Wednesday 22 February 2017

HARGA RUNCIT PETROL : TETAPKAN HARGA SILING SEBELUM MAC*

*Kenyataan Media*

22 Februari 2017 | 25 Jamadilawal 1438H

*HARGA RUNCIT PETROL : TETAPKAN HARGA SILING SEBELUM MAC*

Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Kewangan II pada awal bulan ini telah menyatakan kesediaan Kerajaan untuk mempertimbangkan penetapan harga siling bagi harga runcit petrol dan diesel di negara ini dan beliau sendiri mengakui bahawa ia adalah lebih adil untuk semua.

Oleh itu, saya menggesa Kerajaan agar segera menetapkan harga siling ini sebelum tiba bulan Mac ini yang dijangkakan harga runcit bahan api ini akan meningkat lebih tinggi lagi.

Pada Februari 2017, harga runcit RON95 dan RON97 naik 20 sen manakala harga runcit diesel pula naik 10 sen berbanding bulan sebelumnya menjadikan masing-masing dijual pada harga RM2.30, RM2.60 dan RM2.15 seliter.

Pada Mac tahun lalu pula, RON95, RON97 dan diesel masing-masing dijual pada harga RM1.60, RM1.95 dan RM1.35 seliter.

Ini bererti, dalam tempoh Mac 2016 hingga Februari 2017, harga runcit bahan api ini telah meningkat antara 30% hingga 60%. Ia adalah suatu peningkatan yang amat ketara bagi tempoh tersebut justeru sangat memberi kesan kepada pengguna ditambah lagi dengan peningkatan pelbagai kos sara hidup yang lain.

Selain menetapkan harga siling ini seperti yang pernah saya cadangkan sejak 2015 lagi ( Rujuk : http://drtakiri.blogspot.my/2015/07/minyak-naik-jangan-sampai-rakyat-naik.html ), saya juga mendesak Kerajaan agar membuat pemberitahuan perubahan harga minyak kepada pengguna dan lebih awal; bukan hanya dimaklumkan kepada pengusaha minyak sahaja.

Pemberitahuan lebih awal kepada pengguna ini adalah sangat perlu bagi pengguna merancang perbelanjaan masing-masing.

Sekian.

_*“Inilah Penyelesaian Kita”*_

*DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
Ahli Parlimen Kuala Nerus

No comments:

Post a Comment