Tuesday, 20 November 2018

Memahami Hakikat RAHMAT Seluruh Alam*

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2256242537719097&id=569086473101387

TAFSIR MUSTAQIM
Oleh Ustaz Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Memahami Hakikat RAHMAT Seluruh Alam

Firman Allah Taala (surah al-Anbiya:107)

*وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ*
"Dan tidak Kami utuskan kamu (Muhammad) melainkan rahmat untuk sekelian alam"

1. "RAHMAH" adalah satu kalimah yang sentiasa disebut dalam al-Quran memberi pelbagai makna antaranya kasih sayang, kasihan belas, nikmat, rezki, syurga, ganjaran pahala, kedatangan hujan, keampunan, kemaafan dan ketenangan. Semua makna-makna ini merangkumi pelbagai jenis keberkatan, kebaikan dan manfaat kehidupan sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

2. Rasulullah saw diutuskan ke dunia membawa rahmat kebaikan untuk seluruh alam sama ada yang beriman dengan baginda mahupun yang kufur. Bukan hanya melibatkan alam manusia bahkan juga alam jin, alam binatang, alam jamadat dan alam-alam yang lain.

3. Rahmat itu terserlah dan terjelma menerusi agama Islam yang diseru dan ditegakkan oleh baginda saw. Apabila Islam tertegak dalam kehidupan manusia muslim, bukan Islam juga merasai rahmat kebaikannya.

4. Agama Islam itu pula terdiri daripada rangkuman tiga komponen utama iaitu Aqidah keyakinan, Syariat perundangan dan Akhlak keperibadian.

5. Rangkuman tiga perkara inilah membawa rahmat dan kebaikan kepada seluruh alam. Apabila Aqidah Islam diketepikan dengan hanya mengambil Syariat, rahmat itu tidak terserlah sepenuhnya. Jika hanya beraqidah tetapi diketepikan Syariat perundangan, rahmat itu juga tidak akan dirasai sepenuhnya. Begitulah juga jika akhlak ditinggalkan dengan hanya beraqidah dan bersyariat, rahmat itu tidak mencapai kesempurnaannya.

6. Aqidah Islam merangkumi keyakinan terhadap hakikat alam dunia dan alam akhirat serta alam kubur, dosa dan pahala, syurga dan neraka serta keyakinan terhadap ketentuan Allah. Keimanan terhadap hakikat ini menjadikan seorang muslim sentiasa tenang menghadapi cabaran kehidupan. Ia menjadikan dunia selamat dan aman daripada pelbagai kekacauan dan penindasan kerana seorang muslim tidak menyakiti manusia lain kerana keimanannya terhadap syurga dan neraka.

7. Syariat perundangan pula merangkumi syariat ibadat, syariat berkeluarga, syariat bermasyarakat, syariat berekonomi, syariat undang-undang jenayah, syariat tatacara kehakiman dan syariat pengurusan bernegara.

8. Syariat ekonomi Islam menjadikan semua manusia merasai keadilan hidup melibatkan pemilikan harta merangkumi makan minum, kediaman dan lainnya. Syariat perundangan jenayah Islam menyelamatkan dunia daripada berleluasanya penjenayah. Syariat bernegara menjadikan rakyat memperolehi keamanan dan ketenangan.

9. Akhlak pula merangkumi seluruh penampilan dan keperibadian manusia berhadapan dan bergaul dengan manusia lain sebagaimana ditunjukkan oleh baginda saw dalam pergaulan dengan anak isteri, jiran tetangga dan masyarakat dunia.

10. Malang sekali apabila ada yang menyelewengkan tafsiran rahmat dengan merujuk kepada kefahaman agama yang liberal merungkai hukum yang disepakati ulamak sepanjang zaman, juga pengamalan agama yang longgar terhadap sebahagian hukum Islam yang selalunya dijenamakan kononnya sebagai progresif. Juga dengan meninggalkan sebahagian syariat, yang dilakukan kononnya untuk menarik masyarakat untuk terpikat dengan Islam. Meninggalkan syariat perundangan Islam yang diturunkan oleh Allah yang mencipta semesta alam akan menghilangkan rahmat kebaikan yang dapat dirasai oleh manusia

11. Demikianlah rahmat di sebalik kehadiran Nabi Muhammad saw terserlah dan dinikmati oleh seluruh alam apabila Islam yang dibawa oleh baginda saw diamalkan dan ditegakkan.

12. Menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk membawa Islam yang lengkap dengan aqidah, syariat dan akhlaknya agar rahmat kehadiran baginda saw di rasai oleh umat manusia.

Sekian

Selasa 12 hb Rabiul Awal 1440 H / 20 hb Nov 2018

Wednesday, 14 November 2018

Pendapatan Rakyat Rendah : Mengkaji Semula Definisi Miskin

Pendapatan Rakyat Rendah : Mengkaji Semula Definisi Miskin
Oleh: Zulhafeez Ahmad Zahidi

KUALA LUMPUR: Pada 2017 gaji median Malaysia meningkat sebanyak 8% kepada RM2,160 daripada RM2,000 pada 2016, hakikatnya pertumbuhan gaji sebenar adalah hanya 4.2% sahaja.

Ia disebabkan oleh kesan inflasi.Tidak hairanlah jika purata kadar kenaikan gaji pada 2017 juga menurun kepada 5%.

Dengan unjuran kadar inflasi semakin meningkat sehingga berakhir tahun ini, kadar pertumbuhan gaji pada 2018 dijangka sekali lagi mengalami penyusutan.

Fakta demikian telah dinyatakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam menyuarakan isu pendapatan rakyat.

"Persolannya, bagaimana Kerajaan menghadapai inflasi ini dalam pada masa sama melaksanakan SST bagi menggantikan GST? Sebenarnya, cukai- cukai kepengunaan inilah yang menyebabkan kadar inflasi terus berkembang.

"Kerajaan diminta agar mengkaji semula definisi miskin dan miskin tegar yang digunakan pada masa ini supaya kayu ukur baharu itu dapat menggambarkan dengan lebih realistik keadaan sebenar kemiskinan di negara ini.

"Ini kerana takrif kemiskinan yang diguna pakai pada hari ini terlalu kecil skopnya hanya melibatkan perkara berkaitan makanan dan perkhidmatan asas tertentu sahaja," tegas Khairuddin.

Beliau beranggapan, kesilapan dalam memberikan definisi yang betul mengenai kemiskinan ini telah memangsakan ramai orang miskin kerana terkeluar daripada senarai mereka yang layak menerima bantuan.

Katanya, takrif menurut Islam termasuklah membezakan di antara miskin dan fakir sewajarnya dijadikan panduan.

Maka bagi menentukan PGK pula, lima item keperluan asas wajib diperkirakan iaitu makanan, kediaman, pakaian, pengangkutan dan pendidikan.

"Kerajaan digesa supaya meneruskan dan meningkatkan elaun sara hidup nelayan kepada RM300 hingga RM500 sebulan dan menambah bantuan musim tengkujuh.

"Kerajaan juga diminta menambah subsidi padi dan menaikkan elaun untuk pesawah; menetapkan harga lantai bagi getah pada paras RM4.00 dan menaikkan paras harga getah untuk layak menerima Intensif Pengeluaran Getah (IPG).

"Malangnya, apabila Bajet 2019 tidak langsung menyentuh mengenai pendapatan para petani, peladang dan nelayan ini.

"Sedangkan golongan ini terhimpit dengan masalah hasil, perubahan cuaca dan harga pasaran sehingga menjejaskan pendapatan mereka yang sudah sedia rendah," jelasnya.

Tuesday, 13 November 2018

Dr Khairuddin dipilih Ahli Majlis Pentadbiran IFIP

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/8699-dr-khairudin-dipilih-ahli-majlis-pentadbiran-ifip

Wednesday, 31 October 2018

JANGAN BUKA PINTU KEROSAKAN MENERUSI RATIFIKASI ICERD, RUJUK ULAMAK RANGKA NHRAP

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2226594290683922&id=569086473101387

Kenyataan Media

31 Oktober 2018 | 22 Safar 1440H

JANGAN BUKA PINTU KEROSAKAN MENERUSI RATIFIKASI ICERD, RUJUK ULAMAK RANGKA NHRAP

1. Keputusan Kerajaan yang mahu meratifikasi _International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination_ (ICERD) menunjukkan pendirian dan sikap sebenar Pakatan Harapan terhadap teras-teras utama Perlembagaan Pesekutuan. Ia membuka pintu untuk asas-asas bernegara menjadi bahan pertikaian segelintir rakyat dan akhirnya dihapuskan.

2. Ratifikasi ini membelakangkan kedudukan dan peranan Raja-raja Melayu, agama Islam dan orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak yang telah diterima keistimewaannya sejak dahulu dan menjadi asas penubuhan negara ini yang menjamin keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

3. Usaha ini juga menunjukkan PH yang didominasi oleh Ahli Parlimen bukan Islam semakin berani bergerak lebih jauh dengan membuka laluan bagi membolehkan pindaan peruntukan-peruntukan teras dalam Perlembagaan Persekutuan ini dibuat sekaligus menghilangkan keistimewaannya.

4. Ia juga membenarkan kawalan dan meningkatkan tekanan antarabangsa ke atas negara ini.

5. Ia adalah suatu ancaman terhadap keistimewaan Islam, keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera sehingga boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

6. Kerajaan mesti menolak ratifikasi ICERD ini dan konvensyen-konvensyen lain yang tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan bercanggah dengan agama Islam serta tidak sesuai dengan sosio-budaya masyarakat negara ini.

7. Saya juga mendesak supaya Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (_National Human Rights Action Plan_, NHRAP) yang dirangka oleh Kerajaan sama ada menerusi SUHAKAM atau perunding lain selepas ini, mestilah melibatkan semua pihak berkepentingan dan dirujuk dahulu kepada para ulamak dan cendikiawan Islam sebelum ia dijadikan dokumen dasar rasmi Kerajaan.

Sekian.

“Islam Memimpin”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Friday, 12 October 2018

KEBENARAN PESTA ARAK : ALASAN LONGGAR, PARTI SEKS JUGA TIDAK MUSTAHIL DIANJURKAN

Kenyataan Media

Jumaat, 12 Oktober 2018 | 3 Safar 1440H

KEBENARAN PESTA ARAK : ALASAN LONGGAR, PARTI SEKS JUGA TIDAK MUSTAHIL DIANJURKAN

1. Tindakan kerajaan pimpinan PH yang memberikan kebenaran untuk penganjuran pesta arak "Oktoberfest" adalah sangat bersalahan dengan prinsip Islam dan _siyasah syariyyah_ bagi sebuah negara majoriti Muslim. Berpesta minum arak merupakan syiar kemungkaran yang wajib dibenteras oleh kerajaan yang meletakkan Islam sebagai agama negara. Berpesta sangat berbeza dengan minum secara individu. Berpesta menjadi syiar kemungkaran yang merosakkan dan memudharatkan masyarakat.
Rujuk artikel saya pada 2014. http://drtakiri.blogspot.com/2014/10/penganjuran-pesta-arak-oktoberfest.html?m=1

2. Sekiranya, alasan permohonan telah dibuat, diadakan di premis persendirian dan tempat tertutup serta tidak melibatkan orang Islam dijadikan sandaran bagi memberikan kebenaran, tidak mustahil penganjuran parti seks juga bakal menjadi acara tahunan yang baharu di negara ini.

3. Sepatutnya, ia ditangani dengan mengambil kira kedudukan Islam dan sensiviti orang-orang Islam yang merupakan majoriti penduduk negara ini serta kepentingan awam terutamanya melibatkan aspek ketenteraman dan keselamatan.

4. Ini kerana bahaya arak ini bukan sahaja menghilangkan kewarasan akan peminumnya, lebih daripada ini boleh mengakibatkan korban nyawa peminumnya dan orang lain. Saya juga pernah menjelaskan mengenai keburukan arak ini, sila rujuk : https://drtakiri.blogspot.com/2017/04/penagihan-alcohol-dr-khairuddin-takiri.html?m=1.

5. Jika prinsip menghormati penganut agama lain untuk melakukan apa yang tidak dilarang oleh agama mereka dijadikan alasan, ia bercanggah dengan kitab-kitab suci atau rujukan agama Hindu, Buddha, Kristian, Sikhisme dan Yahudi yang menyatakan secara jelas dan banyak tentang larangan atau pengharaman arak ini. Namun, bantahan saya berfokus pada perbezaan antara minum secara individu dengan berpesta arak yang menjadi syiar kemungkaran dalam sebuah negara majoriti Muslim.

6. Mengenai pesta arak ini, PAS konsisten membantah penganjurannya sejak dahulu lagi, sila rujuk : https://drtakiri.blogspot.com/2014/10/penganjuran-pesta-arak-oktoberfest.html?m=1 dan https://drtakiri.blogspot.com/2017/09/acara-berpesta-minum-arak-wajar.html?m=1.

“Islam Memimpin”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Sunday, 16 September 2018

Dr Khairuddin Takiri Berucap Ketika Sesi Penggulungan Muktamar











Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri berucap dalam Muktamar PAS kali ke 64 ketika penggulungan menegaskan cukai kepenggunaan seperti GST dan SST ditolak oleh PAS kerana kedua-duanya akhirnya memangsakan rakyat marhaen B40. Juga mengajak ahli mendokong projek pasaraya wakaf ummah kendalian PAS Pusat.

Dr Khairuddin Takiri di Muktamar Ulamak


Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri di Muktamar Ulamak ke 59 di Hotel Permai

Dr Khairuddin di Muktamar PAS ke 64 (2018)

YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri ketika menjawab pertanyaan perwakilan tentang aktiviti Lajnah Ekonomi PAS Pusat dalam Muktamar PAS Pusat ke 64 di Kuala Nerus

Saturday, 15 September 2018

PAS Memimpin Masyarakat Dengan Islam

PAS Memimpin Masyarakat Dengan Islam
Oleh: Zulhafeez Ahmad Zahidi

KUALA NERUS : Ucapan Dasar Presiden menggariskan hala tuju pentadbiran khususnya dua negeri yang ditadbir oleh PAS iaitu hendaklah dengan merujuk pada Islam.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Khairuddin Aman Razali ketika ditemui selepas majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-64.

Justeru ketanya, ucapan tersebut perlu dihayati khususnya oleh ahli-ahli PAS di dua negeri ( Terengganu dan Kelantan )  bagi memacu kemajuan negeri seterusnya menjadi modal dan model bagi PAS untuk dipaparkan menuju PRU 15.

"Ucapan Tuan Guru juga mengajak semua ahli meletakkan diri mereka sebagai pemimpin masyarakat yang memimpin rakyat dengan Islam.

"Memimpin menuntut kita semua tegas dengan prinsip dan strategi yang digariskan bagi mencapai matlamat.

"Jangan pula ahli pas yang dipimpin oleh media massa yang secara lazimnya tidak menjadikan Islam sebagai panduan bernegara," ujar beliau.

Thursday, 13 September 2018

Info Pilihanraya Parlimen Port Dickson

Sedikit info berkaitan dgn Parlimen P. 132 Port Dickson

Pengundi:
75,212
(MELAYU:42.72%,
CINA:33.11%,
INDIA:21.97%,
L-2.20%)

Keputusan PRU 14:
Pemenang : PKR - DANYAL BALAGOPAL ABDULAH (36,225 undi)
Vs BN (Dato V Mogan) : 18,515 undi & PAS (Mahfuz Roslan) : 6,594 undi

_DUN_
*N.29 CHUAH*
Pengundi: 12,083 (MELAYU:21.0%, CINA:56.14%, INDIA:22.54%, L-0.32%)
*N.30 LUKUT*
Pengundi: 17,298 (MELAYU:21.19%, CINA:53.96%, INDIA:24.24%, L-0.61%)
*N.31 BAGAN PINANG*
Pengundi: 15,821 (MELAYU:71.51%, CINA:8.86%, INDIA:14.49%, L-5.14%)
*N.32 LINGGI*
Pengundi: 15,588 (MELAYU:59.89%, CINA:18.78%, INDIA:18.21%, L-3.12%)
*N.33 SRI TANJUNG*
Pengundi: 14,422 (MELAYU:36.59%, CINA:30.88%, INDIA:31.02%, L-1.51%)

Tuesday, 11 September 2018

PERINGATAN DIRI ; Terus Istiqamah Meniup Kesedaran Islam

PERINGATAN DIRI
Selasa 1 Muharram 1440
Terus Istiqamah Meniup Kesedaran Islam

Setiap pendokong gerakan Islam perlu terus sabar tanpa mengenal penat lelah meniupkan kesedaran Islam dalam jiwa umat.
🕌 Di saat ada yang sudah kecewa lalu beralih kepada bicara kebendaan bagi menggamit sokongan.
🕌 Di saat ada yang semakin liberal merungkai syariat, menerima amalan songsang demi meraih dokongan.
🕌 Teruslah berjuang kerana sampai masanya pendokong Islam semakin membesar membentuk gelombang kemenangan dengan izin Allah.
🕌 Sabarlah dengan kritikan dan makian serta sindiran mereka yang masih belum yakin dan beriman kerana sesungguhnya anda tidak bersendirian beriman.

Ust Dato' Dr Khairuddin Takiri

PENEGAKAN SYARIAT MANIFESTASI PENGHAYATAN SEBENAR HIJRAH

Perutusan Khas Hijratul Rasul

Selasa 11 September 2018 | 1 Muharram 1440H

PENEGAKAN SYARIAT MANIFESTASI PENGHAYATAN SEBENAR HIJRAH

1. Sememangnya banyak sekali _ibrah_ pengajaran yang boleh dikutip daripada peristiwa hijrah Nabi s.a.w. bersama para sahabat Baginda dari Mekah ke Madinah.

2. Pun begitu, perkara terpenting yang perlu difahami daripadanya ialah tujuan hijrah itu sendiri sehingga ia diperintahkan oleh Allah s.w.t.; bukannya semata-mata strategi yang dipilih oleh Baginda. Ia bertujuan membina sebuah pemerintahan di atas asas Islam yang memberi keadilan dan kebajikan pada manusia sejagat dan membina kekuasaan Islam yang akan melindungi dakwah Islam.

3. Rasulullah s.a.w. yang memimpin pemerintahan yang dibentuk menerusi misi hijrah ini melaksanakan Islam dalam semua aspek pemerintahan Baginda sama ada di bidang ekonomi, sosial atau perundangan sebagai menterjemahkan syariat Allah s.w.t. dalam kehidupan manusia supaya sifat _'rahmatan lil 'alamin'_(rahmat sejagat) yang ada pada Islam itu dapat dirasai oleh manusia.

4. Justeru, tidak hairanlah sehinggakan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Madinah pada masa itu boleh hidup bersatu-padu serta makmur ekonomi dan  kemasyarakatannya di bawah dasar pemerintahan dan kepimpinan orang Islam.

5. Hari ini, sifat _'rahmatan lil 'alamin'_ Islam ini kononnya mahu direalisasikan tetapi tanpa pelaksanaan syariat. Inilah yang dikatakan sebagai "Islam tanpa Syariat". Ia bercanggah sekali dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. menerusi peristiwa hijrah.

6. Maka, tidak hairan jugalah, Islam dicemuh sesuka hati sama ada secara langsung atau tidak langsung oleh orang dan pihak tertentu. Malah dengan iman yang lemah mencari alasan dan dalih menjustifikasikan tindakan yang bercanggah dengan Islam.

7. Sempena sambutan Hijratul Rasul 1440 H ini, saya menyeru kepada semua supaya bersama-sama mengusahakan pelaksanaan Islam di negara ini secara lengkap dengan rujukan yang benar iaitu al-Quran dan al-Hadis bukannya dengan pemikiran manusia semata-mata yang dipakaikan jenama Islam.

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1440.

Sekian.

”Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Sunday, 9 September 2018

KEPUTUSAN PRK SERI SETIA : PENOLAKAN TERHADAP PH SEMAKIN MEMBESAR, KERJASAMA STRATEGIK PAS-UMNO POSITIF

KEPUTUSAN PRK SERI SETIA : PENOLAKAN TERHADAP PH SEMAKIN MEMBESAR, KERJASAMA STRATEGIK PAS-UMNO POSITIF

Oleh :
Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Berikut adalah beberapa data penting daripada keputusan PRK N32 Seri Setia yang diadakan pada hari semalam :

▪ *Jumlah keluar mengundi* merosot dari 44,319 (84.2%) kepada 23,423 (43.8%).

▪ *Penurunan peratus undi PH* ialah sebanyak 7.4% (PRU14 – 66.0%; PRK – 58.6%).

▪ *Peningkatan peratus undi PAS* ialah sebanyak 31.1% (PRU14 – 10.3%; PRK – 41.4%).

▪ *Perbezaan undi antara PH dengan PAS* semakin mengecil iaitu dari 24,687 (55.7%) kepada 4,027 (17.2%).

▪ *Majoriti undi yang dimenangi PH* semakin mengecil iaitu dari 43.7% kepada 17.2%.

▪ *Penguasaan undi PRK berbanding PRU14* bagi PH 46.9% manakala PAS pula 100.0%.

Rumusan :*

1.  Kadar keluar mengundi pada PRK ini yang merosot sebanyak 40.4% berbanding PRU14 lalu menyebabkan PH hilang 13,791 undi (47.1%) iaitu lebih besar berbanding PRK Sg. Kandis lalu (8,571 undi, 35.7%) menunjukkan bahawa protes terhadap Kerajaan yang diterajui PH pada hari ini semakin membesar.

2.  Peratus undi daripada jumlah keluar mengundi yang dimenangi PH menurun sebanyak 7.4% sebaliknya yang dimenangi PAS meningkat sebanyak 31.1% sekaligus menjadikan perbezaan undi antara PH dengan PAS semakin mengecil iaitu dari 24,687 (55.7%) undi kepada 4,027 (17.2%).

3.  Majoriti undi yang dimenangi PH juga merosot sebanyak 26.5% (dari 43.7% kepada 17.2%) dan lebih teruk berbanding PRK Sg. Kandis yang hanya merosot sebanyak 5.6% menunjukkan bahawa PH semakin hilang sokongan.

4.  PH hanya menguasai 46.9% daripada jumlah undi yang diterima pada PRU14 lalu iaitu lebih buruk berbanding PRK Sg. Kandis lalu yang dapat mengekalkan 64.3% daripadanya.

5.  Prestasi PAS pula adalah sangat baik apabila berjaya mengekalkan 100.0% yang diterima pada PRU14 lalu beserta mendapat undi tambahan sebanyak 5,135 undi. Undi tambahan ini dipercayai diperoleh daripada pengundi BN sebanyak 59.8% dan pengundi PH sebanyak 40.2%.

*Kesimpulan :*

1.  Keputusan PRK Seri Setia ini menunjukkan penolakan yang jelas dan tegas terhadap sikap PH yang tidak sensitif dengan isu kepentingan Islam dan umat Islam serta isu-isu kebajikan rakyat ditambah lagi dengan kegagalan menunaikan beberapa manifesto penting menjadi punca prestasi PH semakin merosot pada PRK kali ini. Keresahan rakyat akibat pelbagai isu yang dilihat mengancam asas bernegara dalam masa 100 hari pasca PRU ke 14 benar-benar diterjemahkan oleh rakyat menerusi PRK ini.

2.  Kerjasama strategik PAS-UMNO dalam PRK ini dilihat semakin positif bagi kesatuan undi pembangkang berbanding PRK Sg. Kandis lalu.

3. Formula kerjasama ini walaupun berbeza pada beberapa dasar utama antara parti, sangat berkesan bagi menghadapi PH sebagai kerajaan. Malah ia memberi mesej bahawa kesatuan undi ini menjadi ancaman besar kepada PH mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh PAS menerusi pakatan pembangkang menjelang PRU 2008. Justeru, PH dilihat cuba sedaya mungkin merungkai kerjasama ini dengan pelbagai serangan saraf.

Sekian

”Sejahtera Bersama Islam"

Tarikh : Ahad, 9 September 2018 | 28 Zulhijjah 1439H

Thursday, 6 September 2018

HUKUMAN SEBAT SYARIE : PENDIRIAN KERAJAAN PAKATAN HARAPAN SONGSANG DAN SUMBANG

Kenyataan Media

Khamis 6 September 2018 | 25 Zulhijjah 1439H

HUKUMAN SEBAT SYARIE : PENDIRIAN KERAJAAN PAKATAN HARAPAN SONGSANG DAN SUMBANG

1. Kenyataan YAB Perdana Menteri berkaitan pelaksanaan hukuman sebat ke atas dua pesalah yang cuba melakukan _musahaqah_ menunjukkan pendirian songsang dan sumbang Kerajaan Pakatan Harapan dalam isu ini.

2. Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu kerana undang-undang Islam adalah di bawah Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah telah membuat keputusan ini berdasarkan Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama.

3. Hakim dalam menentukan kadar hukuman bukan sahaja menilai keadaan pesalah sebaliknya turut mengambil kira implikasi kesalahan yang dilakukan itu terhadap kepentingan awam melibatkan agama dan masyarakat. Tambah pula, menurut perspektif Islam malah juga dari sudut nilai moral dan naluri kemanusiaan, kesalahan _musahaqah_ ini adalah perlakuan songsang yang sangat mencemar maruah dan kehormatan masyarakat dan sangat berat sehingga boleh mengundang kemurkaan Allah s.w.t.

4. Justeru, sama ada ia merupakan kesalahan kali pertama atau kali ke-berapa pun, adalah munasabah hukuman pengajaran seperti sebat syarie dijatuhkan sebagaimana peruntukan undang-undang itu bagi memberi amaran dan mesej nasihat bukan hanya kepada pesalah tetapi juga kepada masyarakat agar tidak melakukannya.

5. Mengatakan bahawa hukuman yang dijatuhkan itu telah mempamerkan Islam bengis hanya memperlihatkan betapa tidak cermat dan jahilnya YAB Perdana Menteri dan ahli-ahli kabinet Kerajaan terhadap kaedah hukuman sebat syarie yang sebenar - sangat ringan dan tidak mencederakan kulit langsung.

6. Sangat malang, saya mengandaikan tiada dalam kalangan ahli kabinet termasuk yang berpendidikan agama memberikan pencerahan tentang kaedah hukuman sebat syarie ini kepada kabinet. Sebat syarie jauh lebih ringan berbanding kaedah sebat dalam undang-undang sivil yang menyakitkan dan mencederakan. Sebaiknya kabinet mempertikaikan hukuman sebat sivil berbanding mempertikaikan hukuman sebat syarie.

7. Ia bukannya mempamerkan wajah bengis Islam sebagaimana dakwaan songsang kabinet malah sebenarnya memaparkan wajah ihsan dan rahmatnya pelaksanaan sebat syarie. Sebaliknya sebat sivillah yang telah memaparkan wajah bengis undang-undang negara yang telah diterima pakai dan diamalkan sejak dahulu hingga sekarang. Itulah yang sepatutnya lebih utama dipertikaikan oleh kabinet.

8. Adapun imej buruk yang kononnya dipaparkan oleh sebat syarie ini sebagaimana dakwaan kabinet, suka saya tegaskan bahawa imej buruk itu terpapar apabila perlakuan songsang disokong dan dibela oleh pemimpin bergelar Muslim. Sebaliknya, menghukum sebagai pengajaran terhadap perlakuan sumbang ia adalah lambang betapa Islam adalah agama yang terhormat dan mengangkat nilai kehormatan diri masyarakat daripada terjebak dalam perlakuan songsang dan sumbang.

9. Islam dicemuh bukan kerana hukuman sebat syarie itu, tetapi kerana ada dalam kalangan pemimpin Kerajaan yang beragama Islam lemah jiwa dan imannya serta tidak bersifat "izzah"  dan tegas terhadap kemungkaran menyebabkan orang yang jahil dan pihak yang memusuhi Islam bertambah selesa untuk terus memberikan persepsi buruk terhadap Islam.

10. Saya mengira kabinet pimpinan PH telah memberi mesej yang salah tentang sikap dan pendirian mereka terhadap amalan songsang. Saya berharap agar YAB Perdana Menteri dan Kerajaan Pakatan Harapan dapat memperbetulkan semula pendirian yang songsang dan sumbang ini.

Sekian.

”Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Monday, 3 September 2018

UNGGULI PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM YANG MEMBERI KEBERKATAN

Kenyataan Media

Isnin 3 September 2018 | 22 Zulhijjah 1439H

UNGGULI PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM YANG MEMBERI KEBERKATAN

1. Hari ini Mahkamah Syariah Terengganu telah mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila buat pertama kali melaksanakan hukuman sebat syarie ke atas 2 pesalah berusia 22 dan 32 tahun sambil disaksikan oleh 100 orang awam berdasarkan Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah. Pelaksanaan ini menjelaskan hakikat sebenar kaedah sebat syarie yang disalahfaham oleh setengah khalayak yang sebenarnya sangat jauh berbeza dengan sebat sivil.

2. Hukuman sebat syarie yang dilaksanakan di bahagian belakang badan pesalah mengggunakan rotan nipis dalam keadaan pesalah berpakaian dan sedang duduk tanpa menyakitkan kulit dan mencederakan adalah semata-mata bertujuan memberi hukuman pengajaran berbanding hukuman sebat sivil yang menggunakan rotan tebal sehingga menyebabkan kecederaan dan meninggalkan parut.

3. Selain memberi ingatan kepada pesalah, sebagai hukuman agar ia tidak diulangi lagi, pelaksanaan di khalayak ramai menepati ruh tuntutan Syarak juga menjadi pengajaran kepada orang awam supaya tidak sesekali melakukannya.

4. Apa yang lebih penting ialah kaedah hukuman sebat syarie ini mengundang keberkatan Allah ke atas rakyat dan negeri ini sebagaimana sabit dalam beberapa hadis Nabi saw, suatu perkara yang tidak ada ruh keimanannya dalam pelaksanaan hukuman jenayah sivil.

5. Nabi saw bersabda menjelaskan kelebihan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam seperti Hudud

حَدٌّ يُقَامُ فِي الأَرْضِ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تُمْطَرُوا أَرْبَعِينَ صَبَاحًا 
"Satu hukuman Had yang dilaksanakan di satu bumi lebih baik daripada kamu diberikan hujan selama 40 subuh"
Hadis riwayat Nasaei

6. Saya percaya, sekiranya aktivis Joint Action Group for Gender Equality (JAG) atau The Malaysian Bar mahu dan mampu berfikiran waras dan bersifat manusiawi, mereka pasti menggesa supaya Kanun Keseksaan dalam kes sebegini dilaksanakan sebagaimana hukuman sebat syarie dan mendesak supaya Kanun Keseksaan dipinda sesuai dengan tuntutan syariah.

7. Pelaksanaan sebat syarie ini juga menunjukkan sebenarnya badan kehakiman syariah mempunyai kesediaan dan kemampuan untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah yang dikanunkan oleh badan perundangan negeri justeru sekaligus menafikan dakwaan yang menidakkan keutamaan dan kepentingan RUU355 sebagai usaha memperkasakan Mahkamah Syariah di negara ini.

Tahniah Mahkamah Syariah Terengganu.

Sekian.

“Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus