Thursday, 24 December 2015

MAULIDUR RASUL; Negara Bahagia Titipan Rasulillah saw

Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

MAULIDUR RASUL; Negara Bahagia Titipan Rasulillah saw

Allah berfirman

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

"Sememangnya untuk kamu pada diri Rasulillah ikutan yang baik bagi orang yang sentiasa mengharapkan Allah dan Hari Akhirat dan banyak mengingati Allah".
(Surah al-Ahzab ayat 21)

Al-Quran menegaskan bahawa Rasulullah (s.a.w) sememangnya ikutan terbaik untuk seluruh manusia, namun yang bersedia mengambil baginda sebagai contoh tauladan hanyalah mereka yang meletakkan Akhirat sebagai wawasan.

Kedatangan Rasulullah (s.a.w) membawa cahaya kehidupan bagi umat manusia menerusi 3 aspek iaitu:

1. Aqidah yang benar tentang hakikat kehidupan alam ini yang diimbangi oleh pertimbangan dosa dan pahala, kewujudan alam kedua selepas kematian dan alam Akhirat yang akan menilai kembali segala perlakuan manusia di dunia untuk diganjari dengan Syurga atau dibalas dengan Neraka.

2. Syariat dan peraturan kehidupan yang adil untuk semua dalam aspek ibadah, kekeluargaan, sosial kemasyarakatan seperti kejiranan, aspek ekonomi dan muamalat, kehakiman dan pengurusan pentadbiran negara.

3. Akhlak dan keperibadian mulia dalam berinteraksi dengan manusia.

Penghayatan terhadap sambutan Maulidur Rasul tidak hanya terhenti pada alunan selawat dan menceritakan keperibadian baginda (s.a.w), malah mesti melangkau peringatan tentang ketiga-tiga aspek dakwah baginda (s.a.w).

Praktikal pengurusan dan pentadbiran negara yang ditunjukkan oleh baginda (s.a.w) sangat wajar ditauladani oleh para pemerintah dan pentadbir khususnya kerajaan Malaysia sama ada di peringkat persekutuan, negeri mahupun kerajaan tempatan.

Dalam menghadapi kemelut ekonomi dan sosial serta defisit kepercayaan politik, sirah baginda (s.a.w) wajar diselusuri dengan tekun.

Perpecahan masyarakat bermula apabila agama diketepikan. Maka perpaduan antara bangsa, suku dan agama diikat oleh Rasulillah (s.a.w) menerusi tali Allah iaitu Islam sehingga mengikat hubungan persaudaraan dan kemanusiaan antara masyarakat majmuk pelbagai agama dan bangsa di Madinah.

Ruang kerjasama dalam perkara kebajikan dan taqwa diperluaskan. Muafakat pelbagai pihak menentang kezaliman diperteguhkan.

Amar makruf dan Nahi mungkar menjadi paksi pengimbang antara golongan pelaku mungkar dan kezaliman dengan masyarakat serta rakyat yang tertindas.

Untuk itu, piagam Madinah digubal untuk dimenterai secara bersama.

Pembinaan ekonomi negara dimulakan dengan membina manusia pemacu ekonomi yang menghiasi diri dengan akhlak adil, tidak menzalimi, bercakap benar tidak menipu dan amanah tidak khianat serta berkebajikan sesama manusia.

Untuk itu, masjid dijadikan pusat pendidikan yang dikunjungi secara rutin.

Baginda (s.a.w) menampilkan dasar ekonomi adil yang memerangi riba, monopoli dan manipulasi orang kaya, memerangi percukaian zalim yang memeras rakyat miskin dan memperkenalkan bantuan kewangan untuk golongan kurang berkemampuan dan menghidupkan konsep tanggungjawab sosial oleh korporat negara.

Baginda (s.a.w) melahirkan para pemimpin di keliling baginda yang amanah tidak rasuah, telus tanpa tiris,  bersederhana dan tidak kemaruk dunia meskipun kaya.

Moga Maulidur Rasul memberi seribu tauladan.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Khamis 12 Rabi'ul Awal 1437 H / 24 Disember 2015.

No comments:

Post a Comment