Wednesday 8 February 2017

Peringatan Diri : Jangan Fitnah Fuqaha

*PERINGATAN DIRI*

1. Ada yang menzalimi Fuqaha dengan membuat FITNAH mendakwa Fuqaha "mencipta Fiqh menyokong kezaliman". Kenyataan itu sangat mengelirukan.

2. Fuqaha tidak mencipta Fiqh dengan akal sendiri tetapi Fuqaha mengeluarkan hukum Fiqh daripada al-Quran dan al-Sunnah.

3. Fuqaha tidak mungkin menyokong kezaliman kerana semua bentuk kezaliman adalah HARAM dan wajib ditentang. Ia menjadi prinsip asas beragama. Tetapi Fuqaha menjelaskan panduan dan garis Islam dalam menentang kezaliman.

4. Namun yang zalim ialah mereka yang hanya bersemangat dan beremosi menentang kezaliman tetapi tidak merujuk kepada panduan al-Quran dan al-Hadis dalam menentang kezaliman seperti dihuraikan oleh para Fuqaha. Amar Ma'ruf Nahi Mungkar ada Fiqhnya.

5. Antara Fiqh menentang kezaliman ialah *larangan menentang pemerintah muslim secara kekerasan bersenjata tetapi wajib ditentang menggunakan kuasa dan lidah* sebagaimana dipetik daripada Hadis Sahih kecuali ternyata kekufuran pemerintah muslim tersebut. Adab ini ditegaskan oleh Fuqaha seperti Imam Nawawi. Lalu ada yang zalim menuduh Fuqaha bersekongkol dengan pemerintah yang zalim kerana Fuqaha menegaskan Fiqh ini.

6. Islam menegaskan antara kaedah berhadapan dengan pemerintah yang zalim ialah *"menasihati"dan "menegur" mereka secara hikmah (kebijaksanaan)* sebagaimana sabit dalam al-Quran dan al-Hadis. Lalu ada yang menjadi zalim apabila mempermainkan perkataan "nasihat" yang tersebut dalam al-Quran dan al-Hadis.

7. Lebih zalim lagi mereka yang menentang kezaliman dan kemungkaran secara terpilih.

8. Ayat-ayat al-Quran jelas mengharamkan kesetiaan diberikan kepada golongan kufur yang menentang agama dan hukum hakam Allah dan haram bersekongkol dengan mereka. *Ia adalah kemungkaran dan suatu kezaliman terhadap agama*. Namun, kemungkaran dan kezaliman ini dibiarkan dan dianggap kecil.

9. Ayat-ayat al-Quran jelas mewajibkan umat Islam menegakkan undang-undang Syariat termasuk undang-undang jenayah. Meninggalkannya adalah satu Kemungkaran dan Kezaliman terhadap hukum Allah. Kezaliman ini tidak ditentang malah ada yang bersekongkol pula dengan golongan kufur yang menentangnya. Pelbagai dalih dibuat untuk tidak menyokong sebarang usaha menegakkan Syariat Allah.

10. *Rasuah adalah haram dan zalim.*
*Pecah amanah pemerintahan adalah haram dan zalim*
*Mencuri duit negara adalah haram dan zalim.*
*Cukai yang dikenakan kepada orang miskin adalah haram dan zalim.* *Meninggalkan hukum Allah seperti undang-undang jenayah Islam tanpa diperjuangkan adalah haram dan zalim.*
*Membiarkan golongan kufur yang menentang Islam berkuasa adalah haram dan zalim.*

Maka marilah kita melaksanakan kewajipan menentang semua kezaliman ini.

Sekian

Dr Khairuddin at-Takiri
Isnin 6hb Februari 2017

https://www.facebook.com/drtakiri/

No comments:

Post a Comment