Sunday 2 April 2023

Siri 10 Tazkirah Majlis Ulama UMNO : Rahmat Bulan Ramadhan

MAJLIS ULAMA UMNO
Siri TAZKIRAH RAMADHAN

Siri 10 (10 Ramadhan 1444 H)
Rahmat Bulan Ramadhan

Daripada Abu Hurairah (r.a), Nabi saw bersabda;

إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أبْوَابُ الجَنَّةِ، وغُلِّقَتْ أبْوَابُ جَهَنَّمَ، وسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ

"Apabila masuk Ramadhan dibuka sesungguhnya pintu-pintu syurga, ditutup sesungguhnya pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan"

(Hadis Riwayat Bukhari no 3277, Riwayat Muslim no 1079 dan Riwayat Nasei no 2098)

Huraian & Pengajaran

1. Bulan Ramadhan adalah bulan yang dinanti-nantikan oleh pemburu pahala dan syurga kerana padanya terdapat pelbagai kelebihan  ibadah yang menggamit rahmat Allah. Justeru, Ramadhan digambarkan oleh baginda saw sebagai bulan yang terbuka luas pintu-pintu syurga dan tertutup sesungguhnya pintu-pintu neraka disebabkan amal ibadah hamba yang banyak. Ia juga menandakan rahmat Allah yang melimpah ruah kepada hamba-hambanya disebabkan ibadah yang mengundang mereka untuk ke syurga Allah.

2. Ulamak berbeza pendapat tentang maksud terbelenggu Syaitan. Sebahagian berpegang pada makna zahir iaitu sememangnya syaitan-syaitan dibelenggu pada bulan Ramadhan.

3. Jika diambil pada makna zahir ini, terbelenggunya Syaitan-syaitan pada bulan Ramadhan adalah satu rahmat pertolongan Allah kepada hamba-hambanya untuk lebih cergas beribadah tanpa gangguan, hasutan dan bisikan jahat daripada mereka. Keadaan dan suasana ibadah tentunya berbeza daripada bulan-bulan biasa. Sekiranya di saat Syaitan terbelenggu masih gagal disempurnakan ibadah maka ia petanda jiwa dan iman yang sangat lemah mudah tunduk pada kehendak nafsu.

4. Sebahagian pula mentafsirkan dengan maksud majaz kiasan sepertimana dipetik oleh Ibnu Hajar al-'Asqalani (773-852H/1371-1449M) daripada al-Halimi (338-403 H/950-1012M) bermaksud bahawa gangguan oleh syaitan tidak lagi sepertimana pada bulan-bulan biasa kerana umat Islam sibuk dengan ibadah puasa yang boleh mengekang syahwat kemahuan dan juga menerusi bacaan al-Quran dan zikir yang banyak.
(Rujuk Fath al-Bari, Juz 4/114)

5. Maka, sewajarnya umat Islam memanfaatkan Ramadhan dengan pelbagai ibadah di saat rahmat Allah terbuka sangat luas dan gangguan-gangguan luar semakin sempit dan mengecil.

Sekian

Disediakan oleh
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Setiausaha Eksekutif
MAJLIS ULAMA UMNO

No comments:

Post a Comment