Monday, 10 February 2014

Kegigihan Pak Yazid Jadi Pedoman - Harakahdaily

Kegigihan Pak Yazid berdakwah jadi pedoman - http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/25559-kegigihan-pak-yazid-berdakwah-jadi-pedoman

Kegigihan Pak Yazid berdakwah jadi pedoman

FEB 10, 2014  HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan takziah kepada seluruh umat Islam, warga perjuangan dan khususnya ahli keluarga tokoh pendakwah terkenal iaitu almarhum Ustaz Yazid Jaafar@Pak Yazid atas pemergian beliau, semalam.

Ketua Penerangannya, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, almarhum merupakan pejuang tegar gerakan Islam PAS dan menjadi tenaga penggerak seawal kemerdekaan negara sehingga pernah menggalas amanah antaranya sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat, Pesuruhjaya PAS Selangor, Timbalan Pesuruh Jaya PAS Perak, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat dan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor.

“Malah almarhum berkorban masa, usia, tenaga dan harta dengan menjadi staf Pejabat Agung PAS dari 1964 hingga 1974,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Almarhum juga, katanya menjadi tenaga penggerak kuliah ilmu sebagai pendakwah untuk tempoh yang panjang di Lembah Klang khususnya berpusat di Kampung Baru, ibu negara sejak 1980-an sehinggalah saat pemergian beliau.

“Semoga kegigihan beliau berdakwah dan terlibat dengan kerja-kerja gerakan Islam menjadi pedoman generasi terkemudian,” katanya lagi.

Tafsir Surah an-Nur Ayat 19; Tersebarnya Perlakuan Keji Zina

Comments - https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=750217424988290&id=569086473101387

Tafsir Surah An-Nur Ayat 19 (siri 1)

Tersebarnya Perlakuan Keji Dalam Masyarakat.

Allah berfirman:
( إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ) [النور: من الآية19] .
Maksudnya: Sesungguhnya mereka yang suka tersebarnya perlakuan keji zina di kalangan orang-orang beriman mendapat azab yang pedih di dunia dan di Akhirat

Tafsir

1. Perlakuan zina merupakan dosa terkeji melibatkan maruah manusia. Ia tersebar dan disebarkan dalam masyarakat oleh syaitan bertopengkan manusia menerusi pelbagai medium media masyarakat seperti televisyen dan majalah serta akhbar dan terkini media baru.

2. Setiap insan secara fitrahnya mempunyai keinginan seks. Ia dicipta oleh Allah dalam diri manusia lalu menjadi medium yang memberi ketenangan rohani dan kesihatan jasadi dan juga medium untuk lahirnya zuriat manusia.

3. Namun, kehendak nafsu batin manusia sepatutnya dilunaskan menerusi perkahwinan sah yang akan memberikan ketenangan sebenar, kesihatan dan melahirkan zuriat yang terbela menerusi sebuah institusi keluarga yang saling bertanggungjawab antara lelaki yang bergelar suami dan perempuan yang bergelar isteri.

4. Zina tidak memberikan ketenangan kepada jiwa sementelah merosakkan kesihatan. Zuriat yang boleh lahir kerana zina akan berada dalam lingkungan keluarga yang tempang kerana tiadanya pertanggungjawaban dari pihak lelaki.

5. Hari ini zina disebarkan untuk diterima sebagai satu norma hidup biasa ketamadunan manusia. Filem-filem barat dijadikan medium pendidikan seks bebas menerusi perlakuan mukaddimah zina seperti berdua-duaan, berpegangan tangan, berpelukan dan berkucupan. Ia ditonton bersama oleh seluruh isi keluarga tanpa segan dan silu lalau terbenih perasaan di hati bahawa ia adalah perlakuan biasa yang tiada salahnya.

6. Drama dan filem dibintangi dan diarah oleh orang Islam sendiri telah menjadi ejen menghalalkan perlakuan mukaddimah zina sebagai permulaan agar zina diterima sebagai sebahagian tamaddun manusia.

7. Majalah dan akhbar juga menjadi ejen penyebaran zina dan mukaddimahnya. Tidak sunyi satu akhbar arus perdana pun daripada berita sensasi artis bergambar separa telanjang. Ia dijual dan dibeli oleh seorang berkopiah atau bertudung lengkap.

8. Allah memperingatkan bahawa mereka yang suka perlakuan zina ini tersebar akan dikenakan azab yang sangat pedih. Bukan hanya di Akhirat, tetapi kepedihan itu akan dirasai juga di dunia. Keperitan di dunia boleh dirasai menerusi kehilangan ketenangan hidup dan gejala sosial seperti pembuangan atau pembunuhan bayi luar nikah.

Ust Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Isnin 10 Feb 2014

Pemergian Pak Yazid Satu Kehilangan Tokoh Pendakwah Ummah

Pemergian Pak Yazid Satu Lagi Kehilangan Tokoh Pendakwah Ummah

1. Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan takziah kepada seluruh umat Islam, warga perjuangan dan khususnya ahli keluarga tokoh pendakwah terkenal iaitu almarhum Ustaz Yazid Jaafar@Pak Yazid atas pemergian beliau pada 9hb Feb 2014.

2. Almarhum merupakan pejuang tegar gerakan Islam PAS dan menjadi tenaga penggerak seawal kemerdekaan negara sehingga pernah menggalas amanah antaranya sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat, Pesuruhjaya PAS Selangor,
Timbalan Pesuruh Jaya PAS Perak, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat dan ketua Dewan Pemuda PAS Selangor. Malah almarhum berkorban masa, usia, tenaga dan harta dengan menjadi staf pejabat Agong PAS dari 1964 hingga 1974.

3. Almarhum juga menjadi tenaga penggerak kuliah ilmu sebagai pendakwah untuk tempoh yang panjang di Lembah Kelang khususnya berpusat di Kg Baru sejak 1980 an sehinggalah saat pemergian beliau.

4. Semoga kegigihan beliau berdakwah dan terlibat dengan kerja-kerja gerakan Islam menjadi pedoman generasi terkemudian.

Ust Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Sunday, 9 February 2014

Rencana Kajang - Dr Dzul

Mengapa saya menyokong ‘Rencana Kajang’
Oleh: DR DZULKEFLY AHMAD

“RENCANA KAJANG” adalah sangat rumit untuk diringkaskan namun saya akan cuba membuat penerangan dan kalau baik menjadi pencerahan dan kalau tidak menambah keharuan.

Saya sedar dengan pelbagai risiko dikecam, paling tidaknya sebagai ‘apologist’ PKR. Demi misi perjuangan yang disepakati – ‘Menegakkan Kebenaran dan Keadilan serta Meruntuhkan Kebatilan serta Kemungkaran,’ saya teruskan.

“Rencana Kajang” (RK) adalah cetusan pemikiran sekumpulan ‘think-tankers’ bagi mendepani cabaran situasi yang kian menekan Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Selangor.

Walau saya tidak sebahagian dari team itu dan rasa ‘terkilan’ tidak dilibatkan bersama ‘mencetuskannya’, saya cuba secara objektif menilainya kini.

Ada yang cuba menyifatkan dan membandingkannya dengan ‘precedent’ politik terdahulu seumpama dalam kes perletakkan jawatan seorang Menteri Umno-BN (Ahli Parlimen) untuk bertanding kerusi DUN bagi laluan untuk diangkat menjadi MB.

RK tentunya mempunyai perhitungan yang berbeza dan punya kelainan latarbelakang dan tidak perlu mengambil insiden terdahulu sebagai ‘precedent’.

Mungkin sebab ada yang membaca tindakan politik ini hanya dalam ruang-lingkup cakupan “Real Politik” sahaja, maka ada membuat rumusan bahawa ia salah kerana sebab menghabiskan wang rakyat dan merugikan rakyat. Penulis mahu berbeza pandangan.

Penulis mahu mengungkapkan RK sebagai satu ‘Forward Defence’ atau satu ‘Pre-Emptive Attack’ dalam bahasa strategi, apabila jelas bacaan politik seluruhnya (terdahulu, terkini dan mendatang) mengisyaratkan satu unjuran (prognosis) yang mengancam dan menggugah keutuhan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Bagi penulis, kemuncak tujuan atau ‘Matlamat Strategik’ RK ialah: Satu pendekatan bagi mempastikan bukan sahaja negeri Selangor dapat ‘Menangkis Serangan’ seterunya bahkan akan terus dilonjakkan menjadi ‘Negeri Pelopor dalam Persekutun Malaysia“ atau “The Leading State of the Federation”.

Grafik-Selangor-PakatanDari kedudukan Selangor sebagai ‘Iconic State’ atau ‘Negeri Ikon atau Negeri Contoh’, Pakatan terus mahu diberi ‘mandat rakyat’ mengurus Putrajaya sebagaimana Pakatan mentadbir Selangor.

Maka kecemerlangan Selangor akan menjadi hujjah dan bukti bahawa Pakatan bersedia untuk kini mengangkat negara pula supaya berada dalam “Liga Negara yang dihormati dan Maju”.

Penulis secara ilmiah mahu melihat ‘Rencana Kajang’ ini dari perspektif “Political Islam” dan ‘Siyasah Syar’iah’- (bukan sekadar langkah rencana ‘Real Politik’).

Dalam bahasa ‘Fiqhus Siaysah’nya, ia adalah ‘bacaan politik menyeluruh’ (Al-Istikraq) yang lantas menuntut, antara lain, supaya diambil tindakan yang bersifat “Menutup pintu-pintu Kemudharatan” (Sadda Dzari’ah) yang terkadangkali membawa kepada risiko sebaliknya, yakni “ Membuka Pintu-Pintu Kemudharatan (Fathul Dzari’ah)”. Namun ia wajar diharungi bagi kemaslahatan yang lebih besar.

Penulis mengandaikan pembaca memahami serta mengikuti bagaimana seteru atau lawan politik telah pun dan terus akan menyerang negeri ini dengan pelbagai kaedah dan penjuru. Pertentangan agama atas isu Kalimah Allah semakin sengit dan api perkauman saja ditiupkan oleh unsur-unsur ekstremis dan pelampau.

Mereka tidak segan silu mengheret institusi Sultan meskipun pun semua warga tahu bahawa negara mengamalkan “Raja Berperlembagaan”.

Isu-isu yang lain seperti isu migrasi air dan pentadbiran serta tata-kelola juga perlu ditangani secara berkesan supaya tidak dapat dibolosi anasir ‘subversion’.

Penulis tidak mengunjur senario yang lebih buruk kerana akan dituduh mengambil mengambil pendeketan ‘Alarmist’ (Gempak) bagi menjustifikasi Rencana Kajang ini.

Dalam bahasa mudahnya, RK adalah strategi yang terpaksa diambil bagi sesuatu Kemaslahatan Perjuangan yang disepakati mampu menyampaikan kepada Matlamat Strategik di atas. Laluannya (Maslak) ialah Kajang yang sekaligus merupakan ‘Faktor Kritikal Kejayaan’ atau “Critical Success Factor” (CSF) dalam menjayakan rencana ini.

Apakah semudah itu? Tentunya tidak! Risikonya besar dan bukan kepalang. Dalam bahasa Pelaburan.. “Risiko Besar, Pulangan Besar” atau ‘High Risk High Return’. Tidak sukar menjangka bahawa seteru politik Pakatan akan merancang pelbagai ‘strategi’ bagi menggagalkan rencana ini.

Maka cakap-cakap tentang kerugian wang rakyat mesti diimbangi dengan ‘laba’ yang lebih lumayan seandainya RK berjaya dilaksanakan. Pulangannya pula melampaui hanya garis ‘kebendaan’ tetapi melepasi tuntutan terhadap ‘Quality of Life’ atau ‘Kualiti Kehidupan’ yang lebih baik dan bermaruah.

Seperkara tentang penjelasan isu. Benar perang ‘Khalid-Azmin’ sudah tidak boleh disorok lagi. Menjustifikasi “Rencana Kajang” sebagai kaedah penyelesaian adalah amat tidak wajar dan mungkin juga tidak tepat. PAS (dan DAP) akan pasti menolak kalau kesemua ini hanyalah untuk memenangkan satu-satu pihak.

Dengan kata lain juga PAS akan juga awal-awalnya menolak rencana ini, andainya itu sahaja Kepentingan (Maslahah) yang hendak dicapai atau itu sahaja kemudaratan yang hendak ditangkis kerana tidak setimpal dengan ‘risiko berat’ atau kemudaratnnya (Mafasid) yang bakal diterima bagi menjayakan rencana ini termasuk berlaku krisis pentadbiran.

Sebabnya jelas kerana ‘Qawaid Fiqhiyah’ menegaskan “Menolak Kemudaratan adalah lebih awla (penting) dari Mengambil Kepentingan”. Kemudaratan besar yang mahu ditolak adalah ‘Menolak dan ‘Menangkis Serangan’ dari seteru.

Namun perlu dipastikan tindakan ini tidak mencetuskan kemudharatan yang lebih besar yakni seumpama berlaku krisis kepimpinan di mana undang-undang tubuh negeri akan digantung. Kesemua itu mesti digarap dalam satu derap-langkah yag bersepadu.

Wajar juga diingatkan bahawa RK harus direalisasikan kerana Kemaslahatan yang hendak dicapai yakni di segi “Matlamat Strategik”, membina ‘Negeri Contoh’ dengan memperkukuhkan gandingan kepimpinan ekonomi Tan Sri Khalid Ibrahim – akumen politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu mewajarkan dan mengharuskan Rencana Kajang ini digerakkan dengan membuka laluan mendepani risiko – “Fathul Dzari’ah. Jangan lupa akan kekuatan pemimpin-pemimpin Pakatan yang lain.

Inilah metodologi atau laluan (maslak) pemikiran “Al-Istishraaf Al-Istiqbaly” (Futuristic Thinking – Menerobos Realiti Kedepan) yang sangat dihajati oleh pemikir pemikir “Political Islam”. Ia berlawanan dengan realiti Gerakan Islam yang sentiasa terperangkap dalam jajaran bertindak secara Infi’ali atau “Reaksionari”.

Bertindak bagi membangunkan ‘dua kepentingan utama’ yang diijtihadkan oleh Syeikh Tahir bin Ashur yang menghuraikan karya agung ‘Al-Muwafaqat’ karangan Imam al-Shatibi yakni ‘Al-‘Adalah wa Al-Hurriyyah’atau ‘Keadilan dan Kebebasan’ adalah pendekatan “Maqasidiy” yang perlu dipelopori oleh Gerakan Islam Kontemporari. Pakatan Rakyat adalah pengalaman (tajribah) wadah PAS selaku Gerakan Islam dalam Tahaaluf Siyasi atau ‘Politik Koalisi’.

Mengingatkan bahawa lima Kemestian Utama (Dhorruriyah Al-Khmsah) dalam Maqasid Syar’iyah yakni menjaga Agama, Aqal, Nyawa, Keturunan dan Harta-Benda kini ditambah dengan kepentingan Keadilan dan Kebebasan menjadikan Gerakan Islam lebih komprehensif dan menyeluruh lagi dalam persaingan global ini. Penulis mahukan ini sekaligus digarap dalam agenda RK.

Maka tindakan ‘Rencana Kajang’ mesti keluar dari paradigma persaingan ‘kepompong pemikiran lama’ yang mengheret Pakatan kepada ‘Politik Longkang dan Jelek’ (Gutter Politics).

Penulis mahukan PAS/Pakatan Rakyat khasnya untuk membawa negara ke arah satu Politik Baru yang lebih ‘Bersih dan Adil’ supaya benar-benar dapat menjayakan ‘Agenda Islah’ (Penambahbaikan) serta mengangkat “Karamah Insaniyyah” (Kemuliaan Manusiawi) yang sebenarnya.

Meskipun tidak diminta dan mungkin juga tidak berapa diperkenan pelbagai pihak, namun inilah pandangan penulis yang menjadikan beliau sangat teruja dan sangat bersemangat dengan ‘Rencana Kajang’ ini. Kalau ada yang berpandangan penulis “apologist” kepada rencana PKR atau sesiapa pun, tuduhan itu sangat malang dan meleset.

Dalam erti dan maksud itu juga, Penulis dalam Forum”Kajang Move” di Empire Hotel, Subang Jaya, bersama panelis lain termasuk Pengarah Strategik PKR, YB Rafizi dan YB Tony Pua menegaskan bahawa ‘Rencana Kajang adalah Laluan Strategik Pakatan Rakyat Ke Putrajaya’!

Maka adalah sangat tepat bagi Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggesa jentera parti bagi memenangkan calon Pakatan Rakyat, Datuk seri Anwar Ibrahim.

* Dr Dzulkefly Ahmad adalah Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat

Pak Yazid Dalam Kenangan - Dr Riduan Mat Nor

BELASUNGKAWA: ALMARHUM USTAZ PAK YAZID JAAFAR DALAM KENANGAN
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

" zaman enta mudah dah ustaz,,ke mana mana pergi orang PAS ada..ceramah pun ramai orang, zaman ana pemuda dulu, PAS ni dagang,,bergerak dengan duit semua sendiri... "ujarnya dengan penuh semangat dan penuh keterujaan mengimbau kembali nostalgia gerakan Islam era dekad 50an dan 60an.

" ana ceramah di kelantan,,dekat kubang kerian..orang tak ada,,,kena sorak lagi..baru mula ceramah,,pemuda tahan lasak sorak beramai-ramai" Pak Yazid mengimbau bongkah kenangan, termasuk era tangkapan ISA kepada ulama PAS di awal dekad 60an. PAS terus memberikan pencerahan kepada masyarakat,  jatuh dan bangun seterusnya muncullah PAS sebagaimana yang tersergam hari ini.

Beliau mencicip air yang terhidang di Restoran Taqwa Taman Melewar Gombak, sesekali membetulkan tempat duduk dan memandang sekeliling dengan penuh bahagia. Ramai yang tersenyum dan mengangkat tangan ke arah sosok daie tersohor ini, dia murah senyuman dan tabiatnya yang mesra.

Ustaz Yazid terus bercerita , bersulam jenaka, kadang seolah perih mengenang teman-teman yang telah meninggalkan alam yang sementara ini. Saya melontar soalan demi soalan untuk megukuhkan maklumat kajian sarjana tentang 'Pengaruh Ikhwanul Muslimin terhadap perjuangan PAS' di tanahair ini. Sketsa ini berlangsung pada tahun 2002, usai ceramah umum di markas tarbiah taman melewar. Beliau sering hadir dalam ceramah-ceramah besar yang dianjurkan oleh parti, kehadirannya dihormati oleh semua abnaul harakah. Tidak pelik kerana Pak Yazid begitu lama terlibat dengan perjuangan PAS, beliau mantan ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Timbalan Pesuruh Jaya PAS Perak, Pesuruhjaya PAS Selangor, Ketua Penerangan PAS Pusat dan lain-lain jawatan penting.

Anak kelahiran Perak ini sangat berwarna warni pengalamannya, beliau antara perajurit negara yang pernah bergabung dengan Force 136, terlibat dengan perbarisan hari kemerdekaan yang sangat berharga pada tanggal 31 Ogos 1957.  Pak Yazid berlanglangbuana  ke seluruh negara untuk menyebarkan fikrah perjuangan PAS dalam dekad 1960an, beliau memimpin anak muda dan juga telah menggunakan kitab ' Peraturan dan arahan 'nukilan Imam Hasan al Banna sebagai teks usrah. Beliau sangat kagum dengan perjuangan Ikwanul Muslimin di Mesir yang menggerakkan tarbiah dan jihad taalim untuk memancang kefahaman Islam yag syumul dalam masyarakat.

Almarhum banyak berkorban, beliau menjadi staff pejabat Agong daripada tahun 1964 sehingga 1974, banyak pengalaman yang diraih dan menjadi saksi sejarah tentang denai perjuangan harakatul ummah ini. Beliau pernah bertanding dalam PRU menentang Tun Razak, juga pengalamannya secara langsung bertembung dengaan pemuda tahan lasak UMNO dalam dekad 60an. Zaman edan itu menyaksikan tindakan ganas pemuda tahan lasak sehingga tahap menumpahkan darah penyokong PAS, malah sehingga terbunuhnya mantan Ketua Dewan Pemuda PAS, Abdul Samad Gol Mianji.

Almarhum Pak Yazid adalah seorang yang rajin belajar, beliau aktif dalam gerakan dan dalam masa yang sama mengambil peluang belajar dan terus belajar. Kecintaan pada ilmu itulah yang memunculkan beliau kemudiannya sebagai pendakwah tersohor Lembah Klang dalam dekad 80an  dan 1990an.  Rumah beliau di Kampung Bharu kuala Lumpur menjadi markas ilmu yang penting setiap hari ahad sehingga mencecah ribuan pencinta ilmu. Rumah Pak Yazid juga seolah tempat mereka yang memerlukan bantuan datang mengadu, ramai yang memohon bantuan duit ringgit untuk menyambung pelajaran. Maka Pak Yazid memanfaatkan kehadiran ramai ke majlis ilmu pagi ahad untuk menyempurnakan hajat mereka yang memerlukan. Selepas peristiwa Memali 1985 juga, beliau banyak membantu keluarga syuhada yang kesusahan, termasuk membiayai pendidikan anak syuhada.

Beliau akhirnya dengan dokongan masyarakat membuka al Ikhwan, sebuah pusat pengajian dan juga  tempat membantu orang miskin. Almarhum terus aktif menyampaikan kuliah- kuliah agama di masjid, surau, pejabat- pejabat dan pelbagai institusi sehinggalah rakaman kaset-kaset beliau antara yang laris dalam dekad 80an dan awal 90an. Sosok yang peramah ini akhirnya semakin merosot kesihatannya dan beliau  kembali mengadap ilahi dengan penuh kebaktian , jasa yang menggunung kepada rakyat miskin,juga pernah memimpin PAS dengan pelbagai jawatan seperti memimpin Pemuda, menjadi Ketua Penerangan PAS Pusat. Membangun tembok bangunan harakatul ummah ini semenjak dekad 50an, tanpa lelah dan jemu. Alfatihah, buat sang daie mesra masyarakat ini.
( Penulis ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat )

Pendirian Awal PAS Isu Konsesus Nasional

Kenyataan Media Presiden PAS

Sabtu 8 Februari 2014

Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah mengadakan perbincangan di kalangan pimpinan PAS Pusat untuk meneliti berbagai aspek dalam menekuni persoalan "Konsensus Nasional" yang telah dilontarkan oleh Perdana Menteri selepas mesyuarat kabinet baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu, PAS menyambut baik cadangan tersebut sebagai usaha merungkai serta menyelesaikan kemelut dalam negara kita ini. PAS ingin menegaskan bahawa sebarang tujuan murni ke arah keharmonian dalam masyarakat adalah wajar diperkukuhkan, sebagaimana yang pernah disumbangkan oleh PAS menerusi berbagai jawatankuasa dan majlis perundingan negara. Ianya juga adalah selari dengan keperluan muzakarah yang saya sebutkan dalam penggulungan Muktamar PAS ke 59 yang lalu.

Lanjutan dari itu, maka PAS berharap agar  pihak kerajaan  dapat menyatakan terma - terma dan proses Konsensus Nasional ini sebagai langkah bergerak ke hadapan.

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Tindakan PKR Satu Kesilapan - Sinar

Politik - Sinar Harian - http://www.sinarharian.com.my/mobile/politik/dewan-ulama-tindakan-pkr-satu-kesilapan-1.248884

POLITIK
Dewan Ulama: Tindakan PKR satu kesilapan
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: February 8, 2014

SHAH ALAM - Tegas dengan pendirian sebelum ini, sayap penting dalam Pas, Dewan Ulama kekal dengan pendirian bahawa tindakan PKR secara sendirian sehingga membawa kepada PRK Dun Kajang sebagai satu kesilapan.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dalam satu kenyataan berkata, tindakan PKR yang membuat keputusan tanpa konsensus tidak patut berulang lagi pada masa hadapan. 

Selain itu, mesyuarat bulanan sayap parti itu yang diadakan malam tadi sebulat suara menegaskan bahawa isu Menteri Besar Selangor tidak perlu dibangkitkan dalam PRK Kajang.

"... kemenangan PRK Kajang tidak menjadi jambatan untuk pertukaran MB sedia ada," katanya sambil mengalu-alukan keputusan Lajnah Politik Pas untuk membantu PKR pada pilihan raya kecil nanti.

Mesyuarat yang diadakan malam tadi antara lain turut memutuskan Datuk Nik Zawawi Saleh sebagai pemangku Ahli Jawatankuasa Kerja selaras dengan peruntukan Perlembagaan Pas (Pindaan 2011).

"Dewan Ulama juga merekodkan penghargaan di atas jasa-jasa Allahyarham Tuan Guru Datuk Harun Taib dalam mengemudi kepimpinan Dewan Ulama Pas Pusat dari tahun 1995-2007 dan 2009-2014," katanya dipetik daripada kenyataan itu.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes
Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara

Saturday, 8 February 2014

Kenyataan Media DUPP pada 8hb Feb 2014

KENYATAAN MEDIA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

8 HB FEBRUARI 2014

Dewan Ulamak PAS Pusat telah mengadakan mesyuarat bulanannya semalam, Jumaat 7 hb Februari 2014, jam 8 mlm bertempat di Pejabat Agong PAS, Kuala Lumpur. Antara keputusan-keputusan penting mesyuarat adalah seperti berikut;

1. Mesyuarat sebulat suara melantik Dato Ustaz Hj Nik Muhammad Zawawi Saleh sebagai Pemangku Naib Ketua dan YB Ustaz Hj Nasruddin Hassan Tantawi sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS (Pindaan 2011).

2. Dewan Ulamak PAS Pusat mengalu-alukan keputusan Lajnah Politik PAS Pusat sepertimana kenyataan Presiden bahawa PAS Pusat dan PAS Selangor akan membantu PKR dalam PRK Kajang berdasarkan keperluan.

3. Dalam masa yang sama Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa tindakan PKR yang membuat keputusan sendiri sehingga terjadinya PRK Kajang tanpa konsensus bersama PAS dan DAP terlebih awal adalah satu kesilapan  yang mesti dijadikan pengajaran dan tidak patut berulang.

4. Dewan Ulamak PAS Pusat juga menegaskan bahawa isu Menteri Besar Selangor tidak perlu dibangkitkan dalam PRK Kajang dan kemenangan PRK Kajang tidak menjadi jambatan untuk pertukaran MB sedia ada.

5. Dewan Ulamak juga merekodkan penghargaan di atas jasa-jasa Allahyarham Tuan Guru Dato' Hj Harun Taib dalam mengemudi kepimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat dari tahun 1995 -2007 dan 2009 - 2014.

YB DATO' DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

8 Rabi'ul Akhir 1435/ 8 Februari 2014

Friday, 7 February 2014

GelaranMunafik Haraki Dalam Gerakan Islam

Munafik Haraki

Berkata Imam Abu Bakar al-Baihaqi dalam Sunan Kubra:

20300 ( وَرُوِّينَا ) فِي قِصَّةِ حَاطِبِ بْنِ أَبِي بَلْتَعَةَ حَيْثُ كَتَبَ إِلَى قُرَيْشٍ بِمَسِيرِ النَّبِيِّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - إِلَيْهِمْ عَامَ الْفَتْحِ أَنَّ عُمَرَ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ - قَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ دَعْنِي أَضْرِبُ عُنُقَ هَذَا الْمُنَافِقِ فَقَالَ النَّبِيُّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " إِنَّهُ قَدْ شَهِدَ بَدْرًا " . وَلَمْ يُنْكِرْ عَلَى عُمَرَ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ - تَسْمِيَتَهُ بِذَلِكَ إِذْ كَانَ مَا فَعَلَ عَلَامَةً ظَاهِرَةً عَلَى النِّفَاقِ ، وَإِنَّمَا يَكْفُرُ مَنْ كَفَّرَ مُسْلِمًا بِغَيْرِ تَأْوِيلٍ .
Maksudnya: "Diriwayatkan kepada saya dalam kisah Hatib bin Abi Balta'ah di kala beliau menulis kepada Quraisy tentang pengerakan Nabi saw mensasarkan Quraisy pada tahun pembukaan kota Mekah bahawa Umar bin al-Khattab berkata;
"Ya Rasululah saw, biarkan saya memancung tengkuk si MUNAFIQ ini."

Nabi saw lantas bersabda; "Sesungguhnya dia telah menghadiri perang Badar."

Nabi saw tidak membantah tindakan Umar r.a. MELABELKAN/menggelar Hatib sebagai "MUNAFIQ" kerana apa yang telah dibuat oleh Hatib merupakan tanda Nifaq yang jelas. Yang kufur hanyalah yang mengkafirkan seorang muslim tanpa sebarang justifikasi."

Rujuk IMAM Baihaqi Sunan Kubra.
Ulasan:
Ini dalil boleh melabelkan seseorang sebagai munafiq sekiranya ternyata padanya tanda munafik atau perlakuan munafik.

Hatib sahabat Nabi saw yang sangat berjasa kepada Islam kerana telah menghadiri perang Badar. Kerana jasanya itu dia terlepas daripada hukuman pancung kerana khianat pada Nabi dan Islam tetapi tidak membebaskan dirinya daripada label "MUNAFIQ".

Kalau jasa Hatib yang besar mengalahkan pejuang terkemudian dalam gerakan Islam masih boleh digelar "munafiq" siapalah kita.

Isu besar Hatib ialah "walak"nya kepada Quraisy  yang telah melakukan tindakan yang membatalkan perjanjian damai Hudaibiyah antara Quraisy dan Nabi saw serta orang Islam.

Walak beliau berupa kasih sayang yang mendorongnya memberi sedikit bantuan kepada Quraisy dengan membocorkan rahsia mesyuarat.

Bagaimana pula dengan mereka yang membocorkan rahsia mesyuarat gerakan Islam kepada orang luar atau rakan Tahaaluf???

Mereka adalah "munafiq". Dalam konteks gerakan Islam atau "harakah" Islam mereka boleh digelar "Munafiq Haraki".

"Munafiq Haraki" ialah mereka yang pada zahirnya bersama Harakah Islam tetapi walak (kasih sayang, kesetiaan dan ketaatannya malah berusaha mempertahankan) ialah kepada orang di luar daripada Harakah Islam atau kepada rakan tahaaluf yang melakukan tindakan yang boleh membatalkan tahaaluf.

JANGAN API-APIKAN SENSITIVITI KAUM DAN AGAMA

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENERANGAN DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

Jangan Api-apikan Sensitiviti Kaum dan Agama Rakyat Malaysia

1. Pasca PRU ke 13 menyaksikan banyak insiden perkauman dan agama seolah sengaja dicetuskan pihak berkepentingan. Di Pulau Pinang, rentetan daripada isu penggunaan kalimah ALLAH berlaku provokasi molotov cocktail di gereja. Kain rentang "Jesus Anak Allah" menimbulkan ketegangan. Sebelum ini di Shah Alam terdapat pihak tertentu mengheret kepala lembu dan membuang kepala babi di masjid.  Terkini respon sebuah NGO terhadap seorang ahli politik dilihat keterlaluan yang boleh menyemarakkan api perkauman.

2. Dewan Ulamak PAS Pusat menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan tegas segera serta penyiasatan yang adil tanpa memilih bulu terhadap mana-mana pihak yang mengapi-apikan sensitiviti perkauman dan agama di negara ini. 

3. Slogan 1Malaysia yang digagaskan oleh PM perlu digarap berlandaskan penyelesaian Islam yang melihat manusia sebagai anak cucu Nabi Adam yang perlu diberikan hak kemanusiaan dan kerakyatan serta meraikan kepelbagaian dan perbezaan.

4.Hanya penyelesaian Islam dan bukannya perkauman boleh menyatupadukan masyarakat dan membentuk integrasi nasional.

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Ahli Parlimen Kuala Nerus
Jumaat 7 Feb 2014

Wednesday, 5 February 2014

JAWATAN MB TIDAK BERBANGKIT, PRK KAJANG DIBANTU IKUT KEPERLUAN

Kenyataan Media Presiden PAS

Selasa 4 Februari 2014

Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah mengadakan Mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihan Raya pada jam 9.00 malam, Isnin 3 Februari 2014 bertempat di Pejabat Agung PAS Pusat. Mesyuarat ini telah membincangkan isu-isu politik semasa antarabangsa dan tanahair termasuklah Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kawasan Dewan Undangan Negeri N25 Kajang setelah berlaku kekosongan berikutan perletakan jawatan ADUN Kajang yang memenanginya dalam PRU13 yang lalu.

Bersesuaian dengan semangat dalam Pakatan Rakyat maka PAS Pusat dan PAS Negeri Selangor akan membantu jentera pilihan raya PKR berdasarkan kepada keperluannya dalam menghadapi PRK ini. Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat iaitu YB Dr Mohd Hatta Ramli pula dilantik untuk mengetuai jentera pilihan raya PAS dalam PRK ini. Dalam pada itu juga, ingin dipertegaskan bahawa isu kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor adalah tidak berbangkit.

Mesyuarat juga merakamkan kecaman terhadap hukuman gantung sampai mati yang diputuskan oleh Tribunal Jenayah Perang di Bangladesh terhadap mantan Menteri Pertanian (2001 - 2003) dan Menteri Industri (2003 - 2006) Bangladesh yang juga merupakan Ameer Jamaat Islami Bangladesh, Maulana Matiur Rahman Nizami. Beliau telah dinafikan perbicaraan yang adil dan berdepan dengan berbagai ancaman ketika perbicaraan. PAS mendesak agar pihak Tribunal tidak sepatutnya menjadi penghukum politik kepada kerajaan yang terdesak, dan seharusnya mendengar kritikan badan guaman dan hak asasi manusia antarabangsa.

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

Kenayataan Media Pemuda Isu PRK Kajang

Kenyataan Media
Pemuda Pas Malaysia
4.2.2014

Pemuda Pas Malaysia telah mengadakan Mesyuarat Lujnah Politik sejurus selepas mesyuarat Lujnah Politik Pas Pusat pada 3hb Februari 2014. Kami membuat ketetapan untuk bersama dalam Pilihanraya Kecil DUN Kajang bagi membantu kemenangan Pakatan Rakyat. Pemuda PAS Malaysia telah bersetuju melantik Sdr Hairul Nizam Bin Tohar, Pengarah Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Selangor sebagai Ketua Penyelaras Pilihanraya Kecil N25 Kajang.

Sekiranya berlaku pertandingan, Pemuda Pas Malaysia mendesak SPR melaksanakan pilihanraya dengan bersih, adil dan saksama. Mana-mana pihak yang bertanding hendaklah mengelakkan pembaziran dari berlaku. Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Selangor perlu mengelakkan projek-projek "mee segera" yang akan mengorbankan wang rakyat. Rakyat yang terkesan dengan kenaikkan harga barang akan  menghukum mana-mana pihak yang dilihat membazir.

Pemuda Pas merasa kesal terhadap tindakan mengosongkan kerusi DUN Kajang yang dilaksanakan secara tergesa-gesa, membazir masa dan duit rakyat. Ia juga mendedahkan Pakatan Rakyat kepada risiko kemerosotan sokongan rakyat. Walaubagaimanapun kita menghormati muafakat Pakatan Rakyat yang memberi hak mengurus DUN kepada parti yang menang dalam pilihanraya lepas. Justeru Pemuda PAS mendesak agar mana-mana komponen Pakatan Rakyat tidak mengulangi kesilapan serupa pada masa akan datang.

Pemuda PAS juga ingin mempertegaskan bahawa menyokong Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Calon Pilihanraya Kecil DUN Kajang tidak bermakna Pemuda PAS bersetuju beliau menjadi Menteri Besar Selangor. Polemik Kajang ini tidak perlu mengheret Pakatan Rakyat membincangkan isu Menteri Besar Selangor yang baru. Pemuda PAS mendesak agar isu Menteri Besar dihentikan segara kerana rakyat Malaysia sudah muak dengan polemik politik yang tidak berkesudahan.

Suhaizan Kaiat
Ketua Pemuda PAS Malaysia.

Tuesday, 4 February 2014

Keputusan Lajnah Politik PAS Pusat di Alu-alukan

Kenyataan Media 4 Feb 2014

Keputusan Lajnah Politik PAS Pusat di Alu-alukan

1. Dewan Ulamak PAS Pusat mengambil prihatin kezaliman terhadap Ameer Jamaat Islami Bangladesh yang dinafikan perbicaraan yang adil seperti yang dibangkitkan oleh kenyataan Presiden PAS selepas mesyuarat Lajnah Politik semalam. Berikutan itu semua pihak digesa membanyakkan memo bantahan kepada kedutaan Bangladesh sebagai tambahan kepada memo yang sudah dihantar oleh PAS sebelum ini untuk menggambarkan solidariti umat Islam dan rakyat Malaysia terhadap sesiapa sahaja yang dizalimi.

2. Kenyataan Presiden hasil keputusan mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat yang turut disertai oleh saya mewakili DUPP bahawa isu kedudukan Menteri Besar Selangor dalam PRK Kajang tidak berbangkit sangat dialu-alukan dan meredakan keresahan pelbagai pihak yang bimbang ia menggugat kestabilan kerajaan PR di Selangor.

3. Begitu juga atas semangat Pakatan Rakyat dan menolak segala polisi pincang kerajaan BN, PRK Kajang yang  berlaku secara tergesa-gesa tanpa perbincangan awal semua rakan PR akan dibantu berdasarkan keperluannya insyallah.

Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Tuesday, 28 January 2014

Pemergian Tokoh Ulamak Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan Kehilangan Besar Dunia Islam

Pemergian Tokoh Ulamak Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan Kehilangan Besar Dunia Islam

1. Isnin 27hb Jan 2014 dunia dikejutkan dengan pemergian seorang tokoh ulamak, tokoh gerakan Islam dan pemikir Islam yang agong iaitu Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan ke rahmatullah. Beliau juga merupakan bekas Penasihat Umum bagi gerakan Ikhwan Muslimin di Iraq. Janazahnya dikebumikan di San'a, Yaman, bumi yang terakhir menjadi tempat beliau bernaung selepas terpaksa keluar meninggalkan bumi kelahiran beliau iaitu Iraq.

2. Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan takziah atas pemergian beliau kepada se luruh umat Islam, khususnya  keluarga almarhum, anak-anak murid beliau dan warga Univesiti Iman, San'a di bawah naungan Syeikh Abdul Majid Zandani yang menjadi pusat ilmu di mana beliau menjadi salah seorang mahagurunya. Pemergian  tokoh ulamak Islam ini merupakan kehilangan besar bagi ummat.

3. Beliau dilahirkan di Baghdad pada tahun 1921. Berkelulusan Ijazah Pertama dari Fakulti Undang-undang Univ Baghdad, Master dan Phd Pengajian Islam Universiti Kaherah tahun 1962.

4. Beliau merupakan bekas Mursyidul Am Iraq.
mengasaskan Fakulti Pengajian Islam di hujung 60 an dan berjaya melahirkan graduan namun kemudiannya ditutup oleh Parti Sosialis Iraq dan beliau sendiri dikenakan seumpama tahanan rumah. Beliau terus ditekan sebagai seorang tokoh Ulamak sehingga akhirnya terpaksa berhijrah meninggalkan Iraq pada awal 90 an.

5. Beliau pernah menjawat jawatan Profesor Undang-undang Islam dan Ketua Jabatan Syariah, Fakulti Undang-undang, Univ Baghdad dan Dekan Fakulti Syariah, Universiti Baghdad.

6. Antara karya beliau yang terkenal ialah ensiklopedia Hukum-hakam berkaitan Wanita dan Keluarga Muslim sebanyak 11 juzuk yang mendapat Anugerah Antarabangsa Raja Malik Faisal pada tahun 1997 M/1417 H.

7. Antara tulisan beliau yang terkenal dan menjadi rujukan di banyak fakulti pengajian Islam di seluruh dunia ialah
1. Hukum-hakam Zimmi dan Musta'min dalam Negara Islam
2. Pengenalan Pengajian Syariah Islam
3. Usul Dakwah
4. Al-Wajiz - Syarah Qawaid Fiqhiyyah
5. Sistem Kehakiman dalam Islam

8. Moga Allah merahmati roh beliau dan memberikan ganjaran terbaik untuknya di alam Barzakh dan di Hari Akhirat. Moga kita juga berjaya mengikut jejak langkah beliau sebagai orang berilmu dan beramal dengan ilmunya.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus
28 hb Jan 2014

Sunday, 26 January 2014

Pemergian Dato Tuan Guru Harun Taib Yang Dikasihi dan Solat Janazah Jam 10 pg di Markaz Tarbiyah Kubang Lembik

Pemergian Dato Tuan Guru Harun Taib Yang Dikasihi dan Solat Janazah Jam 10 pg di Markaz Tarbiyah Kubang Lembik

إنا لله وإنا إليه راجعون
Innalillahi wainnailaihi rajiun.

Tuan Guru Dato Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat telah kembali ke rahmatullah jam 12.10 mlm tadi 25 hb jan 2014.

Janazah Almarhum TG Harun Taib dijangka disolatkan pada jam 10 pagi nanti di Markaz Tarbiyah Kubang Lembik. Seluruh ahli PAS dijemput beramai-ramai hadir mendoakan kebaikan untuk almarhum Tuan Guru.

Moga Allah merahmati roh beliau dan meletakkan beliau bersama roh para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solihin.

Bagi pihak Dewan Ulamak PAS Pusat dan seluruh jawatankuasanya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga almarhum. Jasa dan amal perjuangan dakwah almarhum sepanjang berkecimpung dalam gerakan Islam seawal remaja sehingga ke akhir hayat  insyallah diganjari dengan yang terbaik oleh Allah subhanahu wa taala.

Ust Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat