TEKS UCAPAN PERBAHASAN
RMK11
YB. Dato’ Dr. Mohd
Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Selasa ; 9 hb Jun 2015
Assalamualaikum w.b.t.
PRINSIP PENGURUSAN EKONOMI JANGKA PANJANG
Terima kasih kepada Tuan Yang Di-Pertua, seterusnya Ahli-ahli
Yang Berhormat sekalian;
1. Allah s.w.t. telah
merakamkan dalam al-Quran (Surah Yusof : 47 – 49) satu kisah yang sangat
menarik tentang kewibawaan Nabi Yusof a.s. yang merencanakan satu pelan
strategik (strategic planning) jangka masa panjang yang berkesan.
قَالَ تَزْرَعُونَ
سَبْعَ سِنِينَ دَأَبًا فَمَا حَصَدْتُمْ فَذَرُوهُ فِي سُنْبُلِهِ إِلَّا
قَلِيلًا مِمَّا تَأْكُلُونَ ( 47 ) ثُمَّ يَأْتِي مِنْ
بَعْدِ ذَلِكَ سَبْعٌ شِدَادٌ يَأْكُلْنَ مَا قَدَّمْتُمْ لَهُنَّ إِلَّا قَلِيلًا
مِمَّا تُحْصِنُونَ ( 48 ) ثُمَّ يَأْتِي مِنْ
بَعْدِ ذَلِكَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ النَّاسُ وَفِيهِ يَعْصِرُونَ (
Maksudnya: “Yusuf berkata, kamu menanam tujuh tahun seperti
biasa maka apa sahaja hasil yang kamu perolehi maka biarkanlah pada tangkainya
melainkan sedikit yang kamu makan. Kemudian akan datang selepas itu tujuh tahun
yang sukar yang makan apa yang kamu simpan melainkan sedikit yang kamu
bentengkan”
2. Jika Bajet (atau
Belanjawan Tahunan) ialah perancangan untuk tempoh 1 tahun dan Rancangan
Malaysia (RMK) pula untuk tempoh 5 tahun, ‘economic strategic planning’ yang
dicadangkan oleh Nabi Yusof a.s. pula adalah untuk tempoh 14 tahun.
3. Saya tidak nafikan
bahawa ia bukan soal lama mana tempoh sesuatu perancangan itu, tetapi
keberkesanan perancangan untuk tempoh yang lama sebegitu harus diakui dan
diambil pengajaran; perancangannya sangat strategik dan pelaksanaannya pula
mencapai sasaran. Kaedahnya ialah memanfaatkan waktu ekonomi subur untuk
persiapan menghadapi waktu sukar.
4.
Pendapatan mesti dibahagikan kepada tiga. Berbelanjalah 1/3 dan
menyimpanlah 2/3. Tujuannya supaya di waktu sukar negara boleh berbelanja 1/3
yang disimpan dan baki 1/3 digunakan sebagai modal untuk bangkit selepas
berakhir waktu sukar. Justeru, kayu ukur sebuah negara yang makmur ekonominya
ialah apabila negara dengan hanya berbelanja 1/3 daripada pendapatan telah berjaya
melunaskan segala keperluan. Begitulah juga dengan pendapatan individu rakyat.
5. Namun, apabila
melihat RMK11 yang dibentangkan dan setelah berlalu 10 RMK selepas merdeka atau
12 rancangan ekonomi negara sejak sebelum merdeka, saya merasakan amat jauh
untuk negara kita mencapai tahap kayu ukur negara makmur menurut Islam ini.
6. Mendepani situasi
7 tahun yang subur dan diikuti 7 tahun yang kemarau bukannya mudah untuk diurus
jika tidak wujud nilai ‘good governance’ berteraskan Islam pada pentadbiran
kerajaan dan pada individu setiap pemimpin negara.
7. Justeru,
sangat penting untuk negara memfokuskan pembinaan modal insan yang soleh yang
mempunyai dua ciri utama iaitu Kuat dan Amanah sebagaimana firman Allah dalam
al-Qasas ayat 26.
{إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِين}
Maksudnya: “sesungguhnya sebaik-baik
orang yang kamu gajikan ialah yang kuat lagi amanah”.
Kuat ertinya sihat, berilmu, bijak dan
berkemahiran tinggi. Negara tidak kekurangan golongan yang bijak, namun kita
kekurangan golongan yang amanah lalu berlakulah rasuah dan pelbagai
penyelewengan.
KEPENTINGAN RMK11
8. RMK11
penghujungnya ialah tahun 2020 yang disasarkan Malaysia menjadi negara maju? Apa
ukuran negara maju? Itu persoalan yang mesti kita garap. Seterusnya apakah
perancangan RMK11 mensasarkan kejayaan negara maju yang kita tetapkan ukurannya?
9. Negara
maju telah diceritakan dalam al-Quran. Namun selalunya negara maju ini akan
berhadapan dengan beberapa fenomena antaranya;
1.
Pembangunan tidak
berasaskan keperluan tetapi menjurus kepada projek pembaziran dan kemegahan.
2.
Atau projek
pembangunan yang dibuat hanya untuk keperluan pelobi projek atau kapitalis atau
golongan pemodal bukan kerana keperluan pembangunan yang sebenar.
10. Allah
menceritakan tentang kaum Hud yang diberikan kemewahan dan ketamadunan serta
teknologi pembinaan bangunan yang hebat
Maksudnya: “Adakah kamu membina di
setiap tempat yang tinggi satu mercu tanda hanya untuk bermain-main dan kamu
membina mahligai-mahligai yang besar dengan harapan kamu kekal selama-lamanya?”
Surah Syu`ara’ ayat 128
11. NEGARA
MAJU digambarkan oleh ayat Quran dalam surah al-Nahl ayat 112:
﴿ وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلاً
قَرْيَةً كَانَتْ آَمِنَةً مُطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَداً مِنْ كُلِّ
مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّهِ فَأَذَاقَهَا اللَّهُ لِبَاسَ الْجُوعِ
وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ ﴾
Maksudnya: “Dan Allah membuat perumpamaan satu kampung yang
asalnya aman tenteram datang rezki kepadanya selapang-lapangnya dari segenap
penjuru.”
12. Ia
juga digambarkan menerusi Hadis:
أَرْبَعَةٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ وَالْجَارُ الصَّالِحُ وَالْمَرْكَبُ الْهَنِئُ
Maksudnya: “4 antara punca kebahagian; isteri yang soleh,
kediaman yang lapang, jiran yang soleh dan kenderaan yang baik.”
13. Mengambil kayu
ukur Islam ini maka sewajarnya RMK11 mesti menjurus kepada dua asas iaitu negara
aman dan rezki yang melimpah ruah. Atau lebih detailnya ialah beberapa perkara
berikut:
1.
Pendapatan boleh guna rakyat yang tinggi
2.
Kemampuan rakyat memiliki kediaman
3.
Kemampuan rakyat mendapat kenderaan
4.
Kejayaan rakyat mendapat rumah tangga bahagia
5.
Kejayaan rakyat mendapat persekitaran
perumahan yang aman dan sentosa
Untuk itu RMK11 perlu mengandungi strategic
ekonomi jangka masa panjang
14. Di antara prinsip
pengurusan strategik ekonomi jangka panjang yang perlu dipelajarai dan
dicontohi daripada kisah Nabi Yusuf ialah :
(i) Penjanaan pendapatan mestilah melebihi 3 kali ganda perbelanjaan.
Malangnya bajet negara kita dibuat berdasarkan rancangan perbelanjaan bukannya
rancangan pendapatan. Sepatutnya lihatlah pendapatan kemudian rangkalah
perbelanjaan dan bukan sebaliknya. Justeru, tidak hairanlah jika bajet negara
telah mengalami defisit selama 18 tahun berturut-turut.
(ii) Penyediaan rizab (reserve) yang cukup untuk negara.
Seharusnya perbelanjaan yang berasaskan pendapatan bersekali dengan komitmen
merizabkan sebahagian baki untuk disimpan bagi manfaat masa depan dan ketika
kecemasan. Tetapi, jika berbelanja pun sudah melebihi pendapatan, bagaimana
simpanan negara dapat ditambah? Komitmen untuk mengurangkan hutang pun tidak
akan dapat ditingkatkan bahkan hutang itu sendiri akan bertambah.
(iii) Membuat perangkaan yang tepat dan dikemaskini. Kadar
kemiskinan yang dikatakan berkurang kepada 0.6% pada tahun 2014 adalah masih
berdasarkan takrif lama dan paras garis kemiskinan RM880. Purata pendapatan isi
rumah yang meningkat kepada RM6,141 pada 2014 pula tidak menggambarkan
pendapatan sebenar perindividu dan terhasil daripada jurang pendapatan yang
tinggi. Pengukuran perangkaan yang tidak tepat ini akan menunjukkan realiti
sebenar secara tidak tepat.
SUMBER BAHAN MENTAH DAN HASIL BUMI DALAM
NEGARA
Tuan Yang Di-Pertua & Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
15. Dalam konteks
ekonomi konvensional, sumber bahan mentah atau hasil bumi dianggap terhad.
Justeru, perebutan sering berlaku sehinggakan ada yang sanggup melakukan
sesuatu yang di luar batas kemanusiaan dan undang-undang demi untuk memiliki
atau menguasai sumber hasil tersebut.
16. Namun, Islam
mempunyai prinsip yang berbeza dengan teori-teori ekonomi Barat. Menurut
perspektif Islam, asal sumber bahan mentah dan hasil bumi adalah mencukupi.
Malah terdapat bukti bahawa Allah s.w.t. telah menyediakan kepada manusia
sumber rezeki yang luas di atas muka bumi ini berdasarkan firmanNya :
وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا
وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
"”Dan tiadalah suatupun
dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang
menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya serta tempat ia disimpan.
Semuanya itu tersurat dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada
malaikat-malaikat yang berkenaan)."(
Surah Hud 11:6 )
17. Bagi
menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi ini, sudah
tentu Allah amat mengetahui keperluan manusia yang diciptakanNya dengan
menyediakan segala bekalan dan keperluan asas seawal sebelum kejadian manusia
itu sendiri. Bahkan, Allah s.w.t. terlebih dahulu menciptakan perkara tersebut
dalam kuantiti yang mencukupi dan banyak serta mampu menampung kehidupan
keseluruhan makhlukNya.
18. Maka jelaslah
kepada kita semua bahawasanya krisis yang berlaku perlulah dikembalikan kepada
manusia dahulu sebagai pengendali dan pengguna sebelum mencari sebab yang lain.
Kezaliman yang dilakukan terhadap dirinya sendiri dan orang lain, sikap manusia
yang melampaui batas serta kekufuran mereka terhadap nikmat yang Allah s.w.t.
anugerahkan kepadanya adalah sebab utama kepada sesuatu bala dan malapetaka
berlaku.
PENDAPATAN NEGARA
Tuan Yang Di-Pertua & Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
19. Islam mempunyai
senarai asas pendapatan negara yang tersendiri. Antaranya ialah Zakat, Kharaj dan
‘Usyur yang dikenakan terhadap produk dagangan yang dibawa masuk ke dalam
negara Islam sama ada produk dagangan tersebut kepunyaan muslim mahupun
non-muslim.
20. Begitu juga keuntungan
daripada pemilikan/projek umum untuk rakyat. Maka negara yang kaya dengan hasil
bumi seperti petroleum, bahan galian yang lain yang telah melalui proses-proses
tertentu serta boleh dimanfaatkan oleh rakyat, seperti bekalan tenaga elektrik
dan air yang bukan bersifat pemilikan individu, keuntungan daripadanya
disenaraikan sebagai salah satu sumber pendapatan negara secara kitaran.
21. Saya ingin
mencadangkan agar hasil Petroleum yang diperolehi oleh negara dikenakan zakat.
Sehingga kini syarikat petronas tidak membayar zakat hasil daripada galian
berbentuk petrol dan gas. Sudah sampai masa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
membuat kajian hukum tentang zakat petroleum yang dimiliknegarakan. Zakat
petroleum itu boleh dijadikan sebagai sebahagian pendapatan negara bukan
pendapatan Majlis Agama Islam Negeri. Ia disalurkan untuk kegunaan
menyelesaikan masalah kemiskinan, masalah piutang rakyat yang berhutang dan
juga keperluan pendidikan sebagai satu derma siswa dan tidak lagi bergantung
kepada pinjaman PTPTN.
ISU KEMISKINAN
Tuan Yang Di-Pertua & Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
22. Semalam saya telah
bertanya kepada Menteri tentang takrif kemiskinan dan miskin tegar serta Paras
Garis Kemiskinan (PGK) Kebangsaan yang terkini; dan statistik miskin dan miskin
tegar di seluruh negara bagi tahun 2011 hingga 2015 mengikut pecahan negeri dan
daerah. YB Menteri telah memberikan penjelasan terhadap persoalan yang telah
saya kemukakan.
23. Namun apa yang
ingin saya bangkitkan ialah kayu ukur Paras Garis Kemiskinan (PGK) Kebangsaan. Kemiskinan
merupakan suatu isu yang penting kerana ia melambangkan sejauh mana pertumbuhan
ekonomi negara dinikmati oleh rakyat jelata. Oleh yang demikian kita
mengharapkan kadar kemiskinan akan menurun sejajar dengan peningkatan ekonomi
negara. Di sudut makroekonomi kemiskinan adalah hasil dari pengagihan
kekayaan negara yang tidak sama rata.
24. Tetapi, pengukuran
kemiskinan di Malaysia dilihat menggunakan pendekatan satu dimensi iaitu samada
mengikut keadaan pendapatan atau pun perbelanjaan. Masalah pada pengukuran satu
dimensi ini ialah ia tidak atau kurang memberi petunjuk yang sebenar dan tepat
tentang keadaan kemiskinan kerana menggunakan hanya satu pembolehubah.
25. Biasanya, kaedah
pengukuran berdasarkan satu indikator atau pembolehubah ini digunakan dalam
analisis kemiskinan di negara-negara kurang maju. Amat tidak wajar sekali
kepada Malaysia yang berhasrat mencapai status negara maju menjelang tahun 2020
masih menggunakan pendekatan ini untuk menentukan garis kemiskinan. Kesannya ramai
yang sebenarnya masih miskin tetapi tidak dikategorikan sebagai miskin. Lalu akhirnya
dibuat satu pengumuman kononnya kadar kemiskinan semakin menurun sedangkan ia
tidak menggambarkan hakikat yang sebenar.
26. Seharusnya
pengiraan Paras Garis Kemiskinan (PGK) memasukkan 5 keperluan teras; makanan,
kediaman, pakaian, pengangkutan dan pendidikan, bukannya hanya mengiranya
sebagai makanan dan bukan makanan. Kelima-lima perkara ini adalah keperluan
asas yang bersifat dharuriyyah dan hajiyat kepada setiap orang manusia.
27. PGK ini juga harus
mengambil kira perbezaan antara miskin dan faqir. Hal ini kerana orang miskin
ialah golongan yang mempunyai pendapatan tetapi tidak mencukupi untuk menampung
keperluan asas hidupnya manakala Faqir pula ialah golongan yang tidak
berpendapatan untuk menyara kehidupan mereka. Di kalangan mereka mungkin
kumpulan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).
PGK juga mesti mengambil kira status ekonomi dan taraf hidup
persekitaran yang berbeza antara bandar dan luar bandar, antara pantai timur
dan pantai barat.
28. Sebenarnya ada
beberapa perkara yang menjadi punca sebenar rakyat menjadi miskin dan
program-program menangani kemiskinan oleh Kerajaan pula gagal untuk mengurusnya
dengan berkesan. Berikut antaranya :
(i) Sistem ekonomi yang diamalkan bersumberkan ekonomi liberal
kapitalis yang menyuburkan jurang besar antara kaya dan miskin serta agihan kek
kekayaan negara pula tidak seimbang dan tidak sama rata.
(ii) Banyak polisi Kerajaan menyebabkan rakyat menghadapi susut
nilai pada wang atau pendapatan yang mereka ada dengan kejatuhan nilai ringgit
yang berterusan dan kenaikan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan.
(iii) Rakyat ditindas dengan percukaian yang zalim pada hampir
segenap kehidupan masyarakat; GST pada barangan dan perkhidmatan; Zakat
hanyalah 2.5 % sedangkan GST dikenakan oleh kerajaan sebanyak 6%. Adakah
kerajaan ingin menjadi Tuhan atau lebih berkuasa daripada Tuhan? Begitu juga cukai
kenderaan sehingga melebihi 100% kepada para pengguna kereta menyebabkan
pengguna terpaksa mendapatkan kenderaan pada harga yang mahal.
(iv) Kenaikan harga hartanah akibat spekulasi pula menyebabkan
ia meningkat khususnya di bandar justeru menatijahkan banyaknya miskin bandar
dalam kalangan orang Melayu.
(v) Daya menyimpan wang dalam kalangan rakyat juga rendah dan
hampir tiada yang sepatutnya keadaan ekonomi yang baik ialah apabila rakyat
mampu berbelanja sebahagian daripada pendapatannya untuk memenuhi keperluan
hidupnya dan sekurang-kurangnya 1/3 daripada pendapatan itu dapat disimpan.
(vi) Wang dan kekayaan negara hanya berlegar-legar dalam
kalangan orang-orang kaya yang meliputi pemimpin-pemimpin negara yang tidak
amanah dan golongan bangsawan serta koporat yang tamak.
PANDANGAN ISLAM TERHADAP WANITA SEBAGAI
TENAGA KERJA
Tuan Yang Di-Pertua & Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
29. Islam sebuah agama
pembawa rahmat bagi sekalian alam menawarkan pakej penyelesaian terhadap
permasalahan manusia. Antara tawaran dan keindahan Islam adalah meliputi
pengiktirafan isu gender lelaki dan wanita. Al-Quran dan As-Sunnah merekodkan
sejumlah besar nas yang mengangkat martabat dan kemuliaan wanita. Sekaligus
menafikan tohmahan golongan feminis dan gerakan emansipasi wanita kononnya
ajaran Islam merendahkan kedudukan wanita.
30. Islam meletakkan
wanita berperanan sebagai pendamping dan pembantu golongan lelaki dalam
kehidupan rumah tangga sebagai ibu dan isteri juga penolong dalam masyarakat. Sebagaimana
firman Allah s.w.t dalam Surah an-Nisa 4:34.
31. Ini adalah peranan
utama seorang wanita tetapi Islam juga menghidupkan fungsi wanita sebagai
karakter yang boleh menerima tanggungjawab dan dipertanggungjawabkan atas
setiap perilakunya seperti kaum lelaki sebagaimana firman Allah s.w.t.
maksudnya: “Sesiapa yang beramal
soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami
akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan
membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah
kerjakan.” (Surah an-Nahl 16:97)
32. Hasrat dan usaha
untuk meningkatkan kadar penglibatan tenaga kerja wanita daripada 54% pada
tahun 2014 kepada 59% menjelang 2020 adalah suatu yang murni.
33. Namun,
meningkatkan tenaga kerja wanita pasti akan memberikan implikasi terhadap
keluarga dan sosial yang perlu diberikan perhatian dalam semua aspek
lebih-lebih lagi pada masa gejala sosial makin meruncing dan institusi keluarga
pula banyak bermasalah.
34. Impak daripada
penglibatan tenaga kerja wanita ialah terabainya tugas utama golongan ini dalam
mendidik generasi muda dalam rumahtangga mereka lantas anak-anak makin meliar.
Kecenderungan berlakunya peningkatan kes penceraian juga adalah bentuk impak
negatif yang berlaku.
35. Kerosakan
institusi keluarga akan turut menjejaskan sistem sosio-masyarakat.
36. Namun tidak dinafikan
ada aspek positif daripada peningkatan tenaga kerja wanita ini tetapi ia akan
mengakibatkan aspek pembangunan wanita daripada sudut kemahiran insaniyah makin
terabai.
37. Justeru, saya mencadangkan
satu sistem kerja yang meraikan keperluan ibu-ibu dan isteri diperkenalkan.
Antaranya dalam perkhidmatan awam, bagi wanita yang berkeluarga sebagai isteri
atau isteri dan ibu, masa kerja mereka dipendekkan daripda 8 jam sehari kepada
6 atau 7 jam sahaja dengan gaji yang sama seperti lelaki yang bekerja 8 jam.
Anggaplah tugasan mereka di rumah sebagai satu kerja yang melayakkan mereka
mendapat gaji daripada negara. Sistem ini nanti kemudiannya boleh diikuti pula
oleh syarikat swasta yang mampu. Itu sebagai contoh.
38. Penglibatan wanita
dalam perniagaan perlu dipertingkatkan kerana selalunya ahli perniagaan boleh
bekerja mengikut masa yang mereka mahu kerana masa adalah milik mereka. Untuk
itu saya mencadangkan penglibatan wanita dalam bisnes online yang mana rumah
mereka sendiri menjadi pejabatnya mesti menjadi sebahagian projek kerajaan
dengan bantuan kewangan yang cukup menerusi pelbagai agensi. Suri rumah tangga
boleh menjadi sasaran kerajaan untuk projek ini. Latihan keusahawanan bisnes
online mesti dirancang dan dikempen secara bijak dan agresif.
DAERAH BARU KUALA NERUS
39. Saya ingin mengucapkan
tahniah kepada kerajaan pusat yang telah menjadikan Kuala Nerus sebagai Daerah
ke 8 di Terengganu. Daerah ini telah menikmati pelbagai bentuk pembangunan
dengan adanya Airport Sultan Mahmud, Stadium runtuh yang baru sahaja siap
dibaiki selepas 6 tahun, 2 hotel mewah, 2 universiti iaitu Unisza dan UMT, juga
Institut Perguruan, institusi pendidikan terkenal seperti Sek Agama
persekutuan, Sekolah Sains dan Sekolah Teknik dan 2 pasaraya besar Giant dan
Mydin.
40. Terkini Hospital
Pengajar Unisza sedang dibina di Kuala Nerus sebagai projek yang diluluskan dalam RMK10 untuk Fasa
pertamanya iaitu sebanyak 200 katil dan dijangka siap pada akhir 2016. Fasa 1
Hospital ini baru dimulakan majlis pecah tanahnya pada 18 september 2014. Di
penghujung rmk10. Ia dijangka siap akhir 2016.
41. Namun, apabila
saya merujuk kepada web Kementerian Kerja
Raya, tender kerja untuk reka bina baru ditutup pada 21.4.2015. Ertinya
pembinaanya masih belum bermula. Saya ingin meminta penjelasan Kementerian
berhubung status perjalanan projek ini. Saya mengharapkan projek ini berjalan
menurut perancangan. Jangan lagi berulang isu LPT II yang tertangguh
berkali-kali. Asal projek LPT II dijadualkan siap 2008 tapi realitinya hanya
siap di awal 2015 selepas 7 tahun dengan kos berganda pula. Asalnya hanya 1.7
bilion tapi akhir 5 bilion lebih.
42. Fasa ke 2 Hospital
Unisza pula dengan penambahan 200 katil dijanjikan bakal diluluskan dalam
RMK11. Namun, saya tidak melihat perkara ini disebut dalam pembentangan RMK11.
Adakah janji itu akan diteruskan? Saya mohon penjelasan pihak kerajaan.
43. Hospital ini
sangat penting untuk mengelakkan kesesakan di Hosptal Nur Zahirah di bandar
Kuala Terengganu. Juga masalah-masalah yang timbul bagi rakyat Kuala nerus yang
terpaksa bertumpu mendapatkan rawatan ke sana.
44. Sempena daerah
baru, Saya ingin memohon satu Balai Bomba khusus untuk Daerah Kuala Nerus supaya
tidak bergantung kepada Balai Bomba di bandar Kuala Terengganu dan bomba
sukarela sahaja. Saya mendapat rungutan daripada para petugas bomba yang
menghadapi kesukaran untuk menguruskan 2 parlimen Kuala Terengganu dan Kuala
Nerus yang luas.
45. Saya juga ingin
mencadangkan agar kerajaan pusat menjadikan Kuala Nerus sebagai bandar
pelancongan kerana ia mempunyai jajaran pantai yang cantik dan indah, beberapa
industri kampong seperti keropok dan hasil ikan yang lain serta beberapa lagi aset
pelancongan.
46. Begitu juga, sesuai
dengan kedudukannya sebagai daerah baru, pendapatan sebahagian rakyatnya yang
menjadi nelayan perlu dipertingkatkan. Antaranya dengan mengaktifkan fungsi
koperasi nelayan sebaik-baiknya sehingga boleh memberi pendapatan tambahan yang
besar untuk nelayan khususnya ketika musim tengkujuh.
47. Merujuk kepada Laporan Sosio-Ekonomi
Nelayan dan Data Isi Rumah yang diterbitkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia
(LKIM), purata pendapatan nelayan ke laut bagi Negeri Terengganu adalah RM1,400
sebulan dengan sekumpulan besarnya berpendapatan antara RM518 hingga RM1250
sebulan. Nilai ini berada di bawah paras purata pendapatan nelayan negara iaitu
RM1600 sebulan.
48. Berbanding Negeri Kedah, Perak, Selangor,
Johor dan Pahang, semuanya berada di atas purata pendapatan nelayan negara ini.
Purata pendapatan serendah RM1,400 ini juga memposisikan nelayan Terengganu
berada pada tempat ketiga terendah di Semenanjung Malaysia selepas Negeri
Sembilan (RM1,240) dan Kelantan (RM1,300).
49. Lebih mendukacitakan, suatu kajian terbaru
mendapati pendapatan nelayan hanya mengalami peningkatan sebanyak 3.5% sahaja
bagi tempoh 10 tahun. Kenaikan dengan kadar yang teramat sedikit ini menjadikan
amat mustahil kepada para nelayan untuk memiliki pendapatan boleh guna yang
mencukupi bagi memenuhi keperluan hidup mereka lebih-lebih lagi dalam suasana
kenaikan kos sara hidup dan kesan kejatuhan nilai mata wang dan pelaksanaan GST
bahkan mungkin akan lebih teruk jika TPPA ditandatangani oleh Kerajaan kelak.
PENGAMBILAN TANAH
BANGGOL DONAS
50. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk
memohon kerajaan pusat menyelesaikan isu pengambilan tanah Banggol Donas dengan
penyelesaian yang adil. Berkali saya
bangkitkan isu ini. Jawapan Kementerian ialah perlu merujuk kepada kerajaan
negeri. Namun isunya ialah pengambilan tanah adalah tidak menepati Kanun Tanah
Negara. Perubahan jajaran jalanraya yang dibuat sehingga terpaksa mengambil
tanah orang kampong adalah berniat jahat sedangkan ia boleh sahaja mensasarkan
tanah yang tidak diduduki oleh orang kampong. Saya meminta kerajaan pusat
menerusi JKR mengubah jajaran jalanraya agar tidak melibatkan kediaman orang
kampong. Berikan hak kepada orang kampong yang tidak mahu tanah mereka diambil
di kala ada alternative lain. Penangguhan kes ini menyebabkan perancngan
jalanraya yang memintas Kuala nerus terus ke bandar Kuala Terengganu tertangguh
agak lama.
Sekian. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment