Sunday 2 April 2023

Siri 9 Tazkirah Ramadhan Majlis Ulama UMNO : Pahala Menolong Orang Berpuasa Untuk Berbuka

MAJLIS ULAMA UMNO
Siri TAZKIRAH RAMADHAN

Siri 9 (9 Ramadhan 1444 H) 
Pahala Menolong Orang Berpuasa Untuk Berbuka

Daripada Zayd bin Khalid al-Juhani, daripada Nabi (saw) bersabda;

مَنْ فَطَّرَ صَائمًا، كانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أجْر الصَّائمِ شيءٍ.

"Sesiapa yang memberi makan berbuka kepada seorang yang puasa adalah baginya seumpama pahala orang berpuasa tetapi tidak berkurang daripada pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun."
(Hadis Hasan Sahih riwayat Tirmizi no 807)

Huraian & Pengajaran

1. Ramadhan adalah bulan ibadah. Ibadah Ramadhan bukan hanya terhad kepada berpuasa tetapi juga membantu orang berpuasa untuk berbuka puasa dengan pemberian makanan untuk berbuka.

2. Besarnya ganjaran memberi makanan berbuka ini sehingga Allah kurniakan pahala sama seperti pahala orang berpuasa. Hatta sekiranya makanan berbuka itu berupa seteguk air atau sebiji kurma sekalipun sebagaimana tersebut dalam satu hadis dhaif riwayat Salman al-Farisi (r.a).

3. Konsep perolehan pahala yang sama bagi orang yang membantu dan memudahkan urusan seseorang yang melakukan ibadat disebut dalam hadis lain yang juga diriwayatkan daripada Zayd bin Khalid al-Juhani (r.a). Kata beliau, Nabi (saw) bersabda:
 
مَن جَهَّزَ غَازِيًا في سَبيلِ اللَّهِ فقَدْ غَزَا، وَمَن خَلَفَ غَازِيًا في سَبيلِ اللَّهِ بخَيْرٍ فقَدْ غَزَا.
"Sesiapa yang mempersiapkan seorang yang berperang di jalan Allah maka dia sesungguhnya telah berperang. Dan sesiapa yang menggantikan seorang yang berperang di jalan Allah pada satu perkara kebajikan maka sesungguhnya dia juga telah berperang"
(Hadis riwayat Bukhari no 2843)

4. Menurut Imam Tobari sebagaimana dinukilkan oleh Ibnu Battol, Hadis pahala berperang ini mengandungi fiqh pengajaran iaitu sesiapa yang membantu seorang mukmin melakukan amalan kebajikan maka bagi orang yang membantu itu pahala sama sepertimana orang yang melakukannya. Demikian juga orang yang memberi makan berbuka pada orang yang berpuasa atau memperkuatkan dirinya untuk berpuasa.
(rujuk al-'Ayni, 'Umdah al-Qari, Juz 12/289)

5. Demikianlah Ramadhan mendidik umat Islam untuk berkebajikan saling membantu dalam menyempurnakan ketaatan kepada Allah Taala.

Sekian

Disediakan oleh
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Setiausaha Eksekutif
MAJLIS ULAMA UMNO





No comments:

Post a Comment