Friday, 15 January 2016

KEGANASAN : JANGAN KAITKAN ISLAM

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

15 Januari 2016 | 5 Rabi’ul Akhir 1437 H

KEGANASAN : JANGAN KAITKAN ISLAM

1. DUPP mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat Indonesia khususnya kepada ahli keluarga semua mangsa yang maut dan tercedera dalam insiden pengeboman di Jakarta semalam. Semoga Allah membalas terhadap pelaku keganasan ini dengan hukuman yang setimpal.

2. Islam tidak menganjurkan sebarang bentuk keganasan apatah lagi untuk menaja perbuatan terkutuk seperti itu yang ditolak oleh nilai kemanusiaan sejagat. Oleh itu, adalah tidak wajar sekali insiden-insiden keganasan ini dikaitkan dengan Islam khususnya dalam pelaporan berita sekalipun mungkin ia ada kaitan dengan kumpulan-kumpulan tertentu yang mempergunakan nama ‘Islam’.

3. Dikhuatiri pelaporan sebegitu akan memberikan paradigama yang salah terhadap Islam khususnya dalam kalangan bukan Islam dan menjadikan kita sendiri terperangkap dengan permusuhan terhadap Islam yang sengaja ditaja oleh pihak-pihak tertentu. Islam jelas sekali mengutamakan dan menekankan keamanan dan perdamaian sebagai kunci kesejahteraan sesama manusia.

4. DUPP juga berharap Kementerian Dalam Negeri dan PDRM serta Angkatan Tentera Malaysia dan semua agensi-agensi keselamatan yang lain dapat berganding bahu untuk memastikan semua aspek bagi menjamin keselamatan negara ini berada pada tahap yang terbaik.

5. Kerjasama keselamatan dengan negara-negara ASEAN juga mesti ditingkatkan khususnya pada aspek risikan bagi membolehkan sebarang maklumat berkenaan ancaman dan aktiviti keganasan dapat diokongsi secara pantas dan bersepadu agar tindakan berkesan dapat dilakukan untuk membendung insiden keganasan ini.

Sekian.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP).

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.

http://www.pas.org.my/artikel-berita-dupp/7323-keganasan-jangan-kaitkan-islam

No comments:

Post a Comment