Saturday, 6 June 2015

(Siri 2) Usul Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke 54 yang bersidang pada 3 jun 2015/16 sya'ban 1436 H di KUIZM

(Siri 2) Usul Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke 54 yang bersidang pada 3 jun 2015/16 sya'ban 1436 H  di KUIZM

Gerakan Islam Antarabangsa

1. Menyedari bahawa kuasa demokrasi yang diperolehi oleh Dr Mursi dan parti-parti yang bekerjasama dengannya telah dikhianati oleh pemerintah tentera Mesir.

2. Menyedari bahawa Dr Mursi dan pimpinan politik yang bersama beliau telah ditangkap dan dibicarakan secara tidak adil sehingga dihukum mati di tali gantung.

3. Menyedari bahawa tekanan politik secara tidak adil dikenakan oleh pemerintah haram Mesir sehingga pendaftaran Ikhwan Muslimin dibatalkan

4. Menyedari bahawa pimpinan politik Islam di Bangladesh juga telah dizalimi dan tidak diberikan keadilan sehingga mahkamah diperalatkan untuk menghalalkan satu hukuman mati terhadap mereka

Maka Dewan Ulamak PAS Pusat mencadangkan kepada PAS Pusat untuk menggesa kerajaan Malaysia selaku ahli PBB, OIC dan Pengerusi Asean supaya melobi dunia antarabangsa bagi mengutuk dan mengecam segala kezaliman tersebut serta dibuat ketetapan ketetapan pada persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung ketika ini. Pihak kerajaan persekutuan juga mesti mengambil tindakan sewajarnya seperti memberi tekanan ekonomi dan politik menerusi PBB, OIC dan Asean.

Diterima dgn sebulat suara 644 perwakilan Alim Ulamak jam 6.09 ptg

(Siri 3) Usul Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke 54 yang bersidang pada 3 jun 2015/16 sya'ban 1436 H di KUIZM Usul Kebajikan Antarabangsa

(Siri 3) Usul Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke 54 yang bersidang pada 3 jun 2015/16 sya'ban 1436 H  di KUIZM

Usul Kebajikan Antarabangsa

1. Menyedari bahawa kebajikan manusia adalah tanggungjawab semua negara khususnya negara umat Islam.

2. Menyedari bahawa bangsa Rohingya telah dizalimi hak kerakyatan mereka, dibunuh, dicederakan dan diusir keluar dari tanah air mereka.

3. Menyedari bahawa kebajikan umat Islam di negara umat Islam yang dilanda perang dalaman seperti Syria, Yaman dan Iraq merupakan tanggungjawab bersama umat Islam

4. Maka Muktamar Dewan Ulamak PAS yang bersidang pada hari ini mencadangkan agar;

1. PAS memainkan peranan kebajikan antarabangsa yang lebih aktif dan berkesan dengan mewujudkan task force bersama tiga dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat yang mempunyai dana kewangan yang kukuh dan tenaga kerja profesional sepenuh masa.

2. PAS mengaktifkan lagi peranannya melobi pelbagai masyarakat antarabangsa khususnya menerusi gerakan Islam dan organisasi masa untuk terus memberikan dokongan moral dan politik kepada negara-negara yang sedang dilanda perang.

Diterima dgn sebulat suara 644 perwakilan Alim Ulamak jam 6.23 ptg.

TAKZIAH KEPADA MANGSA Ayuh Kita Hulurkan Bantuan

Kenyataan Media
Ketua Penerangan DUPP

TAKZIAH KEPADA MANGSA
Ayuh Kita Hulurkan Bantuan

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh warga Sabah khususnya yang menghuni di kawasan Ranau, Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu, Beaufort dan Kota Belud serta para pendaki Gunung Kinabalu yang menjadi mangsa gempa bumi berukuran 6.0 skala Richter pada pagi semalam dan beberapa gegaran lain selepas daripada itu.

2. DUPP berharap agar semua mangsa dapat bersabar dan bermuhasabah dengan musibah yang melanda. DUPP mendoakan semoga semua penduduk di kawasan terbabit sentiasa dilindungi Allah serta terselamat dari kemalangan fizikal atau nyawa.

3. Marilah kita teruskan berdoa dan berharap supaya mangsa seramai 105 orang yang masih terperangkap di puncak Gunung Kinabalu berjaya dibawa turun dalam keadaan yang selamat.

4. DUPP juga ingin menyeru kepada semua pihak; Kerajaan Persekutuan dan Negeri, parti politik, NGO dan orang persendirian agar segera menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada semua mangsa yang terlibat bagi meringankan beban mangsa dan melegakan kedukaan yang mereka hadapi.

5. Semoga Allah memberkati usaha kita semua.

Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Tarikh : 6 Jun 2015 / 19 Syaaban 1436H

__________

Lawati page dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/drtakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

Sila lawati dan "Like" page rasmi Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) di : https://www.facebook.com/dewanulamakpas

TAKZIAH BUAT YBM. TENGKU RAZALEIGH HAMZAH & KELUARGA

Kenyataan Media
Ahli Parlimen Kuala Nerus

TAKZIAH BUAT YBM. TENGKU RAZALEIGH HAMZAH & KELUARGA

1. Saya ingin mengucapkan salam takziah kepada YBM. Tengku Razaleigh Hamzah dan ahli keluarga di atas pemergian isteri beliau, Puan Sri Noor Yvonne Abdullah ke rahmatullah.

2. Allahyarhamah telah menghembuskan nafas terakhir beliau pada jam 7.05 petang semalam di Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya akibat kanser darah.

3. Marilah sama-sama kita mengungkapkan ucapan takziah yang diajar oleh Nabi s.a.w. berikut :

انّا للہ و انّا الیہ راجعون

“Sesungguhnya kita milik Allah dan kepadaNya kita akan kembali”

أَعْظَمَ اللهُ أَجْرَكَ وَأحْسَنَ عَزَائَكَ وغَفَرَ ِلمَيِّتِكَ

“Semoga Allah membesarkan pahalamu dan membaikkan kesabaranmu dan mengampunkan bagi si matimu”

4. Saya mendoakan agar majlis pengebumian yang akan disempurnakan pada pagi ini berjalan lancar dan semoga roh beliau dihimpunkan bersama dengan orang-orang yang beriman serta diampunkan segala dosa beliau.

5. Semoga YBM. Tengku dan seluruh ahli keluarga dapat bersabar dan redha dengan kententuan Allah s.w.t. ini.

Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Tarikh : 6 Jun 2015 / 19 Syaaban 1436H

__________

Lawati page dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/drtakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

Sila lawati dan "Like" page rasmi Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) di : https://www.facebook.com/dewanulamakpas

RENUNGAN PAGI6hb Jun 2015 Amanah Kepimpinan

RENUNGAN PAGI
6hb Jun 2015

AMANAH KEPIMPINAN

1. Kepimpinan adalah amanah yang mesti ditanggung dan ditunaikan kerana ia akan dipersoalkan nanti di hari Akhirat bukannya penghormatan untuk direbut sebagaimana hadis Sahih Bukhari;
"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipersoal tentang jagaannya."

2. Tanggungjawab pemimpin ialah memandu orang yang dipimpin untuk sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah. Dalam masa yang sama, mereka adalah orang-orang yang patuh sebagai hamba Allah. Selagi mana mereka merujuk kepada Islam pasti Allah ilhamkan kepada mereka pelbagai strategi dan perlakuan yang akan memberi kebaikan kepada umat sebagaimana dijelaskan oleh Allah;
وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِمْ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَإِقَامَ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءَ الزَّكَاةِ ۖ وَكَانُوا لَنَا عَابِدِينَ

"Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang memandu dengan perintah Kami, dan Kami ilhamkan kepada mereka perlakuan kebajikan, menegakkan solat, mendatangkan zakat dan adalah mereka menjadi hamba-hamba kepada Kami" surah al-Anbiya ayat 73.

3. Tanggungjawab pemimpin gerakan Islam pula ialah membawa risalah dakwah kepada rakyat dan mendapatkan kuasa untuk Islam. Strategi dalam merangka kejayaan mencapai dua matlamat itu boleh disuluh menerusi panduan sirah perjuangan Rasulullah dan para anbiya menerusi al-Quran dan al-Hadis. Ilham berpanjangan tanpa kering idea pasti diberikan oleh Allah di kala itu.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Kuala Selangor; sempena Muktamar PAS ke 61
www.drtakiri.blogspot.com

Sunday, 31 May 2015

RENUNGAN MAGHRIB Keyboard Warrior ke Syurga atau Neraka

RENUNGAN MAGHRIB

Keyboard Warrior ke Syurga atau Neraka

Kemudahan komunikasi manusia menerusi pelbagai aplikasi media sosial seperti whatsapp dan facebook umpama pedang yang boleh digunakan untuk 2 tujuan. Sama ada memusnahkan kebatilan atau membunuh kebenaran.

Kita boleh memilih untuk menjadi "keyboard warrior" (pahlawan di media sosial) sama ada bagi perjuangan para Nabi atau bagi perjuangan iblis dan syaitan.

Berbahagialah mereka yang menggunakannya untuk mendapat pahala dan binasalah mereka yang terlorong ke neraka dek kerana itu.

Apa pun, peringatan untuk kita ialah firman Allah dalam surah Qaf ayat 18;
( مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ))
"Tidaklah seseorang itu melontarkan sebarang kata-kata melainkan di sisinya ada pemerhati yang sentiasa hadir di mana dia berada (iaitu malaikat yang mencatat kebaikan dan kejahatan)"

Kata Ibnu Kathir; iaitu malaikat yang disediakan untuk mencatat tanpa membiarkan walaupun satu kata-kata atau pergerakan.

Sekiranya kita faqih dan mengerti maksud ayat ini tentulah kita tidak terlalu berani mencatatkan sesuatu atau berkata-kata sesuatu melainkan selepas berfikir yang panjang dan mendalam.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
31 hb Mei 2015
Catatan petang seusai High-Tea Muslimat Kelana Jaya jam 6 ptg
www.drtakiri.blogspot.com

Saturday, 30 May 2015

RENUNGAN PAGI MATA RANTAI PERJUANGAN

RENUNGAN PAGI

MATA RANTAI PERJUANGAN

Belum sampai lagi 100 tahun sejak jatuhnya Khilafah Islam di Turki pada 1924. Belum sampai juga 100 tahun sejak negeri terakhir di Tanah Melayu iaitu Terengganu terpaksa tunduk kepada pengaruh penjajah 1919. Kebangkitan umat Islam di seluruh dunia dan juga di Malaysia untuk mengembalikan Islam di persada kuasa tidak pernah terencat dan terhenti. Kita hari ini hanyalah mata rantai perjuangan tersebut. Bukan kita yang memulakannya tapi kita adalah penerusnya. Barangkali kemenangan itu di zaman kita. Mungkin juga selepas pemergian kita. Yang pasti apakah sumbangan kita untuk kesinambungan perjuangan. Janji Allah pasti benar dalam surah an-Nur ayat 23;

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ

"Allah telah menjanjikan kepada orang-orang beriman dan beramal soleh pasti Dia jadikan mereka berkuasa di muka bumi sebagaimana Dia telah jadikan orang sebelum mereka berkuasa"

Sekian.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 30hb Mei 2015
Seb Takir 10.55 pg
www.drtakiri.blogspot.com

Thursday, 28 May 2015

RENUNGAN MALAM BETULKAN NIAT BERJUANG

RENUNGAN MALAM

BETULKAN NIAT BERJUANG

Apabila sahabat bertanya; ada orang berjuang kerana berani. Ada yang kerana semangat. Ada yang ingin mendapatkan habuan. Ada yang ingin dilihat kedudukannya. Ada yang ingin disebut namanya. Siapakah yang berada di jalan Allah? Nabi menjelaskan

َ مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
"Sesiapa yang berjuang supaya kalimah Allah yang tertinggi maka dialah yang berada di jalan Allah." Hadis Bukhari.

Rupanya rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Justeru, perlu kita bertanya untuk apa kita berjuang menghabiskan masa, tenaga dan harta dalam politik Islam ini? Jawapannya ialah supaya agama Allah tertegak dan menang menjadi yang tertinggi dirujuk dalam segala urusan pentadbiran. Bukan juga hanya kerana bencikan mana-mana golongan atau hanya untuk menjatuhkan mana-mana puak.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Khamis 28hb Mei 2015.
Muar 9 mlm.
www.drtakiri.blogspot.com

Renungan

Renungan

RENUNGAN PAGI HUSNU ZHAN dan TIDAK UJUB

RENUNGAN PAGI

HUSNU ZHAN dan TIDAK UJUB

Alhamdulillah, bersyukurlah kepada Allah apabila kita dibuka hati dan jalan oleh Allah untuk melakukan kebaikan kepada manusia dan bekerja demi Islam. Namun, jangan pula hati diusik Syaitan lalu menyangkakan hanya kita sahaja yang bekerja dan disangka orang lain tidak bekerja lalu memperlekehkan mereka kerana kita tidak tahu apa yang sedang mereka kerjakan seharian. Itu UJUB namanya.

Antara tanda-tanda UJUB sebagaimana kata Ulamak terkenal al-Hilaali; Banyak berbicara tentang diri sendiri, meminta kerja dan menampilkan diri sendiri dengan kerja itu, sukar menerima nasihat orang, memperkecil dan memperlekehkan orang lain, mengungkit pemberian, bermimpi di siang hari konon dirinya tersangat masyhur dan meninggi diri berhadapan dengan manusia.
Moga Allah selamatkan kita menerusi ikhlas beramal.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Khamis 28hb Mei 2015,
9 pg, Sg. Merab, Bangi.

Tuesday, 26 May 2015

RENUNGAN PAGI Hakikat Kejayaan dan Kemenangan

RENUNGAN PAGI

Hakikat Kejayaan dan Kemenangan

Di awal surah al-Baqarah Allah menjelaskan sifat orang-orang bertaqwa lalu ditutup dengan ayat 5
أُولَئِكَ عَلَى هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksudnya "merekalah orang yang sentiasa berada di atas hidayah petunjuk daripada Rabb mereka dan merekalah sebenar-benar orang yang beroleh al-Falah".

Al-Falah bermaksud kemenangan dan kejayaan yang dicapai selepas melalui keadaan dan rintangan yang sukar.

Bagi ahli gerakan Islam kemenangan dan kejayaan mempunyai banyak erti. Pertamanya berjaya dan menang apabila berjaya melibatkan diri sebagai kader dakwah.

Kedua berjaya dan menang apabila berjaya menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

Ketiga berjaya dan menang apabila mendapat kuasa meruntuhkan kekuasaan jahiliyah yang membolehkan kekuasaan Islam bertapak dengan segala prinsip dan dasar pengurusan lalu dakwah Islam tersebar lebih luas dalam masyarakat.

Dalam semua erti kejayaan dan kemenangan tersebut tentulah kemenangan terbesar ialah berjaya menjadi hamba Allah lalu mendapat keredhaan-Nya.

Untuk mendapat keredhaan Allah maka hendaklah segala tindak tanduk untuk mendapat kejayaan dan kemenangan serta cara mengisi kemenangan itu bersandarkan garis sempadan yang ditetapkan oleh Allah menerusi al-Quran dan al-Hadis.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Selasa 26hb Mei 2015
10.30 pagi;

www.drtakiri.blogspot.com

Monday, 25 May 2015

Bersama Ust Mokhtar Senik

Seusai ceramah isu GST di Pasir Mas bersama Ust Mokhtar Senik anjuran urusetia penerangan kerajaan Kelantan kami bergerak balik ke KL berkereta. Solat Subuh di Masjid Raub dan tiba di Gombak jam 7.30 pagi. Gambar beramai-ramai dirakamkan di hadapan rumah Ust Mokhtar di Gombak

Betulkan Halatuju Perjuangan Untuk Bangunkan Islam di atas Runtuhan Jahiliyyah Bagi Menghindari Kekecewaan

RENUNGAN PAGI

Betulkan Halatuju Perjuangan Untuk Bangunkan Islam di atas Runtuhan Jahiliyyah Bagi Menghindari Kekecewaan

Perjuangan PAS ialah untuk menumbangkan kuasa Jahiliyyah yang bertunjangkan pembangunan dunia semata-mata dan digantikan dengan kekuasaan Islam yang berasaskan pembinaan tamadun dunia dan kebahagiaan Akhirat.

Kita tidak berjuang hanya untuk menumbangkan jahiliyah sekular dan sosialis sesebuah parti politik untuk digantikan dengan jahiliyah sekular dan sosialis satu parti yang lain.

Segala ketidakadilan sosial dan ekonomi yang sedang dirasai oleh rakyat adalah natijah daripada pemerintahan yang tidak berasaskan Islam.

Pengurusan ekonomi yang menghalalkan riba, manipulasi, monopoli dan eksploitasi adalah kunci kerosakan. Jurang ekonomi antara kaya dan miskin yang semakin melebar disebabkan pemikiran liberal kapitalis tidak dapat diatasi dengan teori ekonomi sosialis tetapi diselesaikan menerusi penyelesaian ekonomi Islam.

Akibat hala tuju perjuangan yang tidak jelas maka lahirlah golongan yang mudah kecewa.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Isnin 25hb Mei 2015
6.30 pagi; Bentong, Pahang.
www.drtakiri.blogspot.com

Sunday, 24 May 2015

RENUNGAN MALAM Golongan Istiqamah Tidak Kecewa & Gugur Dari Medan Perjuangan

RENUNGAN MALAM

Golongan Istiqamah Tidak Kecewa & Gugur Dari Medan Perjuangan

Kita bersama PAS untuk perjuangkan dakwah dan kuasa untuk Islam. Ada yang terus ISTIQAMAH dengan perjuangan sehingga akhir hayat. Ada yang gugur di tengah jalan.

(إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ)
[Surat Fussilat 30]

Mereka yang beriman dengan perjuangan kemudian ISTIQAMAH
maka para Malaikat akan turun membisikkan kata-kata semangat "janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu sedih dan bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan kepada kamu". (Petikan ayat 30 surah Fussilat)

Mereka yang tidak ISTIQAMAH akan mudah kecewa. Namun, kekecewaannya tidak akan mematahkan semangat mereka yang masih yakin dengan masa depan perjuangan. Kemenangan adalah pasti milik Islam sama ada cepat atau lambat. 

ISTIQAMAH maknanya mengikuti jalan yang lurus seterusnya tetap atas jalan yang lurus.

Apabila kita bersama dengan perjuangan Islam lalu tidak mengikuti jalan yang lurus dan tidak tetap di atas jalan itu maka tergelincirlah kita daripada perjuangan. Lalu KEKECEWAAN adalah bisikan syaitan kepada golongan yang gagal ISTIQAMAH.

Ya Allah, jadikanlah daku di kalangan orang yang Istiqamah dan tidak kecewa dengan masa depan perjuangan yang masih panjang.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahad 24hb Mei 2015
(Airport Subang jam 8 mlm menanti flight ke Kota Bharu)
www.drtakiri.blogspot.com

RENUNGAN PAGI; KERJASAMA POLITIK

RENUNGAN PAGI; KERJASAMA POLITIK

Kerjasama politik antara parti Islam dan parti yang memperjuangkan fahaman sekular atau sosialis dibolehkan dalam Islam dengan bersyarat. Tanpa syarat-syarat itu kerjasama politik adalah haram.

Antaranya atas dasar kebajikan dan taqwa. Juga ia menjadi wasilah dan alat memperkukuhkan Islam dan melaksanakan Syariah. Apabila pelaksanaan Syariah ditentang dan dihalang, kesetiaan ahli beralih kepada parti sosialis, pemimpin utama parti Islam dicemuh dan diperlekehkan tidakkah syarat kerjasama politik telah dilanggar???

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahad 24hb Mei 2015