Saturday, 30 April 2016

Kuliah Subuh Surau Hijrah

Kuliah Subuh YB Dato' Dr Khairuddin Takiri di Surau al-Hijrah, Ulu Takir pagi ini menghuraikan ayat 21 dari surah al-Rum. Antara yang dibangkitkan ialah harta yang menjadi kayu ukur penilaian dalam memilih calon suami atau isteri oleh ibu bapa bagi anak-anak mereka

Mesyuarat Agong PAS Kuala Nerus

Mesyuarat Agung Tahunan ke 56 PAS Kawasan Kuala Nerus hari ini 30 April 2016 dengan ucapan perasmian oleh YB Ustaz Nasaruddin Hasan Tantawi

Wednesday, 13 April 2016

Aktiviti YB Parlimen Kuala Nerus Khamis 14 April 2016

✳ AKTIVITI YB PARLIMEN Kuala Nerus
Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
bersama RAKYAT

📅 Khamis 14 hb April 2016

1⃣1⃣1⃣1⃣
☘ SANTUN KEDAI KOPI
⏰ 7.30 - 8.30 pg
🏠 Kg. Bukit Tumbuh

DUN BUKIT TUNGGAL

2⃣2⃣2⃣2⃣
☘ SANTUN KEDAI KOPI
⏰ 9.00 - 10.00 pg
🏠 Kg. Gemuruh

DUN TEPOH

3⃣3⃣3⃣3⃣
☘ ZIARAH MOSWA
⏰ 11.00 - 12.00 tghri
🏠 Kg Teluk Pasu & Buluh Gading

DUN TELUK PASU

4⃣4⃣4⃣4⃣
☘ SOLAT ZOHOR
🏠 Masjid Wakaf Tembesu

DUN TEPOH

5⃣5⃣5⃣5⃣
☘ Taklimat Jabatan Pengairan & Saliran
bersama NELAYAN

⏰ 3.30 - 4.30 ptg
🏠 Pantai Tg Gelam

DUN TEPOH

6⃣6⃣6⃣6⃣
☘ KULIAH MAGHRIB
Surau an-Nur
🏠 Kg. KESOM

DUN TELUK PASU

7⃣7⃣7⃣7⃣
☘DIALOG & Santai Bakar Ayam

⏰ 9.45 mlm - 11 mlm
🏠 BANGGOL BINJAI,

DUN TEPOH

Mohon sebarkan

www.drtakiri.blogspot.com

Thursday, 31 March 2016

NASIHAT AGAMA & WASIAT IMAN : PENDERAAN KANAK-KANAK APABILA HILANG KETENANGAN, KASIH SAYANG DAN KASIHAN BELAS

NASIHAT AGAMA & WASIAT IMAN
Oleh :
Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus (Khamis 31 hb Mac 2016)

PENDERAAN KANAK-KANAK APABILA HILANG KETENANGAN, KASIH SAYANG DAN KASIHAN BELAS

1.                  Kes penderaan kanak-kanak merupakan antara fenomena jenayah keluarga yang semakin meningkat. Statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dipetik oleh sebuah laporan akhbar menunjukkan peningkatan kes penderaan kanak-kanak daripada 2010 iaitu sebanyak 3,257 kes, 3,428 kes (2011), 3,831 kes (2012), dan 4,119 kes pada 2013.

2.                  Kes jenayah ini berlaku apabila hilang atau menipis 3 unsur kehidupan berkeluarga iaitu ketenangan (sakinah), kasih sayang (mawaddah) dan kasihan belas (rahmah).

3.                  Allah berfirman:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda (kekuasaan-Nya) ialah Dia menciptakan untuk kamu daripada jenis kamu sendiri pasangan-pasangan, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan Dia menjadikan antara kamu perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
4.                  Antara matlamat pembinaan sesebuah keluarga ialah bagi melahirkan anggota masyarakat yang mempunyai 3 ciri dan sifat yang menjadi anak kunci kepada kebahagiaan hidup iaitu ketenangan (sakinah), kasih sayang (mawaddah) dan kasihan belas (rahmah). Apabila ketenangan, perasaan kasih sayang dan perasaan kasihan belas semakin menipis maka lahirlah pelbagai permasalahan dalam sesebuah institusi keluarga.


5.                  Ketenangan hidup berkeluarga boleh dinikmati apabila 4 asas utama berkeluarga dapat ditunaikan iaitu pasangan yang baik dan soleh, jiran yang soleh dan baik, kediaman yang selesa dan kenderaan yang baik. Ia diisyaratkan oleh sabda baginda saw:


أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الهنيء

Maksudnya: “Empat sumber kebahagian iaitu isteri yang soleh, kediaman yang lapang, jiran yang soleh dan kenderaan yang selesa”
(Hadis riwayat Ibnu Hibban dan Ahmad dan dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani)
Justeru, menjadi antara kewajipan pemerintah untuk memberi peluang rakyat mendapat kediaman yang selesa dengan harga mampu milik dan juga memiliki kenderaan yang selesa dengan harga mampu milik.

6.                   Pasangan dan jiran yang tidak mempunyai akhlak dan ketrampilan yang soleh merisikokan kehidupan berkeluarga dan kejiranan yang rosak. Persekitaran kehidupan sebegini membuka ruang untuk berlakunya penderaan kepada kanak-kanak. Di sinilah sistem pendidikan negara perlu diperkasakan perananannya bagi melahirkan masyarakat yang bukan hanya mempunyai latar belakang akademik yang baik, tetapi yang lebih utama ialah keperibadian yang baik dan mulia.

7.                  Begitu juga dengan jawatankuasa di peringkat kampong dan taman perumahan serta institusi masyarakat seperti surau dan masjid perlu berfungsi untuk membentuk persekitaran kejiranan yang baik, prihatin dan penuh dengan kasih dan sayang.

8.                  Sifat kasih dan sayang serta kasihan belas perlu sentiasa dipupuk dalam kehidupan bermasyarakat. Syariat dan akhlak Islam menampilkan pelbagai praktik yang boleh memupuk kedua-dua perasaan tersebut. Antaranya menerusi amalan mengucup anak-anak kecil sebagaimana yang ditunjukkan oleh baginda saw, menyebarkan amalan memberi salam meskipun kepada kanak-kanak, ziarah menziarahi, melunaskan jemputan kenduri, menziarahi kematian, mendidik sifat bersabar, dan tidak mudah marah serta bertoleransi yang tinggi.   


Sekian.

Tuesday, 15 March 2016

PERCERAIAN : INSTITUSI KEKELUARGAAN MAKIN RAPUH

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

8 Mac 2016 | 28 Jamadilawal 1437H

PERCERAIAN : INSTITUSI KEKELUARGAAN MAKIN RAPUH

[ Rujuk : http://pas.org.my/artikel-berita-dupp/7836-penceraian-institusi-kekeluargaan-makin-rapuh ]

1. DUPP melahirkan rasa kebimbangan terhadap peningkatan kes perceraian yang berlaku di negara ini. Ia menunjukkan bahawa institusi kekeluargaan ini sedang mengalami masalah dan semakin rapuh sedangkan ia adalah institusi terpenting bagi membangunkan modal insan yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara.

2. Pada 4 Mac lalu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan terdapat 92,678 pasangan mendaftaran perceraian bagi tempoh 2012 hingga 2014 dan ia menunjukkan trend peningkatan iaitu pada 2012 sebanyak 29,253 pasangan, 2013 (29,583) dan 2014 (33,842) yang mendaftarkan perceraian.

3. Sebelum ini juga Jabatan Mahkamah Malaysia mengeluarkan statistik bahawa lebih daripada 274,000 pasangan di seluruh negara bercerai dalam tempoh enam tahun. Satatistik yang lain pula menunjukkan bahawa 38,035 pasangan bercerai sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun lalu.

4. Berdasarkan angka-angka ini, dianggarkan secara puratanya terdapat 5,567 pasangan bercerai pada setiap bulan atau 186 pasangan pada setiap hari.

5. Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-5 (KPKM-5) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendapati sikap curang dan tiada persefahaman antara satu sama lain adalah merupakan punca utama perceraian. Manakala Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (Perak) pula meletakkan isu kewangan sebagai punca utamanya.

6. DUPP juga berpandangan bahawa bebanan kerja yang dihadapi oleh kedua-dua pasangan bagi mendepani peningkatan kos sara hidup pada hari ini menjadi salah satu faktor yang meningkatkan tekanan mental dan perasaan disamping kesempitan masa untuk mengisi kejiwaan masing-masing justeru mengakibatkan nilai akhlak, sifat sabar dan toleransi serta hormat-menghormati antara pasangan semakin terhakis sehingga membawa kepada perceraian.

7. Oleh itu, sewajarnya institusi kekeluargaan ini dipulihkan semula termasuk dengan menyediakan serta membangunkan ruang dan suasana yang kondusif kepada setiap pasangan khususnya kepada golongan isteri agar dapat menjalankan fungsinya yang sebenar di rumah sebagai isteri dan ibu.

Sekian.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP).

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.

Saturday, 12 March 2016

PERKASAKAN TUGASAN SEBAGAI ISTERI DAN IBU DISAMPING KERJAYA

http://www.pas.org.my/artikel-berita-dupp/7886-perkasakan-tugasan-sebagai-isteri-dan-ibu-disamping-kerjaya

KENYATAAN MEDIA
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Sabtu 12 Mac 2016 | 3 Jamadilakhir 1437H

PERKASAKAN TUGASAN SEBAGAI ISTERI DAN IBU DISAMPING KERJAYA

1. Tulisan saya beberapa hari lepas dalam menghuraikan fenomena perceraian yang semakin meningkat mendapat perhatian banyak pihak termasuk pergerakan wanita. Berita asal boleh dirujuk di pautan berikut : http://pas.org.my/artikel-berita-dupp/7836-penceraian-institusi-kekeluargaan-makin-rapuh.

Beberapa portal lain turut membuat liputan terhadap kenyataan saya itu antaranya boleh dirujuk di pautan berikut :

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/03/08/pas-desak-kerajaan-pandang-serius-isu-perceraian/

http://m.themalaymailonline.com/malaysia/article/pas-ulama-says-womens-place-is-at-home-as-wives-and-mothers

2. Memperkasakan fungsi dan tugasan sebagai isteri dan ibu tidak bermaksud para isteri dan ibu perlu meninggalkan pekerjaan dan kerjaya di luar rumah mereka. Tetapi ia dilakukan dengan meletakkan tugasan sebagai isteri dan ibu sebagai tugasan utama disamping kerjaya seharian sebagai tugasan kedua.

3. Kerjaya adalah satu medium untuk mendapatkan rezeki bagi membantu membahagiakan sesebuah keluarga menerusi rezeki yang lebih lapang dan baik. Tugasan sebagai isteri dan ibu pula adalah tugasan utama yang jika tidak dilaksanakan keluarga tidak mungkin bahagia meskipun harta membukit dan menggunung.

4. Hatta, kerjaya bersifat fardhu kifayah yang menyumbang kepada umat dan bangsa seperti pendidikan sekalipun tetap menjadi tugasan kedua selepas tugasan sebagai ibu dan isteri yang bersifat fardhu ain.

5. Kerjaya yang bertujuan mencari rezeki sepatutnya menjadi alat dan medium dan bukannya matlamat. Ia bertujuan membantu memenuhi keperluan jasadiyyah makan dan minum serta kehidupan fizikal. Tetapi menjadi seorang isteri dan ibu pula adalah keperluan batiniyyah dan kejiwaan yang tidak mungkin manusia mendapat kesempurnaan bahagia tanpanya bahkan institusi bermasyarakat pasti rosak tanpanya.

6. Kerosakan sosial hari ini ialah apabila para wanita berkeluarga mengutamakan kerjaya lalu mengabaikan tugasan utama sebagai isteri atau ibu.

7. Lebih merosakkan apabila sebahagian pergerakan wanita hanya menyeru wanita untuk berkerjaya tetapi tidak menyeru wanita memperkasakan institusi "keisterian" dan "keibuan". Malah ada yang bergerak songsang seolah memperkecilkan kedua-dua institusi tersebut.

8. Namun, yang lebih utama diperdebatkan ialah bagaimana masyarakat dan sistem bernegara boleh membantu para ibu dan wanita memperkasakan tugasan sebagai isteri dan ibu?

9. Saya mencadangkan antaranya dengan mengurangkan tempoh masa bekerja para wanita berkeluarga daripada 8 jam sehari kepada 5 atau 6 jam sehari tetapi dengan gaji yang sama seperti lelaki yang bekerja selama 8 jam sehari. Meskipun kelihatan sukar kerana melibatkan kos, ia adalah satu hadiah bagi wanita yang sudah berkeluarga.

10. Bahkan, kerjaya sebagai usahawan di bidang yang tidak menuntut mereka menghabiskan sebahagian besar masa mereka di luar lingkungan keluarga perlu diperkasakan dan menjadi sebahagian sasaran kempen pergerakan wanita. Ia boleh dilaksanakan menerusi konsep memanfaatkan "masa berkualiti" dan bukan hanya "kuantiti masa".

Sekian.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.

Friday, 11 March 2016

Politik Matang - Taklimat Untuk Perak

🔴 Perak Darul Ridhuan

Taklimat Khas PAS Pusat
Peringkat Negeri Perak

♦ PAS Menerajui Budaya Politik Matang dan Sejahtera ♦

Tarikh : 19 Mac 2016
Hari : Sabtu
Masa : 9.00 am - 1.30 pm
Tempat : Markaz PAS Kawasan Tambun Ipoh Perak Darul Ridzuan.

Pendaftaran : RM 10 perindividu
Sasaran :

AJK Badan Perhubungan PAS Negeri
AJK Dewan - Dewan Peringkat Negeri
AJK PAS Kawasan
AJK Dewan - Dewan Peringkat Kawasan

Tentatif :

8.00 am - 9.00 am : Pendaftaran
9.00 am - 9.05 am : Aluan Pengerusi
9.05 am - 9.45 am : Ucapan Perasmian
Oleh : Yb. Dato' Dr Khairudin Aman Razali at Takiri.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Malaysia.

9.50 am - 10.30 am : Kertas Kerja 1
Tajuk : PAS Menerajui Budaya Politik Matang dan Sejahtera.
Oleh : Kamaruzaman bin Mohamad
Pegawai Khas Presiden PAS

10.35 am - 10.45 am : Minum pagi

10.50 am - 11.30 am : Kertas Kerja 2
Tajuk : Hala Tuju Politik PAS ke arah PRU 14
Oleh : Dr Khazani Abdullah
AJK Lajnah Politik PAS Pusat

11.35 am - 12.55 pm : Dialog.
Panel :

a) Yb. Dr Khairudin Aman Razali at Takiri
b) Dr Zuhdi Marzuki
c) Dr Khazani Abdullah
d) Kamaruzaman Mohamad

01.00 pm - 01.30 pm : Ucapan Penutup
Oleh : Ybhg Tuan Hj Razman bin Zakaria.
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak

01.35 pm : Solat Zohor dan bersurai.

Anjuran : Lajnah Penerangan PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri.

Tuesday, 8 March 2016

Takziah atas pemergian Dr Hasan Turabi

PERUTUSAN KHAS
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

7 Mac 2016 | 27 Jamadilawal 1437 H

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ

DUPP merakamkan ucapan takziah kepada seluruh kaum Muslimin khususnya kepada ahli keluarga almarhum Sheikh Hassan ‘Abdullah al-Turabi (1932-2016) yang telah kembali ke rahmatullah pada 5 Mac 2016 akibat serangan jantung.

Almarhum adalah seorang ulama’ Islam dan peguam yang amat disegani di Sudan berkelulusan ijazah undang-undang daripada Gordon Memorial College (kini University of Khartoum) selain turut mendapat pendidikan di University of London dan Paris-Sorbonne University. Ketokohan almarhum di dalam bidang perundangan ini sehingga diangkat sebagai Peguam Negara Sudan pada 1979 hingga 1982.

Almarhum yang juga dikenali sebagai tokoh ahli politik dan pemimpin Islam yang paling berpengaruh dalam sejarah politik moden Sudan telah memberikan sumbangan yang amat besar dalam mengkanunkan undang-undang syari’ah di bahagian tertentu di negara itu. Almarhum juga pernah memegang jawatang sebagai Menteri Luar Sudan pada 1989 dan juga Yang Dipertua Dewan Negara pada 1996 hingga 1999 iaitu semasa pemerintahan Presiden Omar al-Bashir.

Almarhum semasa hayatnya juga telah beberapa kali dipenjarakan akibat pelbagai tuduhan seperti terlibat dan merancang aktiviti keganasan serta rampasan kuasa yang dikenakan ke atasnya oleh pemerintah Sudan.

Sudah pasti pemergian beliau ini merupakan suatu kehilangan besar buat umat Islam secara amnya dan rakyat Sudan khususnya.

اللهُمَّ أْجُرْنا فِي مُصِيبَتِنا، وَأَخْلِفْ لنا خَيْرًا مِنْه

“Ya Allah, kurniakanlah kami ganjaran atas musibah kami dan gantikanlah yang lebih baik daripadanya.”

Sekian.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP).

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan Almarhum berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) Almarhum.

Saturday, 6 February 2016

Parlimen Perlukan Anjakan

KENYATAAN MEDIA
Ahli Parlimen Kuala Nerus

6 Februari 2016 | 27 Rabi’ul Akhir 1437 H

PARLIMEN PERLUKAN ANJAKAN

1. Seruan dan cadangan reformasi Parlimen seperti yang dibentangkan oleh Dr. Haidar Dziauddin, Dekan Fakulti Undang-undang UiTM berdasarkan kertas kerja bertajuk “Building Trust in Legislatures: A Case Study of Malaysia” yang ditulis oleh Dr. Shad Saleem Faruqi semasa ‘23rd Conference of Speakers and Presiding Officers of the Commonwealth (CSPOC)’ lalu adalah sangat penting bagi memastikan badan perundangan (legislature) di negara ini dapat menjalankan bidang tugasnya dengan berkesan dan secara bebas.

2. Isu paling utama yang perlukan reformasi segera ialah prosedur meluluskan sesuatu Rang Undang-undang (RUU) sehingga ia menjadi Akta; bermula dengan proses penggubalan sehinggalah kepada proses pengundian.

3. Sekalipun pada ketika ini RUU tidak disediakan sepenuhnya oleh Parlimen kerana dibuat oleh Kabinet atau Kementerian tertentu dengan bantuan Pejabat Peguam Negara, sepatutnya dijadikan satu peraturan wajib sebarang RUU diserahkan kepada Ahli-ahli Parlimen untuk tempoh yang cukup untuk dikaji.

4. Kontroversi Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara yang hanya diserahkan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat tidak sampai 24 jam sebelum dibahas pada Disember 2015 lalu tidak sewajarnya berulang. Ia menggambarkan kerajaan begitu gelojoh dan terdesak meluluskan RUU yang penting melibatkan rakyat.

5. Malah ia juga wajar didedahkan kepada awam sebelum dibahaskan supaya rakyat juga diberi hak untuk bersuara dan memberikan pandangan bagi membantu ahli Parlimen menyuarakan pandangan rakyat di Parlimen.


6. RUU yang diluluskan tidak cukup dianggap sah hanya kerana ia diluluskan oleh badan perundangan yang betul dan menurut bidang kuasanya sahaja. Tetapi, kewajaran dan aspek keadilan pada undang-undang itu sendiri mestilah dipastikan wujud terlebih dahulu agar undang-undang tersebut benar-benar bermanfaat kepada negara dan rakyat. Ini berhajat kepada perbahasan yang berkualiti oleh Ahli-ahli Parlimen menerusi kajian mendalam dan persiapan awal yang dibuat. Sekiranya tidak, RUU tersebut hanya diluluskan berdasarkan aspek “positif” yang telah diperkirakan oleh sebelah pihak sahaja iaitu Kerajaan.

7. Dalam konteks pengundian pula, suatu mekanisme khusus mesti diwujudkan supaya bantahan atau kritikan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang dapat memberi kesan dan merit yang signifikan kepada RUU yang hendak diluluskan itu di samping memberi hak kepada ahli parlimen penyokong kerajaan untuk membuat keputusan berbeza daripada kerajaan sekiranya diperlukan.

8. Jika tidak, selama-lamanya ia akan berpihak kepada Kerajaan kerana menguasai majoriti kerusi di Parlimen sekalipun hanya dengan perbezaan satu kerusi. Ini menjadikan Parlimen sebagai ‘rubber stamp’ kepada kehendak Kerajaan dan menyebabkan kewujudan badan itu sebagai sia-sia atau membelakangkan tujuan kewujudannya.

Sekian.

“Membina Malaysia Sejahtera”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP). Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.

Thursday, 21 January 2016

MALAYSIA MODEL NEGARA UMAT ISLAM : HATI-HATI DENGAN 'PUJIAN' SERAMPANG DUA MATA

KENYATAAN MEDIA
Ahli Parlimen Kuala Nerus

21 Januari 2016 | 11 Rabi’ul Akhir 1437 H

MALAYSIA MODEL NEGARA UMAT ISLAM : HATI-HATI DENGAN 'PUJIAN' SERAMPANG DUA MATA

1. Saya tidak menafikan ada kelebihan Malaysia sebagai negara umat Islam berbanding dengan negara-negara umat Islam yang lain dan memang sepatutnya Malaysia berusaha sehingga dapat memberikan contoh kepada negara-negara umat Islam yang lain. Pujian adalah suatu kredit kepada negara kita.

2. Pun begitu, pujian oleh blok Barat seumpama yang tersiar di portal The Telegraph dan kemudiannya diangkat dan diulas oleh beberapa portal tempatan adalah dilihat sebagai serampang dua mata yang boleh
(i) menyempitkan makna kemajuan hanya terhad kepada aspek material dan
(ii) memburukkan persepsi awam terhadap Islam dan menyuburkan lagi Islamofobia.

3. Sebagai Muslim, keyakinan kita adalah kemajuan tidak hanya terhad kepada unsur kebendaan bahkan ia mesti bermula dengan pembangunan kemanusiaan. Jika sesebuah wilayah yang sarat pembangunan fizikalnya tetapi merosot tamadun insaniahnya, ia tetap tidak maju menurut perspektif Islam. Tidak seharusnya kita mengalih parameter kemajuan ini dengan mengikut telunjuk Barat. Jika demikian, kita akan gagal menjadi contoh kepada yang lain.

4. Lebih merisaukan, artikel bertajuk "Jakarta Attacks : How to Defeat Islamic Terrorism in the Far East" yang disiarkan portal tersebut secara konsisten menggunakan istilah seperti 'Islamist-inspired terrorism' adalah dilihat sebagai usaha untuk mengaitkan dan memperakukan secara diam bahawa Islam adalah pelaku dan penaja keganasan di banyak tempat dalam dunia ini.

5. Kaitan seperti itu juga adalah strategi Barat untuk meletakkan semua kumpulan Islam samada yang berjuang di atas prinsip kebenaran yang bersumberkan kepada al-Quran dan as-Sunnah atau sebaliknya di dalam satu bakul yang sama. Justeru, ia akan menjauhkan umat Islam daripada kumpulan Islam khususnya yang bergiat aktif dalam arus perdana politik sesebuah negara umat Islam untuk mengembalikan kekuatan sebenar umat Islam iaitu kekuatan kesatuan.

Sekian.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.

Wednesday, 20 January 2016

BANTAH TPPA : TUNAI TANGGUNGJAWAB SEBAGAI RAKYAT, SELAMATKAN NEGARA

KENYATAAN MEDIA
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

20 Januari 2016 | 10 Rabi’ul Akhir 1437 H

BANTAH TPPA : TUNAI TANGGUNGJAWAB SEBAGAI RAKYAT, SELAMATKAN NEGARA

1. DUPP mengajak seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara untuk turut serta dalam Himpunan Aman Bantah TPPA yang akan diadakan pada Sabtu ini, 23 Januari 2016.

2. Ia adalah suatu tanggungjawab yang tersangat penting yang mesti ditunaikan oleh setiap rakyat demi menyelamatkan negara daripada sebarang bentuk ancaman kesan daripada perjanjian tersebut.

3. Sikap Kerajaan yang bias dalam mengemukakan kesan-kesan TPPA ditambah pula dengan penggunaan seluruh jentera Kerajaan untuk menjaja kebaikan TPPA kononnya, adalah membelakangkan kenyataan untuk memulangkan hak menentukan status perjanjian ini kepada rakyat.

4. Sekiranya Kerajaan jujur, sepatutnya kajian yang lebih menyeluruh dan terperinci yang turut menyatakan kesan-kesan negatif daripada perjanjian ini secara jelas juga mesti diterima dan dimasukkan dalam laporan Kerajaan mengenai TPPA. Sebaliknya, Kerajaan hanya dilihat berani menjaja kebaikan TPPA dan kesan buruk jika tidak menyertainya.

5. Usaha membawa TPPA ke parlimen untuk kelulusan melalui sidang khas penghujung Januari ini juga dilihat sebagai tergesa-gesa dalam keadaan dokumen berkenaan perjanjian tersebut baru sahaja terdedah kepada awam tidak sampai dua bulan dan pungutan suara awam juga tidak dibuat sedangkan rakyat berhak dan bertanggungjawab menentukan nasib masa depan negara ini disamping ahli-ahli parlimen.

6. Apatah lagi dalam realiti di parlimen sekarang ini suara undi majoriti ahli parlimen Kerajaan tentu sahaja dapat mengalahkan undi pembangkang lantas menjadikan parlimen sekadar 'rubber stamp' kepada kehendak Kerajaan.

7. Ini memperlihatkan terdapat sesuatu yang sulit yang Kerajaan tidak dedahkan kepada rakyat hasil daripada rundingan yang telah dibuat secara sulit. Rakyat mesti bertindak menasihati, menegur dan memberi amaran kepada Kerajaan; dan Himpunan Aman Bantah TPPA ini adalah platform yang terbaik buat rakyat.

Ayuh kita bersolidariti #BantahTPPA.

Sekian.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP).

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.

Friday, 15 January 2016

Laporan Media Bagi Kenyataan Media Isu Bom di Jakarta

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/01/15/pembangkang-kecam-pengeboman-jakarta/

http://www.ismaweb.net/2016/01/henti-kaitkan-islam-dengan-keganasan-pas/

http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/jangan-kaitkan-keganasan-dengan-islam-1.473017

https://www.bnbbc.my/pas-kutuk-serangan-bom-di-indonesia-gesa-tingkat-keselamatan-negara/

KEGANASAN : JANGAN KAITKAN ISLAM

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

15 Januari 2016 | 5 Rabi’ul Akhir 1437 H

KEGANASAN : JANGAN KAITKAN ISLAM

1. DUPP mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat Indonesia khususnya kepada ahli keluarga semua mangsa yang maut dan tercedera dalam insiden pengeboman di Jakarta semalam. Semoga Allah membalas terhadap pelaku keganasan ini dengan hukuman yang setimpal.

2. Islam tidak menganjurkan sebarang bentuk keganasan apatah lagi untuk menaja perbuatan terkutuk seperti itu yang ditolak oleh nilai kemanusiaan sejagat. Oleh itu, adalah tidak wajar sekali insiden-insiden keganasan ini dikaitkan dengan Islam khususnya dalam pelaporan berita sekalipun mungkin ia ada kaitan dengan kumpulan-kumpulan tertentu yang mempergunakan nama ‘Islam’.

3. Dikhuatiri pelaporan sebegitu akan memberikan paradigama yang salah terhadap Islam khususnya dalam kalangan bukan Islam dan menjadikan kita sendiri terperangkap dengan permusuhan terhadap Islam yang sengaja ditaja oleh pihak-pihak tertentu. Islam jelas sekali mengutamakan dan menekankan keamanan dan perdamaian sebagai kunci kesejahteraan sesama manusia.

4. DUPP juga berharap Kementerian Dalam Negeri dan PDRM serta Angkatan Tentera Malaysia dan semua agensi-agensi keselamatan yang lain dapat berganding bahu untuk memastikan semua aspek bagi menjamin keselamatan negara ini berada pada tahap yang terbaik.

5. Kerjasama keselamatan dengan negara-negara ASEAN juga mesti ditingkatkan khususnya pada aspek risikan bagi membolehkan sebarang maklumat berkenaan ancaman dan aktiviti keganasan dapat diokongsi secara pantas dan bersepadu agar tindakan berkesan dapat dilakukan untuk membendung insiden keganasan ini.

Sekian.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP).

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.

http://www.pas.org.my/artikel-berita-dupp/7323-keganasan-jangan-kaitkan-islam

Wednesday, 13 January 2016

TINTA ULAMAK (Siri ke 40 ) Selasa 1 Rabi'ul Akhir 1437 H / 12 hb Januari 2016 MEMBINA SIFAT PRIHATIN UMMAH

Lajnah Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

TINTA ULAMAK (Siri ke 40  )

Selasa 1 Rabi'ul Akhir 1437 H / 12 hb Januari 2016

MEMBINA SIFAT PRIHATIN UMMAH

Sayyidatuna Khadijah radiyallahu anha berkata ketika menenangkan perasaan Nabi saw sebaik menerima wahyu pertama menerusi Jibril alaihissalam:

فَوَالله لا يُخْزِيكَ الله أَبَدًا، وَالله إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَصْدُقُ الْحَدِيثَ، وَتَحْمِلُ الْكَلَّ، وَتَكْسِبُ الْمَعْدُومَ، وَتَقْرِي الضَّيْفَ، وَتُعِينُ عَلَى نَوَائِبِ الْحَقِّ.

Maksudnya: "Maka demi Allah, kamu sama sekali tidak akan dikecewakan oleh Allah. Demi Allah, sesungguhnya kamu bersungguh-sungguh menyambung hubungan kerabat (silaturrahim), kamu bercakap benar, kamu menanggung orang-orang yang lemah, kamu memberi kepada yang papa, kamu memuliakan tetamu dan kamu membantu manusia dalam musibah"

(Hadis disepakati oleh Bukhari dan Muslim)

Huraian

1. Ucapan beliau ini menggariskan kepada umat beberapa sifat keperibadian Rasulullah saw sebelum baginda menjadi Nabi lagi.

2. Kesemua sifat itu menggambarkan betapa Nabi saw seorang yang sangat prihatin dan mengambil berat permasalahan dan kesusahan umat.

3. Antaranya:

I) Menyambung Hubungan Antara Kaum Kerabat.

Hanya mereka yang mengambil berat perihal orang lain mampu untuk sentiasa menjaga hubungan kerabat dan persaudaraan kekeluargaan khususnya apabila terputus atau diputuskan dengan pelbagai sebab.

II) Bercakap Benar

Hanya mereka yang tulus dalam berinteraksi dengan orang lain mampu sentiasa bercakap benar dengan manusia.

III) Menanggung Golongan Lemah

Golongan lemah tidak mampu memenuhi keperluan hidupnya akibat ketidakmampuan jasadnya antaranya kerana dimamah usia. Hanya seorang yang mempunyai perasaan belas kasihan dan prihatin kepada manusia lain mampu menanggung kesusahan golongan sebegini.

IV) Memberi Kepada Yang Papa

Golongan yang papa walaupun mungkin telah berusaha memerlukan bantuan dalam meneruskan kehidupan. Peribadi yang prihatin kepada masalah kemanusiaan tidak akan tergamak membiarkan mereka terus dilanda kesusahan.

V) Memuliakan Tetamu

Tetamu datang mungkin tanpa dijangka dan dijemput. Ia mengganggu jadual peribadi seseorang. Namun, sifat prihatin yang mengatasi kepentingan perbadi akan mendorong insan mulia untuk sentiasa memuliakan tetamunya sekurang-kurang 3 hari 3 malam dengan penginapan dan makanan selayaknya.

VI) Membantu Manusia Berhadapan Musibah

Musibah berlaku melibatkan kehilangan nyawa, kerosakan jasad dan kehilangan harta. Hanya insan prihatin mampu menghulurkan bantuan di situasi getir sebegini.

4. Maka demikianlah selayaknya umat Muhammad mewarisi keperibadian Nabi saw. Di saat masyarakat berhadapan kesempitan ekonomi, tuntutan keprihatinan ummah adalah sangat mendesak. Jika berjaya dilaksanakan, lahirlah di kala itu umat dan masyarakat yang berkasih sayang.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus

http://www.pas.org.my/tinta-ulamak/7294-tinta-ulamak-siri-40-membina-sifat-prihatin-ummah

Tuesday, 12 January 2016

MEMBINA SIFAT PRIHATIN UMMAH - Tinta Ulamak Siri 40

Lajnah Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

TINTA ULAMAK (Siri ke 40  )

Selasa 1 Rabi'ul Akhir 1437 H / 12 hb Januari 2016

MEMBINA SIFAT PRIHATIN UMMAH

Sayyidatuna Khadijah radiyallahu anha berkata ketika menenangkan perasaan Nabi saw sebaik menerima wahyu pertama menerusi Jibril alaihissalam:

فَوَالله لا يُخْزِيكَ الله أَبَدًا، وَالله إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَصْدُقُ الْحَدِيثَ، وَتَحْمِلُ الْكَلَّ، وَتَكْسِبُ الْمَعْدُومَ، وَتَقْرِي الضَّيْفَ، وَتُعِينُ عَلَى نَوَائِبِ الْحَقِّ.

Maksudnya: "Maka demi Allah, kamu sama sekali tidak akan dikecewakan oleh Allah. Demi Allah, sesungguhnya kamu bersungguh-sungguh menyambung hubungan kerabat (silaturrahim), kamu bercakap benar, kamu menanggung orang-orang yang lemah, kamu memberi kepada yang papa, kamu memuliakan tetamu dan kamu membantu manusia dalam musibah"

(Hadis disepakati oleh Bukhari dan Muslim)

Huraian

1. Ucapan beliau ini menggariskan kepada umat beberapa sifat keperibadian Rasulullah saw sebelum baginda menjadi Nabi lagi.

2. Kesemua sifat itu menggambarkan betapa Nabi saw seorang yang sangat prihatin dan mengambil berat permasalahan dan kesusahan umat.

3. Antaranya:

I) Menyambung Hubungan Antara Kaum Kerabat.

Hanya mereka yang mengambil berat perihal orang lain mampu untuk sentiasa menjaga hubungan kerabat dan persaudaraan kekeluargaan khususnya apabila terputus atau diputuskan dengan pelbagai sebab.

II) Bercakap Benar

Hanya mereka yang tulus dalam berinteraksi dengan orang lain mampu sentiasa bercakap benar dengan manusia.

III) Menanggung Golongan Lemah

Golongan lemah tidak mampu memenuhi keperluan hidupnya akibat ketidakmampuan jasadnya antaranya kerana dimamah usia. Hanya seorang yang mempunyai perasaan belas kasihan dan prihatin kepada manusia lain mampu menanggung kesusahan golongan sebegini.

IV) Memberi Kepada Yang Papa

Golongan yang papa walaupun mungkin telah berusaha memerlukan bantuan dalam meneruskan kehidupan. Peribadi yang prihatin kepada masalah kemanusiaan tidak akan tergamak membiarkan mereka terus dilanda kesusahan.

V) Memuliakan Tetamu

Tetamu datang mungkin tanpa dijangka dan dijemput. Ia mengganggu jadual peribadi seseorang. Namun, sifat prihatin yang mengatasi kepentingan perbadi akan mendorong insan mulia untuk sentiasa memuliakan tetamunya sekurang-kurang 3 hari 3 malam dengan penginapan dan makanan selayaknya.

VI) Membantu Manusia Berhadapan Musibah

Musibah berlaku melibatkan kehilangan nyawa, kerosakan jasad dan kehilangan harta. Hanya insan prihatin mampu menghulurkan bantuan di situasi getir sebegini.

4. Maka demikianlah selayaknya umat Muhammad mewarisi keperibadian Nabi saw. Di saat masyarakat berhadapan kesempitan ekonomi, tuntutan keprihatinan ummah adalah sangat mendesak. Jika berjaya dilaksanakan, lahirlah di kala itu umat dan masyarakat yang berkasih sayang.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus

http://www.pas.org.my/tinta-ulamak/7294-tinta-ulamak-siri-40-membina-sifat-prihatin-ummah