rasulullah (s.a.w) membawa cahaya kehidupan bagi umat manusia menerusi 3 aspek iaitu:

1. Aqidah yang benar tentang hakikat kehidupan alam ini yang diimbangi oleh pertimbangan dosa dan pahala, kewujudan alam kedua selepas kematian dan alam Akhirat yang akan menilai kembali segala perlakuan manusia di dunia untuk diganjari dengan Syurga atau dibalas dengan Neraka.

2. Syariat dan peraturan kehidupan yang adil untuk semua dalam aspek ibadah, kekeluargaan, sosial kemasyarakatan seperti kejiranan, aspek ekonomi dan muamalat, kehakiman dan pengurusan pentadbiran negara.

3. Akhlak dan keperibadian mulia dalam berinteraksi dengan manusia.

Penghayatan terhadap sambutan Maulidur Rasul tidak hanya terhenti pada alunan selawat dan menceritakan keperibadian baginda (s.a.w), malah mesti melangkau peringatan tentang ketiga-tiga aspek dakwah baginda (s.a.w).

Praktikal pengurusan dan pentadbiran negara yang ditunjukkan oleh baginda (s.a.w) sangat wajar ditauladani oleh para pemerintah dan pentadbir khususnya kerajaan Malaysia sama ada di peringkat persekutuan, negeri mahupun kerajaan tempatan.

Dalam menghadapi kemelut ekonomi dan sosial serta defisit kepercayaan politik, sirah baginda (s.a.w) wajar diselusuri dengan tekun.

Perpecahan masyarakat bermula apabila agama diketepikan. Maka perpaduan antara bangsa, suku dan agama diikat oleh Rasulillah (s.a.w) menerusi tali Allah iaitu Islam sehingga mengikat hubungan persaudaraan dan kemanusiaan antara masyarakat majmuk pelbagai agama dan bangsa di Madinah.

Ruang kerjasama dalam perkara kebajikan dan taqwa diperluaskan. Muafakat pelbagai pihak menentang kezaliman diperteguhkan.

Amar makruf dan Nahi mungkar menjadi paksi pengimbang antara golongan pelaku mungkar dan kezaliman dengan masyarakat serta rakyat yang tertindas.

Untuk itu, piagam Madinah digubal untuk dimenterai secara bersama.

Pembinaan ekonomi negara dimulakan dengan membina manusia pemacu ekonomi yang menghiasi diri dengan akhlak adil, tidak menzalimi, bercakap benar tidak menipu dan amanah tidak khianat serta berkebajikan sesama manusia.

Untuk itu, masjid dijadikan pusat pendidikan yang dikunjungi secara rutin.

Baginda (s.a.w) menampilkan dasar ekonomi adil yang memerangi riba, monopoli dan manipulasi orang kaya, memerangi percukaian zalim yang memeras rakyat miskin dan memperkenalkan bantuan kewangan untuk golongan kurang berkemampuan dan menghidupkan konsep tanggungjawab sosial oleh korporat negara.

Baginda (s.a.w) melahirkan para pemimpin di keliling baginda yang amanah tidak rasuah, telus tanpa tiris,  bersederhana dan tidak kemaruk dunia meskipun kaya.

Moga Maulidur Rasul memberi seribu tauladan.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Khamis 12 Rabi'ul Awal 1437 H / 24 Disember 2015.

Monday 21 December 2015

Kerjasama & Perpaduan Ummah Tidak Semestinya Hanya Dengan Gabungan Entiti Politik

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Kerjasama & Perpaduan Ummah Tidak Semestinya Hanya Dengan Gabungan Entiti Politik

1. Tentunya bicara media yang paling hangat bermula petang semalam ialah perpaduan ummah dan masa depan hubungan 2 parti terbesar Melayu Islam iaitu antara UMNO dan PAS ekoran kehadiran Presiden PAS dan beberapa pimpinan termasuk Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sepentas dengan Presiden UMNO. Pelbagai versi tafsiran terpapar di media hari ini.

2. Di sinilah PAS selaku parti politik dan dakwah mengambil peranan besar memandu dan membimbing media dan umat untuk menggarap satu pendekatan perpaduan ummah yang holistik dan politik Islam yang matang berasaskan prinsip dan dakwah Islam.

3. Kerjasama atas dasar kebajikan dan taqwa, tidak atas dasar menegakkan permusuhan dan kezaliman adalah prisip asas Islam sebagaimana firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2.

4. Ruang kerjasama dan perpaduan ummah tersangat luas untuk dirintis dan digarap. Ia boleh berlangsung dengan pelbagai bentuk tanpa memerlukan gabungan entiti politik. PAS akan terus berperanan memastikan semak dan imbang terus berlangsung dalam politik negara. Itulah penegasan PAS sehingga kini.

5. PAS menerusi penampilan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS dalam Multaqa Serantau Alumni Al Azhar semalam membawa mesej Islam yang sangat jelas iaitu:

i) Islam sebagai asas perpaduan ummah.
ii) Islam sebagai asas pembinaan tamadun bangsa dan negara.
iii) menolak campur tangan asing yang mempromosi pertembungan dan peperangan antara muslim.
iv) Pemimpin negara perlu bersedia dikritik

6. Agenda yang dilakar oleh Presiden PAS ini akan digarap oleh seluruh ahli dan kepimpinan PAS untuk di bawa ke tengah masyarakat berasaskan prinsip Islam dengan merujuk kepada al-Quran, al-Sunnah, Ijma' dan Qiyas sebagaimana termaktub dalam perlembagaan PAS.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Jumaat 18hb Dis 2015

Saturday 12 December 2015

Berkhalwat Adalah Kemungkaran Yang Wajib Ditangani Oleh Pemerintah - Menolak Gesaan G25 dan Pandangan Dr Asri Zainul Abidin

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENERANGAN DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

Berkhalwat Adalah Kemungkaran Yang Wajib Ditangani Oleh Pemerintah - Menolak Gesaan G25 dan Pandangan Dr Asri Zainul Abidin

1. Berkhalwat atau berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram dan satu kemungkaran serta maksiat besar dalam Islam sebagaimana sabda Nabi saw.

ُ لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ
Bermaksud: "Janganlah seorang lelaki bersunyi-sunyian dengan seorang perempuan melainkan bersamanya ada mahramnya"

Hadis Sahih Bukhari dan Muslim

2. Oleh kerana tugasan Amar Ma'ruf dan Nahi Mungkar (menyuruh melakukan ma'ruf dan mencegah kemungkaran) menjadi sebahagian kewajipan pihak berkuasa menurut Islam maka mengadakan apa sahaja undang-undang yang boleh dikategorikan dalam kategori Ta'zir untuk mengekang perlakuan tidak bermoral tersebut adalah sebahagian tanggungjawab pihak berkuasa.

3. Gesaan G25 supaya dimansuhkan hukuman khalwat terhadap orang Islam dengan mendakwa kononnya ia melanggar hak kebebasan seseorang seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia adalah tidak releven kerana empat sebab:

i) Perlembagaan tidak memberi hak kebebasan mutlak kepada warganegara untuk melakukan apa sahaja termasuk melanggar undang-undang yang digubal oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

ii) Perlembagaan Malaysia memberi hak dan kuasa untuk kerajaan negeri menggubal undang-undang Islam yang dikuatkuasakan kepada orang Islam menerusi Mahkamah Syariah.

iii) Setiap Muslim terikat dengan undang-undang Islam. Tidak ada manusia yang mengaku muslim berhak bebas melakukan dosa dan maksiat tanpa sebarang penguatkuasaan pihak berkuasa. Dengan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Malaysia untuk kerajaan negeri menggubal undang-undang maka menjadi hak kerajaan negeri menggubal undang-undang Islam yang dikuatkuasakan menerusi Mahkamah Syariah terhadap orang Islam termasuklah undang-undang khalwat.

iv) Khalwat bukan hanya perlakuan individu yang kesannya negatifnya hanya kepada individu tetapi satu perlakuan tidak bermoral yang akan memberi kesan kepada masyarakat kerana menjurus kepada zina yang merosakkan institusi kekeluargaan dan perkahwinan dan boleh membawa kepada kelahiran bayi luar nikah.

4. Gesaan G25 juga merupakan satu jalur pemikiran liberal yang sedang bergiat cergas di nusantara bagi menghancurkan binaan dan kerangka undang-undang Islam serta moral orang-orang Islam dengan menjadikan hak asasi acuan barat sebagai topeng dan hujah.

5. Pandangan Sahibus Samahah Dr Asri Zainul Abidin yang juga menolak tindakan pihak berkuasa agama mengadakan serbuan dan intipan khalwat juga tidak tepat. Hujah yang digunakan oleh beliau bahawa Islam tidak membenarkan intipan terhadap perlakuan maksiat adalah hujah umum yang perlu diperincikan sebagaimana perincian tokoh-tokoh ulamak silam.

6. Hal ini kerana apabila tokoh-tokoh Ulamak menegaskan haram melakukan intipan maksiat tersembunyi mereka memperincikan pula hal dan keadaan pengecualian yang dibenarkan intipan dibuat oleh pihak berkuasa.

7. Antaranya ialah apabila ia melibatkan maksiat tersembunyi yang boleh membawa kepada tercemarnya maruah dan kehormatan seperti zina dan pembunuhan. Apabila terdapat aduan yang bersifat sangkaan yang kuat, maka pihak berkuasa dibenarkan untuk melakukan intipan dan penyelidikan dalam kes tersebut.

8. Antara dalilnya ialah kes Mughirah bin Syu'bah yang didatangi seorang perempuan bernama Ummu Jamil bin Mihjan yang telah bersuami. Apabila maklumat tersebut sampai ke pengetahuan Abi Bakrah, Sahl bin Ma'bad, Nafi' bin Harith dan Ziyad bin Ubayd mereka lalu melakukan intipan dan menyerbu mereka berdua sebaik wanita tersebut masuk bertemu al-Mughirah. Tindakan intipan dan serbuan mereka tidak dibantah oleh Umar bin al-Khattab selaku Khalifah ketika itu.

9. Antara tokoh Ulamak yang menegaskan keharusan intipan dan serbuan khalwat dengan dalil di atas ini ialah Abu Ya'la dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah dan al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah (2 karya yang mempunyai nama yang sama) di kalangan tokoh Ulamak kurun ke 5 H.

10. Imam Nawawi dalam Syarh Muslim dan Ibnu Rajab al-Hanbali dalam Jawami' al-'Ulum juga menukilkan pandangan Abu Ya'la tersebut.

11. Ia juga disentuh oleh tokoh ulamak kontemporari iaitu Dr. Mustafa Bugha  dan Muhyiddin Mistu dalam al-Waafi, Dr Na'im Yasin dalam karya al-Jihad wa Mayadiinuh wa Asaalibuh dan Dr Ali al-Qarni dalam tesis Phd beliau bertajuk al-Hisbah fi al-Madi wa al-Hadir.

12. Kesimpulannya ialah undang-undang khalwat adalah bertujuan menjaga maruah dan moral umat Islam daripada terlibat dengan perlakuan keji zina yang diharamkan oleh semua agama dan ia menjadi sebahagian tanggungjawab pemerintah dalam Islam.

13. Intipan dan serbuan khalwat oleh pihak berkuasa setelah mendapat info dan aduan yang dipercayai adalah dibolehkan dan terkecuali daripada larangan mengintip maksiat tersembunyi yang disebut di dalam Hadis Sahih.

# rujuk tulisan lengkap saya dalam isu ini "Intipan Khalwat Menurut al-Quran dan al-Sunnah" terbitan 2007.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

Sabtu 12hb Disember 2015 / 30 Safar 1437 H

Sunday 6 December 2015

PERUTUSAN TAKZIAH DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

PERUTUSAN TAKZIAH DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

SEMBAH TAKZIAH & DUKACITA ATAS KEMANGKATAN Y.A.M. TUNKU ABDUL JALIL

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) merakamkan sembah takziah kepada baginda DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan seluruh Kerabat Diraja Johor atas kemangkatan Y.A.M Tungku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar ibni DYMM Sultan Ibrahim pada malam semalam.

Seluruh ahli DUPP turut berdukacita dan mengharapkan seluruh keluarga diraja khususnya baginda DYMM Tuanku bersabar atas ujian ini. Semoga Allah menempatkan Almarhum di kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solihin.

" اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ , وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ , وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ , وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ , وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ , وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ ، وَأَدْخِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ , وَأَهْلا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ , وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ , وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ , وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ , وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ " .

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan

Ahad 6 Disember 2015

Thursday 3 December 2015

KENAIKAN TAMBANG : MAKIN JADI TREND, RAKYAT BERTAMBAH BEBAN

Kenyataan Media
Ahli Parlimen Kuala Nerus

KENAIKAN TAMBANG : MAKIN JADI TREND, RAKYAT BERTAMBAH BEBAN

1.   Mutakhir ini kenaikan tambang perkhidmatan pengangkutan awam semakin menjadi trend. Semuanya cuba diwajarkan dengan alasan (i) semakan harga telah lama tidak dibuat dan (ii) ia masih lebih murah berbanding yang termaktub dalam perjanjian konsesi.

2.   Semalam diumumkan pula kenaikan tambang sehala perkhidmatan ERL dari KL Sentral ke KLIA/KLIA2 bermula Januari depan kepada RM55 iaitu kenaikan sebanyak 57% daripada tambang semasa.

3.   Sebelum ini telah diumumkan kenaikan kadar tambang bagi perkhidmatan KTM iaitu sebanyak 20% hingga 140% dan bagi LRT, Monorail dan RapidKL pula sebanyak 40% hingga 102%. Sebelum itu lagi, kadar harga tol juga telah dinaikkan antara 25% hingga 80%. Harga tambang bas pun turut dinaikkan. Selain itu, harga runcit petrol juga dinaikkan pada hampir setiap bulan.

4.   Jika data kepenggunaan isi rumah (household consumption) yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan perbelanjaan untuk tujuan pengangkutan pada tahun 2000 ialah 12.6% dan pada tahun 2009 naik kepada 13.1%, maka saya percaya ia boleh mencecah kepada 22.2% pada tahun 2015 berikutan trend kenaikan yang sedang berlaku sekarang ini.

6.   Saya juga yakin bahawa selepas ini akan diumumkan banyak lagi kenaikan termasuk tariff air dan elektrik yang hanya akan menambahkan lagi beban rakyat.

5.   Kenaikan-kenaikan kadar tambang atau harga ini amat tidak patut sama sekali. Sewajarnya Kerajaan menyelesaikan dahulu isu kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini yang kelihatan dan dapat dirasai tidak banyak penambahbaikkan yang berlaku dan sepatutnya juga Kerajaan memberikan keutamaan untuk mengekang atau mengawal kenaikan pelbagai kos sara hidup.

Sekian.

“Membina Malaysia Sejahtera”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Rabu, 2 Disember 2015 | 20 Safar 1437 H
_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ketua Penerangan DUPP. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau. ::