Sunday 15 January 2017

Membina Negara Beragama

DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
✳ *MEMBINA NEGARA BERAGAMA*

1. Malaysia adalah kesinambungan negeri-negeri Islam yang wujud dan berdaulat sebelum era campur tangan British. Negeri Islam bermaksud negeri yang diperintah oleh pemerintah muslim dengan bertunjangkan hukum hakam Islam sebagai asas pemerintahan dan pentadbiran.

2. Apabila ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang menggabungkan sembilan negeri Islam Melayu Beraja dan negeri-negeri Selat dan seterusnya ditubuhkan pula Malaysia pada 1963, perlembagaan menobatkan Islam sebagai Agama Persekutuan dalam Artikel 3.

4. Kedudukan Islam diperkasakan menerusi pelbagai lagi peruntukan perlembagaan melibatkan Ketua Negara dan juga kuasa Islam di peringkat negeri-negeri Melayu Beraja serta pelbagai lagi undang-undang dan enakmen yang digubal dari semasa ke semasa di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

5. Maka seharusnya kedudukan Islam ini terus diperkukuh dan diperkasakan oleh raja-raja Melayu, para pemerintah dan pentadbir kerajaan negeri dan persekutuan merangkumi pelbagai aspek sama ada pada aqidah dan keyakinan rakyat atau pada Syariat perundangan melibatkan hal ehwal peribadi dan akhlak, hal ehwal kekeluargaan, undang-undang kontrak dan urusan kewangan serta perekonomian dan kehakiman serta perundangan jenayah.

6. Menjadi kewajipan setiap muslim untuk memperjuangkan perkara ini sebagai satu usaha jihad dakwah dan amar makruf nahi mungkar menerusi penerangan lisan atau bertulis atau praktik perundangan atau praktik politik kekuasaan.

7. Memperjuangkan praktik beragama bagi negara bernama Malaysia bererti memberikan hak kebebasan kepada rakyat bukan Islam bagi mengamalkan agama selain Islam pada aspek ritual dan kehidupan mereka sebagaimana diperuntukkan oleh perlembagaan dan sebagaimana ditetapkan oleh Islam.

8. Memperjuangkan Islam bagi negara ini bererti memberikan keadilan sosial, ekonomi dan perundangan kepada seluruh rakyat sama ada muslim atau bukan muslim kerana praktik beragama bagi Islam menjamin hak dan keadilan untuk semua.

9. Penentangan terhadap agenda ini oleh mereka yang masih berfikiran liberal atau sekuler di kalangan muslim sendiri atau di kalangan bukan Islam yang ekstrem perlu ditangani dengan dakwah yang penuh hikmah bagi melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni berasaskan budaya ilmu dan saling hormat menghormati.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
15hb Januari 2017

https://pas.org.my/artikel-berita-dupp/10578-membina-negara-beragama

No comments:

Post a Comment