Tuesday 20 November 2018

Memahami Hakikat RAHMAT Seluruh Alam*

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2256242537719097&id=569086473101387

TAFSIR MUSTAQIM
Oleh Ustaz Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Memahami Hakikat RAHMAT Seluruh Alam

Firman Allah Taala (surah al-Anbiya:107)

*وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ*
"Dan tidak Kami utuskan kamu (Muhammad) melainkan rahmat untuk sekelian alam"

1. "RAHMAH" adalah satu kalimah yang sentiasa disebut dalam al-Quran memberi pelbagai makna antaranya kasih sayang, kasihan belas, nikmat, rezki, syurga, ganjaran pahala, kedatangan hujan, keampunan, kemaafan dan ketenangan. Semua makna-makna ini merangkumi pelbagai jenis keberkatan, kebaikan dan manfaat kehidupan sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

2. Rasulullah saw diutuskan ke dunia membawa rahmat kebaikan untuk seluruh alam sama ada yang beriman dengan baginda mahupun yang kufur. Bukan hanya melibatkan alam manusia bahkan juga alam jin, alam binatang, alam jamadat dan alam-alam yang lain.

3. Rahmat itu terserlah dan terjelma menerusi agama Islam yang diseru dan ditegakkan oleh baginda saw. Apabila Islam tertegak dalam kehidupan manusia muslim, bukan Islam juga merasai rahmat kebaikannya.

4. Agama Islam itu pula terdiri daripada rangkuman tiga komponen utama iaitu Aqidah keyakinan, Syariat perundangan dan Akhlak keperibadian.

5. Rangkuman tiga perkara inilah membawa rahmat dan kebaikan kepada seluruh alam. Apabila Aqidah Islam diketepikan dengan hanya mengambil Syariat, rahmat itu tidak terserlah sepenuhnya. Jika hanya beraqidah tetapi diketepikan Syariat perundangan, rahmat itu juga tidak akan dirasai sepenuhnya. Begitulah juga jika akhlak ditinggalkan dengan hanya beraqidah dan bersyariat, rahmat itu tidak mencapai kesempurnaannya.

6. Aqidah Islam merangkumi keyakinan terhadap hakikat alam dunia dan alam akhirat serta alam kubur, dosa dan pahala, syurga dan neraka serta keyakinan terhadap ketentuan Allah. Keimanan terhadap hakikat ini menjadikan seorang muslim sentiasa tenang menghadapi cabaran kehidupan. Ia menjadikan dunia selamat dan aman daripada pelbagai kekacauan dan penindasan kerana seorang muslim tidak menyakiti manusia lain kerana keimanannya terhadap syurga dan neraka.

7. Syariat perundangan pula merangkumi syariat ibadat, syariat berkeluarga, syariat bermasyarakat, syariat berekonomi, syariat undang-undang jenayah, syariat tatacara kehakiman dan syariat pengurusan bernegara.

8. Syariat ekonomi Islam menjadikan semua manusia merasai keadilan hidup melibatkan pemilikan harta merangkumi makan minum, kediaman dan lainnya. Syariat perundangan jenayah Islam menyelamatkan dunia daripada berleluasanya penjenayah. Syariat bernegara menjadikan rakyat memperolehi keamanan dan ketenangan.

9. Akhlak pula merangkumi seluruh penampilan dan keperibadian manusia berhadapan dan bergaul dengan manusia lain sebagaimana ditunjukkan oleh baginda saw dalam pergaulan dengan anak isteri, jiran tetangga dan masyarakat dunia.

10. Malang sekali apabila ada yang menyelewengkan tafsiran rahmat dengan merujuk kepada kefahaman agama yang liberal merungkai hukum yang disepakati ulamak sepanjang zaman, juga pengamalan agama yang longgar terhadap sebahagian hukum Islam yang selalunya dijenamakan kononnya sebagai progresif. Juga dengan meninggalkan sebahagian syariat, yang dilakukan kononnya untuk menarik masyarakat untuk terpikat dengan Islam. Meninggalkan syariat perundangan Islam yang diturunkan oleh Allah yang mencipta semesta alam akan menghilangkan rahmat kebaikan yang dapat dirasai oleh manusia

11. Demikianlah rahmat di sebalik kehadiran Nabi Muhammad saw terserlah dan dinikmati oleh seluruh alam apabila Islam yang dibawa oleh baginda saw diamalkan dan ditegakkan.

12. Menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk membawa Islam yang lengkap dengan aqidah, syariat dan akhlaknya agar rahmat kehadiran baginda saw di rasai oleh umat manusia.

Sekian

Selasa 12 hb Rabiul Awal 1440 H / 20 hb Nov 2018

No comments:

Post a Comment