Monday, 28 December 2015

Kempen Responsibiliti Sosial Oleh Golongan Berada Bagi Menghadapi Kemelut Ekonomi Rakyat Marhaen

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله

Kempen Responsibiliti Sosial Oleh Golongan Berada Bagi Menghadapi Kemelut Ekonomi Rakyat Marhaen

Oleh:
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Islam menggariskan penyelesaian terhadap kemelut ekonomi ummah menerusi beberapa dasar berkebajikan yang diterapkan ke dalam jiwa rakyat.

Antaranya hadis riwayat Anas bin Malik bahawa Nabi saw bersabda

" مَا آمَنَ بِي مَنْ بَاتَ شَبْعَانًا وَجَارُهُ جَائِعٌ إِلَى جَنْبِهِ وَهُوَ يَعْلَمُ بِهِ "

"Tidak beriman denganku sesiapa yang bermalam dalam keadaan kenyang manakala jirannya kelaparan bersebelahan dengannya sedang dia mengetahuinya".
(Hadis riwayat Tabarani, Bazzar dan Hakim serta dinilai Sahih oleh al-Albaani)

Hadis ini menanamkan sikap keprihatinan terhadap permasalahan ummah dan mengenepikan sikap keakuan dan penting diri sendiri.

Nabi saw juga bersabda:

" إِنَّ الأَشْعَرِيِّينَ إِذَا أَرْمَلُوا فِي الْغَزْوِ ، أَوْ قَلَّ طَعَامُ عِيَالِهِمْ بِالْمَدِينَةِ ، جَمَعُوا مَا كَانَ عِنْدَهُمْ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ ، ثُمَّ اقْتَسَمُوه بَيْنَهُمْ فِي إِنَاءٍ وَاحِدٍ بِالسَّوِيَّةِ ، فَهُمْ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُم

"Sesungguhnya kaum kerabat Asy'ari apabila mereka kehabisan bekalan dalam peperangan atau berkurangan bekalan makanan keluarga mereka di Madinah, mereka menghimpunkan saki baki apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka mengagihkannya semula di kalangan mereka dalam satu bekas sama rata. Maka mereka adalah sebahagian daripada saya dan saya adalah sebahagian mereka."
(Hadis Sahih Bukhari dan Muslim)

Hadis ini mengariskan konsep bahu membahu dan berkongsi kesusahan khususnya makanan secara sukarela di kalangan satu kelompok komuniti apabila berhadapan dengan kesukaran.

Hari ini rakyat bawahan di Malaysia khususnya sedang berhadapan dengan tekanan ekonomi disebabkan oleh inflasi kenaikan harga barang, penurunan nilai pendapatan boleh guna dan ruang pekerjaan yang direbut oleh lebih 2 juta warga asing.

Namun, di saat himpitan kewangan ini tentunya ada golongan yang tidak akan terkesan dengan tekanan ekonomi iaitu golongan berada yang  mempunyai pendapatan melebihi keperluan mereka. Mereka berada di pelbagai komuniti kediaman. Di mana ada kawasan kediaman golongan bawahan pasti ada pula kediaman golongan berada sama ada sikit atau pun banyak.

Di sinilah kerajaan perlu berperanan menerapkan kesedaran kepada golongan berada untuk membantu golongan bawahan di persekitaran mereka menerusi konsep zakat dan sedekah atau responsibiliti sosial korporat. Ia perlu disasarkan untuk membantu meringankan bebanan kewangan rakyat melibatkan kediaman, keperluan harian dan pendidikan.

Di ambang sesi persekolahan baru ini tentulah keperluan persiapan untuk kembali ke sekolah sangat diperlukan oleh warga marhaen. Golongan berada perlu digesa untuk turun tampil membantu masyarakat sekitar.

Kerajaan boleh berperanan membuat iklan dan kempen berbentuk kesedaran responsibiliti sosial ini menerusi pelbagai media milik kerajaan. Malah insentif baru boleh disediakan oleh kerajaan di samping pemotongan cukai sedia ada bagi mereka yang membantu himpitan kewangan masyarakat. Sekiranya kesedaran ini dikempen secara berkala dan bersasar ia akan meringankan sebahagian bebanan fiskal kerajaan persekutuan atau negeri untuk jangka masa panjang.

Malah pembinaan dan pembangunan pelbagai kemudahan awam seperti hospital, lebuhraya, sekolah boleh dibiayai menerusi konsep tanggungjawab sosial korporat ini sama ada berkonsepkan wakaf dan lain-lainnya menurut kaedah Islam.

Inilah antara konsep yang diterapkan oleh Rasulullah saw kepada hartawan negara sehingga kerajaan tidak perlu menampung begitu banyak keperluan pengurusan negara dan menyerahkan sebahagiannya untuk dipenuhi oleh rakyat yang mempunyai lebihan perbelanjaan.

Korporat Madinah seperti Uthman ibnu Affan radiyallahu anhu membeli telaga air tawar yang menjadi keperluan masyarakat daripada tangan Yahudi yang berniaga dan memonopoli sumber air tersebut lalu diwakafkan kepada umat Islam selepas dikempen oleh Rasulullah saw.

Korporat Madinah Abdul Rahman bin Auf radiyallahu anhu pula membeli tanah kediaman lalu diagihkan di kalangan ahli keluarganya yang susah.

Sumber Fiskal Negara hari ini terlalu bergantung pada konsep percukaian lebih daripada 70% bagi membiayai bebanan pengurusan negara. Berdasarkan konsep percukaian, pendapatan si kaya diambil secara paksa dengan kadar yang tingggi untuk ditabungkan sebelum diagihkan semula kepada rakyat menerusi perbelanjaan negara. Dalam proses itu berlakulah kebocoran dan ketirisan apabila diurus oleh tangan-tangan yang kurang beramanah.

Terkini percukaian barangan dan perkhidmatan (GST) pula diperkenalkan bagi mengambil pendapatan si kaya dan si miskin untuk diagihkan semula kepada si kaya dan juga si miskin dalam pelbagai bentuk perbelanjaan negara sedang konsep percukaian Islam hanya diambil daripada si kaya.

Tanpa menafikan keperluan percukaian menurut prinsip Islam untuk tabungan rasmi negara, konsep "responsibiliti sosial korporat" perlu diperkasakan kerana ia lebih telus menyalurkan lebihan pendapatan si kaya secara terus kepada sasaran iaitu marhaen secara sukarela tanpa paksaan.

Rang undang-undang boleh diperkenalkan untuk mengemaskini tata cara pengelolaan sistem ini secara lebih berkesan. Namun, ia perlu dimulakan dengan kempen agresif oleh pihak kerajaan.

Sekian.

Ahli Parlimen Kuala Nerus
Isnin 16 Rabi'ul Awal 1437 H / 28 hb Disember 2015

No comments:

Post a Comment