Monday 8 June 2015

SOALAN LISAN DAN SOALAN TAMBAHAN DI PARLIMEN 8hb Jun 2015

SOALAN LISAN DAN SOALAN TAMBAHAN DI PARLIMEN
8hb Jun 2015

Ust. Datuk Dr. Mohd. Khairuddin bin Aman Razali [ Kuala Nerus ] minta
PERDANA MENTERI menyatakan :-

(a) takrif kemiskinan dan miskin tegar serta Paras Garis Kemiskinan (PGK) Kebangsaan yang terkini ; dan

(b) statistik miskin dan miskin tegar di seluruh negara bagi tahun 2011 hingga 2015 mengikut pecahan negeri dan daerah.

SOALAN TAMBAHAN

Tuan Yang diPertua,

Statitik kemiskinan rakyat menjadi kayu ukur taraf ekonomi sesebuah negara. Dan menjadi kewajipan kerajaan untuk memastikan tiada rakyat yang tidak dapat memenuhi keperluan hidup mereka. Saya rasa statistik yang dibentangkan oleh kerajaan tidak menggambarkan hakikat sebenar kemiskinan yang berlaku dalam negara.

Justeru, soalan  tambahan saya melibatkan takrifan kemiskinan. Adakah kerajaan berhasrat mentakrifkan semula miskin dan miskin tegar sebagaimana Islam membezakan antara miskin dan faqir. Miskin adalah golongan yang mempunyai pendapatan yang tidak cukup untuk melunaskan kehidupan. Manakala faqir pula merujuk kepada mereka yang tidak mempunyai pendapatan.

Miskin didefinasikan oleh kerajaan sebagai mereka yang mempunyai pendapatan di bawah PGK (Paras Garis Kemiskinan) melibatkan makanan dan bukan makanan seperti sewa dan lain-lain. sedangkan takrifan miskin dalam Islam lebih jelas iaitu mereka yang mempunyai pendapatan yang tidak cukup untuk melunaskan keperluan makanan, kediaman, pakaian, pendidikan dan kenderaan.

Kesan daripada takrifan kerajaan menyebabkan ramai yang miskin tetapi tidak dikategorikan sebagai miskin oleh kerajaan.

No comments:

Post a Comment