Ayoh Solat Janazah Selepas Asar Buat Pejuang, Syaikhi wa Habibi al-Marhum Ust Dato Abu Bakar Chik
1. Solat Janazah untuk al-Marhum Ust Abu Bakar Chik insyallah akan berlangsung selepas Asar di madrasah al-Marhum, Maahad Tahfiz dan Tarbiyah, Tok Jiring Isnin 23hb Jun 2014. Saya menyeru seluruh tuan guru, para ulamak, para pejuang dan umat Islam khususnya di Kuala Nerus hadir beramai-ramai sebagai hadiah buat sang pejuang mujahid ummah.
2. Al-Marhum merupakan seorang mujahid gerakan Islam, pendakwah dan pendidik yang gigih seawal usia muda. Al-Marhum terlibat sebagai pimpinan mahasiswa Islam semasa muda dan seterusnya kepimpinan gerakan Islam di peringkat Terengganu dan Nasional sehingga ke akhir usia. Al-Marhum mengepalai Dewan Pemuda PAS untuk tempoh yang panjang dan mencetak kader-kader dakwah di kalangan anak muda. Al-Marhum diuji dengan penjara sebagai tahanan ISA. Al-Marhum adalah mata rantai 5 tokoh gerakan Islam dari Terengganu yang mewarnai kepimpinan PAS di peringkat Nasional untuk tempoh yang panjang sejak muda sebaris dan sezaman dengan Tuan Guru Hj Abdul Hadi, Al-Marhum Tuan Guru Harun Taib, Dato Mustafa Ali dan Dato Wan Mutalib Embong.
3. Antara jasa al-marhum yang sangat besar ialah mengasas dan menggerakkan Institut Berakan yang menjadi ikon pendidikan negeri Terengganu dan memberi peluang pendidikan dan tarbiyah kepada puluhan ribu remaja dan anak muda akhir 70 an sehingga pertengahan 90 an. Institut Berakan telah melahirkan kader dakwah dan petugas gerakan Islam yang sangat ramai dan menjadi pemimpin di pelbagai peringkat. Seterusnya jihad pendidikan beliau diteruskan dengan penubuhan rangkaian Sekolah Rendah Islam Pintar awal 90 an dan seterusnya Maahad Tahfiz wa Tarbiyah di Tok Jiring sejak 90 an sehingga sekarang. Terakhir beliau mengasaskan Intitut Itqanul Muluk yang mengkaji pelbagai dasar pengurusan dan pentadbiran negara.
4. Al-Marhum merupakan inspirasi saya dalam bidang pendidikan. Saya sempat mengutip mutiara pengalaman beliau apabila menjadi tenaga sukarela mengajar di Institut Berakan ketika cuti semester universiti. Kesungguhannya menjadi antara sumber untuk saya menubuhkan Darul Fuqaha di Bangi. Sek Ren Islam Pintar Tahfiz yang saya kendalikan sekarang di Bangi adalah asalnya rangkaian daripada Sek Ren Islam Pintar yang al-Marhum asaskan.
5. Pertemuan terakhir saya dengan al-Marhum ialah pada hari Sabtu 31.5.2014. Saya hadir ke madrasah al-Marhum untuk meninjau seminar pendidikan yang dianjurkan oleh al-marhum. Al-Marhum menjemput saya ke bilik peribadi al-marhum untuk berbual khusus dan berbincang pelbagai permasalahan ummat.
Moga Allah merahmati Al-Marhum dan menempatkannya di kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solihin.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّهِ مِنْ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنْ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّار
No comments:
Post a Comment