Sunday, 29 June 2014

Ibadah dan Sunnah Berbuka Puasa

Tazkirah Ramadhan Dr Takiri (siri 2)

Ibadah dan Sunnah Berbuka Puasa

1. Berbuka puasa adalah sebahagian ibadah bagi orang yang berpuasa. Setiap ibadah mestilah dilaksanakan berdasarkan sunnah Rasulullah saw untuk mendapatkan semaksima pahala daripada Allah. Sunnah Nabi saw dalam berbuka adalah seperti berikut:

A. Nabi saw berbuka dengan Rutob (kurma masak yang masih basah, lembut dan manis). Kalau tiada Rutob diambilnya Tamar (kurma yang sudah mula kering, mengecut dan keras). Jika tiada juga maka dimulakan dengan air.

Perkara ini dijelaskan oleh Hadis riwayat Abu Dawud daripada Anas bin Malik r.a.

عن أنس بن مالك يقول: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يفطر على رطبات قبل أن يصلي، فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات، فإن لم تكن حساً حسوات من ماء
Maksudnya: "Rasulullah saw berbuka dengan beberapa biji Rutob sebelum mengerjakan solat. Jika tidak ada Rutob diambilnya Tamar. Jika tiada juga baginda saw mengambil beberapa teguk air"

Hadis ini juga menolak pandangan yang menyatakan didahulukan air zamzam ketika berbuka jika di Mekah.

B. Nabi saw menyegerakan berbuka sebaik sahaja tenggelamnya matahari sebelum mengerjakan solat Maghrib sepertimana sabda Nabi saw dalam Hadis Sahih Bukhari dan Muslim
لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر
Maksudnya: "Orang ramai dalam keadaan baik selagi mana mereka menyegerakan berbuka."

Menurut Imam at-Tibi, barangkali sebab Allah menyukai orang yang menyegerakan berbuka kerana apabila seseorang berbuka sebelum solat maka dia boleh menunaikan solat dalam keadaan hati yang hadir. Ia juga menyanggahi pelaku-pelaku Bidaah yang menyatakan wajib melewatkan berbuka. (Syarh Mishkat al-Masabih juz 4 hlm 183)

Adat kebiasaan orang Melayu ialah berbuka dengan hidangan berat iaitu nasi. Saya berpandangan sekiranya makanan tersebut telah terhidang sebaiknya dimakan terlebih dahulu kemudian barulah dikerjakan solat.

Tetapi sekiranya dijamah hidangan menyebabkan kelewatan keterlaluan pada solat Maghrib yang pendek masanya maka eloklah didahulukan dengan berpuasa yang ringan yang boleh menghilangkan lapar yang asas agar terjaga khusuk solat, kemudian dikerjakan solat seterusnya diikuti dengan hidangan berat tersebut jika perlu. Ini sesuai apabila berhadapan dengan majlis iftar yang ramai jamaah di surau dan masjid.

C. Nabi saw tidak memenuhkan perut baginda dengan makanan dan minuman apabila makan. Nabi saw bersabda dalam Hadis Hasan riwayat Ahmad, Tirmizi dan  Ibnu Majah:
ما ملأ آدمي وعاء شراً من بطن، بحسب ابن آدم أكلات يقمن صلبه، فإن كان لا محالة، فثلث لطعامه، وثلث لشرابه، وثلث لنفسه
Maksudnya: "Tidak memenuhi seorang anak Adam satu bekas lebih buruk daripada perut. Cukuplah untuk anak Adam itu beberapa suapan yang boleh menegakkan tulang belakangnya. Sekiranya tidak dapat tidak maka jadikanlah satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk pernafasannya."

Daripada penjelasan di atas wajarlah setiap orang yang berbuka berpada-pada dengan makanan yang disediakan untuk berbuka. Makanan yang terlalu banyak kerana mengikutkan kehendak nafsu ketika masih berpuasa boleh membawa kepada pembaziran yang diharamkan.

D. Berdoa dengan apa sahaja doa sebelum berbuka.
Nabi saw bersabda dalam Hadis riwayat Tirmizi yang dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani:
ثلاثة لا ترد دعوتهم الصائم حين يفطر
Maksudnya: "3 golongan tidak ditolah doa mereka antaranya orang yang berpuasa ketika dia berbuka"

E. Disunatkan memberi makan kepada orang berbuka sebagaimana saranan Nabi saw dalam Hadis dengan Sanad Sahih riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah
من فطر صائما كان له مثل أجره غير أمه لا ينقص من أجر الصائم شيئا
Maksudnya: "Sesiapa yang memberi makan berbuka kepada seorang yang berpuasa adalah baginya seperti pahala puasa orang tersebut tanpa kurang sedikit pahala puasa orang berpuasa itu."

Mudah-mudahan kita boleh mengamalkan segala sunnah berbuka ini sebaik-baiknya.

Disediakan oleh

Ust Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahad 1hb Ramadhan 1435
29hb Jun 2014

No comments:

Post a Comment