Tuesday 1 October 2013

Insiden Bumbung Masjid Tebauk Runtuh

KENYATAAN MEDIA 30.9.2013 DI LOBI PARLIMEN

Insiden Runtuhan Bumbung Masjid Tebauk, Parlimen Kuala Nerus

Saya memandang serius tragedi sebahagian bumbung dan siling Masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal di kawasan Parlimen Kuala Nerus runtuh awal pagi semalam ahad 29hb sep 2013.

Fakta yang perlu diambil perhatian dalam insiden ini ialah
1. Insiden ini melibatkan rumah Allah yang mulia yang perlu dimakmurkan setiap masa.
2. insiden seumpama ini berisiko melibatkan nyawa sekiranya runtuhan berlaku ketika ahli Qaryah sedang memakmurkan masjid apatah lagi masjid boleh memuatkan jamaah hingga 1000 orang.

3. Dilaporkan runtuhan membabitkan kira-kira 40 peratus bahagian masjid dan melibatkan struktur asas bangunan juga. Jika benar ia adalah runtuhan berskala besar yang menimbulkan keraguan terhadap tahap keselamatan seluruh struktur masjid.

4. Masjid adalah masih baru iaitu siap dibina dua tahun lepas. Ini menimbulkan persoalan tahap profesional pihak yang bertanggungjawab terhadap pembinaan tersebut.

5. Kos pembinaan ialah RM6 juta dan ia melayakkan masjid ini dibina dengan binaaan yang kukuh dan terbaik.

6. Insiden seumpama ini bukan yang pertama berlaku di negeri ini. Bumbung masjid runtuh di negeri ini telah berlaku 20 Mei lepas di Masjid Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu yang hampir melibatkan nyawa 12 jemaah yang baru sahaja selesai solat isya. Pada 3 Oktober 2009, bumbung bahagian hadapan Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman juga runtuh menyebabkan tiga mangsa cedera.
7. Siri runtuhan juga berlaku di negeri ini malah di parlimen yang sama Kuala Nerus pada 2 Jun 2009 melibatkan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang menelan belanja RM292.9 juta dan siap dibina pada Mei 2008. Pada 20 feb 2013 sebahagian struktur bumbung stadium berkenaan runtuh lagi menyebabkan tiga pekerja parah manakala dua lagi cedera ringan.

Melihat kepada insiden ini melibatkan harta awam dan merisikokan nyawa, Justeru, saya menegaskan

1. Siasatan segera perlu dilakukan untuk melihat sejauh mana kelulusan untuk masjid ini digunakan dijalankan secara profesional oleh jkr tanpa sebarang kecuaian yang disengajakan.

2. Siasatan segera perlu dilakukan terhadap kontraktor yang terlibat untuk melihat sejauh mana kelayakannya untuk membina masjid dan adakah di sana terdapat unsur-unsur kecuaian yang disengajakan dalam pemberian tender pembinaan.

3. Siasatan segera perlu dibuat terhadap punca kejadian melibatkan penggunaan bahan binaan sejauh mana menepati standard yang diperlukan bagi masjid yang bernilai rm5.7 juta.

4. Semakan semula tahap keselamatan masjid-masjid yang baru dibina di negeri ini terutamanya melibatkan kontraktor pembinaan yang sama jika ada.

5. Jika berlaku kecuaian dipihak pembekal atau kontraktor berkenaan tindakan tidak patut hanya berpada dengan pembinaan semula bahkan ganti rugi setimpal mesti dikenakan menurut undang-undang dan senarai hitam mesti dikenakan sebagai peringatan kepada pihak berkenaan dan pihak pembekal lain yang melibatkan harta awam dan nyawa.

6. Kerajaan perlu mendedahkan laporan siasatan kes runtuhan bumbung Masjid Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu 20 Mei lalu. Kecuaian dalam mendedahkan kes runtuhan lepas boleh menggoyah harapan rakyat untuk melihat laporan untuk siasatan kes runtuhan masjid tebauk.

7. Kerajaan perlu menyenaraikan semua kontraktor dan pembekal yang mendapat projek pembinaan masjid yang telah runtuh sejak tahun 2009 hingga terkini

Akhirnya saya menegaskan bahawa pembinaan masjid adalah melibatkan harta awam yang menjadi amanah kepada semua yang terlibat sebagai kontraktor, pentadbir dan pengurus berkenaan. Ia juga melibatkan rumah Allah yang mulia. Ia merisikokan nyawa orang-orang soleh yang memakmurkan masjid. Justeru, semua pihak berkaitan perlu memandang isu ini dengan serius untuk kebaikan seluruh umat.

YB Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

No comments:

Post a Comment