Saturday, 16 May 2015

SELAMAT HARI GURU Pendidik Pembentuk Keperibadian Ummah


Perutusan Khas
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

SELAMAT HARI GURU
Pendidik Pembentuk Keperibadian Ummah

1. Rasulullah saw adalah mahaguru yang membina minda, emosi dan akhlak manusia sehingga terbangunnya satu tamadun kemanusiaan berpaksikan ubudiyyah pengadian diri kepada Allah.

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ
"Dialah yang mengutuskan di kalangan orang yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis- orang Arab) seorang Rasul daripada kalangan mereka juga, yang membacakan ke atas mereka ayat-ayat-Nya, mensucikan mereka dan mengajar kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah meskipun mereka sebelumnya dalam keadaan sesat tanpa ilmu, yang nyata." (Surah Jum'ah ayat 2)

2. Berbahagialah mereka yang mewarisi tugasan sebagai seorang GURU dan pendidik kerana telah berbuat suatu amal yang berpanjangan kebaikan dan pahalanya, iaitu menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Setelah meninggal dunia pun, kebaikan pahala ini akan terus dapat dinikmati oleh guru-guru semua.

Sabda Nabi s.a.w., maksudnya :

Dari Abu Hurairah r.a, beliau berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda’ : “Apabila anak Adam (manusia) telah meningal dunia, maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan kedua orang tuanya”

(Riwayat Muslim)

3. Bersempena dengan Sambutan Hari Guru 2015 yang bertemakan “Guru : Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak”, saya ingin menyarankan kepada Kerajaan untuk memberikan perhatian kepada beberapa perkara berikut :

(a) Menaikkan gaji bulanan guru bersesuaian dengan bebanan keguruan yang semakin bertambah. Juga sebagai suatu pengiktirafan terhadap warga pendididik, justeru meningkatkan lagi penghormatan masyarakat terhadap golongan ini di atas jasa besar membangunkan bangsa dan ketamadunan negara kita.

(b) Memberikan perhatian dan pembelaan kepada guru-guru yang berkhidmat di sekolah-sekolah swasta dan institusi-institusi pondok dengan menyediakan suatu dana khusus bagi menyelesaikan dan membantu isu gaji dan kebajikan mereka.

(c) Mengembalikan hak guru yang berpasangan untuk tinggal bersama dengan tidak memisahkan mereka oleh penempatan yang berjauhan – polisi berkenaan penempatan mesti disemak semula dan urusan perpindahan mesti dipermudahkan. Lokasi berjauhan ini hanya akan memberi kesan psikologi yang negatif kepada guru berkenaan dan menyukarkan pelaksanaan tanggungjawab terhadap tanggungan mereka.

(d) Mengurangkan bebanan perkeraniaan yang perlu dibuat oleh guru seperti setelah pelaksanaan sistem PBS.

(e) Mengelakkan sentimen politik kepartian sehingga mengakibatkan ada sebahagian guru dihukum dan dinafikan hak atau tidak mengalami kenaikan pangkat disebabkan masalah ini. Guru-guru sepatutnya dinilai berasaskan prestasi tanpa melibatkan sentimen politik kepartian.

3. Kepada mereka yang anaknya menerima didikan seorang guru, berilah hak penghormatan kepada mereka. Guru bukannya peniaga yang dinilai berdasarkan dagangannya kerana nilai ilmu tiada nilainya. Janganlah guru dianggap si makan gaji lalu diperlekehkan kedudukannya dan tidak diperendahkan kebajikan mereka.

4. Hubungan antara guru dengan muridnya atau pensyarah dengan pelajarnya; umpama hubungan ibu dan bapa dengan anaknya. Tersangat istimewa dan tersangat mulia. Gurulah yang mencorak fitrah manusiawi dalam diri kita. Merekalah yang mendidik kita membuat pilihan untuk menentukan jalan kehidupan, lalu kita menyelusurinya. Bertuah kita, kerana tunjuk ajar mereka, dapatlah kita meniti di jalan yang benar.

5. Kepada semua warga pendidik; para guru, pensyarah dan ulamak, saya mengucapkan “Selamat Hari Guru”. Semoga sentiasa mendapat petunjuk, keampunan dan kasih sayang daripada Allah s.w.t. dan sentiasa menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai teladan teragung dalam bidang pendidikan yang telah membahagiakan ketamadunan kemanusiaan sejagat. Terima kasih kerana telah mendidik kami dan anak-anak kami.

6. Pesan saya kepada penuntut ilmu, beradablah dengan gurumu sebagaimana Nabi Musa alaihissalam dengan gurunya Khidr alaihissalam yang diceritakan dalam al-Quran. Berterima kasihlah kepada pensyarahmu, muliakanlah para ulamak di sisimu dan doakanlah kebaikan untuk mereka semua; sesungguhnya inilah penghargaan terbesar dan yang sebenarnya untuk mereka – kerana, merekalah yang telah membina ilmumu dan menyempurnakan akhlakmu.

Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan DUPP

Tarikh : 16 Mei 2015 / 27 Rejab 1436H
__________

Lawati page facebook dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/drtakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

Sila "Like" page rasmi Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) di : https://www.facebook.com/dewanulamakpas

No comments:

Post a Comment