Saturday, 14 June 2014

Waqaf korporat untuk jihad bisnes MUHAMMAD ALI HASHIM

Muhammad Ali Hashim: MINGGU lalu saya berpeluang menyampaikan ceramah di Masjid Bukit Indah, Ampang, Selangor di bawah program “Kuliah Ekonomi” anjuran jawatankuasa pengurusan masjid terbabit. Sesi dua jam dipenuhi ceramah bertajuk “Waqaf Korporat untuk Jihad Bisnes”, diikuti sesi sejam soal jawab dengan penglibatan sangat aktif peserta. Ceramah bukan sahaja dihadiri ahli kariah masjid, malah juga beberapa ahli bisnes, profesional, akademik dan para pelajar, khasnya dari Universiti Islam Antarabangsa.

Kelemahan ekonomi dan kemiskinan masih menghantui bangsa Melayu dan umat Islam amnya. Justeru usaha mencari jalan keluar memperkasa ekonomi sangat dekat di hati semua. Fokus ceramah menyeru umat Islam, khasnya generasi baharu Melayu, membina kerjaya bisnes dan tidak segan memburu harta kekayaan untuk hidup bebas berdikari memperkasa ekonomi; dan bukan lagi mengutamakan kerjaya makan gaji, terutama dengan kerajaan seperti sebelum ini.

Manfaatkan kuasa korporat

Namun, dalam sekitaran ekonomi dunia dipacu bisnes gaya kapitalis global yang kerap rakus dan greed-driven melampau memihak kepada orang kaya-raya (seperti dicerminkan menerusi permainan monopoly), terdapat cabaran sebaliknya kepada umat Islam yang ingin berbisnes.

Cabaran terbesar ialah bagaimana menjayakan bisnes menghimpun harta kekayaan mengikut kaedah selaras sepenuhnya dengan nilai dan pegangan hidup Islam, iaitu tanpa merosakkan iman dan akidah terikut-ikut rakus, menindas, mengeksploitasi atau menzalimi sesama insan.

Sesungguhnya terdapat kaedah bisnes Islamik yang memangkin semua ini dicapai. Saya bawa contoh klinik yang terdapat di pekarangan Masjid Bukit Indah, iaitu Klinik Waqaf An-Nur sebagai bukti. Klinik amal kebajikan ini memberi rawatan doktor sepenuh masa dengan mengenakan bayaran hanya RM5 setiap rawatan, termasuk ubatan.

Klinik Waqaf An-Nur berupaya memberi rawatan semurah itu kerana terdapatnya sokongan organisasi korporat berjaya, iaitu KPJ Healthcare Bhd (KPJ). KPJ sebuah syarikat tersenarai Malaysia milik Johor Corporation berjaya menjadi pemimpin pasaran atau market leader bisnes healthcare Malaysia. Niat KPJ membina dan mengembangkan rangkaian Klinik Waqaf An-Nur ialah beramal jariah memanjangkan keupayaan korporatnya dan kelebihan untung himpunan harta kekayaan hasil kejayaan bisnesnya untuk manfaat masyarakat besar, terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Sumbangan badan korporat KPJ kepada amal kebajikan menerusi Waqaf Korporat sangat besar. Sehingga akhir 2013 terdapat 21 klinik dan 1 hospital Waqaf An-Nur beroperasi di 6 negeri, iaitu di Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak, Perak dan Pulau Pinang. Dari sejak ditubuhkan rangkaian klinik dan hospital Waqaf An-Nur berjaya memberi 961,148 rawatan kepada pesakit. Paling menarik perhatian, sekali pun sebahagian besar lokasi klinik dan hospital di pekarangan masjid, 69,690 pesakit miskin bukan Muslim turut datang mendapatkan manfaat rawatannya.

Tegasnya, Klinik Waqaf An-Nur contoh terbaik bagaimana organisasi korporat KPJ mengguna aset, bisnes dan kuasa ekonominya untuk manfaat besar masyarakat, selain, secara tidak langsung, berdakwah untuk Islam. Pendekatan KPJ dapat membantu sektor korporat Malaysia memperbaiki imej negatif khasnya dalam kalangan masyarakat Muslim yang lebih melihat korporat sebagai “keparat”, terutama kerana sikap rakus dan serakah korporat kerap dilihat menindas dan mengeksploitasi golongan bawahan, selain melebarkan jurang kaya-miskin apabila sebahagian besar harta kekayaan dimiliki segelintir ahli bisnes dan korporat kaya-raya.

Jadikan bisnes perjuangan jihad

Malangnya hari ini terlalu lumrah kita saksikan cara dan amalan bisnes bertentangan dengan syariat dan akidah, terutama setelah menciplak kaedah bisnes buas dan rakus amalan orang lain memburu keuntungan tanpa pedulikan halal-haram dan nahi mungkar. Apabila berleluasa, tidak hairan jika timbul sentimen anti-bisnes dalam kalangan umat, khasnya pada persepsi ramai ibu bapa, pendidik, ilmuwan dan ulama. Semua ini mudah mematahkan semangat bisnes.

Sentimen anti-bisnes menyebabkan ramai menjauhi bisnes - satu pendirian sangat merugikan dan wajib segera dibanteras. Kerana tanpa kesediaan membudayakan bisnes, mustahil bangsa Melayu dan umat Islam dapat melepaskan diri daripada cengkaman kemiskinan, sama ada kemiskinan hakiki atau relatif, menyebabkan bangsa dan umat berpanjangan meminta-minta hingga akhirnya mudah ditindas, dirampas hak dan tergadai atau terkompromi kuasa politik.

Justeru, dalam ceramah saya menggesa ibu bapa, pendidik, ulama dan ilmuwan Muslim mengubah persepsi negatif terhadap bisnes, sebaliknya menggalakkan anak bangsa memilih bisnes atas kerjaya lain. Dengan menolak bisnes mereka akan terlepas peluang menyempurnakan salah satu sunnah besar Rasulullah SAW, selain terlepas mendapat nikmat daripada sumber terbesar rezeki, kerana Islam menegaskan sembilan persepuluh sumber rezeki berpunca daripada bisnes.

Generasi baharu Muslim juga perlu digalakkan segera buang sikap segan memburu kekayaan atau malu nak jadi jutawan. Ini lebih mudah dilakukan jika mereka dianjurkan meniatkan dan menjadikan usaha bisnes sebagai satu perjuangan bertaraf jihad, iaitu jihad memerangi kemiskinan dan penindasan, menentang kezaliman ekonomi yang terlalu lama mengancam kedudukan bangsa Melayu dan kebesaran Islam; juga jihad memerangi riba dan kerakusan anjuran kapitalisme liar dan buas yang menjadi punca kerosakan kehidupan di zaman ini.

Pada saya, kaedah terbaik mencapai semua ini ialah dengan menjadikan usaha bisnes sebagai satu perjuangan bertaraf satu jihad, iaitu Jihad Bisnes. Dalam ceramah saya tonjolkan KPJ sebagai contoh organisasi korporat berjaya atas dasar Jihad Bisnes mencapai kecemerlangan sehingga ke peringkat antarabangsa. KPJ dibina dan dipimpin selama lebih 30 tahun oleh Datin Paduka Siti Sa’diah Sheikh Bakir sebagai CEO, berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia pada 1992 dengan nilai modal pasarannya (market capitalization) pada April, 2014 melebihi RM3.3 bilion.

Selaku pengerusi KPJ selama lebih 28 tahun, pada saya antara sumber motivasi perkasa yang menjadi teras utama kejayaan KPJ ialah nilai selflessness, iaitu semangat pengorbanan tinggi yang ada pada barisan eksekutif serta kepimpinan KPJ, terutama CEOnya.

Waqaf Korporat untuk Jihad Bisnes

Perhatikan perbezaan asas antara amalan JCorp dengan amalan korporat konvensional kapitalis Barat. Korporat Barat melampau pro swasta, mengetepikan kepentingan ramai dengan terlalu mengutamakan hak milik peribadi. Penswastaan, tawaran stock option dan skim MBO diutamakan, memangkinkan CEO dan segelintir peneraju syarikat memiliki saham majoriti lalu menguasai teraju ekonomi. Justeru sumber motivasi utama ialah memperkayakan peribadi tanpa mempedulikan kepentingan besar masyarakat dan keperluan jangka panjang negara.

Sebaliknya, Siti Sa’diah entrepreneur amanah JCorp (atau intrapreneur JCorp) bermotivasikan semangat perjuangan Jihad Bisnes anjuran JCorp. Sebagai intrapreneur atau entrepreneur amanah, hak milik dipegang oleh JCorp berprinsipkan konsep amanah Islam, iaitu harta kekayaan di amanahkan kepada JCorp sebagai GLC dan CEO sebagai khalifah bisnes pemegang amanah mewakili kepentingan besar masyarakat, bangsa dan umat. Selain dibayar gaji atas kadar pasaran, motivasi pendorong utama CEO seperti Siti Sa’diah ialah peluang berjihad bisnes dan berwakaf korporat sebagai sumbangan amal jariah jariah kepada bangsa dan umat.

Perjuangan Jihad Bisnes di KPJ lebih terserlah apabila JCorp mewakafkan sebahagian kecil saham KPJ pada Ogos, 2006 kepada Waqaf An Nur Corporation Bhd menjadi milik Allah SWT. Langkah kecil ini sebenarnya tindakan awal JCorp bertujuan membuktikan institusi Waqaf Korporat boleh dibina dengan jaya. Matlamat akhirnya ialah mewakafkan semua saham milik JCorp, bertujuan mentransformasi sistem ekonomi ciplakan kapitalis supaya lebih menghampiri kriteria ekonomi Islam.

Kesimpulannya, Waqaf Korporat satu kaedah menjayakan Jihad Bisnes dengan matlamat akhirnya mentransformasi sistem ekonomi supaya lebih adil dan saksama, menepati sepenuhnya tuntutan Islam terhadap harta kekayaan. Waqaf Korporat institusi paling sesuai merealisasikan matlamat Maqasid Al Shariah, selain menentukan harta kekayaan negara tidak hanya berputar dalam kalangan orang kaya sahaja dalam masyarakat, seperti yang tegas tidak disenangi Islam

http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/waqaf-korporat-untuk-jihad-bisnes-1.274819

No comments:

Post a Comment