Sunday 2 April 2023

Siri 7 Tazkirah MUU : Kelebihan Solat Witir

MAJLIS ULAMA UMNO
Siri TAZKIRAH RAMADHAN

Siri 7 (7 Ramadhan 1444 H) 
Kelebihan Solat Witir

اجْعَلُوا آخِرَ صَلَاتِكُمْ باللَّيْلِ وِتْرًا
"Jadikanlah solat akhir kamu di waktu malam ialah solat Witir"
(Hadis Disepakati riwayat Bukhari no 998 dan riwayat Muslim no 751)

Huraian & Pengajaran

1. Solat Witir adalah solat yang sangat digalakkan untuk dikerjakan pada malam hari sebagai penutup bagi solat malam. 

2. Ia dinamakan "Witir" yang bermaksud ganjil kerana dilakukan minimanya satu rakaat dan boleh dilakukan sehingga maksimanya 11 rakaat secara dua rakaat, dua rakaat dengan penutupnya adalah satu rakaat sahaja.

3. Pada malam-malam Ramadhan solat Witir terlebih sunat dilakukan kerana ia merupakan sebahagian daripada ibadat berdiri solat bagi menghidupkan malam Ramadhan sebagaimana sabit kelebihannya dalam banyak hadis.

4. Meskipun pada malam-malam biasa, solat Witir dibuat sebagai penutup ibadat solat malam sebelum terbitnya fajar, namun pada bulan Ramadhan ia sunat dilakukan secara berjamaah dengan imam selepas solat Tarawih bagi mendapatkan kelebihan kebersamaan bersama imam dan pahala solat malam sepenuhnya. 

Dalilnya ialah hadis Nabi (saw) yang panjang riwayat Abu Zar al-Ghifari (r.a) tentang solat malam Ramadhan para Sahabat dengan Nabi (saw) antaranya Baginda bersabda;

إنَّ الرَّجلَ إذا صلَّى معَ الإمامِ حتَّى ينصرفَ حسبَ لَه قيامُ ليلةٍ
"Sesungguhnya seorang lelaki apabila solat bersama imam sehingga imam beredar dikira baginya qiyam berdiri solat satu malam penuh"
(Hadis Sahih riwayat Nasaei no 1363 dan riwayat Abu Dawud no 1375).

Sekian

Disediakan oleh:
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Setiausaha Eksekutif
MAJLIS ULAMA UMNO



No comments:

Post a Comment