Sunday 2 April 2023
Siri 4 Tazkirah MUU : Kelonggaran Kewajipan Puasa Bagi Orang Sakit
Siri 5 Tazkirah MUU : Kelonggaran Kewajipan Puasa Bagi Musafir
Siri 6 Tazkirah MUU : Kelebihan Gandingan Ibadah Puasa dan Tarawih
Siri 7 Tazkirah MUU : Kelebihan Solat Witir
Siri 8 Tazkirah Majlis Ulama UMNO : Solat Witir Sekali Sahaja Pada Satu Malam
Siri 9 Tazkirah Ramadhan Majlis Ulama UMNO : Pahala Menolong Orang Berpuasa Untuk Berbuka
Siri 10 Tazkirah Majlis Ulama UMNO : Rahmat Bulan Ramadhan
MAJLIS ULAMA UMNO
Siri TAZKIRAH RAMADHAN
Siri 10 (10 Ramadhan 1444 H)
Rahmat Bulan Ramadhan
Daripada Abu Hurairah (r.a), Nabi saw bersabda;
إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أبْوَابُ الجَنَّةِ، وغُلِّقَتْ أبْوَابُ جَهَنَّمَ، وسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ
"Apabila masuk Ramadhan dibuka sesungguhnya pintu-pintu syurga, ditutup sesungguhnya pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan"
(Hadis Riwayat Bukhari no 3277, Riwayat Muslim no 1079 dan Riwayat Nasei no 2098)
Huraian & Pengajaran
1. Bulan Ramadhan adalah bulan yang dinanti-nantikan oleh pemburu pahala dan syurga kerana padanya terdapat pelbagai kelebihan ibadah yang menggamit rahmat Allah. Justeru, Ramadhan digambarkan oleh baginda saw sebagai bulan yang terbuka luas pintu-pintu syurga dan tertutup sesungguhnya pintu-pintu neraka disebabkan amal ibadah hamba yang banyak. Ia juga menandakan rahmat Allah yang melimpah ruah kepada hamba-hambanya disebabkan ibadah yang mengundang mereka untuk ke syurga Allah.
2. Ulamak berbeza pendapat tentang maksud terbelenggu Syaitan. Sebahagian berpegang pada makna zahir iaitu sememangnya syaitan-syaitan dibelenggu pada bulan Ramadhan.
3. Jika diambil pada makna zahir ini, terbelenggunya Syaitan-syaitan pada bulan Ramadhan adalah satu rahmat pertolongan Allah kepada hamba-hambanya untuk lebih cergas beribadah tanpa gangguan, hasutan dan bisikan jahat daripada mereka. Keadaan dan suasana ibadah tentunya berbeza daripada bulan-bulan biasa. Sekiranya di saat Syaitan terbelenggu masih gagal disempurnakan ibadah maka ia petanda jiwa dan iman yang sangat lemah mudah tunduk pada kehendak nafsu.
4. Sebahagian pula mentafsirkan dengan maksud majaz kiasan sepertimana dipetik oleh Ibnu Hajar al-'Asqalani (773-852H/1371-1449M) daripada al-Halimi (338-403 H/950-1012M) bermaksud bahawa gangguan oleh syaitan tidak lagi sepertimana pada bulan-bulan biasa kerana umat Islam sibuk dengan ibadah puasa yang boleh mengekang syahwat kemahuan dan juga menerusi bacaan al-Quran dan zikir yang banyak.
(Rujuk Fath al-Bari, Juz 4/114)
5. Maka, sewajarnya umat Islam memanfaatkan Ramadhan dengan pelbagai ibadah di saat rahmat Allah terbuka sangat luas dan gangguan-gangguan luar semakin sempit dan mengecil.
Sekian
Disediakan oleh
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Setiausaha Eksekutif
MAJLIS ULAMA UMNO
Mutiara FIQH PUASA: Berbuka Kerana Sakit
Mutiara FIQH PUASA
Berbuka Kerana Sakit
1. Para Ulamak telah berijmak dan bersepakat bahawa orang yang sakit harus berbuka puasa. Hal ini berdasarkan firman Allah Taala dalam Surah al-Baqarah: 185;
{ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ}
"Maka sesiapa yang menyaksikan di kalangan kamu bulan tersebut maka hendaklah dia berpuasa. Dan sesiapa yang sakit atau dalam keadaan pelayaran maka hendaklah diganti pada hari-hari lain. Allah mahukan dengan kamu kemudahan dan Dia tidak mahukan dengan kamu kesukaran"
2. Namun, apakah bentuk dan peraturan sakit yang dibenarkan untuk berbuka?
Jawapannya ialah penyakit yang mana dengan sebab berpuasa makin bertambah sakitnya atau lambat kesembuhannya atau yang menjadikan dirinya berada dalam keberatan yang sangat sehingga tidak mampu menjalankan pekerjaan untuk mencari rezki.
3. Kesakitan seumpama luka kecil, sakit gusi dan bisul yang tidak memberi kesan kepada puasa tidak membolehkan berbuka puasa. Begitu juga penyakit yang puasa menjadi sebahagian rawatan baginya seperti cirit birit, senak perut, gangguan pencernaan dan masalah refluks, iaitu asid dari perut naik ke atas.
4. Bagaimana menilai penyakit ini?
Sama ada berdasarkan pengalaman peribadi atau berdasarkan nasihat dan pandangan pegawai perubatan yang dipercayai.
Apabila seorang pegawai perubatan muslim yang dipercayai memberi pandangan bahawa puasa boleh memudaratkan kesihatannya maka dia boleh berbuka. Sekiranya dia masih bertahan untuk berpuasa sehingga memungkinkan mudarat pada dirinya maka ketika itu makruh baginya berpuasa kerana meninggalkan satu kelonggaran yang telah diberikan oleh Allah.
Sekiranya ternyata berpuasa itu benar-benar memudaratkan dirinya maka haram atas dirinya berpuasa kerana Islam menolak sebarang mudarat pada diri berasaskan Hadis-Hadis Nabi tentang menolak mudharat seumpama Hadis Nabi saw
لا ضَرَرَ ولا إضْرارَ
"tiada mudarat dan tiada memudaratkan"
Hadis Hasan riwayat Ibnu Majah dan al-Darqutni.
Ia juga bersandarkan prinsip Islam sebagaimana firman Allah Taala
{وَلاَ تَقْتُلُواْ أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا}
"Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri kerana sesungguhnya Allah dengan kamu Maha bersifat Rahim"
Surah al-Nisa': 29
5. Pesakit yang bersifat sementara kesakitannya dan masih diharapkan kesembuhannya hendaklah menggantikan puasa Ramadhan yang ditinggalkan pada waktu sihatnya sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Baqarah:185
Adapun pesakit yang berpanjangan sakitnya dan tiada diharap lagi kesembuhannya untuk dia menggantikan puasa maka hukumnya adalah dibayar fidyah dengan memberi makan untuk setiap hari tidak berpuasa itu secupak beras atau nilainya kepada fakir miskin.
Moga bermanfaat. Sekian.
Dr Khairuddin Takiri
Ahad 3.4.2022 / 2 Ramadhan 1443