Saturday 23 May 2015

RENUNGAN PETANG Menziarahi Rakan Yang Sakit

RENUNGAN PETANG

Menziarahi Rakan Yang Sakit

Menziarahi orang sakit merupakan salah satu akhlak mulia yang digesa oleh Islam malah ia menjadi salah satu hak yang mesti ditunaikan oleh saudara muslim terhadap saudara seislamnya.

Sabda Nabi saw;

حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ : إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ ، وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ ، وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ ، وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللهَ فَشَمِّتْهُ ، وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ ، وَإِذَا مَاتَ فَاتْبَعْهُ.
Maksudnya; "Hak muslim yang mesti ditunaikan oleh muslim yang lain ada enam; apabila kamu bertemu dengannya maka berilah salam kepadanya, apabila dia menjemput maka penuhilah jemputannya, apabila dia meminta nasihat maka kamu berilah nasihat kepadanya, apabila dia bersin lalu dia bersyukur memuji Allah (menyebut alhamdulillah) maka balaslah dengan doa, apabila dia sakit maka ziarahilah dia dan apabila dia mati maka iringilah jenazahnya (ke kubur)". Hadis riwayat Ahmad dan Muslim

Kerana itu antara akhlak para Salaf Soleh apabila menyedari ketiadaan seseorang lalu segera ditanyakan perihalnya.

Tokoh Tabi'in di Kufah bernama al-A'masy (lahir 61 H meninggal 147 H) berkata, kami ada majlis pertemuan. Apabila kami kehilangan seseorang selama tiga hari kami akan bertanya tentangnya. Sekiranya dia sakit kami menziarahinya.

Menziarahi pesakit mendatangkan kegembiraan bagi pesakit. Dengan itu berkuranglah kesusahan hatinya. Pesakit merasakan dirinya masih mendapat perhatian lalu terubatlah dukacitanya. Sekian.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 23 hb Mei 2015
6.15 ptg

www.drtakiri.blogspot.com

No comments:

Post a Comment