Monday 4 May 2015

Hidup Dalam Ibadah

HIDUP DALAM IBADAH

IBADAH ertinya perhambaan diri, ketaatan dan kepatuhan kepada Allah yang mencipta, memiliki dan menguruskan alam ini termasuklah manusia. 

HIDUP pula merujuk detik-detik masa yang dilalui oleh seseorang sejak dilahirkan ke bumi sehinggalah memejam mata kembali ke alam Barzakh. Dalam kehidupan sehari manusia melakukan pelbagai aktiviti melibatkan pekerjaan mencari rezki, perhubungan dalam keluarga dan interaksi dengan masyarakat sekitar. 

Hidup dalam Ibadah bermaksud segala urusan kehidupan berada dalam ruang-lingkup hukum-hakam Allah. Melaksanakan yang wajib dan sunat. Meninggalkan yang haram dan makruh. Bukan hanya dalam kehidupan peribadi malah dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. 

Asas kepada kehidupan beribadah ialah ilmu tentang hukum-hakam Allah. Tanpa ilmu kemungkinan seseorang itu melakukan yang haram dan makruh tanpa disedari. Atau meninggalkan yang wajib dan sunat tanpa disedari. Perlu dipelajari hukum-hakam Ibadah merangkumi, solat, puasa, zakat dan haji. Juga dituntut ilmu pengetahuan berkaitan hukum-hakam perkahwinan dan berkeluarga. Tidak ketinggalan ilmu tentang hukum-hakam muamalat melibatkan jual-beli dan sebagainya. Seterusnya memahami hukum-hakam jenyah. Lebih jauh memahami ilmu politik kenegaraan menurut Islam. Inilah asas kepada ilmu pengetahuan tentang Islam.

Ramai yang ingin menjadi hamba yang beribadah. Malangnya ianya tidak disusuli dengan kesungguhan mencari ilmu sama ada dengan pengajian atau pembacaan.  Ramai yang boleh menghabiskan masa membaca pelbagai karya yang tebal namun gagal memperuntukkan masa untuk membaca tentang Islam. Ramai yang memperuntukkan masa untuk membaca akhbar harian dan membaca maklumat di media baru. sayang dia tidak mampu memperuntukkan sedikit masa untuk memahami agamanya.


No comments:

Post a Comment