Saturday, 16 May 2015

SELAMAT HARI GURU Pendidik Pembentuk Keperibadian Ummah


Perutusan Khas
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

SELAMAT HARI GURU
Pendidik Pembentuk Keperibadian Ummah

1. Rasulullah saw adalah mahaguru yang membina minda, emosi dan akhlak manusia sehingga terbangunnya satu tamadun kemanusiaan berpaksikan ubudiyyah pengadian diri kepada Allah.

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ
"Dialah yang mengutuskan di kalangan orang yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis- orang Arab) seorang Rasul daripada kalangan mereka juga, yang membacakan ke atas mereka ayat-ayat-Nya, mensucikan mereka dan mengajar kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah meskipun mereka sebelumnya dalam keadaan sesat tanpa ilmu, yang nyata." (Surah Jum'ah ayat 2)

2. Berbahagialah mereka yang mewarisi tugasan sebagai seorang GURU dan pendidik kerana telah berbuat suatu amal yang berpanjangan kebaikan dan pahalanya, iaitu menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Setelah meninggal dunia pun, kebaikan pahala ini akan terus dapat dinikmati oleh guru-guru semua.

Sabda Nabi s.a.w., maksudnya :

Dari Abu Hurairah r.a, beliau berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda’ : “Apabila anak Adam (manusia) telah meningal dunia, maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan kedua orang tuanya”

(Riwayat Muslim)

3. Bersempena dengan Sambutan Hari Guru 2015 yang bertemakan “Guru : Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak”, saya ingin menyarankan kepada Kerajaan untuk memberikan perhatian kepada beberapa perkara berikut :

(a) Menaikkan gaji bulanan guru bersesuaian dengan bebanan keguruan yang semakin bertambah. Juga sebagai suatu pengiktirafan terhadap warga pendididik, justeru meningkatkan lagi penghormatan masyarakat terhadap golongan ini di atas jasa besar membangunkan bangsa dan ketamadunan negara kita.

(b) Memberikan perhatian dan pembelaan kepada guru-guru yang berkhidmat di sekolah-sekolah swasta dan institusi-institusi pondok dengan menyediakan suatu dana khusus bagi menyelesaikan dan membantu isu gaji dan kebajikan mereka.

(c) Mengembalikan hak guru yang berpasangan untuk tinggal bersama dengan tidak memisahkan mereka oleh penempatan yang berjauhan – polisi berkenaan penempatan mesti disemak semula dan urusan perpindahan mesti dipermudahkan. Lokasi berjauhan ini hanya akan memberi kesan psikologi yang negatif kepada guru berkenaan dan menyukarkan pelaksanaan tanggungjawab terhadap tanggungan mereka.

(d) Mengurangkan bebanan perkeraniaan yang perlu dibuat oleh guru seperti setelah pelaksanaan sistem PBS.

(e) Mengelakkan sentimen politik kepartian sehingga mengakibatkan ada sebahagian guru dihukum dan dinafikan hak atau tidak mengalami kenaikan pangkat disebabkan masalah ini. Guru-guru sepatutnya dinilai berasaskan prestasi tanpa melibatkan sentimen politik kepartian.

3. Kepada mereka yang anaknya menerima didikan seorang guru, berilah hak penghormatan kepada mereka. Guru bukannya peniaga yang dinilai berdasarkan dagangannya kerana nilai ilmu tiada nilainya. Janganlah guru dianggap si makan gaji lalu diperlekehkan kedudukannya dan tidak diperendahkan kebajikan mereka.

4. Hubungan antara guru dengan muridnya atau pensyarah dengan pelajarnya; umpama hubungan ibu dan bapa dengan anaknya. Tersangat istimewa dan tersangat mulia. Gurulah yang mencorak fitrah manusiawi dalam diri kita. Merekalah yang mendidik kita membuat pilihan untuk menentukan jalan kehidupan, lalu kita menyelusurinya. Bertuah kita, kerana tunjuk ajar mereka, dapatlah kita meniti di jalan yang benar.

5. Kepada semua warga pendidik; para guru, pensyarah dan ulamak, saya mengucapkan “Selamat Hari Guru”. Semoga sentiasa mendapat petunjuk, keampunan dan kasih sayang daripada Allah s.w.t. dan sentiasa menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai teladan teragung dalam bidang pendidikan yang telah membahagiakan ketamadunan kemanusiaan sejagat. Terima kasih kerana telah mendidik kami dan anak-anak kami.

6. Pesan saya kepada penuntut ilmu, beradablah dengan gurumu sebagaimana Nabi Musa alaihissalam dengan gurunya Khidr alaihissalam yang diceritakan dalam al-Quran. Berterima kasihlah kepada pensyarahmu, muliakanlah para ulamak di sisimu dan doakanlah kebaikan untuk mereka semua; sesungguhnya inilah penghargaan terbesar dan yang sebenarnya untuk mereka – kerana, merekalah yang telah membina ilmumu dan menyempurnakan akhlakmu.

Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan DUPP

Tarikh : 16 Mei 2015 / 27 Rejab 1436H
__________

Lawati page facebook dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/drtakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

Sila "Like" page rasmi Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) di : https://www.facebook.com/dewanulamakpas

Saturday, 9 May 2015

KECURIGAAN ISU 1MDB & TABUNG HAJI PERLUKAN SIASATAN DIRAJA DAN MANDAT BARU KERAJAAN.

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

KECURIGAAN ISU 1MDB & TABUNG HAJI PERLUKAN SIASATAN DIRAJA DAN MANDAT BARU KERAJAAN.

1. Hanya Suruhanjaya Siasatan Di-Raja dan mandat baru yang boleh merungkaikan kecurigaan rakyat terhadap skandal hutang RM42 bilion syarikat 1MDB dan terkini isu pertikaian terhadap dana Tabung Haji dengan nilai RM188.5 juta dan RM578 juta yang dikatakan digunakan untuk membeli tanah daripada syarikat 1MDB yang sedang tenat dengan hutang RM42 bilion (RM42 ribu juta).

2. Tabung Haji adalah antara wang amanah terbesar orang Islam di Malaysia. Menurut satu rekod, pada tahun 2009 simpanan pendeposit Tabung Haji hanyalah RM23.6 bilion. Tetapi dalam tempoh 6 tahun sehingga 2013 simpanan pendeposit telah meningkat hampir sekali ganda iaitu RM45.7 bilion (RM45,700 juta). Ia menunjukkan tahap keyakinan rakyat yabg tinggi terhadap amanah Tabung Haji.

3. Dewan Ulamak PAS Pusat menuntut satu sikap pertanggungjawaban kerajaan bagi merungkaikan apa yang sebenarnya berlaku terhadap dana Tabung Haji. Bukan hanya daripada Pengerusi Tabung Haji malah juga daripada Menteri dijabatan Perdana Menteri dan PM sendiri selaku pihak yang lebih berkuasa dan berautoriti.

4. Adakah benar dana awam rakyat yang sebahagian besarnya milik orang-orang kampung yang bertungkus lumus mengumpul wang untuk mengerjakan ibadah haji yang diamanahkan untuk dijaga sebaik-baiknya telah disalahgunakan untuk menyelamatkan syarikat 1MDB yang berpenyakit dengan hutang RM42 bilion?

5. Apabila Tun Mahathir pun turut berpartisipasi mendesak dan menuntut supaya YAB Perdana Menteri, DS Najib menjelaskan pelbagai isu khususnya berkaitan hutang 1MDB, bererti beliau (dan seluruh rakyat Malaysia) benar-benar mahukan DS Najib berterus-terang.

6. Kalaulah beliau memanfaatkan ruang yang disediakan khas di TV3 baru-baru ini dengan bercakap lebih jujur dan telus, saya percaya bahawa kritikan pedas ke atas beliau dan Kerajaan seperti pada ketika ini tentu telah reda dan tidak akan berpanjangan; dan mungkin juga dapat diselesaikan.

7. Tetapi beliau memilih kononnya untuk menamatkan semua spekulasi itu dengan kenyataan lebih kurang simpul mati begini, "Saya PM. Akhirnya saya yang akan memutuskan semua perkara itu". Kenyataan ini sangat menghampakan seluruh rakyat yang ingin tahu perkara sebenar tentang semua isu itu. Nampak sangat beliau sebagai seorang PM mahu mengelak daripada berkata benar.

8. Kini terdedah pula seakan skandal sulit 1MDB dan Tabung Haji (TH) berkaitan pembelian dua plot tanah. Duit TH adalah kepunyaan umat Islam yang menabung bagi menyempurnakan rukun iman kelima. Sepatutnya dijaga dengan amanah dengan tidak mendedahkannya kepada risiko yang tidak menentu.

9. Isunya ialah tanah yang dibeli oleh TH daripada 1MDB itu berganda mahal harganya daripada harga yang dibeli oleh 1MDB daripada Kerajaan empat tahun lalu. Isunya juga ialah 1MDB itu ialah syarikat milik Kementerian Kewangan yang berhutang keliling pinggang mencecah RM42 bilion. Isunya lagi ialah ada orang-orang besar dalam TH itu juga merupakan orang besar dalam 1MDB yang menimbulkan pertembungan kepentingan.

10. Jadinya, mustahil sangatlah jika mengatakan pembelian tanah itu bukan untuk menyelamatkan 1MDB. Lebih hodoh lagi apabila berlapik dengan alasan ‘pelaburan hartanah’ dan ‘yang menepati selera risiko’. Padahal, sudah terang lagi bersuluh, semua orang sudah nampak bahawa ia adalah pelaburan hutang dan menepati selera DS Najib. Ia bukan ‘strategi pelaburan hartanah’, tetapi strategi melangsaikan lambakan hutang.

11. Sudahnya, bukan pembangkang sahaja yang membantah tindakan TH ini. Pemuda UMNO dan YAB TPM, TS Muhyiddin Yasin pun bersetuju supaya DS Najib dan Kerajaan menjelaskan hal itu dengan sesungguhnya kepada rakyat.

12. Pada tahap ini, jika DS Najib baru mahu menjawab - sekalipun dengan jujur dan telus - saya tidak yakin beliau boleh mendiamkan pihak-pihak yang telah mempertikaikannya bahkan dibimbangi semakin banyak pula hal lain yang terdedah.

13. Seorang Tun M sahaja pun boleh menjatuhkan Tun Abdullah Badawi, apatah lagi kini DS Najib sedang berhadapan dengan bukan sahaja Tun M, Dr. Asri, Prof. Agus, ditambah pula dikelilingi oleh menteri-menteri ber‘CGPA3.85’ seperti Ahmad Maslan, bahkan DS Najib sebenarnya sedang berhadapan dengan protes besar-besaran oleh rakyat.

14. Suruhanjaya Siasatan Di-Raja perlu ditubuhkan segera oleh DS Najib bagi menamatkan spekulasi isu-isu ini. Ia akan kelihatan kebih telus dan lebih bertanggubgjawab.

15. Selanjutnya, satu jalan lagi yang boleh menyebabkan beliau kembali selesa di kerusi yang disandang beliau kini ialah dengan mendapatkan mandat baru; daripada pasukannya dalam kabinet dan daripada rakyat keseluruhannya.

Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan DUPP
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Tarikh : 9 Mei 2015 / 20 Rejab 1436H
__________

Lawati page facebook dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di : Facebook : https://www.facebook.com/drtakiri

Sila "Like" page rasmi Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) di : https://www.facebook.com/dewanulamakpas

Wednesday, 6 May 2015

PRK ROMPIN – TAHNIAH PAS MENANG KERANA BERJAYA MENINGKATKAN TAHAP SOKONGAN

Kenyataan Media
PRK ROMPIN –
TAHNIAH PAS MENANG KERANA BERJAYA MENINGKATKAN TAHAP SOKONGAN

Rujuk :
http://harakahdaily.net/index.php/headline/35263-prk-rompin-pas-berjaya-tingkatkan-sokongan


1. PAS dalam PRK Rompin menang dan berjaya meningkatkan sokongan pengundi di banyak UPU dalam keadaan BN berhadapan dengan kerugian dan kemerosotan sokongan yang sangat ketara.

2. Kebiasaannya BN menang besar dalam mana-mana pilihanraya kecil khususnya di tempat mereka sebagai penyandangnya. Namun, meskipun limpahan janji pembangunan dan projek segera turun di Rompin, BN masih gagal mempertahankan reputasi sokongan mereka.

3. Peratusan keluar mengundi bagi PRK Rompin adalah merosot iaitu 74% sahaja daripada 53,294 pemilih berdaftar telah keluar membuang undi pada hari semalam berbanding pada PRU13 lalu iaitu sebanyak 85.9%.

4. Bagi mengukur secara lebih tepat tahap sokongan pengundi terhadap parti-parti yang bertanding dalam PRK Rompin, perbandingan keputusan semalam dengan keputusan PRU13 perlu dibuat secara relatif dengan peratusan keluar mengundi bagi kedua-dua pilihanraya.

5. Pada PRU13, jumlah keluar mengundi ialah 45,849 orang dan keputusannya ialah BN mendapat 30,040 undi dan PAS pula mendapat 14,926 undi menjadikan majoritinya ialah 15,114 undi.

6. Bagi PRK Rompin yang diadakan semalam pula, SPR telah mengumumkan keputusannya iaitu BN mendapat 23,796 undi dan PAS pula mendapat 14,901 undi menjadikan majoritinya ialah 8,895 undi. Undi rosak pula ialah 591 undi. Ini bermakna terdapat 39,288 orang yang telah keluar membuang undi pada hari semalam.

7. Dengan kemerosotan peratusan keluar mengundi semalam, bagi mengekalkan status quo tahap sokongan PRU13, BN sekurang-kurangnya patut mendapat 25,741 undi dan PAS pula memadai mendapat 12,790 undi sahaja menjadikan majoritinya ialah 12,951 undi.

8. Tetapi, berdasarkan keputusan yang diumumkan semalam, undi BN menurun sebanyak 20.8% (6,244 undi) berdasarkan PRU13 lalu atau merosot 8.2% (1,945) untuk berada pada kedudukan mengekalkan status quo tahap sokongan PRU13 lepas.

9. Menariknya, undi PAS pula telah melebihi 14.2% (2,111 undi) daripada kedudukan untuk mengekalkan status quo tahap sokongan PRU13 lepas. Mudahnya, tahap sokongan terhadap PAS sebenarnya meningkat.

10. Ini adalah satu kejayaan besar bagi PAS di kawasan pengundi majoriti Melayu dalam keadaan sebahagian tenaga kerja pilihanraya PAS dari Perlis, Kedah, Penang dan Perak dibekalkan ke Permatang Pauh.

11. Berdasarkan analisis ini ia memberi satu petunjuk bahawa isu-isu yang dibawa oleh PAS berkaitan percukaian GST, salah urus kewangan negara, undang-undang Islam, Felda, pemilikan geran tanah yang dizalimi sejak puluhan tahun di Kuala Rompin semakin mendapat perhatian daripada pengundi Rompin. Apatah lagi berlaku peningkatan undi khususnya di kawasan Felda yang terkenal sebagai kubu UMNO.

12. Akhirnya saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PAS. Syabas juga diucapkan kepada Ustaz Nazri Ahmad kerana bersedia memikul amanah jamaah dan di atas semua pengorbanan yang telah dilakukan. Semoga Allah merahmati dan memberkati usaha kita semua.

Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan DUPP

Tarikh : 6 Mei 2015 / 17 Rejab 1436H
__________

Lawati page facebook dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/drtakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

Sila "Like" page rasmi Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) di : https://www.facebook.com/dewanulamakpas

Tuesday, 5 May 2015

SELAMAT MENGUNDI UNTUK SATU PERUBAHAN KEPADA RAKYAT ROMPIN

Dewan Ulamak PAS Pusat

SELAMAT MENGUNDI UNTUK SATU PERUBAHAN KEPADA RAKYAT ROMPIN

1.Hari ini rakyat Rompin akan mengundi untuk menyumbang kepada usaha menentukan masa depan agama, negara, negeri dan parlimen Rompin.

2. Kepimpinan adalah amanah. Bukan hanya amanah untuk membangunkan negara dari sudut kebendaan tetapi lebih utama amanah untuk memimpin manusia untuk mendapat redha Allah dalam kehidupan seharian. Rakyat Rompin bakal memilih pemimpin yang terbaik untuk melaksanakan amanah tersebut.

3. Rakyat Rompin sedang berhadapan isu pembangunan yang masih belum lengkap walaupun telah merdeka 58 tahun. Lebuhraya atau jalan raya yang lapang dan luas yang boleh menjimatkan masa pergerakan antara parlimen Rompin yang luas dan menghubungkannya dengan bandar-bandar utama seperti Kuantan sepatutnya telah dinikmati oleh rakyat Rompin sekian lama. Ia tentu membantu pertumbuhan ekonomi setempat. Malangnya ia bukan milik mereka.

4. Isu pemberian hak milik tanah khususnya di Kuala Rompin sewajarnya menjadi pertimbangan pengundi. Islam menegaskan hak rakyat yang telah membuka tanah apatah lagi puluhan tahun untuk mendapatkan hak milik mereka yang sah. Menafikan hak mereka untuk mendapat geran adalah satu penindasan dan kezaliman. Sejak puluhan tahun janji pemberian hak milik tanah didendangkan setiap kali pilihanraya maka wajarlah kali ini rakyat Kuala Rompin menghantar satu signal protes menerusi undi.

5. Peneroka Felda adalah antara rakyat teramai di Rompin. Masa depan mereka dalam keadaan suram dengan pelbagai isu melengkari FGV dan Felda sendiri. Tentunya ini peluang para peneroka untuk menghantar isyarat protes kepada BN.

6. Cukai GST tentunya dirasai kesannya oleh rakyat Rompin yang masih ramai berhadapan dengan masalah kewangan untuk meneruskan kehidupan. Cukai yang dikenakan kepada golongan yang tiada kemampuan meskipun dengan amaun yang kecil adalah satu penindasan yang tidak diredhai oleh Islam. Desakan rakyat Malaysia supaya kerajaan menghapuskan cukai GST terbeban di bahu rakyat Rompin hari ini. Kekalahan BN dalam PRK Rompin adalah isyarat jelas daripada rakyat yang menolak GST.

Untuk itu, Dewan Ulamak PAS Pusat merayu para pengundi di Rompin untuk memanfaatkan kuasa undi mereka dalam PRK kali ini. Moga ianya menjadi satu kebaktian kita untuk agama, bangsa dan negara tercinta.

Selamat Mengundi. UNDI UNTUK 1 PERUBAHAN.

Ustaz Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat.

5hb Mei 2015

RUMAH GENERASI KEDUA FELDA : DETAILKAN BUTIRAN, SEGERAKAN PERJANJIAN

Kenyataan Media

RUMAH GENERASI KEDUA FELDA :
DETAILKAN BUTIRAN, SEGERAKAN PERJANJIAN

1. Walaupun Naib Presiden UMNO, DS Hishamuddin telah menafikan bahawa penurunan harga sebanyak 28% iaitu dari RM125,000 kepada RM90,000 untuk setiap unit rumah generasi kedua peneroka Felda yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada dua hari lalu sebagai umpan politik sempena PRK Rompin, saya tetap prejudis dengan tawaran itu.

2. Jika benar sekalipun dakwaan Datuk Razali Ibrahim pula bahawa 'perbincangan' telah pun dibuat sebelum ini justeru ia bukan umpan pilihanraya, persoalannya adakah perbincangan itu telah menghasilkan kata putus? Kenapa keputusan itu diuar-uarkan pada masa pilihanraya sedang berjalan? Kenapa tidak sahaja diumum lebih awal atau selepas pilihanraya sahaja?

3. Jelas sekali! Hakikatnya ia adalah tindakan terdesak untuk memastikan sokongan kepada BN tidak merosot- memandangkan terdapat 14 Felda di parlimen Rompin. Ini kerana hanya dengan kemerosotan undi sahaja pun akan memberi signal penolakan besar-besaran rakyat keseluruhannya terhadap polisi percukaian yang dilaksanakan oleh Kerajaan dan kenaikan pelbagai kos sara hidup.

4. Oleh itu, saya mendesak Kerajaan supaya :

     (a) Mendedahkan butiran lengkap berkenaan tawaran skim sewa beli rumah ini termasuklah jumlah bilangan rumah dan jumlah tanggungan kewangan Kerajaan bagi merealisasikan tawaran ini.

     (b) Menyegerakan urusan perjanjian skim sewa beli rumah ini dengan peneroka termasuklah menyatakan secara terperinci tarikh kemasukan, harga rumah dan kaedah pembayaran.

5. Jika dua desakan ini gagal ditunaikan, semakin jelaslah bahawa tawaran itu tidak lebih daripada janji kosong dan gula-gula politik sahaja.

Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

Tarikh : 5 Mei 2015 / 16 Rejab 1436H
__________

Lawati page dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/drtakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

Sila lawati dan "Like" page rasmi Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) di :
https://www.facebook.com/dewanulamakpas

Monday, 4 May 2015

BIODATA DATO' DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

BIODATA

USTAZ DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Bangi, Selangor, Malaysia

Biodata Ringkas:

Dato' Dr. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI,
Pendakwah, Pendidik, Ahli Politik & Ahli Perniagaan. Bekas Pensyarah UIA 1999 dan Jabatan Arab & Tamadun Islam, FPI, UKM 2002-2008

Berasal dari Seberang Takir.
Berkelulusan B.A dan Master Bahasa & Kesusasteraan Arab di Universiti of Jordan dan Aal Bayt Univ, Jordan dan Phd Pengajian Islam di UKM.

1999 bermula karier sebagai pensyarah di UIA kemudiannya UKM pada 2002 sehingga meletakkan jawatan pada 2008.

Bermula 1999 juga aktif sebagai pendakwah sejak yang berceramah di media elektronik radio dan televisyen dan dalam pelbagai forum ilmu masyarakat.

Juga melibatkan diri sebagai aktivis masyarakat dengan penglibatan mengasaskan Persatuan Perubatan Islam Darus Salam, Nadwah Ilmuwan Muslim, Sekreteriat Penerbit dan Pengedar Buku Islam Malaysia dan Exco Persatuan Ulamak Malaysia.

Sejak 1999 juga aktif menulis dan menerbitkan buku-buku agama di samping penulisan di akhbar dan majalah.

Pada 2004 mula aktif mengasaskan pusat pendidikan dan kebajikan untuk ummah iaitu Darul Fuqaha seterusnya Sek Ren Islam Pintar Tahfiz sehingga sekarang

Pada 2008 mula lebih aktif sepenuh masa sebagai ahli perniagaan di bidang pemakanan.

Bermula 2013 mula aktif sebagai ahli politik menerusi amanah sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus, Terengganu

KELAHIRAN

Dilahirkan di Kg Seberang Takir, K. Trg pada 1973. Anak sulong daripada 16 orang adik-beradik.

KELUARGA

Dikurniakan 2 orang isteri dengan 12 orang anak sehingga 2014

ANUGERAH KEBESARAN
Dikurniakan Darjah Kebesaran DIMP; Darjah Indera Mahkota Pahang 2013 dan Darjah Mahkota Pakubowono, Istana Surakata, Indonesia.
PENDIDIKAN

Pendidikan menengah awal di Sek. Men Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang, K. Trg pada tahun 1986.

Setelah mendapat keputusan cemerlang dalam SRP pada tahun 1988, mendapat tawaran ke Kolej Islam Kelang. Namun hati lebih terpaut untuk memasuki aliran Thanawi yang menggunakan bahasa Arab sepenuhnya di Sek. Men. Agama Sultan Zainal Abidin, K. Trg. Trg yang merupakan sekolah agama terbaik menghimpunkan pelajar-pelajar terbaik sekolah-sekolah agama di Terengganu.

Namun, pengajian di aliran Thanawi tak sempat diselesaikan kerana setelah mendapat keputusan cemerlang dalam SPM yang diambil secara persendirian pada tahun 1990, hati lebih berminat untuk segera ke luar negara menuntut ilmu. Justeru, tawaran untuk melanjutkan pelajaran pada tahun 1992 ke Universiti of Jordan diterima.

Alhamdulillah, berjaya mendapat Bachelor dengan kepujian di bidang Bahasa & Kesusasteraan Arab di Univ. of Jordan pada tahun 1996.

Seterusnya pengajian di peringkat Master diteruskan dan berjaya mendapat Master di bidang Bahasa & Kesusasteraan Arab di Aal al-Bayt University, Mafraq,Jordan pada tahun 2000. Tajuk tesis Master ialah Signifikan partikel setara dan genetif di sisi sarjana sintaksis dan sarjana Usul Fiqh serta pengaruhnya terhadap Kefahaman Teks Syara`

Seterusnya Phd Pengajian Islam di Jabatan Arab & Tamadun Islam, FPI, UKM dengan tesis bertajuk: "Retorik Partikel Waw Dalam al-Qur'an Dan Pengaruhnya Terhadap Penterjemahan Makna al-Qur'an ke Dalam Bahasa Melayu."

PENGALAMAN BERTUGAS:

Pada tahun 1999 diterima bertugas sebagai guru bahasa di CELPAD, UIA.

Setelah mendapat Master di awal 2000 dilantik sebagai Pensyarah Bahasa.

Mendapat tawaran sebagai pensyarah Bahasa di UITM pada tahun 2002 namun ditolak kerana hati lebih terpikat dengan UKM setelah diadakan beberapa kali istikharah.

Seterusnya bertugas sebagai Tutor pada tahun 2002 seterusnya Pensyarah bermula pada tahun 2006 di Jabatan Pengajian Arab & Tamadun Islam, FPI, UKM.

Pada Ogos 2008 meletakkan jawatan sebagai Pensyarah untuk memfokuskan kerja-kerja dakwah, pendidikan dan perniagaan.

TUGAS SEKARANG

diamanahkan sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus (2013) di samping tugas sebagai Pendakwah, Pendidik, Penulis, Aktivis Sosial dan Ahli Perniagaan.

AKTIVITI KEMSYARAKATAN

mula berceramah di radio dan tv sejak pulang ke Malaysia pada tahun 1999. Pernah mengendalikan rancangan belajar bahasa Arab bermula tahun 2000 di Radio Nasional jam 6.15 ptg selama 3 tahun. Berceramah di pelbagai slot di Radio Nasional dan Radio IKIM. Juga di TV 1, Tv 3 dan lain-lain.

Begitu juga aktif berceramah, berdiskusi, berseminar di seluruh negara di masjid, surau dan jabatan kerajaan dan kementerian.

Pada tahun 2004 mengasaskan pusat pendidikan dan kebajikan Darul Fuqaha di Sg. Merab Bangi, Selangor dan Sek ren Islam Pintar Tahfiz pada tahun 2007.

Antara perjawatan amanah;

1. Pengerusi Eksekutif & Pengasas Darul Fuqaha
2. Pengerusi Eksekutif & Pengasas Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha
3. Presiden dan Pengasas Kolej Islam Fuqaha
4. Pengerusi Eksekutif dan Pengasas SRIP Tahfiz Kajang
5. ALP SRIP Tahfiz K. Trg
6. Pengasas dan Presiden Nadwah Ilmuan Muslim
7. Bekas Exco Persatuan Ulama Malaysia
8) Pengerusi Sekreteriat Penerbit & Pengedar Buku Islam Malaysia (SPEEDI)
9) Penasihat Persatuan Prihatin Ummah Malaysia

Beliau cergas sebagai Penceramah (di masjid, tv dan radio), Penulis (buku, artikel dan makalah), Penerbit (buku-buku Islam, Penggiat Sosial dan Pengamal Perubatan Islam.

PENULISAN BUKU

Antara buku beliau bertajuk:
1) Hukum Berurusniaga Dengan Yahudi Dunia
2) Hak-hak Bukan Islam Dalam Negara Islam
3) Adab-Adab Berdoa Dalam Islam
4) Terjemahan Tafsri Munir Juzuk 30
5) Hukum Wanita Menjadi Imam Solat Jumaat; Kontroversi Solat Jumaat Dr Amina Wadud
6) Perspektif Islam
7) Intipan Khalwat Menurut al-Qur'an dan al-Sunnah; Menilai Pandangan Kontroversi Mufti Perlis
8)Hiburan & Gurau Senda Menurut Islam
9) Politik & Pilihanraya menurut Islam


PERHUBUNGAN

Hp: 013 7460000
email drtakiri2020@gmail.com
Artikel dan tulisan beliau boleh dilayari di http://www.darulfuqaha.com & www.ceramahkhairuddin.com

Hidup Dalam Ibadah

HIDUP DALAM IBADAH

IBADAH ertinya perhambaan diri, ketaatan dan kepatuhan kepada Allah yang mencipta, memiliki dan menguruskan alam ini termasuklah manusia. 

HIDUP pula merujuk detik-detik masa yang dilalui oleh seseorang sejak dilahirkan ke bumi sehinggalah memejam mata kembali ke alam Barzakh. Dalam kehidupan sehari manusia melakukan pelbagai aktiviti melibatkan pekerjaan mencari rezki, perhubungan dalam keluarga dan interaksi dengan masyarakat sekitar. 

Hidup dalam Ibadah bermaksud segala urusan kehidupan berada dalam ruang-lingkup hukum-hakam Allah. Melaksanakan yang wajib dan sunat. Meninggalkan yang haram dan makruh. Bukan hanya dalam kehidupan peribadi malah dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. 

Asas kepada kehidupan beribadah ialah ilmu tentang hukum-hakam Allah. Tanpa ilmu kemungkinan seseorang itu melakukan yang haram dan makruh tanpa disedari. Atau meninggalkan yang wajib dan sunat tanpa disedari. Perlu dipelajari hukum-hakam Ibadah merangkumi, solat, puasa, zakat dan haji. Juga dituntut ilmu pengetahuan berkaitan hukum-hakam perkahwinan dan berkeluarga. Tidak ketinggalan ilmu tentang hukum-hakam muamalat melibatkan jual-beli dan sebagainya. Seterusnya memahami hukum-hakam jenyah. Lebih jauh memahami ilmu politik kenegaraan menurut Islam. Inilah asas kepada ilmu pengetahuan tentang Islam.

Ramai yang ingin menjadi hamba yang beribadah. Malangnya ianya tidak disusuli dengan kesungguhan mencari ilmu sama ada dengan pengajian atau pembacaan.  Ramai yang boleh menghabiskan masa membaca pelbagai karya yang tebal namun gagal memperuntukkan masa untuk membaca tentang Islam. Ramai yang memperuntukkan masa untuk membaca akhbar harian dan membaca maklumat di media baru. sayang dia tidak mampu memperuntukkan sedikit masa untuk memahami agamanya.


Wakaf Bangunan Kompleks Darul Fuqaha


Sunday, 3 May 2015

Ujian Tarbiyah Sebelum Perang

Tuan Guru Presiden memulakan pembentangan beliau bagi tajuk "Tarbiyah Tunjang Kekuatan Jamaah" dengan membacakan ayat 249 surah al-Baqarah yang menceritakan kisah ujian oleh Allah kepada tentera Talut di ambang peperangan. Mereka tidak dibenarkan minum air sungai yang bakal mereka seberangi melainkan sekadar secebok tangan. Air alat penting memperkuatkan jasad untuk berperang. Namun, kekuatan tentera bukan pada airnya yang memperkuatkan fizikal tetapi kekuatan rohani.
( فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِالْجُنُودِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ مُبْتَلِيكُمْ بِنَهَرٍ فَمَنْ شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَمَنْ لَمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُ مِنِّي إِلَّا مَنِ اغْتَرَفَ غُرْفَةً بِيَدِهِ فَشَرِبُوا مِنْهُ إِلَّا قَلِيلًا مِنْهُمْ فَلَمَّا جَاوَزَهُ هُوَ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ قَالُوا لَا طَاقَةَ لَنَا الْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ قَالَ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُمْ مُلَاقُو اللَّهِ كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ ( 249 ) )

Sebaik-baik Bilangan Tentera

فعن ابن عباس - رضي الله عنهما - عن النبي -صلى الله عليه وسلم- قال: ((خيرُ الصَّحابةِ أربعة، وخير السَّرايا أربعمائة، وخير الجيوش أربعة آلاف، ولن تُغلب اثنا عشر ألفًا من قلَّة
Daripada Ibni Abbas radiyallahu anhuma daripada Nabi saw bersabda; sebaik-baik teman 4 orang, sebaik pasukan tentera 400 orang, sebaik-baik ketumbukan tentera 4000 orang dan sama sekali tidak akan dikalahkan 12 ribu orang oleh golongan yang sedikit.
Hadis Hasan riwayat Tirmizi dan Abu Dawud

RENUNGAN PERJUANGAN; Setiap Orang Berjasa

                                                                                              
RENUNGAN PERJUANGAN

Setiap orang menyumbang untuk kerja dakwah dengan kelebihan dan kemampuan tersendiri. Ada yang berharta lalu menyumbangkan harta. Sedikit cara sedikit. Banyak cara banyak. Yang tidak berharta tapi bertenaga menyumbangkan tenaganya.  Ada yang berilmu lalu menyumbangkan ilmunya. Ada yang berilmu dan berharta lalu menyumbangkan kedua-duanya. Ada yang mengorbankan keselesaan hidup, masa bersama keluarga dan memperjudikan jawatan dan pekerjaan. Ada yang bersedia untuk berhadapan kecaman masyarakat sekitar dan dinafikan hak sebagai rakyat. Setiap orang menyumbang. Tapi janganlah segala sumbangan diungkit lalu menjadi lesen pula untuk mempromosi pelbagai idea karut, strategi yang tidak berpaksikan Islam, mengenepikan asas dan prinsip asal perjuangan. 

Sebesar-besar jasa sahabat Nabi saw bernama Hatib bin Abi Balta'ah radiyallahu anhu yang hadir perang Badar dan dipercayai untuk menjadi ahli mesyurat Nabi saw tidak menghalangnya untuk tersilap langkah membocorkan rahsia mesyuarat baginda kepada musuh Quraisy.

Dr Khairuddin at-Takiri
3 hb Mei 2015

Friday, 1 May 2015

Sumbangan Basikal Untuk Anak Miskin Kuala Nerus

Pusat Khidmat Parlimen Kuala Nerus mengalu-alukan sumbangan RM250 daripada dermawan untuk basikal kegunaan anak-anak faqir miskin di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Terengganu. Sumbangan boleh disalurkan dengan SMS atau Whatsap kepada YB Ust dato dr Khairuddin at-Takiri ke talian berikut : 0137460000